Rupa Bukan Syarat Utama




AZMARUL antara peserta Vokal berbadan gempal yang ditampilkan menerusi pertandingan anjuran TV3.

STESEN televisyen terutamanya swasta melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian para penonton menyaksikan saluran mereka. Antaranya dengan menganjurkan pertandingan-pertandingan nyanyian atau realiti yang menampilkan pelbagai konsep rancangan hiburan.

Salah satu daya tarikan setiap peserta yang ditampilkan dalam pertandingan mencungkil bakat-bakat penyanyi atau pelakon baru itu mestilah berwajah cantik. Itu adalah antara kriteria paling penting walaupun syarat itu tidak dinyatakan secara khusus pada sesi-sesi uji bakat yang diadakan.

Sebab itu, selama ini ramai peserta yang dirasakan wajah mereka tidak komersial, apatah lagi berbadan gemuk tidak berpeluang menyertai mana-mana pertandingan mencari bakat baru.

Golongan itu sejak dari dulu sentiasa disisihkan. Biarpun vokal mereka hebat jangan harap akan terpilih dalam mana-mana pertandingan nyanyian. Itu adalah hakikat dalam dunia hiburan di negara ini yang sukar diubah.

Jika daripada 1,000 peserta yang datang sesi ujibakat, untuk seorang peserta gemuk atau berwajah hodoh tetapi amat berbakat terpilih pun payah. Bagaimanapun, menampilkan para peserta yang berwajah cantik tetapi vokal yang tidak seberapa adalah perkara biasa di mana-mana juga.

Justeru, tidak hairanlah TV3 mengejutkan industri hiburan tempatan apabila menganjurkan pertandingan nyanyian yang diberi nama Vokal. Difahamkan pertandingan ini tidak memandang paras rupa atau bentuk badan para pesertanya yang bertanding.

Tambah menarik apabila tagline pertandingan itu berbunyi Bukan Sekadar Rupa. Rata-rata peserta yang menyertai Vokal dikatakan kurang glamor. Kebanyakan mereka adalah peserta yang gagal dalam banyak sesi uji bakat pertandingan nyanyian kerana sifat peribadi mereka.

Para peserta Vokal musim pertama yang kini sedang bertanding dalam rancangan itu memang mempunyai mutu vokal yang sangat mantap. Ternyata suara yang dimiliki tidak sepadan dengan rupa paras mereka.

Ekoran itu, di awal rancangan pada minggu pertama Vokal, setiap peserta yang muncul diminta menyanyi di belakang tabir sambil suara mereka diadili oleh para juri dan pengkritik. Datuk Siti Nurhaliza yang pernah menjadi juri jemputan dalam Vokal juga kagum dengan bakat ramai peserta terbabit.

Hampir lingkup

Namun, persoalannya mengapa baru sekarang? Di laman sosial seperti Twitter dan Facebook ramai peminat bidang nyanyian memperkatakan perkara itu. Salah seorang daripada mereka menulis dengan penuh sinis berbunyi ‘selepas industri muzik di Malaysia hampir lingkup barulah ada idea yang macam ini.’

Mungkin ada benarnya kata-kata seperti itu. Ketika ini, industri muzik tempatan jatuh dengan teruk daripada segi jualan album secara fizikal iaitu dalam bentuk cakera padat. Itu adalah hakikat yang berlaku ke atas penyanyi dan syarikat rakaman di negara ini.

Sedangkan penyanyi nombor satu negara seperti Siti Nurhaliza pun misalnya, cuma sekadar mencetak album Inggerisnya yang pertama All Your Love sekitar 5,000 unit sahaja. Kalau dulu cetakan pertama setiap album barunya berkali-kali ganda daripada jumlah tersebut.

Semua itu ada kaitannya dengan persepsi dan kepercayaan para peminat seni suara dan muzik di negara ini terhadap mutu suara, keaslian muzik dan kredibiliti penyanyi-penyanyi yang kebanyakannya dilahirkan daripada program-program realiti televisyen sejak sembilan tahun kebelakangan ini.

Senario itu berbeza dengan era tahun 1970-an dan 1980-an di mana kebanyakan pertandingan nyanyian atau syarikat rakaman lebih mengutamakan bakat suara para peserta atau penyanyi yang hendak merakamkan album berbanding rupa paras semata-mata.

Jika tidak jangankan berbadan gempal, malah penyanyi buta seperti S. Jibeng juga tentunya tidak berpeluang merakamkan album pada tahun 1960-an jika bukan kerana bakat dan suara yang dimilikinya itu.

Selepas ini mungkin banyak lagi stesen televisyen atau penganjur pertandingan nyanyian dan lakonan yang mengikut jejak langkah ini. Pertandingan mencungkil bakat pelakon baru seperti Pilih Kasih yang diterbitkan oleh Rosyam Nor juga sepatutnya tidak terkecuali dalam hal itu.

Sudah sampailah masanya bidang hiburan di negara ini meningkatkan tahap kualitinya dengan tidak bersandarkan rupa paras semata-mata. Idea dan pengajaran yang dicetuskan oleh pertandingan Vokal itu seharusnya diaplikasikan dalam semua bidang seni.

Jika tidak bidang lakonan dan nyanyian tempatan hanya akan terus melahirkan bakat-bakat pelapis yang glamor semata-mata. Sedangkan golongan ini mungkin cuma mampu bertahan sekejap kerana tidak berteraskan bakat seni sebenar yang sepadan dengan rupa dan populariti mereka.

