Festival Seni Istana Budaya, Dewan Filharmonik



Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR


Mohd. yazid zakaria

BUAT pertama kalinya, Istana Budaya (IB) dan juga Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akan bergabung tenaga bagi menjayakan Festival Seni Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 2011 (KLCC Seni Festival).

Persembahan yang akan diadakan di DFP pada 28 Oktober ini itu bakal menghimpunkan 50 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan konduktor muzik, Mohd. Yazid Zakaria.

Menurut Yazid, peluang yang diberikan kepada pihak IB untuk membawa muzik tradisional ke DFP cukup membanggakan.

“Sememangnya kerjasama pertama ini merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan.

“Malah OTM juga telah membuat persiapan yang lengkap bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Lebih mencabar, persembahan pada malam tersebut turut menggabungkan muzik daripada pelbagai lapisan kaum di negara ini.

“Ini membuatkan pemuzik kami lebih bersedia bagi memastikan persembahan yang disampaikan adalah yang terbaik,” jelasnya ketika ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada malam tersebut, OTM bakal mempersembahkan kekayaan seni budaya melalui muzik dan lagu di samping menampilkan penyanyi undangan, Jaclyn Victor, Iqwal Hafiz dan juga kumpulan Orang Asli, Bahbola.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Gemilang, Joget Kenangan Manis, Somewhere, Corazon Espinado, medley P. Ramlee, Pak Ngah Balik, Santubong, Sayang Kinabalu, Dondang Sayang, Empat Dara dan Zapin Budi.

Selain persembahan OTM di DFP, KLCC Seni Festival juga akan diserikan dengan persembahan Aswara Dance Company dan Ensembel Seni MPO hari ini pimpinan koreografer-koreografer terkenal tempatan seperti Joseph Gonzales, Shafirul Azmi dan Umesh Shetty.

Manakala pada Sabtu ini pula, giliran Seni Groove Ensemble mempersembahkan MPO’s Naive Foray, di bawah pimpinan pemain trombon MPO, Marques Young.

Mereka akan menyampaikan muzik daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer.

Festival itu bakal berakhir dengan persembahan zapin dan ghazal daripada Badan Kesenian Warisan Johor pada 30 Oktober ini.

Empat segmen bakal dipersembahkan iaitu Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai aktiviti yang disediakan sempena festival itu selain datang beramai-ramai menyaksikan persembahan yang diadakan di KLCC Esplanade.

Antaranya persembahan No Noise Percussion, Royal Rhapsody Seratas, Seri Puteri Winds, Stage Circle, Amir Jahari, Tony Leo, Dikir Barat, Saturday Afternoon, Aswara Dance Company, Floor Fever dan Aswara Percusion Ensemble.

Tiket persembahan boleh dibeli pada harga RM58. Untuk keterangan lanjut boleh layari www.dfp.com.my atau hubungi 03-2051 7007.

Utusan

Aizat Angkat Martabat Artis Muda

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Aida.kamaruddin@utusan.com.my
Gambar ihsan Dewan Filharmonik KLCC


Susunan muzik yang baik malam itu nyata memberi kelebihan kepada penyanyi muda ini.

BUKAN calang-calang penyanyi yang mampu mengadakan konsert diiringi kumpulan pemuzik orkestra dari Dewan Filharmonik Petronas Kuala Lumpur. Namun, itulah kejayaan terbesar yang dicipta oleh penyanyi muda, Muhammad Aizat Amdan.

Beraksi di pentas yang sama dan pernah menghimpunkan nama-nama besar seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid serta Ramli Sarip, Aizat bertuah kerana dalam meniti karier seninya, dia diberikan peluang itu.

Untuk makluman, sebelum Aizat, Yuna ialah penyanyi muda yang diberikan penghormatan untuk beraksi di pentas seni berprestij tersebut.

Jika direnung semula, Aizat jauh lebih bersinar bintangnya jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang sama-sama menyertai program realiti televisyen, Akademi Fantasia.

