Khalid Bangga Kejayaan Siti, Adib
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto ihsan S/U AGung SAM, HJ. Sulaiman samai’an

Bersama tulang belakang All Your Love terdiri daripada (dari kiri) komposer Australia Bryan B, Muhammad Adib dan Datuk Khalid.
BERKONGSI perasaan suami kepada penghibur nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang melancarkan album Inggeris berjudul All Your Love baru-baru ini memang mengasyikkan.
Terus terang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berasa bangga dengan pencapaian dua insan kesayangannya itu sepanjang menjayakan projek terbabit.
Cetusan idea anak keduanya, Muhammad Adib atau Adib merealisasikan impian Siti bermula awal tahun lalu sehingga proses pembikinan album itu selesai, melegakan dirinya.
‘Saya melihat sendiri kesungguhan Siti dan Adib yang tidak berbelah bahagi untuk album ini,’ singkap Khalid pada pertemuan selepas pelancaran All Your Love, petang Isnin lalu.
Album Inggeris yang berada di pasaran sejak 22 September lalu itu merupakan album ke-14 Siti selepas menghasilkan 13 album Melayu.
Album berkenaan mengandungi 10 lagu termasuk sebuah lagu duet dengan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat (AS), Sean Kingston bertajuk Remember Me.
All Your Love menjalani proses adunan di Sydney, Australia manakala proses mastering dilakukan di Los Angeles, AS.
Khalid yang tidak terlibat langsung dalam pembikinan album isterinya itu turut mendedahkan kerisauan Siti pada peringkat awal.
‘Siti gusar andai percubaannya kali ini mengundang masalah. Contohnya masalah sebutan dan penerimaan orang tentang konsep yang dibawa.
‘Apa yang saya nasihatkan kepada Siti ialah, dia tak perlu jadi orang lain dan jadi diri sendiri. Tak payah nak ikut sangat cara slanga orang British, Amerika atau Australia. Tapi alhamdulillah, dia seorang yang cepat belajar.
‘Saya pernah ikut Siti semasa merakamkan lagu pada satu petang. Memang memeranjatkan apabila dia boleh merakamkan sebuah lagu dalam tempoh masa dua atau tiga jam sahaja,’ dedahnya lagi.
Rasa kagum itu turut meliputi pencapaian Siti dalam industri yang sentiasa dahagakan pembaharuan dalam rentetan karier seninya sepanjang 16 tahun.
‘Saya juga adalah antara jutaan peminat Siti yang ada di seluruh dunia. Walaupun dia adalah isteri saya, tapi apabila dia berada di pentas, dia adalah milik peminatnya.
‘Siti ada aura sendiri. Apabila dia menyanyi, dia boleh buat kita terpaku. Sebab Siti menyanyi dengan penuh emosi dan itu adalah kelebihan dia,’ sambungnya lagi.
Menyentuh pandangan peribadinya tentang pencapaian Adib juga menjadikan perbualan kami bertambah rancak. Terus-terang, Khalid sama sekali tidak menyangka kemampuan anak keduanya yang berusia 21 tahun itu.
‘Sebenarnya, Adib ada cakap nak hasilkan album Inggeris Siti semasa dia buat persembahan di Melbourne dulu. Masa itu Adib masih belajar, jurusan perniagaan di sebuah universiti di sana.
‘Memang memeranjatkan melihat bagaimana strategi pemasaran Adib untuk mengkomersialkan album Siti. Dia berjaya ke tahap yang membanggakan biarpun tanpa pengalaman spesifik,’ katanya.
Adakah itu bermakna Khalid akan membenarkan Adib untuk terus menceburkan diri dalam industri seni tanah air? Lelaki ini mengatakan persoalan itu diserahkan kepada Adib.
‘Saya tak menghalang atau menggalakkan Adib andai mahu terus dalam industri. Saya hanya boleh bagi pandangan dan nasihat. Tapi saya suka dengan semangat dia untuk berjaya dalam industri.
‘Elemen-elemen perniagaan ini juga ada pada setiap anak sebab mereka semua belajar perniagaan. Itu yang menjadi keutamaan saya,’ katanya menyungging senyuman.
Gemar konvoi
Sebenarnya, Khalid baru selesai menyertai Konvoi Kembara 1Malaysia anjuran Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) bersama isterinya minggu lalu.
Rombongan yang disertai 254 motosikal berkuasa tinggi dan 30 buah kenderaan pelbagai guna itu adalah pengalaman kedua buat dirinya bersama Siti.
‘Bayangkan, saya yang sudah tak menunggang motosikal 25 tahun kemudiannya menjelajah ke beberapa pelosok negeri. Kali pertama saya menunggang pada awal tahun semasa di Cape Town, Afrika Selatan.