Utusan

‘Jadi Malas Kalau Selesa’

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
‘Jadi malas kalau selesa’
Oleh Nor Hatina Shuib
hatina@bharian.com.my
2011/11/16
Ally Iskandar
Ally Iskandar
Ally Iskandar cabar pengacara muda sentiasa asah taring

BAGI penonton dan persepsi orang luar, melihat Ally Iskandar muncul dalam pelbagai program daripada bual bicara hingga hiburan dianggap sebagai penampilan yang agak berlebihan.
Memang tidak dinafikan Ally adalah antara personaliti TV popular sehingga namanya tidak pernah lekang dalam senarai Top 5 kategori Pengacara TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang dipilih oleh pembaca Berita Harian yang juga mungkin peminat jejaka ini.
Menggunakan e-mel sebagai pengantara untuk menemubual pengacara dan personaliti TV3 ini, bagaikan berada di hadapannya.

Setiap soalan yang kadang-kadang berbau kritikan diterima secara terbuka. Malahan Ally memberikan kerjasama cukup baik apabila menjawab semua soalan yang dikemukakannya tanpa ada elemen bersifat defensive atau meletakkan dirinya saja betul.

Penuh peribahasa dan kata-kata pembayang, jejaka berusia 35 tahun itu membalas setiap pertanyaan dengan gaya tersendiri, selain diselang-selikan dengan unsur jenaka menyerlahkan sifat kelakarnya yang tidak terhad hanya ketika mengacara majlis rasmi.

Sepanjang kerjayanya di stesen TV, Ally pernah mengendalikan MHI, Anugerah Juara Lagu, Konsert Jom Heboh, program sensasi tiga episod Tiada Rahsia Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa, Singgah Sahur, ResQ, dan peringkat akhir Pesona Nona.

“Saya umpama seorang guru yang dituntut mengajar, seorang doktor yang merawat (pesakit) dan seorang pegawai polis yang menjaga keselamatan yang mana tugas pengacara pula adalah tuntutan syarikat untuk digalas sebaik mungkin.

“Saya bekerja sepenuh masa di Media Prima. Selain menggalas tugas Penerbit Eksekutif di Primeworks Studios, pengacaraan TV menjadi salah satu tugas hakiki saya. Walau apa program yang dipertanggungjawabkan, saya dituntut untuk melaksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata pemegang ijazah Sarjana muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem dari University of the Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat.

Menurutnya, pengurusan masa sangat penting dalam mengendalikan tugas yang pelbagai, apatah lagi apabila tanggungjawab itu juga membabitkan kerja di sebalik tabir seperti produksi dan penyuntingan.

“Bebanan tanggungjawab bukan persoalan. Itu pegangan saya tatkala memutuskan untuk menceburi dunia penyiaran. Tiada istilah kerja senang dalam bidang media. Saya akui mengendalikan tugas pengacaraan yang berbeza-beza sangat mencabar.

“Saya terima cabaran itu kerana saya jenis tidak boleh duduk selesa. Bila selesa akan jadi malas. Bila malas akan hilang ‘competitive edge’. Itu bukan sikap yang sihat sebagai orang media,” tegasnya lagi.

Ditanya adakah dia sedar dirinya menjadi pilihan utama untuk menjadi pengacara dalam acara atau majlis berprestij stesen televisyen yang dinaunginya itu, Ally berkata, memang setiap kali menerima amanah itu, ia dianggap sebagai ujian yang kemampuan dirinya.

“Saya lebih melihat tanggungjawab ini sebagai cabaran daripada pihak pengurusan ke atas saya, untuk menguji kemampuan saya mengendalikan program besar. Kekananan (seniority)i dan bakat itu persepsi orang.

“Saya tidak pandai membuat penilaian terhadap bakat diri sendiri. Tapi saya memerlukan kepercayaan sesama tenaga produksi. Dengan sikap saling percaya akan kemampuan masing-masing, gunung pun boleh diangkat,” katanya.

Menurutnya, menjayakan program TV adalah usaha bersama dan dia pasti semua orang mahu bekerja dengan orang yang boleh dipercayai.

Ally menjelaskan, tugas sebagai pengacara terdiri daripada dua aspek iaitu ‘pengikat’ kandungan dalam memastikan perjalanan program lancar dan ejen pencetus, pemangkin dan pengekal keghairahan penonton mengikuti program dari awal hingga ke penghujung.

“Jelak dan jemu adalah hak khalayak. Sebelum memulakan tugas, rutin saya ialah mengingatkan diri akan dua perkara juga iaitu “program ini bukan pasal saya’ dan “program ini adalah untuk penonton’,” katanya penuh makna.

Dia juga mempunyai pandangan tersendiri dalam menerima kenyataan jika kerap kali muncul dengan gaya pengacaraan yang sama.

“Gaya pengacaraan seseorang hos ialah trademark atau ‘cap dagang’nya. Sama seperti suara seorang penyanyi. Saya percaya mustahil semua orang suka cara saya tetapi saya juga percaya semua orang akan suka program yang dikendalikan dengan baik,” jelasnya.

Ditanya soalan agak berbisa berkenaan akan hilang taring dalam menarik minat orang ramai menonton dirinya jika terlalu kerap pengacara, Ally memperlihatkan cukup bijak dan matang dalam berkata-kata.

“Pengacaraan adalah tugas hakiki saya. Kekerapan peluang mengacara adalah hak pihak pengurusan. Saya sekadar menggalas amanah. Kalau saya mengelak, bererti saya lari dari tanggungjawab.

“Hilang taring itu lumrah hidup. Jika pun benar saya ‘bertaring’, saya tahu ia takkan kekal. Justeru, selagi ada rezeki, saya berdoa agar terus dapat melaksanakan tugas sebaik-baiknya. Pada masa sama, saya anjurkan kepada ‘harimau-harimau muda’ lain untuk mula mengasah taring masing-masing dan belajar memburu peluang. Kasihan saya nanti jika masih terpaksa membaham dengan gusi disebabkan taring kalian masih tumpul.

“Kijang tak akan datang menyembah sang harimau untuk dijadikan habuan,” kata Ally yang mencabar pengacara baru dengan kata-kata bidalan dan perumpamaan.