Biarpun nama Aizat tidak dijulang sebagai juara dalam program realiti itu, namun rezekinya dalam bidang seni suara telah tercatat.

Maka sepanjang lima tahun dalam industri, Aizat telah menghasilkan dua album iaitu Percubaan Pertama pada (2008) dan Urusan Aizat Amdan (2010).

Berbalik kepada kisah Aizat di pentas Dewan Filharmonik Petronas, pada mulanya dia kelihatan agak gugup ketika memulakan persembahan.

Mungkin faktor kali pertama beraksi di pentas keramat itu menjadikan dirinya agak terkejut melihat kehadiran peminat yang memenuhi setiap ruang tempat duduk dalam dewan tersebut.

Berpakaian agak ringkas pada malam itu, beberapa kali Aizat seperti hilang arah ketika cuba berseloroh dengan hadirin yang hadir.

Daripada pengamatan penulis, lebih baik Aizat menyanyi daripada berkomunikasi kerana skil komunikasi Aizat perlu banyak diperbaiki.

Menampilkan 14 buah lagu termasuk sebuah lagu baru bertajuk Jerrypah, susunan muzik terbaik nyata memberi kelebihan kepada persembahan Aizat pada malam itu.

Selain itu, persembahan Aizat terselamat apabila dia pandai menyenaraikan pemilihan lagu-lagu yang sudah pun mempunyai kekuatannya tersendiri dan mesra telinga.

Hampir keseluruhan hadirin yang duduk dalam dewan itu terhibur dengan persembahan dan vokal Aizat yang mantap.

Gimik klise, di akhir persembahan, Aizat seolah-olah mahu meninggalkan pentas tetapi kembali semula dengan satu lagu, Hadapi Dengan Senyuman yang dipopularkan oleh kumpulan Dewa, sebagai finale persembahan.

Utusan

CAK: Artis Popular Di Halfest 2011

CHEF Zam yang dulunya montok tetapi sekarang dah ramping macam anak teruna, akan memeriahkan ekspo Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2011) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, selama lima hari mulai 12 Oktober ini.

CAK difahamkan, Chef Zam yang juga jurucakap Halfest 2011 akan tampil bersama 11 artis terkemuka tanah air termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Fara Fauzana, Datuk M Nasir, Aaron Aziz, Datuk Sheila Majid, Salih Yaacob, Francisca Peter, Ziana Zain, Vanidah Imran dan Awie.

Seorang lagi chef selebriti yang juga penyanyi, pelakon dan pengacara, Jaafar Onn akan hadir untuk memasak bersama Chef Zam pada sesi Chef Zam’s Wok-Shop dalam usaha menyokong industri halal negara.

Halfest 2011 ekspo khusus bagi industri halal tempatan menyediakan platform untuk membantu membangunkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) selain membantu kerajaan memupuk gaya hidup halal di kalangan rakyat Malaysia.

Semoga orang sehandal Chef Zam dan Jaafar Onn dapat membantu negara memperkenalkan makanan Malaysia di seluruh dunia.

Harian Metro

Halfest Tarik Minat Selebriti Pamer Produk

HALAL Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 yang bermula hari ini hingga 16 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) turut disertai beberapa selebriti tempatan bagi memperkenalkan produk masing-masing.

Ekspo halal terbesar anjuran Shapers Malaysia Sdn Bhd (Shapers Malaysia), Mara dan CIMB Islamic itu mengetengahkan pelbagai produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang turut membuka peluang kepada mereka untuk menjalin usaha sama dengan peniaga luar.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Mohd Shukri Abdullah berkata, antara selebriti yang hadir mempamerkan produk mereka ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Shiela majid, Salih Yaccob, Linda Onn dan Serina Chef Wan.

“Penampilan selebriti ternama dalam Halfest menunjukkan mereka juga tahu potensi produk halal ini mampu menarik minat pengguna di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ini menunjukkan peluang perniagaan halal bagi pemain PKS bagi mengembangkan perniagaan mereka melalui pameran ini,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur.

