3G Terkeluar



Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar Mohd Shaharani Saibi


Kumpulan 3G yang disertai oleh Enot, Yassin dan Didie gagal meneruskan kemaraan dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega.

PENYINGKIRAN kumpulan 3G Jumaat lepas di Maharaja Lawak Mega (MLM) minggu keenam telah mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.

Ini kerana jika dilihat berdasarkan kepada persembahan kumpulan tersebut dari minggu ke minggu, jelas terdapat beberapa peserta lain yang kurang kelakar lawaknya berbanding 3G.

Bukan mahu memuji tetapi 3G yang dianggoti oleh Yassin, Didie Alias dan Enot merupakan antara peserta MLM yang muncul membuat persembahan pada setiap minggu, berjaya tampil secara konsisten dalam berlawak, bukan berlakon lawak.

Oleh itu, penyingkiran mereka pada minggu keenam pertandingan tersebut yang membawakan tema komedi muzikal nyata memeranjatkan penonton yang menyaksikan MLM secara langsung di Astro Warna.

Ketika ditemui sejurus selepas tamat siaran langsung MLM, Didie berkata, 3G akur dan menerima penyingkiran tersebut kerana baginya, Yassin dan Enot, penyingkiran adalah perkara biasa dalam mana-mana pertandingan.

“Sememangnya kami kecewa kerana tidak dapat bertahan lebih lama lagi dalam rancangan ini. Tetapi apa nak buat. Sudah menjadi adat pertandingan, pasti akan ada yang terkeluar dan kami terima sahaja keputusan seadanya.

“Tema minggu ini mempunyai huraian yang sangat besar. Terdapat pelbagai cara dan gaya persembahan yang boleh dilakukan untuk mendefinasikan apa itu komedi muzikal.

“Ini kerana dalam komedi muzikal, pelbagai aspek persembahan perlu diambil kira termasuk nyanyian, lakonan, gaya dan pergerakan tubuh serta lawak.

“Mungkin ada pihak yang dapat memahami persembahan kami secara keseluruhan dan mungkin juga ada pihak yang tidak berapa faham,” katanya jujur.

Ditanya, apakah kritikan yang dilemparkan oleh juri mempengaruhi undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Didie terdiam sejenak sebelum memberikan jawapan.

“Memang pengaruh juri MLM amat besar dan mereka penentu kedudukan peserta untuk kekal atau tersingkir kerana 70 peratus pemarkahan peserta terletak di tangan juri.

“Selain itu, komen dan kritikan para juri sebenarnya mempengaruhi undian penonton walaupun peratusan SMS penonton sebanyak 30 peratus.

“Apa pun, kami 3G tidak menyalahkan barisan pengkritik yang bijaksana di atas penyingkiran kumpulan kami minggu ini kerana kami yakin tiga juri tetap dan seorang juri jemputan malam ini ada persepsi dan pilihan mereka sendiri,” katanya lagi.

Seperti biasa, barisan pengkritik MLM terdiri daripada Datuk Chef Wan, Zainal Abidin Hassan, Datuk Siti Nurhaliza dan minggu lepas, juri jemputan ialah vokalis kumpulan Padi dari Indonesia, Fadly.

Selain 3G, peserta yang turut disingkirkan pada MLM minggu lepas ialah kumpulan Bawel yang berasal daripada Bandung, Indonesia.

Kumpulan Osbon mendahuli para peserta lain pada MLM lepas dengan memperoleh 71 markah, diikuti Adlin (65 markah), Syok (63), Boboi (62), Pimai (60), Bawal Power (57), Saehu (55) dan dua kumpulan yang tersingkir iaitu 3G (52) dan Bawel (49).

Kini hanya tinggal tujuh peserta yang masih berjuang untuk memenangi hadiah utama wang tunai sebanyak RM350,000 iaitu Osbon, Pimai, Syok, Saehu, Boboi, Bawal Power dan seorang peserta solo, Adlin Aman Ramlie.