‘Kembara memang satu perkara yang menyeronokkan. Sudah pasti saya akan konvoi andai ada masa terluang,’ cerita lelaki yang mempunyai tiga buah motosikal di kediamannya itu.
Ditanya adakah Khalid ada rancangan konvoi bermotosikal selepas ini, lelaki ini tersenyum. Katanya, wujud rancangan untuk menjelajah ke New Zealand hujung tahun ini. Tapi semuanya masih belum diputuskan lagi.
Apa pun, mereka berdua cukup seronok melihat keindahan semulajadi sepanjang perjalanan menunggang motosikal beramai-ramai. Dapat menambah kenalan dan mempelbagaikan gaya hidup yang selama ini sibuk dengan tugasan hakiki masing-masing.
Utusan
Proton Inspira Milik Siapa?
Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
Gambar Ihsan SURIA FM

KERINTING Three bakal menggegarkan Konsert Kemuncak Raya Suria FM Bersama myeg di Dataran Putrajaya, Sabtu ini,
PENANTIAN 30 pendengar setia Suria FM bakal terjawab esok apabila Acara Kemuncak Kereta dan Duit Raya Suria FM 2011 akan menyaksikan salah seorang daripada mereka membawa pulang hadiah utama iaitu sebuah kereta Proton Inspira.
Sejak 29 Ogos lalu, pendengar stesen radio itu perlu menunggu pembayang yang akan diberikan oleh penyampai Suria FM untuk mengetahui lokasi Proton Inspira yang telah dibawa ‘lari’.
Tiga penyampai segmen Breakfast @ Suria, Halim Othman, Sharifah Shahira dan Zizi yang menggelar trio mereka sebagai Kerinting Three, merupakan gimik kepada peraduan ini yang akan menentukan lokasi sebenar kereta berkenaan.
Setiap khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh pendengar dengan jawapan yang tepat, bakal melayakkan mereka menyertai acara kemuncak peraduan yang akan diadakan esok (29 September) di Tropicana City Mall, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Selain peraduan yang mendapat sambutan hangat pendengar, Suria FM turut menganjurkan Konsert Kemuncak Raya Suria FM Bersama myeg yang bakal diadakan pada 1 Oktober ini di Dataran Putrajaya.
Konsert tersebut bakal menghimpun beberapa nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M.Nasir, Amy Search, Hattan, Ning Baizura, Hujan dan ramai lagi.
Konsert percuma itu dijangka bermula pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam.
Utusan
Mahu Tembusi Australia
TULANG BELAKANG…Siti bersama
Datuk K (dari kiri) Adib dan Bryan.
KEPUTUSAN Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, mahu menghasilkan lagu Inggeris disambut baik peminat, apatah lagi ia dilaksanakan di bawah produksi What’s Up Entertainment milik anak tirinya, Adib Khalid.
Begitupun, sebaik single pertama yang dijadikan judul album, All Your Love diputarkan di radio, pelbagai maklum balas diterima.
Paling hangat diperkatakan adalah kemampuan Siti menyampaikan setiap lagu dengan ‘jiwa’ Inggeris itu sendiri.
Tidak kurang ada yang berasakan lagu yang ditampilkan tidak menggambarkan diri Siti sebenar. Dalam kata lain, dia dikatakan terlalu mencuba.
Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu menjelaskan, dia menghasilkan album Inggeris untuk mencabar diri dan jauh sekali berniat mahu menunjuk-nunjuk.
Malah Siti yang menjadikan penyanyi antarabangsa kelahiran Kanada, Celine Dion sebagai sumber inspirasi, melihat segala teguran itu dengan penuh positif.
Katanya, jika dia tidak menghasilkan album Inggeris sekarang, dia tidak tahu kemampuannya.
“Lagu Melayu menjadi ‘makanan’ saya. Berilah apa pun saya dapat melakukannya.
Tetapi album ini sama sekali berbeza. Bukan saja dari sudut bahasa tetapi melodinya dan imej ditampilkan. Semua baru dan berbeza. Jika saya tidak melakukannya saya tidak akan tahu kemampuan diri.
“Bagaimanapun saya harus mencari titik permulaan untuk menzahirkan album ini, laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan berikan yang terbaik. Diterima atau tidak, itu bergantung kepada tuah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran All Your Love yang diadakan secara besar-besaran di Starhill, Bukit Bintang, kelmarin.
Kata Siti, dia tidak menghadapi masalah untuk menghayati setiap lagu didendangkan sama ada dari sudut pengucapan lirik mahupun penghayatan melodi.
Tambahan pula penerbit All Your Love, Bryan B dari Australia turut membantu
sepanjang proses rakaman dilakukan yang mengambil masa dua minggu.
“Pertama kali bekerja dengan Bryan membuat saya sedikit gusar kerana belum pernah bekerja dengannya. Lainlah dengan pencipta atau penerbit di sini, saya sudah bekerja dan mereka sudah tahu cara saya bekerja. Sebenarnya kalau ada keserasian, ia lebih mudah untuk kita bekerja,” katanya.