Harian Metro

Bakat Adalah Anugerah Tuhan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

TANYALAH kepada mana-mana penyanyi, nama komposer dan penerbit unggul ini pasti akan berada dalam senarai teratas mereka seandainya diberi peluang bekerjasama.

Malah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza juga pernah meluahkan hasrat untuk bekerja dengan insan hebat ini satu hari nanti.

Manakan tidak, trek rekod yang dicipta oleh David Wallace Foster atau lebih dikenali seantero dunia sebagai David Foster sememangnya cukup mengagumkan.

Hampir empat dekad berkecimpung dalam dunia seni, Foster telah menerbitkan dan memberikan sentuhan magisnya untuk hampir sebahagian besar nama-nama besar industri hiburan dunia.

Antaranya ialah Celine Dion, Madonna, Barbra Streisand, Michael Jackson, Toni Braxton, Beyonce Knowles, Earth, Wind & Fire, Mariah Carey, Shania Twain dan ramai lagi yang sudah pun menggunakan khidmatnya sebagai komposer, penerbit lagu dan album mereka.

Bukan itu sahaja, Foster juga merupakan insan yang bertanggungjawab memperkenalkan Josh Groban, Michael Buble dan Andrea Bocelli ke persada seni dunia sehingga kedua-dua penyanyi lelaki itu tersenarai dalam kelompok artis Gred A di Hollywood.

Ternyata, sumbangan Foster dalam melahirkan karya-karya indah dan menaikkan nama serta prestij seseorang artis cukup besar.

Bagi mereka yang dapat bekerjasama atau bakat seseorang itu dikesan oleh Foster, ia ibarat bom jangka yang akan meledak bila-bila masa sahaja apabila nama mereka pasti akan berada di puncak kegemilangan dalam sekelip mata.

Dalam hal ini, contoh terbaik adalah kejayaan penyanyi kelahiran Filipina, Charice di mana Foster telah menggunakan khidmat dan pengaruhnya untuk menjadikan Charice sebagai seorang bintang mega.

Seorang lagi ialah bakat cilik dari Amerika Syarikat, Jackie Evancho yang kini mula meraih perhatian daripada peminat muzik di seluruh dunia.

Namun, bagi Foster, dalam apa juga perkara, perkara pokok dalam kejayaan seseorang artis itu terletak kepada bakat.

Tanpa bakat, kata Foster, adalah sesuatu yang mustahil untuk seseorang itumenjadi seorang penyanyi, pelakon atau apa juga profesion yang bagus.

‘Saya melihat kejayaan saya selama ini sebenarnya banyak dibantu dengan kehebatan penyanyi yang memiliki bakat luar biasa dan semua itu datang dari Tuhan.

‘Celine Dion misalnya, sewaktu kali pertama saya berjumpa dengannya, saya tidak pernah menyangka dia mempunyai suara yang begitu indah. Malah, dia sendiri tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

‘Lihatlah dia sekarang apabila kini menjadi seorang bintang mega yang dikenali di seluruh dunia. Pernahkah kita menyangka Celine akan menakluk dunia dengan bakatnya?

‘Begitu juga dengan Michael Buble. Saya mengesan bakatnya di sebuah majlis perkahwinan kecil. Siapa sangka dia kini mampu memenuhkan sebuah arena dengan penonton yang mahu menonton persembahannya,’ kata Foster, 61, yang menyifatkan Andrea Bocelli sebagai penyanyi kegemarannya.

Menyambung bicara, anak kelahiran British Columbia, Kanada itu juga menegaskan, dalam mengesan bakat seseorang penyanyi, latar belakang, bangsa, warna kulit mahupun agama tidak seharusnya dijadikan halangan.

Sambil memberikan contoh Charice yang kini menjadi anak didiknya, Foster melihat bakat yang ada dalam penyanyi muda itu mampu membawanya jauh dan bertahan lama dalam industri.

Sehinggakan Foster begitu yakin bahawa satu hari nanti Charice akan membanggakan negaranya dengan memenangi anugerah Grammy.