Cara berbeza, matlamat sama

WALAUPUN sudah berpengalaman mengendalikan pelbagai program, tetapi Ally tidak malu untuk mengakui betapa perasaan berdebar dan rasa gentar tetap ada dalam dirinya.

“Sehingga sekarang saya masa berdebar di hadapan khalayak atau kamera. Tapi rasa gentar dan gemuruh itu perlu ada. Perasaan sedemikian membuatkan seorang pengacara menjadi peka kepada persekitarannya,” jelasnya.

Bersoal jawab dengan Ally yang dilihatk gemar mengaitkan gaya penyampaiannya dengan setiap perempuan cantik dan mungkin tempoh gelak tawa penonton akan berakhir jika kerap kali digunakan, dia teguh dengan pendiriannya.

“Saya orang media. Apa saja yang mempunyai daya penarik pasti menjadi penambat perhatian khalayak. Saya mengusik Neelofa di Anugerah Skrin sama seperti wartawan menulis gosipnya dengan Hans Isaac di surat khabar.

“Pendekatan kita berbeza, tapi matlamat kita sama dan saya percaya selebriti pun tahu akan perkara ini kerana kita semua saling memerlukan. Apa yang penting adalah ia digayakan dengan berhemah.” katanya.

Katanya lagi, ketika disoal adakah cukup bersedia menerima kritikan peminat yang mungkin sudah biasa dan dapat mengagak caranya yang mengaitkan artis wanita cantik sebagai bahan usikan ketika mengacara.

“Kerja sebegini saya kena terima yang baik dan yang buruk daripada penonton. Kalau dikaitkan dengan wanita cantik, saya tiada masalah. Yang cantik wanita itu, bukan saya.

“Sebenarnya, ketika di Anugerah Skrin 2011 sebagai contoh, banyak juga nama lain yang saya jadikan bahan usikan (David Teo, Aaron Aziz, Anuar Zain). Tapi subjek wanita cantik juga yang lebih mengesankan khalayak termasuk wartawan. Sebab itu anda tak bertanya soalan berkenaan ‘teori’ saya tentang faktor Aaron Aziz menjadi kegilaan wanita. Anda tak perasan barangkali,” katanya.

Katanya lagi, pengacara yang melakukan tugas secara berpasangan perlu berupaya untuk saling menghormati, mengiktiraf dan meraih keupayaan masing-masing dan jarang kedapatan pasangan pengacara sama hebat.

“Tahap keserasian adalah persepsi dan ‘pre-conception’ penonton. Bagi saya, sehebat atau selemah mana pasangan pengacara, tanggung jawab saya ialah untuk memastikan dia selesa bergandingan bersama saya agar kami dapat lakukan tugas dengan berkesan,” katanya.

Berita Harian

10 Ciri Menarik Wanita Malaysia

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB


Selebriti tempatan iaitu penyampai radio, Nana, Fara Fauzana dan penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza bersama Christine Fellowes pada majlis pelancaran High Heeled Warriors, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KAJIAN yang dilakukan oleh Universal Networks International bersama rakan penyelidik Synovate terhadap wanita Malaysia mendapati terdapat 10 ciri menarik yang dimiliki oleh mereka.

Kajian unik psikografik yang dinamakan High Heeled Warriors mengenai wanita di Asia Tenggara ini mendapati, wanita Malaysia berpendidikan tinggi, bercita-cita besar, ingin berjaya , berkerjaya dan berdikari daripada segi kewangan.

Selain itu mereka juga berani melakukan apa sahaja bagi mencapai cita-cita, ingin dilihat sebagai wanita berkebolehan, inginkan perlindungan dan keselesaan, bertanggungjawab terhadap keluarga serta masyarakat dan masih berpegang kepada tradisi namun dalam masa yang sama adalah pembuat keputusan yang aktif.

Wanita Malaysia didapati sanggup melabur dalam pendidikan kerana menganggap kejayaan akademik bermakna kejayaan dalam karier dan dihormati oleh semua orang.

Golongan ini juga optimistik dan pada masa yang sama bercita-cita tinggi, ingin kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah.

Pengarah Urusan Asia Pacific of Universal Network International, Christine Fellowes berkata, wanita High Heeled Warrior Malaysia berusaha untuk berjaya dalam semua aspek kehidupan, iaitu berjaya dalam karier dan mempunyai kestabilan kewangan.

”Dia juga berusaha untuk berjaya dalam kehidupan berkeluarga seperti mencari suami yang sesuai, mendidik anak dengan baik dan memberikan mereka pendidikan yang baik.

”Wanita ini akan memperoleh kepuasan dengan menjadi wanita berkerjaya moden yang berjaya juga sebagai ibu dan ingin menyumbang kepada keluarga.

”Mereka bekerja keras untuk berdikari daripada segi kewangan dan merancang masa depan. Mereka tidak mahu terlalu bergantung kepada suami kerana yakin mereka mampu,” ujarnya.

Tambah Fellowes, wanita itu ingin dilihat sebagai wanita berkerjaya yang berjaya dan pada masa tertentu ingin menonjolkan gaya peribadi dengan memiliki jenama digemari. Kemewahan baginya adalah prestij, status dan eksklusif.

Beliau menjelaskan, selain Malaysia, tiga buah negara lain yang turut terlibat dalam kajian ini ialah Filipina, Singapura dan Indonesia.

Tiga perkara yang diberikan perhatian dalam kajian berkenaan ialah mengenai tabiat gaya hidup, motivasi psikografik dan identiti peribadi wanita urban kontemporari.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati lapan kunci motivasi yang mempengaruhi keputusan yang diambil oleh wanita-wanita ini ialah riang, dimiliki, jaminan keselamatan, kawalan, pengiktirafan, kuasa, ketahanan dan kegembiraan.