Sepanjang 15 tahun Siti membabitkan diri dalam bidang nyanyian, namanya cukup besar di Nusantara dan hendak dinilai dari sudut itu, Siti boleh saja menghasilkan album itu dari dulu lagi menerusi Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP).
Menghasilkan album di bawah label milik anak tirinya menyebabkan ada yang memikirkan ia dilakukan semata-mata bagi membantu Adib, membina empayar perniagaan dalam industri muzik.
Menerangkan perkara itu jelas Siti, segalanya sudah tertulis dan menganggap rezekinya untuk menghasilkan album di bawah produksi milik Adib.
“Apabila Adib menyatakan mahu menubuhkan syarikat rakaman, saya dan suami (Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa) terkejut dan bertanya adakah benar dia mahu melakukannya.
“Adib bersungguh-sungguh dan turut menunjukkan perancangan mahu menghasilkan album Inggeris untuk saya. Dia turut memperkenalkan kami kepada Bryan dan mendengarkan sebahagian lagu-lagu yang dicipta.
“Saya berasakan lagu yang diperdengarkan itu sangat menarik. Ia segar dan baru. Memandangkan semua sudah dirangka dan dirancang dengan baik, saya berasakan mengapa tidak. Seperti yang saya perjelaskan, sudah menjadi rezeki saya untuk menghasilkannya sekarang,” katanya.
Sementara itu Adib yang turut hadir di majlis pelancaran itu bersama Bryan menjelaskan, setakat ini pihak What’s Up Entertainment merangka beberapa strategi bagi memasarkan album Inggeris ini apatah lagi membawanya ke pasaran luar.
“Bagaimanapun kami akan berusaha agar album yang diedarkan Warner Music Malaysia diterima peminat tempatan. Dalam waktu sama, kami juga turut merangka untuk memasarkannya di Indonesia dan Singapura.
“Sekiranya sambutannya menggalakkan, kami akan cuba membawanya ke Australia juga.
“Album ini dipasarkan 24 September lalu dan setakat ini cetakan pertama 3,000 unit sudah habis dijual dan cetakan kedua sedang dilaksanakan,” katanya.
Waktu sama, sedar dengan kuasa yang dimiliki teknologi Internet dan komunikasi, ia digunakan sepenuhnya untuk memasarkan album dihasilkan dengan menyenaraikannya dalam I-Tunes, Amazon dan beberapa lagi laman yang menyediakan aplikasi muat turun.
Dengan cara ini, ia memudahkan peminat dari luar negara mendapatkan setiap lagu dalam All Your Love dengan cepat.
Pastinya pengalaman menghasilkan album All Your Love memberikan perspektif berbeza buat Adib terhadap ibu tirinya itu. Terutama membabitkan sikap Siti.
Maklumlah kata orang, hubungan di rumah berbeza jika kita bekerja.
Apatah lagi anak kedua hasil perkahwinan Datuk K dan Tengku Zawiyah itu harus profesional dalam memastikan segala kerja dilakukan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Dia sangat bekerja keras. Sampai berdiri berjam-jam lamanya dan langsung tidak duduk.
“Dia juga sangat bersungguh-sungguh. Itulah perkara yang saya tidak pernah lihat mengenai Siti dan saya nampak sepanjang penghasilan album ini.
“Bagaimanapun saya tidak banyak mencampuri urusan rakaman kerana orang lain yang melaksanakannya,” katanya.
PROFIL:
Nama Penuh: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
Tarikh lahir: 11 Januari 1979
Tempat lahir: Kampung Awah, Temerloh, Pahang
Bintang: Capricorn
Keluarga: Anak kelima daripada lapan beradik.
Hobi: Menonton VCD dan membaca majalah
Warna kegemaran: Hijau dan pastel
Makanan kegemaran: Masakan kampung, Thai dan masakan ibu
Minuman kegemaran: Minuman panas
Muzik kegemaran: Pop, Alternative, R&B dan Tradisional
Artis pujaan: Ziana Zain, Celine Dion, Datuk Sudirman Arshad & Tan Sri
P Ramlee
Perkara yang tidak disukai: Dipaksa, menilai seseorang tanpa usul periksa
Perkara yang paling disukai: Membeli-belah, mengusik anak buah dan memerap di dalam bilik
Prinsip: “Tak mati dek keji, tak hidup dek puji”
Album: Siti Nurhaliza I, Siti Nurhaliza II, Cindai, Adiwarna, Pancawarna, Sahmura, Safa, Sanggar Mustika, E.M.A.S, Prasasti Seni, Transkripsi, Hadiah Daripada Hati, Lentera Timur, Tahajjud Cinta dan All Your Love Konsert
Jelajah: Konsert Live Siti Nurhaliza, Konsert Mega Siti Nurhaliza Bukit Jalil 2001, Konsert Salam Akhir Siti Nurhaliza – Untukmu Sudir, Siti Nurhaliza Live In Concert 2004, Siti Nurhaliza Indonesia Tour 2004, Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall London (2005), Siti Nurhaliza Live Indoor Stadium, Singapore, Konsert Akustik Siti Nurhaliza, Konsert Istana Cinta, Diari Hati Siti Nurhaliza, SATU Konsert Eksklusif Dato’ Siti Nurhaliza, Konsert Seribu Warna, Konsert Bagaikan Sakti dan Konsert SATU Suara.