‘Saya melihat negara-negara Asia memiliki bakat-bakat semulajadi yang dapat diketengahkan ke peringkat dunia. Tidak mustahil juga, satu hari nanti, mereka ini mampu mendominasi pasaran muzik dunia.

‘Seperti mana yang saya katakan tadi, bakat tidak seharusnya didiskriminasi. Kalau mereka ada bakat yang bagus, mengapa tidak untuk mereka diketengahkan dan dikongsikan dengan masyarakat seluruh dunia.

‘Saya menghasilkan muzik bukan untuk didengar oleh seorang dua sahaja. Tetapi ia adalah untuk seluruh dunia. Ia adalah sesuatu kejayaan yang bermakna untuk saya seandainya muzik saya diterima dengan baik oleh masyarakat dunia,’ ujarnya yang dilahirkan pada 1 November 1949.

Antara lagu-lagu yang telah mendapat sentuhan magis Foster termasuklah Un-Break My Heart oleh Toni Braxton, The Prayer (Celine Dion dan Andrea Bocelli), You’ll See (Madonna), Goodbye (Air Supply), Because You Loved Me (Celine Dion), I Swear (All-4-One), Through The Fire (Chaka Khan) dan I Have Nothing (Whitney Houston).

Sepanjang menjadi penerbit dan komposer ternama, Foster juga telah diiktiraf dengan pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk 16 trofi Grammy daripada 47 pencalonan.

Jumlah itu termasuk tiga kali dinobatkan sebagai Penerbit Album Terbaik selain pernah memenangi anugerah Golden Globe untuk Lagu Tema Asal Filem Terbaik bagi lagu The Prayer dari filem Quest For Camelot pada tahun 1999.

Bukan itu sahaja, Foster juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Academy untuk kategori Lagu Tema Asal Filem Terbaik bagi lagu-lagu seperti Glory of Love dari filem The Karate Kid Part II, I Have Nothing (The Bodyguard) dan The Prayer (Quest for Camelot).

Dalam usianya yang sudah melewati angka 60-an itu, Foster tetap mahu meneruskan perjuangannya dalam bidang muzik selagi nyawanya dikandung badan.

Selain sibuk dengan penerbitan album, Foster tidak melupakan tanggungjawab sosialnya sebagai seorang individu apabila telah menubuhkan yayasannya sendiri iaitu The David Foster Foundation sejak tahun 1986.

Jelas Foster, yayasan itu ditubuhkan bagi membantu keluarga kurang bernasib baik terutama kanak-kanak yang memerlukan bantuan untuk pemindahan organ di Kanada.

‘Bantuan yang diberikan bukan hanya dalam bentuk kewangan tetapi juga dari segi emosi dan jiwa yang dikendalikan oleh pakar psikiatri. Malah, kami juga menganjurkan program untuk meningkatkan kesedaran tentang pendermaan organ di kalangan masyarakat.

‘Saya bangga dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun untuk terus memastikan yayasan ini mencapai matlamatnya,’ ujarnya bersungguh.

Atas alasan itu jugalah, David lahir dengan idea konsert bersiri David Foster & Friends yang menggabungkan dirinya dengan beberapa orang artis yang juga teman-temannya untuk sama-sama membantu yayasannya itu.

Ternyata, selepas hampir dua tahun ia dilaksanakan, David Foster & Friends mendapat sambutan yang di luar jangkaan setiap kali Foster dan penyanyi yang terlibat menganjurkan persembahan.

Dalam hal ini, Foster tidak pernah menyangka ia mendapat sambutan daripada penyanyi-penyanyi ternama yang turut sama mahu membantu niat murninya itu.

‘Saya percaya jika kita bekerjasama dengan sesiapa dalam keadaan positif dan sihat, ia mampu mengekalkan dan memanjangkan hayat hubungan itu.

‘Kalau ditanya kepada saya bagaimana saya boleh mendapat sokongan daripada nama-nama besar dengan hanya satu panggilan telefon, saya percaya ia bergantung juga kepada keikhlasan dan niat itu sendiri.