Wanita Asia ujarnya, didapati memiliki semuanya, iaitu berpendidikan, berdikari dan berjaya, mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap diri mereka dan karier namun dalam masa sama masih berpegang pada ciri-ciri keluarga tradisional.

”Di Malaysia sahaja, sebanyak 47 peratus wanita negara ini bekerjaya. Manakala di Filipina dan Singapura masing-masing sebanyak 51 peratus dan Indonesia 53 peratus,” katanya pada majlis pelancaran High Heeled Warriors, kajian psikografik unik mengenai wanita Asia Tenggara di The Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, terdapat satu bilion wanita High Heeled Warriors di seluruh dunia dengan memperoleh pendapatan AS$12 trilion (RM37.2 trilion) .

Mereka turut membuat atau mempengaruhi keputusan terhadap sesuatu pembelian. Selain itu mereka juga mengawal perbelanjaan untuk seluruh dunia berjumlah AS$ 20 trilion (RM 62 trilion).

Universal Networks yang mempunyai beberapa saluran hiburan termasuk DIVA Universal, Universal Channel, E! Entertainment dan Style, melabur dalam kajian psikografik terhadap penonton-penonton wanita bagi mengukuhkan saluran tersebut sebagai media unik kepada para pengiklan dan pemasaran.

Fellowes berkata, dengan pelbagai rancangan khusus untuk wanita di Universal Network, pihaknya komited untuk lebih mendalami pasaran rancangan untuk wanita. High Heeled Warriors akan memberi lebih kefahaman mengenai penonton-penonton wanita kepada para pengiklan dan pemasaran.

Turut membuat penampilan istimewa pada majlis tersebut ialah model dan tokoh fesyen, Kimora Lee Simmons.

Utusan

Enam Peserta Tersingkir

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI


Kumpulan Rap (kiri) dan Caer antara peserta yang disingkir sejurus rancangan bermula.

PERTANDINGAN lawak jenaka terbesar rantau ini iaitu Maharaja Lawak Mega (MLM) minggu ketiga mencipta kejutannya yang tersendiri apabila enam peserta disingkirkan dan bukan lima seperti yang diberitahu lebih awal lagi.

Penyingkiran enam peserta serentak ini adalah satu jumlah yang besar kerana tiada lagi rancangan realiti yang melakukan penyingkiran sebegitu ramai.

Seperti yang telah diumumkan pada minggu kedua MLM lalu, lima peserta yang mendapat undian terendah menjadi mangsa apabila pada awal rancangan lagi mereka sudah diumumkan terkeluar.

Sudah adat pertandingan realiti pasti ada yang terkeluar, tetapi yang menjadikannya lebih perit kerana segala persiapan untuk persembahan minggu ketiga sudah mereka lakukan tetapi tidak dapat dipertontonkan kepada peminat.

Lima peserta yang diumumkan terkeluar awal adalah Caer yang berasal dari Indonesia, Gebu (Singapura) manakala Comel, Lanun dan Rap dari Malaysia.

Peserta keenam yang turut berkongsi nasib yang sama juga dari Malaysia ialah Anje yang dianggotai oleh Achong Sweet Child dan Joey Daud.

Tetapi pastilah penyingkiran yang dirasakan oleh kumpulan Anje tidak seperit lima peserta lain kerana sekurang-kurangnya mereka dapat mempersembahkan sketsa yang telah mereka rancangkan kepada peminat sebelum disingkirkan.

Joey yang ditemui pada sidang akhbar sejurus tamatnya program tersebut berkata, selepas mendengar komen-komen daripada juri, beliau sudah merasakan bahawa mereka bakal disingkirkan.

“Semasa mendengar kritikan juri kepada kami, kami sudah merasakan mungkin ini minggu terakhir kami dalam rancangan ini.

“Ini adalah adat pertandingan dan kami tidak menyalahkan sesiapa, kami gembira kerana berpeluang berkongsi pentas bersama ramai lagenda pelawak tempatan,” katanya.

Anje pada malam tersebut membuat sketsa berkaitan toyol berkata keputusan untuk menyertai rancangan ini adalah untuk menguji kemampuan dalam bidang yang berbeza kerana mereka berdua bukanlah pelawak, sebaliknya penyanyi dan pelakon.

Seorang lagi ahli kumpulan Anje, Achong berkata sebelum memilih sketsa mengenai toyol, mereka mempunyai beberapa idea yang berbeza tetapi semuanya kurang berhasil.

“Kami puas berfikir apakah tema yang sesuai untuk kami bawakan tetapi sudah nasib, kami terkeluar pada minggu ketiga MLM dengan tema toyol,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kerjasama mereka berdua, kumpulan Anje berkata ini adalah pertama kali mereka berpeluang bersama kerana sebelum ini, sukar bagi mereka menyusun jadual kerana masing-masing mempunyai perjalanan karier tersendiri.

“Walaupun tersingkir awal, kami tidak merasakan bahawa ini adalah penamat kepada kerjasama kami kerana saya dan Achong sememangnya rapat,” ujar Joey ringkas.

Selepas tiga minggu bersiaran, kini hanya tinggal 11 peserta untuk merebut gelaran juara dengan hadiah wang tunai sebanyak RM350,000 dalam pertandingan yang melibatkan peserta dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Setiap peserta diadili oleh tiga orang juri tetap dan seorang juri undangan. Juri tetap ialah Datuk Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan manakala Art Fazil dari Singapura sebagai juri undangan.

Rancangan ini dapat disaksikan secara langsung setiap Jumaat, pukul 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132, Astro).

Utusan

Semuanya Rahsia?

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Semuanya rahsia?
Oleh Nor Hatina Shuib

2011/11/11
pix_gal0
MULA-mula mereka menyebut beberapa nama terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah untuk diundang khas dalam album mereka nanti. Apabila ditanya siapa sebenarnya yang hendak diundang, mereka menjawab, rahsia!.