Harian Metro
Gementar Siti Dalam Teruja
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan WHAT’S UP ENTERTAINMENT

SELEPAS 16 tahun bergelar penyanyi, impian Siti Nurhaliza untuk memiliki album Inggerisnya tercapai.
TEMPOH 16 tahun yang dilalui oleh penyanyi pujaan ramai ini bukanlah satu masa yang singkat sehingga dia berjaya menjadi satu entiti dalam dunia hiburan tanah air.
Pelbagai pengalaman pahit dan manis selain kejayaan luar biasa semuanya sudah dilakar oleh figura unggul bernama Datuk Siti Nurhaliza ini.
Barangkali rekod pencapaiannya dalam bidang seni sukar sekali untuk ditandingi sehingga gelaran penyanyi nombor satu negara terus menjadi miliknya.
Selama bergelar penyanyi, Siti Nurhaliza sudah merakamkan 14 buah album solo yang merangkumi genre pop dan tradisional di mana hampir kesemuanya mencatatkan penjualan yang membanggakan.
Justeru, penghibur kesayangan ramai yang mesra disapa Siti ini nampaknya sudah bersedia untuk mencatatkan satu lagi rekod buat dirinya.
Selepas sekian lama memendam rasa untuk muncul dengan sebuah album Inggeris, akhirnya mimpi Siti bertukar realiti apabila album Inggeris pertamanya, All Your Love sudah mula menjengah pasaran sejak 22 September lalu.
Mahu atau tidak, harus diakui, berita tentang kelahiran album Inggeris pertama Siti sememangnya sesuatu yang cukup luar biasa.
Alasannya cukup mudah. Ia adalah kerana ia milik Siti Nurhaliza, nama yang cukup besar pengaruhnya dan sudah pasti apabila Siti lahir dengan album Inggeris, ia pasti mendapat perhatian ramai.
Namun, mengapakah hanya selepas 16 tahun, Siti memberanikan diri dengan merakamkan album Inggeris sedangkan dia boleh melakukannya ketika dia sedang meniti zaman kegemilangan sebagai penyanyi tersohor rantau Nusantara.
Apakah kerana pertuturan bahasa Inggerisnya yang sering dijadikan bahan jenaka menjadi halangan untuk Siti merakamkan album dalam bahasa itu sebelum ini?
Sambil menghela nafas yang panjang dalam nada yang cukup berhemah, Siti tidak pernah melihat kekurangan itu sebagai satu masalah seandainya dia mahu merakamkan album Inggeris.
Sebaliknya kata Siti, tempoh 16 tahun sudah cukup membekalkan semangat yang cukup tinggi untuk lahir dengan album Inggeris perdananya.
Malah, penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagi Jerat Percintaan ini juga mengambil sikap optimis apabila dalam usianya 32 tahun itu masih belum terlewat untuknya muncul dengan album Inggeris.
‘Kelahiran All Your Love bukanlah untuk menunjukkan dan membuktikan kepada semua pihak bahawa saya sebenarnya mampu menyanyikan lagu-lagu bahasa Inggeris dengan baik.
‘Sebaliknya saya mahu mencabar diri saya kerana perjalanan sebagai anak seni selama 16 tahun yang telah banyak mematangkan saya untuk muncul dengan album Inggeris.
‘Saya juga percaya peluang ini hadir tepat pada masanya dan apabila kepercayaan itu diberikan kepada saya, mengapa tidak untuk saya meneruskan niat yang sekian lama terpendam ini untuk direalisasikan,’ kata biduanita muda negara ini ketika dihubungi Mega, baru-baru ini.
Reaksi
Dalam pada penyanyi wanita unggul negara ini teruja dengan kelahiran All Your Love, Siti juga tidak mampu menyembunyikan kegusaran menantikan reaksi daripada masyarakat dan peminat setianya terhadap album tersebut.
Bukan Siti tidak yakin dengan penerbitan album itu tetapi dia cukup bimbang apabila ada pihak yang bagaikan sengaja mahu mencari kesilapannya.
Anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini juga cukup sedar bahawa ada yang meletakkan harapan tinggi melangit selain mahu mencari kesempurnaan dirinya apabila muncul dengan album Inggeris.
Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang seni, Siti mempunyai pandangannya sendiri berhubung isu tersebut.
Baginya, sebagai seorang anak Melayu dan dibesarkan di dalam persekitaran yang hampir kesemuanya bertutur dalam bahasa Melayu, Siti tidak mampu mengubah dirinya menjadi seperti orang Barat.
‘Adakah kerana saya lahir dengan album Inggeris, saya perlu menyanyi dan bertutur dalam slanga seperti orang Barat? Saya selesa menjadi diri saya sendiri dan bagaimana saya menyanyi itu adalah cara saya.
‘Kalau diperhatikan kepada penyanyi Barat seperti Shakira dan Celine Dion sewaktu mula-mula mereka muncul dengan album Inggeris, mereka menyanyi dengan penyampaian tersendiri.
‘Begitu juga dengan penyanyi dari Jepun, Korea dan Taiwan yang berhadapan dengan situasi serupa tetapi mereka boleh diterima dengan baik dan seadanya.
‘Dengan kelahiran All Your Love juga ia adalah satu keberanian buat saya dalam menyahut cabaran yang saya sendiri mahukan. Kalau asyik fikirkan kata-kata orang, memang kita tidak boleh maju dan ke mana-mana,’ ujar Siti panjang lebar.
Impian
Berbicara lanjut tentang All Your Love yang mendapat hak pengedaran daripada Warner Music International itu, impian itu barangkali tidak akan terlaksana jika anak tirinya, Muhammad Adib atau lebih dikenali sebagai Adib tidak lahir dengan idea tersebut.
Apatah lagi, Adib juga memiliki minat yang cukup mendalam terhadap bidang muzik membuatkan Siti tidak mempunyai masalah untuk meneruskan cita-citanya itu bagi melengkapkan profil seninya sebagai seorang penyanyi.
Menerusi Adib kata Siti, dia telah dipertemukan dengan penerbit dan komposer dari Australia, Brian B dan Christian Alexander yang bertanggungjawab menerbitkan album All Your Love di bawah syarikat, What’s Up Entertainment Sdn. Bhd.
Hanya menjalani rakaman album di ibu negara selama dua minggu sahaja sekitar pertengahan tahun ini, Siti yang kini cukup popular dengan lagu Falling In Love itu melahirkan rasa puas hatinya terhadap pembikinan album tersebut.
Apa yang penting baginya adalah untuk memastikan penerbit juga berpuas hati dengan dirinya sendiri terutama aspek vokal.
‘Saya sendiri tidak mempunyai masalah untuk merakamkan album Inggeris ini kerana saya sudah membuat persediaan dengan mendengar melodi dan menghayati liriknya terlebih dahulu.
‘Daripada situ, barulah penghayatan itu datang dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Apa yang penting bagi saya adalah untuk memastikan penerbit sendiri berpuas hati dengan rakaman saya.
‘Brian sendiri tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyampaian saya untuk setiap lagu dalam album ini. Malah, dia juga tidak lokek untuk mengajar saya dari segi sebutan,’ ujar pemilik trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali ini penuh teruja.
Utusan
Siti Nurhaliza Tidak Kisah
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
APABILA nama Datuk Siti Nurhaliza tidak dicalonkan untuk mana-mana kategori dalam Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) yang diumumkan baru-baru ini, pelbagai spekulasi mula timbul.
Ada yang mengatakan zaman penyanyi itu sudah berlalu apabila nama-nama baru mula mendominasi anugerah muzik paling berprestij negara itu.
Barangkali rezeki tidak berpihak kepada Siti tahun ini apabila lagu Astana Jiwa tidak berjaya membolosi senarai akhir AIM 18 walaupun lagu tema drama bersiri Suria Di Cordoba itu dicalonkan pada peringkat awal.
Tetapi, bagi empunya diri, dia sedikit pun tidak kisah dengan perihal itu sebaliknya melihatnya dari sudut yang positif.
“Jujurnya saya tidak mempunyai masalah apabila tidak dicalonkan tahun ini kerana saya sendiri tiada produk untuk dicalonkan walaupun difahamkan Astana Jiwa layak ke peringkat awal.
“Janggal atau tidak itu, bagi saya biasa sahaja. Mungkin peminat lebih merasakan perasaan itu kerana saya dicalonkan untuk AIM setiap tahun sejak tahun 1997,” ujar Siti tanpa selindung.
Sudah pasti kata Siti, selagi dia aktif dalam dunia nyanyian dan merakamkan album, selagi itu dia akan terus mencalonkan karyanya di AIM.
Kerana bagi Siti, kemenangan dalam anugerah kebanggaan karyawan seni tempatan itu bukanlah untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk mereka yang terlibat di belakang tabir dalam pembikinan album dan lagu-lagunya.