‘Setakat ini, saya gembira dengan komitmen semua artis yang pernah terlibat dalam siri persembahan ini dan saya mengharapkan ia akan dapat dikekalkan sampai bila-bila,’ kata bapa kepada lima orang anak perempuan ini penuh berharap.

Utusan

Menggetarkan Jiwa

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Menggetarkan jiwa
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2011/10/05
AIZAT menghiburkan penonton dengan himpunan lagu popularnya.
AIZAT menghiburkan penonton dengan himpunan lagu popularnya.
Aizat tawan DFP dengan lagu popular, kekuatan vokal

BAKAT seninya mula dikesan di sebuah pentas yang agak kecil iaitu di Dewan Sivik di Petaling Jaya. Waktu itu penyanyi bernama Muhammad Aizat Amdan ini sedang mencari tapak dalam bidang seni dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia.
Dari tapak seorang bakat baru, Aizat melebarkan pengaruhnya apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu berjaya meletakkan dirinya di dalam kelompok penyanyi hebat tanah air. Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya menyebabkan peluang Aizat untuk beraksi di tempat yang lebih berprestij luas terbuka.
Konsert Satu Suara yang dijayakannya tahun lalu bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir memberi ruang untuk Aizat menonjolkan bakatnya di lokasi yang menjadi idaman ramai iaitu Panggung Sari, Istana Budaya.

Malam kelmarin, jejaka berusia 22 tahun ini mencatat sejarah peribadi dalam kalendar kerjaya seninya apabila berpeluang mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas pula, yang diketahui cukup eksklusif dan hanya mereka yang benar-benar bertuah berpeluang beraksi di lokasi itu.

Bukan calang-calang penyanyi yang mampu untuk berdiri di pentas itu, dan ternyata, bakat serta usaha yang tidak pernah mengenal erti jemu berjaya membawa langkah Aizat ke situ.

Membuka tirai persembahan sekitar jam 8.40 malam, anak kelima daripada enam beradik ini memilih lagu Susun Silangkata sebagai lagu pertama. Susunan muzik yang menarik dengan lirik yang penuh bermakna itu berjaya membangkitkan mood di kalangan penonton.

Sambil diiringi 12 pemuzik dan dua penyanyi latar, Aizat mencanai jiwa penonton dengan alunan melodi yang kebanyakannya adalah hasil ciptaan bersama abangnya, Anas. Lagu rancak seperti Fikirlah, Kau dan Aku, Years From Now serta Kau dan Aku dituang kepada penonton yang begitu mendambakan persembahan bertenaga daripadanya.

Tampil dengan imej ringkas iaitu berseluar jeans ketat dan kemeja rona merah, Aizat memperlahankan seketika momentum persembahannya dengan menyanyikan lagu Hanya kau Yang Mampu dengan diiringi petikan piano Belle Fatah. Tidak dinafikan vokal Aizat kala menyanyikan lagu ini cukup menggetarkan jiwa, sehinggakan dia mendapat tepukan gemuruh sebaik saja selesai menyanyikan lagu itu.

Sambutan menggalakkan yang diterimanya disambut anak muda ini dengan penuh teruja.

“Terima kasih kerana hadir pada malam ini. Saya begitu teruja kerana sudah lama saya mahu mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas. Baru sekarang impian itu tercapai,” ujarnya.

Aizat bijak membaca selera penonton. Barangkali, pengalaman mengadakan persembahan dan juga konsert bergerak sebelum ini membuatkan dia tahu apa yang dimahukan penggemarnya.

Seperkara yang menjadikan Aizat penyanyi yang istimewa ialah vokalnya yang ampuh serta penghayatannya dalam mengalunkan bait lirik cukup puitis. Itulah kelebihannya apabila seorang penyanyi mendendangkan sendiri lagu ciptaannya.

Mesejnya sampai, umpama anak panah yang menembusi tepat ke dasar hati. Sayu rasanya apabila dia menyanyikan lagu Pergi dan Lagu Kita yang diakui kuat dari segi melodi dan seni katanya.