Utusan

Intisari Rancangan TV2

Selasa 06 Disember 2011

6.00 Motivation On 2: Morning Delight

6.30 Healthy Living On 2: Let’s Have Breakfast

7.00 Hello On Two (HOT)

8.30 Holiday Special On 2: Mickey Mouse & Friends

9.00 Kids On 2: Simba Junior To The World Cup

9.30 Abu Children Programme

10.00 School Break Special On 2 – The Jungle Book 2

11.30 Katak Oh Katak

12.00 Berita Mandarin

12.20 Galeri Nasional Mandarin

12.30 Berita Inggeris

1.00 Dokumentari – Sihat 1Malaysia

1.30 Destinasi Cinta

2.00 Mustika: Sundait Sabah

2.30 Galeri Famili: Sara Akashah

3.30 Varnam: Penne Penne

4.00 Generasi Muda – Bimbam.Com

4.30 Drama Bersiri Tami :Anusha

5.00 Kristal: Cinderella’s Stepsister

6.00 TVB Hits : Drive Of Life

7.00 Kids On 2: Mickey Mouse & Friends

7.30 Berita Tamil

8.00 Berita Mandarin

8.30 Berita Inggeris

9.00 Selekta Prima- Bola Cinta

10.00 Zoom In Bersama Siti Nurhaliza

11.00 Blue Bloods

12.00 malaysia Truly Asia

12.30 The Defenders

1.30 Drama Bersiri Melayu: Farah Syakirah

2.30 Drama Bersiri Tamil : Vaazhkai Oru Savaal

3.00 Drama Bersiri Mandarin: Tetap Bersama Senja

4.00 Mutiara On 2: Kartina

5.00 Variety On 2: Sebumbung

5.30 Decor & Style: Rona Pesona

Utusan

Di Hati Siti

FIGURA ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Kejayaannya dalam seni suara cukup membuktikan dia belum mampu ditandingi mana-mana penyanyi wanita lain.

Meskipun terus berada di puncak, tidak pernah alpa. Bergelar penyanyi tersohor negara dan kini sebagai ahli perniagaan kosmetik, Datuk Siti Nurhaliza terus berada di dalam liganya tersendiri.

Biarpun baru setahun jagung mengeluarkan produk kecantikan, sambutan diterima daripada pengguna sangat memberangsangkan.

Kini Siti melangkah setapak lagi apabila melancarkan program tanggungjawab sosialnya mengumpul dana dalam kempen SimplySiti Di Hati.


Kempen dijalankan bersama rakan niaga, Watson’s, itu bermula 1 Disember ini hingga 15 Januari 2012, bagi membantu dua pesakit jantung iaitu Siti Nur Syahira Mohd Asnawi, 6, dan Tan Jia Yong, 3.


Kedua-dua kanak-kanak ini menghidap penyakit jantung sejak lahir dan memerlukan bantuan RM70,000 untuk menjalani pembedahan serta rawatan selanjutnya daripada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).

Selain Watson’s dan Yayasan IJN, AirAsia X dan Putrajaya Marriot Hotel & Spa juga adalah rakan niaga strategik yang turut menjayakan kempen amal ini.

Siti, ketika sidang media kempen itu, berkata tiba masanya dia menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada insan kurang bernasib baik. Apatah lagi dengan kerjasama yang diberikan IJN melancarkan lagi pencariannya.

“Sebenarnya sudah lama Siti berniat mahu melakukan aktiviti seperti ini.

Meskipun bantuan diberi tidak seberapa, diharap ia dapat meringankan beban kedua-dua keluarga ini. Siti harap pelanggan di luar sana akan sama-sama menyokong usaha ini dengan membeli produk SimplySiti.

“Dengan setiap pembelian RM100 ke atas, RM5 akan disalurkan kepada kempen SimplySiti Di Hati, seterusnya 20 pelanggan bertuah berpeluang memenangi 20 tiket penerbangan AirAsia X ke destinasi pilihan serta baucar penginapan daripada Putrajaya Marriot Hotel & Spa,” katanya.

Setiap pelanggan hanya perlu mengisi borang dengan butiran peribadi serta harus melengkapkan slogan yang diberikan, kemudian dikepilkan sekali dengan resit pembelian sebelum dimasukkan ke dalam kotak tabung SimplySiti Di Hati di setiap kaunter SimplySiti di Watson’s seluruh negara.