Selepas itu, bercerita pula pasal album terbaru. Sekali lagi mereka mahu berahsia apabila ditanya mengenai tajuk lagu dan nama komposer yang menyumbangkan lagu untuk mereka.
Inilah gelagat anggota kumpulan Hujan yang diketuai Noh Ahmad tatkala bercakap mengenai kemunculan album single terbaru Hujan – Kotak Hati. Bersungguh-sungguh memperkatakan itu dan ini, tetapi apabila diminta menjelaskan sesuatu dengan lebih lanjut, dijawab dengan rahsia.
Memerhatikan gelagat pemuzik muda yang sentiasa membawa idea baru ini pada Sidang Media Hujan – Kotak Hati di pejabat syarikat rakaman Warner Music, di Petaling Jaya, baru-baru ini, agak sedikit menghampakan apabila suasana temu bual bermain dengan tanda tanya dan teka-teki mengenai perancangan masa depan terbaru mereka.

Mereka seperti acuh tak acuh apabila menjawab soalan. Mungkin ini adalah imej Hujan iaitu perangai yang tak berapa serius ketika berdepan dengan soalan daripada media.

Kira-kira 20 minit pertama media disajikan dengan kelakuan vokalis kumpulan itu, Noh yang terkenal dengan sikapnya suka mengusik dan melambat-lambatkan sesi temu bual. Ada saja yang mahu dipusing ke sana-sini setiap kali disoal media mengenai album baru. Banyak main. Itu antara kata-kata yang terbit di bibir beberapa media melihatkan Noh asyik berteka-teki dengan soalan media sehingga majlis itu dilihat seperti pertandingan teka-teki . Ada saja yang mahu diusik Noh kepada media. Nasib baiklah ahli kumpulan itu, Dimas bijak mengembalikan suasana yang sengaja dikeruhkan Noh dengan beberapa jawapan mengenai album mereka.

Malahan suasana di bilik mesyuarat itu juga agak menarik apabila media disajikan dengan bingkisan beberapa kotak kecil yang dibalut dengan cetakan gambar anggota Hujan dan kotak hati berwarna merah jambu yang dilekatkan di setiap sudut ruang bilik itu.

“Kami sudah siap album baru iaitu album keempat Hujan. Setakat ini tiga lagu sudah siap dihasilkan dan kemungkinan keseluruhannya lapan lagu. Tajuk, komposer dan segala-gala berkenaan album ini jika lebih manis dirahsiakan terlebih dulu,” kata Noh.

Terus mahu membongkar rahsia kehadiran Kotak Hati, Noh berkata, istimewanya album mereka kali ini ialah ditampilkan bersama DVD sebagai video yang merekodkan segala aktiviti Hujan sepanjang pembikinan album itu.

Uniknya album ini apabila apa yang berlaku di belakang tabir dipaparkan supaya peminat lebih memahami apa yang berlaku sepanjang album itu diterbitkan.

“Setakat ini, sudah banyak footage yang sudah diambil. Mungkin kita akan jual album bersama DVD tetapi secara terhad. Pastinya album baru ini akan menampilkan konsep berlainan daripada sebelum ini.

“Jika album sebelum ini agak ringan, album baru ini lebih serius dan berat. Konsep yang akan ditampilkan antaranya adalah dedikasi kepada semangat perpaduan,” katanya.

Hujan yang cenderung melabelkan genre yang mereka bawakan sebagai rock alternatif ini mula memikat peminat muzik sebaik melahirkan lagu Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada yang kerap kali disiarkan di radio.

Ditubuhkan pada 2006, Hujan dianggotai Noh sebagai vokalis, AG Coco (gitar), Acer (Dram) serta Dimas (keyboard), akan tampil dengan album terbaru yang segala-galanya masih menjadi rahsia dan mungkin ia satu kejutan kepada peminatnya dalam masa terdekat ini.

Pernah membuat persembahan di United Kingdom melalui Jelajah Hujan ke UK dan persembahan di Oxford Bar (Manchester), Zanzibar (Liverpool), Sheffield serta Cardiff, mereka bercadang menjelajah beberapa negara seperti Filipina dan Indonesia.

Noh memberitahu, mereka juga akan menampilkan penyanyi tempatan dan luar negara bagi mewarnai album terbaru mereka.

“Album ini ada penampilan khas, tetapi nama mereka dirahsiakan. Ia memberikan kelainan dari segi suara yang kita tidak ada,” katanya.

Berbicara mengenai Kotak Hati, Noh memberitahu kemunculan lagu bergenre balada mempunyai susunan muzik yang ringkas, tenang dan bersahaja.

“Ini single kami yang ketiga selepas Muda dan Inspektor Remos. Kotak Hati menceritakan kisah percintaan sepasang kekasih. Lagu dan lirik yang dihasilkan sendiri oleh saya dan ia menggambarkan keikhlasan pasangan kekasih ini bercinta. Mereka sanggup untuk berkongsi segala suka duka yang dihadapi bersama dan berharap untuk terus setia bersama,” katanya.

Selepas mengeluarkan album ke-3 mereka ‘Lonely Soldier Boy’yang dilancarkan pada 25 November lalu, Noh berkata penggambaran video klip itu dijalankan di sebuah studio di Sungai Buloh.

Ditanya kenapa video klip itu cukup ringkas, Noh dan rakan-rakan lain sepakat mengatakan ia sengaja dihasilkan begitu supaya lebih dekat di hati peminat.

Berita Harian

Lima Peserta Akan Tersingkir

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH


BOBOI yang dianggotai Afdlin Shauki (kiri) dan Harun Salim Bachik terus mengungguli kedudukan pada pertandingan minggu kedua Maharaja Lawak Mega di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

JARANG berlaku dalam mana-mana pertandingan realiti televisyen berbentuk nyanyian atau lawak jenaka tempatan yang menyingkirkan lima pesertanya sekali gus. Biasanya satu atau dua pesertanya sahaja yang akan disingkirkan pada setiap minggu.