Pada malam itu, penonton yang hadir cukup bertuah kerana bukan saja disajikan dengan lagu popularnya, tetapi mereka juga berpeluang mendengar lagu terbaru bertajuk Jerrypah.

“Buat masa ini judulnya ialah Jerrypah. Lagu ini mengisahkan si lelaki yang sanggup membuang egonya demi seorang wanita. Insya-Allah, ia akan dimuatkan dalam album saya akan datang,” ulasnya mengenai lagu rancak yang mempunyai pengaruh muzik kumpulan The Beatles, yang amat dikaguminya itu.

Sebagai tribute kepada kumpulan Alleycats, dia juga menyanyikan kembali lagu Senyumlah Kuala Lumpur dengan versi baru. Untuk menutup persembahan, Aizat memilih lagu kumpulan Dewa, Hadapi Dengan Senyuman sebelum meninggalkan pentas.

Secara keseluruhan, persembahan yang memakan masa hampir 80 minit itu berjaya meletakkan Aizat ke satu lagi aras yang lebih tinggi daripada kedudukannya sekarang.

Cuma apa yang perlu diperbaiki selepas ini ialah kemahiran komunikasinya dengan penonton. Sepanjang persembahan, ada ketika Aizat seperti tenggelam punca. Sepatutnya dalam persembahan sebegitu, sedikit sebanyak Aizat perlu bersedia, apakah bahan yang perlu disampaikan kepada penonton supaya ia tidak sampai mengganggu tumpuannya.

Untuk menjadi penghibur yang baik, bukan saja pandai menyanyi dan mencipta lagu tetapi juga mempunyai kemahiran berinteraksi dengan penonton. Apapun tahniah buat Aizat kerana berjaya menawan pentas berprestij itu selepas Yuna.

Berita Harian

50,000 Kunjungi Halfest 2011

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Seramai 50,000 orang pengunjung telah melawat Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 yang diadakan dari 12 Oktober hingga 16 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pegawai Perhubungan Awam Shapers Malaysia Sdn. Bhd., Liyana Abdul Rahman berkata, bilangan pengunjung begitu membanggakan walaupun ia merupakan acara julung kali diadakan.

Menurutnya, Halfest agak berbeza dengan ekspo-ekspo lain kerana ia menampilkan pameran produk yang diiktiraf halal dalam kehidupan sambil menonjolkan produk-produk buatan syarikat industri kecil dan sederhana tempatan.

“Sebanyak 600 ruang pameran melibatkan 500 syarikat tempatan menyertainya.

“Di samping pameran, turut diadakan program demonstrasi masakan bersama Chef Zam dan Master Chef Noordin Ahmad serta penampilan istimewa ikon industri muzik, Datuk Siti Nurhaliza yang hadir sebagai usahawan produk SimplySiti.

Pada hari ini, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut hadir melawat pameran dan menyaksikan pertunjukan fesyen muslimah yang diadakan sempena hari terakhir Halfest tersebut.

Utusan

Album Inggeris Siti Di Pasaran Dunia

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ


GAYA Siti Nurhaliza sewaktu muncul dengan imej terbarunya yang bertopi dan kelihatan lebih elegan.

DATUK Siti Nurhaliza menjadi penyanyi sepenuh masa sejak dia berusia 17 tahun. Sepanjang 15 tahun dia telah menghasilkan lebih daripada 10 album termasuklah album kompilasi.

Sebelum ini, semua album yang dihasilkan penyanyi berusia 32 tahun itu hanya berbahasa Melayu dan cuma diedarkan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei sahaja.

Bagaimanapun, Siti mula mengorak langkah lebih luas apabila tampil dengan album Inggeris pertamanya berjudul All Your Love pada 24 September lalu untuk pasaran di seluruh dunia.

Menurut penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini, album terbitan What’s Up Entertainment Sdn. Bhd., itu bukan setakat dijual secara pasaran terbuka.