“Memang seronok apabila setiap penat lelah kita dibayar dan diiktiraf oleh juri tetapi kegembiraan itu berganda apabila melihat mereka di belakang tabir menerima pengiktirafan.
“Saya tetap mahu melihat karya-karya saya di masa akan datang dicalonkan dan seterusnya memenangi kategori lain yang belum pernah dimenangi sebelum ini seperti Muzik Video, Rakaman Album dan Kulit Album Terbaik,” ujarnya dalam nada cukup optimis.
Sesungguhnya bukanlah satu masalah besar apabila Siti tidak dicalonkan dalam AIM tahun ini kerana rekod yang dicipta oleh penyanyi bersuara emas ini dalam sejarah AIM barangkali sukar dipadam oleh sesiapa.
Bukan sekadar omongan kosong, tetapi sepanjang menyertai AIM sejak tahun 1997, Siti dan setiap albumnya yang layak dipertandingkan telah menerima 71 pencalonan.
Daripada jumlah itu, sudah 34 buah trofi menjadi milik Siti dan karyawan yang terlibat dalam menghasilkan album serta lagu-lagu nyanyiannya.
Kalau ada yang tidak tahu, Siti juga sebenarnya pernah tewas di gelanggang AIM apabila gagal membawa pulang sebarang trofi pada tahun 1998 walaupun dicalonkan untuk tiga kategori.
Sudah pasti rekod yang paling membanggakan untuk Siti apabila memenangi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik sebanyak 11 kali.
Menerusi kategori itu, Siti pernah menjulang trofi itu sebanyak lapan tahun berturut-turut dari tahun 1999 hingga 2006.
Dominasi Siti berjaya dipecahkan oleh Jaclyn Victor pada tahun 2007 namun, Siti kembali merampas gelaran itu pada tahun 2008 sehinggalah 2010.
Bukan itu sahaja, Siti juga menjadi satu-satunya artis tempatan yang memenangi gelaran tertinggi dalam AIM iaitu Album Terbaik sebanyak lima kali.
Utusan
Peranan Golongan Hawa Dalam Kemerdekaan

Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak (empat dari kiri) dan Mohamad Shahrom Osman (tengah) beramah mesra dengan ibu penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Tarudin, Siti Salmah Bachik (duduk, kiri) di Kuala Lipis, baru-baru ini.
KUALA LIPIS 25 Sept. – Peranan yang dimainkan oleh golongan hawa dalam memperjuang kemerdekaan tanah air dan pengisian pembangunan negara amat jelas serta tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, peranan wanita bukan sahaja mencorakkan keluarga bahagia, malah, mereka turut terlibat dalam menuntut kemerdekaan.
“Justeru itu, kita perlu mengikis sikap memperkecil kebolehan wanita kerana tanpa wanita yang juga ibu, kita tidak akan lahir ke dunia ini dan mengecapi kesejahteraan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Merdeka meraikan 12 orang wanita bekas pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Wanita UMNO daerah Lipis, di sini kelmarin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman; Naib Ketua UMNO Lipis, Mustafa Long; Ketua Wanita UMNO Lipis, Siti Fatimah Yahya dan Ketua Puteri UMNO, Hartini Othman.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, pemimpin UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menerapkan sikap tanggungjawab kepada golongan muda supaya menghormati bekas pemimpin wanita mahupun ibu masing-masing.
“Kesedaran ini amat penting supaya generasi muda sentiasa prihatin dan hormat terhadap warga emas terutama ibu bapa masing-masing.
“Hargailah jasa mereka di kalangan golongan hawa kerana mereka terlebih dahulu menjadi individu yang membangunkan negara yang hari ini maju, aman dan harmoni,” ujarnya.
Utusan
Wanita Juga Tuntut Kemerdekaan
Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

MOHD. Soffi Abdul Razak (empat dari kiri) dan Mohamad Shahrom Osman (tengah) beramah mesra dengan ibu penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Siti Salmah Bachik (duduk, kiri) dan bekas pemimpin wanita UMNO dan NGO di Kuala Lipis kelmarin.
KUALA LIPIS 23 Sept. – Peranan yang dimainkan oleh golongan wanita dalam memperjuang kemerdekaan tanah air dan pengisian pembangunan negara amat jelas serta tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, peranan wanita bukan sahaja mencorakkan keluarga bahagia, malah mereka turut terlibat dalam menuntut kemerdekaan.
“Kita perlu mengikis sikap memperkecil kebolehan wanita, kerana tanpa wanita yang juga ibu, kita tidak akan lahir ke dunia ini dan mengecapi kesejahteraan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Merdeka meraikan 12 wanita bekas pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Wanita UMNO Daerah Lipis di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman; Naib Ketua UMNO Lipis, Mustafa Long; Ketua Wanita UMNO Lipis, Siti Fatimah Yahya dan Ketua Puteri UMNO Lipis, Hartini Othman.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, pemimpin UMNO dan NGO perlu menerapkan sikap tanggungjawab kepada golongan muda supaya menghormati bekas pemimpin wanita mahupun ibu masing-masing.