Siti turut turun padang menjadi perunding kecantikan di kedai farmasi Watson’s terpilih.

Pengguna SimplySiti berpeluang bertemu bintang pujaan mereka di Kuala Terengganu pada 3 Disember, Kangar (10 Disember) dan Semua House, Kuala Lumpur (30 Disember).

Harian Metro

Mengharap Sinar Tahun Baru

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR dan ihsan SIMPLYSITI


SITI Nurhaliza meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat kempen SimplySiti Di Hati berjaya mencapai sasarannya.

APABILA penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengambil inisiatif untuk menerbitkan album Inggeris pertamanya, All Your Love, ada segelintir pihak seolah-olah memperlekeh-lekeh usaha penyanyi itu.

Namun, bagi penyanyi kesayangan ramai itu, dia sedikit pun tidak ambil hati mahupun peduli akan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

Apa yang penting bagi Siti Nurhaliza, dia melihat kelahiran All Your Love sebagai satu cabaran selain memperbaiki skil komunikasinya di dalam bahasa Inggeris.

‘Segala apa yang diperkatakan tentang usaha itu, saya lebih selesa untuk melihatnya dari sisi positif demi kebaikan diri sendiri.

‘Saya sendiri mencabar diri saya untuk ke depan apabila menerima undangan daripada rancangan berbahasa Inggeris seperti Bella dan Hello On Two (HOT) untuk mempromosikan album All Your Love.

‘Walaupun ada ketikanya dalam butir bicara saya ketika itu tergagap dan tersangkut, tetapi setidak-tidaknya saya mencuba. Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang sangat baik terutama daripada peminat,’ kata wanita yang mesra disapa Siti ini sambil ketawa kecil sewaktu ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Menyentuh tentang All Your Love, Siti meningkah dakwaan yang mengatakan All Your Love sudah mencatatkan jualan melebihi 40,000 salinan seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Katanya, jumlah penjualan album yang sebenar hanya akan diketahui selepas enam bulan ia berada di pasaran.

‘Disebabkan itu, saya sendiri pelik bagaimana berita tentang All Your Love yang dikatakan terjual melebihi 40,000 salinan itu boleh tersebar.

‘Walhal album itu baru berada di pasaran sekitar dua bulan sejak September lalu. Tetapi apa yang saya diberitahu, All Your Love sudah pun terjual melebihi 10,000 unit.

‘Syukur Alhamdulillah, dengan jumlah itu, ia membuktikan percubaan pertama saya melahirkan album Inggeris diterima baik oleh peminat dan pencinta muzik secara amnya.

‘Sehinggakan ada beberapa buah lagu sudah pun ditukar muziknya kepada lebih rancak (remix) dan dimainkan di kelab-kelab hiburan. Secara tidak langsung, mereka menerima baik lagu-lagu Inggeris saya,’ jelas penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini dalam nada gembira.

Dalam perkembangan lain, Siti juga berkongsi cerita apabila lagu kolaborasinya bersama Sean Kingston, Remember You mendapat tempat di hati pencinta muzik di Indonesia.

Apa yang membanggakan kata Siti, lagu tersebut berjaya menduduki carta lima lagu teratas dalam beberapa buah carta stesen radio di sana.

Ternyata ia berita yang cukup menggembirakan kerana belum pun album itu berada di pasaran republik itu, ia sudah pun mendapat perhatian meluas.

‘Insya Allah, jika tiada aral melintang, All Your Love akan berada di pasaran Indonesia dalam waktu terdekat ini. Berkemungkinan besar pada bulan Disember atau awal tahun depan.

‘Dalam masa yang sama, pihak What’s Up Entertainment juga kini sedang merancang untuk mengadakan siri persembahan istimewa sepanjang tahun depan bagi mempromosikan lagi album ini,’ ujar Siti tentang perancangan yang telah diatur untuk meluaskan lagi pasaran album yang mendapat edaran Warner Music Malaysia itu.