Sebaliknya, ia juga dijual secara talian dan muat turun di Internet yang kini menjadi trend dalam mana-mana juga industri muzik di seluruh dunia termasuklah di negara ini.

“Album ke-14 Siti itu juga boleh dibeli dengan cara muat turun lagu-lagu daripada album tersebut di Internet selain bentuk album secara fizikal iaitu CD (cakera padat). Ini sesuatu yang baru bagi Siti.

“Siti berharap cara ini akan memperluaskan lagi jualan album itu. Kini album itu boleh dipasarkan di seluruh dunia. Semua orang walau berada di mana pun boleh mendengar album itu,” katanya.

Penyanyi nombor satu tanah air ini menjelaskan, biarpun pertama kali menghasilkan album Inggeris tetapi dia berpuas hati dengan sambutan awal yang telah diberikan oleh para peminat setianya.

Contohnya kata Siti, tidak sampai empat hari All Your Love berada di pasaran, album itu telah berjaya dijual sebanyak 3,000 unit di mana ia kini diulang cetak buat kali kedua.

“Siti juga berasa terkejut apabila album Inggeris itu bukan sahaja dibeli oleh peminat Melayu tetapi ramai juga peminat kaum Cina dan India yang membeli serta memberi maklum balas yang baik.

“Ini menunjukkan lagu-lagu Siti mampu pergi lebih jauh melangkaui batas agama dan bangsa. Cuma baru sekarang Siti dapat peluang itu selepas sekian lama menjadi penyanyi,” ujarnya.

Jelas Siti, dia berterima kasih kepada anak tirinya, Adib Khalid melalui What’s Up Entertainment yang mempunyai inisiatif tinggi sehinggalah mereka berjaya menerbitkan album Inggeris tersebut.

Adib yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah di syarikat rakaman itu, kata Siti berasakan sudah sampai masanya dia menghasilkan album dalam bahasa Inggeris.

“Sebelum ini, Siti tidak dapat peluang merakamkan album Inggeris kerana kurang persediaan daripada banyak segi. Sekarang ini Siti lebih yakin untuk menyanyikan lagu-lagu Inggeris.

“Adib amat meminati bidang muzik hingga dia menubuhkan syarikat rakamannya sendiri. Mulanya tidak percaya tetapi lama kelamaan kesungguhannya itu terserlah,” jelasnya.

Album All Your Love mengandungi 10 lagu termasuk sebuah lagu duet dengan penyanyi popular kelahiran Amerika Syarikat, Sean Kingston bertajuk Remember Me.

Utusan

Penyanyi Saida Sah Bercerai Talak Satu Dengan Ghazali


SITI NURSAIDA

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Keretakan rumah tangga penyanyi, Siti Nursaida Tarudin menemui titik noktah hari ini setelah artis itu sah bercerai dengan suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Zikri dengan lafaz talak satu secara khuluk (tebus talak) berjumlah RM1,000.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd. Suhaily Rosdi merekodkan penceraian tersebut selepas beliau mendapati badan hakam (penimbangtara) yang dilantik oleh mahkamah gagal mendamaikan pasangan tersebut.

Badan hakam itu diwujudkan untuk kali ketiga setelah dua jawatankuasa yang dilantik oleh penyanyi yang lebih dikenali sebagai Saida dan Ghazali sebelum ini turut gagal mencari jalan penyelesaian krisis rumah tangga pasangan tersebut.

Terdahulu, Mohd. Suhaily menasihatkan Ghazali untuk menceraikan Saida selepas bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu memohon bercerai secara khuluk dengan menawarkan wang tunai RM1,000.

Bagaimanapun, bekas jurutera kaji bumi tersebut enggan menuruti tawaran kakak kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu dengan mengatakan beliau adalah suami dayus jika berbuat demikian.

”Berdasarkan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, mahkamah memutuskan bahawa wakil badan hakam berkuasa penuh mewakili kedua-dua pihak untuk mengendalikan proses penceraian.

”Oleh demikian, saya mengarahkan kedua-dua anggota badan itu bagi mewakili setiap pihak untuk menjalankan proses penceraian dengan serta-merta,” jelas hakim syarie berkenaan.