Walau bagaimanapun, pertandingan lawak jenaka Maharaja Lawak Mega (MLM) akan menyingkirkan lima pesertanya sekali gus pada pertandingan minggu ketiga Jumaat ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, lima peserta yang disingkirkan daripada pertandingan yang disiarkan secara langsung dari Royal Theater Selangor itu adalah di kalangan peserta yang mendapat markah terendah.

‘Setakat ini lima peserta MLM iaitu Boboi, Bawel, Bawal Power, Adlin Aman Ramlie dan Pi Mai terselamat daripada penyingkiran kerana mereka memperolehi markah teratas daripada keseluruhan 17 peserta pertandingan.

‘Ini bermakna, lima peserta yang akan tersingkir pada minggu ketiga MLM ialah daripada kalangan 12 peserta selain daripada lima peserta yang saya sebutkan itu,’ katanya pada sidang akhbar selepas MLM minggu kedua di Shah Alam, Selangor, minggu lepas.

Sehingga minggu lalu kumpulan duo Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik mendapat markah paling tinggi iaitu 61 markah diikuti, Bawel (58 markah), Bawal Power (57 markah), Adlin Aman Ramlie (57 markah) dan Pi Mai (57 markah).

Jelas Nizam, pihaknya mengambil keputusan itu selepas format pertandingan tersebut didaftar serta ditetapkan oleh juruaudit Astro bagi tujuan penyelarasan supaya ia mudah untuk diteruskan pada masa depan.

‘Kami mengambil keputusan untuk menyingkirkan lima peserta pada pertandingan minggu ketiga pada Jumaat ini. Buat masa ini, keputusan itu sudah ada di tangan kami tetapi biarlah ia diumumkan pada Jumaat ini.

‘Buat masa ini, setiap peserta akan mengadakan persiapan seperti biasa tetapi kami akan mengumumkan lima peserta yang akan tersingkir pada awal pertandingan. Setakat ini, kami sengaja tidak melakukan penyingkiran pada minggu pertama dan kedua MLM.

‘Ia bertujuan para penonton mengenali kesemua 17 peserta pertandingan ini. Sementara itu, pada minggu ketiga, para peserta bebas berlawak mengikut idea sendiri.

‘Kami hanya akan menetapkan tema khusus untuk para peserta ikuti mulai minggu keempat di mana ini juga salah satu daripada format pertandingan ini,’ ujarnya.

MLM mengadili para pesertanya menerusi tiga pengkritik tetapnya iaitu Datuk Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan yang menyumbang 70 peratus markah. Manakala 30 markah lagi berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton.

Selain lima peserta terbabit, pertandingan yang mempertaruhkan para peserta dari Malaysia, Singapura dan Indonesia itu turut disertai 12 lagi peserta lain iaitu Osbon, Caer, JH, Syok, 3G, Rap, Anje, Hiro, Lanun, Comel, Saehu dan Gebu.

Peserta solo Adlin misalnya, menggamatkan ruang dewan pada malam itu dengan aksinya berpakaian sari sambil menari tarian India disulami dialog yang menceritakan tentang kekecewaan seorang gadis terhadap jejaka idamannya.

Kemampuan Adlin menarik, meniru gaya seorang gadis India yang lengkap berpakaian sari sambil diiringi lagu Tamil ditambah lagi dengan dialog serta jalan cerita yang relevan dengan semua orang merupakan persembahan yang paling menonjol pada malam itu.

Barisan tiga pengkritik tetap MLM turut melontarkan kritikan yang bukan sahaja bernas tetapi juga jujur berdasarkan kreativiti persembahan setiap pesertanya kecuali pengkritik undangan, Adi daripada kumpulan Sixth Sense yang dilihat agak takut-takut dan lebih berhati-hati dalam komen-komennya.

Utusan

Laluan Mudah Untuk Yuna

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


DENGAN dua pencalonan yang diterimanya, tidak mustahil untuk Yuna memenangi Vokal Wanita Terbaik.

SETIAP tahun sejak Anugerah Industri Muzik diadakan sejak tahun 1994, memang tidak dinafikan kategori ini antara yang paling mendapat perhatian.

Rata-rata mahu tahu siapakah penyanyi wanita terbaik negara yang berjaya membolosi senarai akhir pencalonan dan seterusnya diiktiraf dengan trofi Persembahan Vokal Wanita Terbaik.

Tidak pernah terlepas daripada kontroversi lantaran nama-nama yang dilihat sedikit ‘pelik’ yang berjaya disenaraikan, hakikatnya menerusi kategori ini jugalah ia berjaya menonjolkan variasi kepada penyanyi wanita sedia ada.

Sekadar menyingkap sejarah, gelaran pertama Vokal Wanita Terbaik telah disandang oleh Shima menerusi album Shima Vol. 3 yang memuatkan lagu berhantu, Teringin.

Seterusnya, gelaran itu pernah menjadi milik Aishah, Ziana Zain, Datuk Sheila Majid dan Camelia.

Suka atau tidak, realiti yang harus diakui apabila Datuk Siti Nurhaliza telah berjaya mencatatkan sejarah dan rekod luar biasa dengan memenangi trofi keramat ini sebanyak 11 kali sejak tahun 1999.

Lalu, apabila nama Siti Nurhaliza tidak dicalonkan tahun ini, rasanya itu bukan satu masalah besar kerana rekod yang dicipta oleh penyanyi popular itu barangkali adalah sesuatu yang sukar untuk ditandingi dalam tempoh terdekat ini.

Setidak-tidaknya ia juga memberi peluang kepada muka baru untuk naik ke pentas dan merasai nikmat kemenangan apabila dinobatkan sebagai Vokal Wanita Terbaik.

Seperti mana dengan kategori Vokal Lelaki Terbaik, kategori ini juga tidak lagi dinilai berdasarkan album secara keseluruhannya tetapi penilaian dibuat menerusi lagu mahupun single.