Melihatkan kepada sambutan hangat yang diberikan kepada album studio ke-15 miliknya, jelas Siti tidak mustahil untuknya menerbitkan album Inggeris keduanya di masa depan dengan sentuhan yang berbeza berbanding album All Your Love.

Konsert tradisional

TAHUN 2011 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan sebagai penyanyi yang tidak betah duduk diam, Siti sudah pun mempunyai agenda tersendiri sepanjang tahun 2012.

Salah satunya adalah untuk mengadakan sebuah konsert tradisional yang sudah lama diimpikannya sejak sekian lama.

Bukan itu sahaja, Siti juga kini sedang menyiapkan dirinya dengan mengumpul material terbaik bagi menerbitkan album Melayunya yang dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun depan.

‘Alhamdulillah, rezeki untuk saya membuat persembahan tidak pernah putus dan saya sendiri mendapat jemputan untuk mengadakan konsert di Singapura terutama konsert tradisional untuk tahun 2012.

‘Selain itu juga, saya juga merancang untuk menerbitkan buku biografi bergambar sempena ulang tahun ke-17 pembabitan saya dalam bidang seni.

‘Saya hanya mampu berdoa agar semuanya dapat disempurnakan dan berjalan lancar seperti mana yang diharapkan,’ ujar pemilik trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali ini penuh mengharap.

Tidak putus berdoa

SEBAGAI penyanyi pujaan ramai, sudah semestinya apa sahaja yang dilakukan oleh Siti akan meraih perhatian meluas dan semuanya mahu diambil tahu oleh peminat serta masyarakat.

Salah satu soalan yang sering dibangkitkan dan diajukan kepada Siti adalah tentang cahaya mata sementelah usia perkahwinannya sudah pun mencecah lima tahun pada 21 Ogos lalu.

Sambil tersenyum dan tidak pernah lelah untuk menjawab soalan berkaitan tentang anak, jelas Siti, sebagai seorang isteri dia sendiri tidak pernah putus berdoa kepada Yang Maha Esa untuk dikurniakan zuriat sendiri.

Meskipun ada yang mengesyorkan kepadanya untuk mengambil anak angkat atau mencuba proses pensenyawaan tabung uji (IVF), namun kata Siti, dia mahu mencuba kaedah normal selagi termampu.

‘Bukan tidak pernah terfikir untuk mengambil anak angkat atau mencuba kaedah IVF, tetapi biarlah buat masa ini saya berusaha sendiri dan berdoa kepada Allah.

‘IVF misalnya, ia bukanlah proses yang mudah dan tidak semestinya percubaan kali pertama akan membuahkan hasil. Semuanya bergantung juga kepada rezeki,’ jelas Siti memberikan hujahnya.

Projek amal Siti

BIARPUN sibuk dengan tugas hariannya sebagai seorang penyanyi, Siti tidak melupakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menerusi produk kecantikannya, SimplySiti, penyanyi yang masyhur dengan lagu Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa itu telah melancarkan kempen SimplySiti Di Hati.

Menerusi kempen yang akan berlangsung selama tujuh minggu bermula 1 Disember hingga 15 Januari 2012 itu, ia bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM70,000 bagi membantu dua kanak-kanak penghidap penyakit jantung.

Dengan bantuan Institut Jantung Negara (IJN) menerusi Yayasan IJN, pihak SimplySiti telah mengenal pasti dua kanak-kanak yang memerlukan pembedahan segera pada bulan Disember ini.

Mereka yang terpilih ialah Siti Nur Syahira dan Tan Jia Yong, masing-masing berusia enam dan tiga tahun yang turut hadir pada majlis pelancaran SimplySiti Di Hati di Hotel Marriott, Putrajaya, baru-baru ini.

‘Memang dari awal kempen ini digerakkan, saya mahu membantu golongan kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.

‘Alhamdulillah, dengan bantuan Yayasan IJN sebagai rakan projek ini, semuanya berjalan lancar dan jika kempen ini mendapat dana yang lebih banyak lagi, maka, ramai kanak-kanak lain yang dapat dibantu,’ kata Siti dalam nada penuh optimis mengenai kempen yang turut mendapat kerjasama Watson’s itu.