Sebelum itu, Mohd. Suhaily meminta supaya Saida bersalaman dengan suaminya untuk kali terakhir kerana menurut beliau, selepas lafaz cerai berlaku, mereka bukan lagi pasangan suami isteri melainkan dengan akad nikah yang baru.

Ghazali, 40, yang kini merupakan seorang ahli perniagaan dilihat sempat memberitahu Saida: ”Sampai hati awak buat macam ini kepada saya.”

Anggota badan hakam bagi pihak Ghazali kemudian melafazkan cerai talak satu terhadap Saida, manakala wakil wanita tersebut selepas itu dilihat menyerahkan wang tunai RM1,000 kepada Ghazali.

Bapa kepada empat anak tersebut yang diwakili peguam syarie Amli Embong turut enggan menerima wang itu dan menyerahkannya kepada mahkamah.

Saida dan Ghazali bernikah pada 14 Disember 1996 di Kuala Lipis dan dikurniakan empat anak iaitu Siti Nurunnyssa, 13; Anas, 11; Khalid, 7; dan Siti Nurul Mashitah, 4.

Saida yang diwakili peguam syarie Ahmad Nazib Johari enggan memberikan sebarang komen kepada para pemberita sejurus selepas prosiding selesai.

Utusan

Penghujung Syawal Disambut Meriah


Barisan artis yang sentiasa memberi sokongan.

SABAN tahun, kalau berbicara mengenai sambutan hari raya, bagi mereka yang mampu, seakan tidak lengkap kalau tidak mengadakan rumah terbuka.

Namun, semakin Syawal tiba di penghujungnya, semakin banyak pula jemputan ke rumah terbuka diterima.

Makin meriahlah orang kata!

Kemeriahan melayari hari-hari di penghujung Syawal turut tidak dilepaskan warga Kumpulan Utusan.

Ia dapat disaksikan menerusi penganjuran Majlis Jamuan Aidilfitri Kurnia Utusan yang diadakan di perkarangan ibu pejabat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Majlis yang dimulakan pada pukul 2 petang itu bagaikan tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu jemputan selain turut sama diraikan oleh seluruh warga kerja yang selama ini berdiri teguh menyokong keutuhan organisasi akhbar yang sudah pun berusia 72 tahun itu.

Pendek kata, berduyun-duyunlah tetamu yang datang.

Tabik juga kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudi hadir memeriahkan suasana rumah terbuka ini.

Kedatangan Datuk Ismail telah disambut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak selaku tuan rumah.

Majlis juga diserikan dengan kunjungan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang hadir bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa.

Selain tetamu terhormat, rakan-rakan media, pegawai-pegawai perhubungan, majlis juga turut mendapat kunjungan artis-artis popular tempatan,

Antaranya Jamal Abdillah, Maya Matahari, Haiza, Shila Hamzah, Azza Elite, Iqa Mentor, kumpulan Forteen, Comell Fana, Enot, Fazli Zainal, Marsha, Neelofa dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, selebriti terkenal Datuk Chef Wan, Dang Suria serta komposer Julfekar.

Suasana juga dikecohkan dengan celoteh pengacara dan pelawak Roslan Shah dan Didie Alias yang pada awalnya dijemput sebagai tetamu.

Agaknya memang susah mereka nak lepaskan peluang bila setiap kali terpandang mikrofon di depan mata.

Tapi tak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka berjaya mencipta suasana hari raya yang cukup hangat menerusi jenaka mereka yang tentunya membuatkan semua tetamu tak kering gusi.

Dalam pada itu, Kumpulan Utusan juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kurnia Insurans (Malaysia) Bhd atas tajaan juadah raya yang enak-enak belaka. Juga kepada Boh Plantations.

Diharapkan, penganjuran rumah terbuka sebagai penutup tirai Syawal kali ini mampu meningkatkan semangat dan penyatuan semua masyarakat dari pelbagai kaum dalam suasana yang harmoni.

Utusan