“Kesedaran ini amat penting supaya generasi muda sentiasa prihatin dan hormat terhadap warga emas, terutama ibu bapa masing-masing.
“Hargailah jasa warga emas dalam kalangan golongan hawa kerana mereka telah terlebih dahulu menjadi individu yang membangunkan negara yang hari ini maju, aman dan harmoni,” ujarnya.
Utusan
SAM Kesal Kembara 1Malaysia Disalah Tafsir
JOHOR BAHRU 21 Sept. – Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) kesal dengan kenyataan sesetengah pihak yang menyifatkan Kembara 1Malaysia mengelilingi seluruh Semenanjung sebagai program yang tidak bermakna dan sekadar untuk berseronok.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kembara anjuran SAM yang disertai 400 peserta melibatkan 254 motosikal merupakan salah satu program khusus untuk para penunggang motosikal berkuasa besar bagi menunjukkan semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54.
Beliau berkata, para peserta kembara itu turut menyumbangkan lembu kepada kem-kem tentera yang akan disembelih sempena Hari Raya Aidiladha nanti manakala syarikat Naza Group menyumbangkan motosikal untuk pasukan keselamatan itu.
“Siapa kata kami pergi untuk berseronok? Para peserta terpaksa meninggalkan kerja dan keluarga bagi menjayakan program ini dan mereka tidak diberikan sebarang elaun. Ini cara bikers menunjukkan kecintaan kepada negara.
“Mereka (pengkritik) hanya tahu mengkritik tetapi belum tentu mereka mampu melaksanakan program yang kami lakukan ini,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan ketibaan konvoi berkenaan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.
Ketibaan konvoi yang diketuai Ahmad Zahid dan turut disertai Presiden SAM, Datuk Abdul Halim Suleiman di stadium berkenaan disambut oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabar.
Konvoi yang turut disertai artis terkemuka iaitu Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bermula 16 September lalu akan tamat di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur esok.
Utusan
Isu Tak Bayar Penulis Lirik Siti Nurhaliza Satu Fitnah
Teks Oleh: zyzamani
KUALA LUMPUR, 19 SEPT 2011: Isu tentang penulis lirik lagu Inggeris All Your Love, Datuk Siti Nurhaliza, Christian Alexender yang mendakwa tidak menerima bayaran penuh daripada pihak penerbitan adalah satu fitnah.
Jelas Pengarah Syarikat What’s Up Entertainment, Kadir Rashid, segala bayaran telah dilakukan oleh pihaknya menerusi Byran Bouro yang bertindak selaku penerbit bersama album berkenaan.
“Kami ada bukti segala bayaran telah dilakukan kepada Byran Bouro. Apa yang saya tahu Alexander merupakan penolong penulis lagu kepada Bouro. Jadi kami tak berhubung dengannya. Sebaliknya kami berhubung dengan Bouro sahaja.
“Segala bukti pembayaran dan segalanya ada dengan kami dan telah dibuat kepada Bouro. Difahamkan Bouro juga telah membuat pembayaran terhadap dia. Kami memang tak mempunyai hubungan secara langsung dengannya,” katanya ketika dihubungi murai.com.my bagi mengulas mengenai isu tersebut.
Terdahulu murai.com.my telah pun menyiarkan luahan perasaan Alexender yang mendakwa masih menunggu kontrak dan bayaran penuh berhubung pembikinan album berkenaan.
Menganggap isu yang dibangkitkan oleh Alexander sebagai satu fitnah yang tidak berasas kata Kadir pihaknya dan Siti Nurhaliza sendiri tidak tergugat mahupun merasakan imej mereka tercalar.
“Imej kami tak tercalar dengan dakwaan yang dilakukannya. Kami tak tahu apa tujuan dia lakukan sedemikian mungkin juga dia mahu publisiti murahan,” katanya penuh kesal.
Menjawab satu lagi dakwaan Alexander bahawa kelewatan album Inggeris penyanyi nombor satu negara itu berpunca daripada kelewatan bayaran yang diterima oleh penyanyi Sean Kingston, perkara tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Kadir.
“Komen pasal Kingston tak berapa tepat. Bukan pasal pembayaran menyebabkan kelewatan sebaliknya penyanyi itu sendiri terlibat dengan kemalangan dan menyebabkan penangguhan. Pihak kami sendiri telah berhubungan dengan Kingston sebelum dia mengalami kemalangan dan urusan bayaran telah pun dibincangkan sebelum dia terlibat dengan kemalangan lagi. Jadi isu itu tak timbul,” jelasnya.