Sesuatu yang dikira cukup menarik juga untuk memperkatakan tentang kategori ini apabila ia memperlihatkan persaingan antara penyanyi senior dan junior.

Empat calon yang tersenarai tahun ini ialah Anita Sarawak yang dicalonkan menerusi lagu Asmara 2010, Jaclyn Victor (Noel), Najwa (How Long Must I Wait) serta Yuna yang menerima dua pencalonan untuk lagu Gelora Jiwa dan Penakut.

Sudah pasti dengan dua pencalonan yang diterima oleh Yuna membuatkan penyanyi dan komposer itu dilihat sebagai calon utama untuk menggenggam trofi idaman ramai itu.

Yuna telah memberikan persembahan yang cukup mengasyikkan menerusi lagu Gelora Jiwa manakala dia membuai jiwa dengan lagu Penakut.

Kedua-dua lagu ini menonjolkan kekuatan dan persembahan vokal Yuna dalam dua sisi yang berbeza sekali gus membuktikan Yuna memiliki kekuatan serta kualiti vokal tersendiri.

Mungkin ada yang tidak setuju dengan pendapat ini tetapi apabila penilaian untuk vokal dilakukan, banyak kriteria yang perlu diambil kira.

Adakah dengan kehebatan seseorang penyanyi itu mampu menyanyi lagu dalam nada yang cukup tinggi sehingga mendapat tepukan gemuruh adalah petanda bahawa dia layak untuk dinobatkan sebagai vokal terbaik?

Penilaian masyarakat selalunya silap apabila memperkatakan tentang vokal kerana ia tidak wajar untuk dilihat pada permukaannya sahaja.

Meskipun mendapat dua pencalonan, Yuna tidak seharusnya berasa selesa kerana dia perlu berhadapan dengan teman seperjuangannya, Najwa.

Sudah diakui, Najwa memang memiliki kehebatan vokal tersendiri dan dia mampu melagukan apa sahaja genre lagu dengan penuh jiwa yang mampu meninggalkan kesan.

Adakah lagu ciptaannya sendiri, How Long Must I Wait akan membawa tuah kepada Najwa? Mungkin juga kerana lagu balada itu sememangnya cukup mencabar kemampuan vokal anak muda ini.

Dua calon lain iaitu Anita dan Jaclyn atau Jac pula tidak boleh dipandang enteng kerana mereka berdua juga memiliki kualiti vokal tersendiri.

Anita misalnya, cukup dikenali sebagai seorang penyanyi berkarakter yang mampu melagukan setiap lagu berdasarkan penceritaan sekali gus memberikan emosi untuk lagu yang disampaikannya.

Walaupun pencalonannya kali ini mengundang kontroversi, siapa tahu juri merasakan Anita memang layak menang berdasarkan tuah lagu Asmara 2010 yang pernah dipopularkan oleh Anneke Gronloh sebelum ini.

Atau mungkinkah lagu klasik Krismas berjudul Noel akan memberikan peluang kepada Jac untuk naik ke pentas dan menerima anugerah ini buat kali kedua?

Sejarah sudah tercipta bahawa Jac pernah mengalahkan Siti Nurhaliza pada tahun 2007 dan tidak mustahil untuk Jac mengulangi kejayaannya.

l PILIHAN HITS: Yuna – Gelora Jiwa

Utusan

Radhi Khalid, Bell Ngasri Bermasam Muka?

KALAU tanya Syed apa rancangan realiti yang tengah panas, mesti ramai yang cakap Maharaja Lawak Mega (MLM) tengah naik daun. Walaupun masih baru bersiaran tapi rata-rata peminat memang menantikan siaran langsung MLM setiap hari Jumaat.

Bila rancangan tu bersiaran pada dua minggu lalu, ramai yang memberikan pendapat yang macam-macam. Ada yang kata rancangan tu memang hebat dan tak kurang juga yang mempertikaikan barisan juri bagi rancangan itu.

Bila muka-muka asing menjadi pengkritik, mulalah orang bising. Ada yang tanya Syed apa kewajaran Chef Wan, Siti Nurhaliza dan Dollah Salleh jadi juri sebab mereka bukan terkenal dalam ruang lingkup pelawak.

Syed tak ada masalah sebenarnya dalam isu ini. Sesiapa sahaja boleh jadi pengkritik memandangkan masing-masing ada pandangan tersendiri dalam menilai lawak jenaka yang dipersembahkan.

Namun itu bukan cerita utama yang Syed nak ceritakan. Dalam ramai-ramai peserta tu, rupa-rupanya ada yang bermasalah dan bermasam muka walaupun baru dua episod rancangan tu bersiaran.

Dengar ceritanya Radhi Khalid dan Bell Ngasri yang bersama dalam kumpulan Comel tak sebulu. Syed tak pasti apa sebenarnya masalah yang melanda mereka tetapi dengar khabarnya memang teruk.

Ada beberapa orang belakang tabir yang bercerita tentang masalah mereka. Bila Bell cari Radhi untuk latihan, Radhi pula hilang. Siap hantar SMS tak mahu diganggu lagi.

Apa sebenarnya yang berlaku pada mereka? Tak mengapalah, kalau ada masalah sikit-sikit tu selesaikanlah cara baik. Mereka pun bukan orang baru dalam industri kita ni, jangan bikin malu yer.

Syed: Pilu hati dengar kisah Azean Irdawaty.

Utusan

Tudung Kain Sifon

KELEMBUTAN fabrik sifon dengan pilihan warna menarik dari lembut dan garang, menjadi aliran terkini dalam rekaan busana tradisional bercirikan moden kontemporari.

Keindahan material itu tidak pernah mengecewakan si pemakai hingga inspirasinya yang mempesonakan itu menjadi pilihan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo untuk meletakkan sentuhannya menjadi lakaran terbaik buat penggemar koleksinya.