Dalam pada itu, jelas Kadir, pihaknya dan Siti Nurhaliza sendiri tidak berniat untuk mengambil tindakan undang-undang buat masa ini terhadap penyanyi R&B kelahiran Australia itu.
Tweet
KONGSI
Murai
Jualan Amal Meriah
Hip
Cetak .
Emel Rakan .
Jualan amal meriah
Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2011/09/21
![]()
RAMLAH dan suami menerima sumbangan.
SAM menunjukkan beg Umie Aida yang akhirnya menjadi milik kakaknya, Zizie.
Koleksi peribadi Umie Aida, Siti Nurhaliza, Fasha antara jadi rebutan
TAS tangan Louis Vuitton milik Datin Paduka Umie Aida menjadi barang lelongan yang mendapat bidaan tertinggi pada Karnival Amal Syawal di Balai Berita, New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kuala Lumpur pada Sabtu lalu iaitu mencecah RM4,000.
Walaupun hanya berbalas bidaan menerusi teks mesej Blackberry (BBM), dua aktres popular, Erra Fazira dan Zizie Ezette saling membida namun akhirnya ia jatuh ke tangan Zizie.
Acara yang diadakan dengan matlamat mengumpul dana membiayai kos rawatan pembedahan kerosakan hati Amir Shah Osman, 55, yang juga suami wartawan hiburan Harian Metro, Ramlah Zainal, juga disertai ramai artis lain.
Amir Shah yang menghidap sirosis hati kronik perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di India pada kos yang agak murah berbanding di tempat lain iaitu kira-kira RM150,000 yang dijadualkan akhir bulan ini.
Bukan sekadar lelong, acara seawal jam 12 tengahari hingga 7 malam diselitkan dengan pelbagai aktiviti lain termasuk jualan amal membabitkan gerai selebriti, bergambar bersama artis pujaan, persembahan hiburan dan sebagainya.
Di anjurkan Kelab Kebajikan, Sukan & Rekreasi, Jabatan Pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) ia menjadi simbol semangat bantu membantu di antara rakan media, artis serta tidak ketinggalan sokongan pembaca.
Bagai pesta apabila Farah Fauzana, Didie Alias dan Along Cham memulakan lelongan pada harga serendah RM30 bagi barang kesayangan selebriti membabitkan jaket, kasut dan beg tangann milik Fasha Sandha, Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Faradhiya, Raja Azmi, Farah Asyikin, Seelan Paul, Eja, Aizat dan Sheila Lama.
Walau ada dikalangan penggiat seni tidak dapat menghadirkan diri, mereka masih ingin turut serta dengan menitipkan barang mahu pun makanan yang boleh dijual supaya boleh disalurkan kepada dana berkenaan.
Sambutan pelanggan di lebih 20 meja juga memberangsangkan dengan jurusolek, Zulfadli menjual mekap selain Ana Raffali (biskut coklat cip), Pak Engku (nasi tomato), Linda Onn (nasi ayam), Deja Moss (kek lapis Sarawak, Alyah (CD), Elly Mazlein (kek lapis), Irma Hasmie (baju/aksesori) serta Ako Mustapha (batang buruk).
Boleh dikatakan lebih 50 artis terbabit secara langsung dan tidak langsung bagi merealisasikan karnival yang diilhamkan hanya seminggu sebelum majlis berlangsung hasil gabungan wartawan hiburan Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times.
Wajah lain yang biasa dilihat Ziela Jalil, Erma Fatima, Atilia, Nubhan, Diddy, Jalani Sidek, Roslin Hashim serta Ikhwan selain Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.
Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib berkata, beliau terharu dengan sokongan ditunjukkan peserta terutama penggiat seni yang sanggup datang untuk sama-sama membantu meringankan beban Ramlah serta suaminya.
“Di pihak Media Prima, kami menyokong penuh usaha Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengarang NSTP dalam membantu bukan hanya orang luar tetapi kakitangan NSTP sendiri,” katanya.
Presiden Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengarang, Shahiman Sharip berkata, pihaknya berpuas hati sasaran mengutip sekurang-kurangnya RM30,000 dalam bidaan dan jualan pelbagai barangan termasuk makanan pada karnival itu tercapai apabila jumlah keseluruhan hampir RM50,000.
Seorang peniaga dari Sabah, Dayang Herma Awang Yusuf, 21, yang memperuntukkan lebih RM1,000 untuk bidaan beberapa barangan artis termasuk milik Fasha Sandha berkata dirinya terpanggil untuk membantu selepas terbaca mengenai kisah Amir Shah di Berita Harian.
“Hari ini saya dan suami sengaja singgah di Balai Berita untuk mengikuti acara ini. Selain menyimpan koleksi artis kesayangan, sekurang-kurangnya pelaburan untuk mendapatkan barangan ini disalurkan kepada individu memerlukan,” katanya.
Berita Harian