Bagi menjadikan himpunan tambah istimewa, rekaan terbarunya dengan lilitan tudung menghiasi kepala mengambil inspirasi gaya kerudung penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

“Bagi mereka yang berjinak-jinak memakai tudung, mungkin ini langkah awal memakainya kerana setiap apa yang dipakai atau diperagakan penyanyi hebat itu mencetus ikutan terkini. “Justeru itu, ramai pereka fesyen mengolah tudung terarah kepada penampilan wanita hebat itu kerana ia amat menarik untuk diketengahkan kepada umum.

“Lagipun, sambutan memberangsangkan penggemar penyanyi nombor satu negara menyarung tudung sopan itu untuk menghadiri majlis eksklusif, untuk perayaan tertentu atau majlis ilmu. Tambahan pula, Aidiladha menjelang tidak lama lagi dan ia boleh mencetuskan gaya hebat seseorang,” katanya.

Gaya pemakaian ringkas dengan lilitan tudung menghiasi kepala kata Calvin, menyerlahkan pesona seseorang yang suka bergaya. Untuk menyesuaikan gaya, dia turut meletakkan hiasan bunga tertentu agar tampak ada kelainannya.

Katanya, jika material sifon digunakan sebagai fabrik tudung, ia lebih menyerlahkan gaya si pemakai. Bagi pereka yang sudah 18 tahun menceburi dunia fesyen, keistimewaan sifon kerana ‘jatuhan’ kainnya mengikut potongan badan dan ‘terletak’ apabila digayakan.

Kebanyakan rekaannya disarungkan selebriti hebat termasuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Sheila Majid dan ramai lagi. Sebarang pertanyaan, kunjungi Prestige Floor (Aras 4), Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur atau layari: calvin thoo-facebook.

Harian Metro

Vokal Singkir Dua Lagi Peserta

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN


(DARI kiri) Irsa Sahabuddin, Airulazwan Abd. Rahman, Fazdrul Aswad Fauzi, Fakhrul Nizam Fauzi dan Siti Nur Aishah adalah lima daripada tujuh peserta yang mempamerkan bakat mereka dalam Vokal yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

KONSERT Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) minggu kedua yang disiarkan pada Ahad lalu menyaksikan penyingkiran dua lagi peserta.

Pada konsert pertama program realiti televisyen itu menyaksikan Epiit atau Muhd. Fakhrullah Mohd. Yusoff, 21, menjadi peserta pertama yang disingkirkan.

Minggu kedua pula menyaksikan Fazdrul Aswad Fauzi, 19, dan Siti Nur Aishah, 21, mengikut jejak langkah Epiit meninggalkan pentas Vokal.

Dengan penyingkiran itu, hanya tinggal tujuh peserta meneruskan cabaran.

Tujuh peserta itu terdiri daripada Fakhrul Nizam Fauzi, 21, Norhasmidar Ahmad, 25, Mafarikha Md. Akhir, 19, Airulazwan Abd. Rahman, 22, IrsaSahabuddin, 24, Mohd. Janizam Jamaluddin, 26, dan Azmarul Azuan Harun, 27.

Penerbit Eksekutif Vokal, Muhamad Sufian Isa berkata, selepas dua minggu Vokal bersiaran, percaturan meletakkan Erra Fazira dan Azmeer Abu Bakar sebagai pengkritik menepati sasaran apabila berjaya mencatatkan kadar tontonan 2.5 juta minggu lalu.

“Dari awal lagi kami yakin terhadap kredibiliti dua pengkritik tetap itu sebagai taruhan utama bagi menarik perhatian penonton,” katanya kepada wartawan sejurus tamatnya konsert Vokal minggu kedua di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Selain dua pengkritik tetap, Vokal turut mengundang pengkritik jemputan untuk membuat penilaian ke atas peserta yang mengambil bahagian.

“Setiap minggu pengkritik jemputan yang dijemput adalah berbeza. Minggu pertama, misalnya, kita mengundang Datuk Siti Nurhaliza .

“Minggu lepas, kita undang Hattan. Dengan adanya pengkritik jemputan yang duduk sebaris dengan dua pengkritik tetap Vokal, ia bukan sahaja memberi rencah yang menarik untuk program ini tetapi keputusan penyingkiran peserta dinilai dengan lebih tepat lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Erra berkata, dia akan menggunakan segala pengalaman yang ada sebagai penyanyi bagi melaksanakan tugasnya itu.

“Saya menerima tawaran ini setelah berbincang dengan penerbit dan mendengar pendapat mereka tentang keupayaan saya. Insya-Allah saya akan laksanakan tugas dengan penuh tanggung jawab,” katanya

Menurut Erra lagi, kesemua peserta yang membuat persembahan untuk konsert minggu kedua mempunyai kelebihan masing-masing.

“Saya tidak merasakan penyingkiran ini merupakan jawapan kepada karier mereka yang ingin menjadi penyanyi pada masa hadapan.

“Cuma bukan rezeki mereka dan mungkin juga ini bukan masanya untuk mereka menyerlah,” ujarnya.

Bagi Azmeer pula, dia percaya setiap pengkritik mempunyai pandangan masing-masing terhadap peserta dan ia tidak mengganggu pandangan peribadinya.

“Setiap daripada kami akan menilai peserta melalui pengetahuan yang kami miliki.

“Perbezaan komen yang diberikan pengkritik kepada peserta adalah perkara biasa dan itu sebenarnya membantu peserta itu sendiri,” jelasnya.

Azmeer menyifatkan penyingkiran peserta dalam sesuatu program realiti merupakan proses biasa yang perlu dilalui oleh peserta.

“Kami hanya menjalankan tugas kami sebagai juri dan dua peserta yang tersingkir masih mempunyai potensi di dalam industri ini,” katanya.

Utusan