Turun padang

Menyentuh tentang idea tersebut, jelas Siti, selama hampir dua tahun SimplySiti berada di pasaran, pihaknya telah menganjurkan aktiviti berbentuk hiburan seperti sesi bertemu peminat dan konsert.

Apatah lagi, Siti sendiri pernah menjadi duta bagi projek amal untuk sebuah gedung membeli-belah sebelum ini lalu ia mencetuskan idea untuk Siti menerusi SimplySiti bagi kempen SimplySiti Di Hati.

Bagi melancarkan kempen ini, Siti juga akan turun padang dan bertindak sebagai perunding kecantikan SimplySiti di tiga cawangan Watson’s terpilih iaitu Kuala Terengganu pada 3 Disember; Kangar, Perlis (10 Disember) dan Semua House, Kuala Lumpur (30 Disember).

Selain Watson’s, IJN dan Hotel Marriott, Putrajaya, kempen ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat penerbangan Air Asia menerusi Air Asia X.

Utusan

Siti Nak Buat Konsert Tradisional

Sebut saja perihal penyanyi yang satu ini, mesti ramai yang suka. Iyalah, dah jadi penyanyi nombor satu negara, semua orang mesti ternanti-nanti apa perkembangan terbaru Datuk Siti Nurhaliza kita ni.

Terbaru ada yang menyampai pada Syed cerita yang Siti nak buat konsert irama tradisonal secara besar-besaran pada tahun depan. Impiannya itu sudah disuarakan kepada beberapa orang terdekat yang hanya menunggu masa sahaja untuk dilaksanakan.

Syed memang setuju sangat kalau Siti nak buat konsert macam tu. Kalau tengok pada perkembangan hari ini, irama tradisonal memang kurang mendapat sambutan generasi muda.

Dah tak banyak persembahan berskala besar macam ni dan kebanyakan yang masih aktif hanya golongan yang dah berpengalaman. Kalau tengok pada beberapa majlis anugerah pun, irama tradisional memang dah tak ada banyak ruang.

Pada Syed apa sahaja yang nak Siti nak buat dia boleh buat. Dah tentu-tentu ramai yang akan menyokong Siti walau apa sahaja yang dia lakukan.

Cuma ada suara sumbang yang cakap, kalau buat konsert tu nanti jangan lupa keluarkan VCD dan DVD. Jangan jadi macam konsert Istana Cinta, P. Ramlee dan Saloma dan Konsert Satu yang langsung tak ada dikeluarkan untuk peminat yang tak datang tengok.

Syed: Nak tonton konsert Ruth Sahanaya, 17 Disember nanti.

Utusan

Siti Cipta Cipta Di Korea

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my(Yang mengikuti program Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Korea baru-baru ini)


Di hadapan Kilang Hanbul Cosmetics Yongsung-ri Samsung-myun yang terletak di Eumsung Chongbook, Korea.

CUACA sejuk menjemput kami sekumpulan tujuh petugas media bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang tiba di Lapangan Terbang Incheon, Korea sekitar pukul 10 malam, Selasa lalu. Suhu termometer menunjukkan angka 0 darjah selsius memercikkan mood teruja kerana ini adalah trip kali pertama buat rata-rata peserta ke negara yang terkenal dengan drama rantaian Winter Sonata itu.

Manakala bagi anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang pula, ini adalah urusan lawatan kali keempat ke Korea membabitkan perniagaan produk kosmetik dan penjagaan muka, SimplySiti yang beroperasi sejak dua tahun lalu.

Sementara program Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Korea pada 22 hingga 25 November itu adalah kali pertama dianjurkan buat petugas media bertujuan memberi gambaran bagaimana operasi kilang SimplySiti berjalan.

Lawatan selama tiga hari dua malam itu turut mendapat penajaan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsiaX.

Dalam perjalanan di bumi Korea itu Siti memberitahu bahawa dirinya akan berkongsi magis terbaru dan bersedia menunjukkannya pada hari ketiga lawatan.

Menjelang hari yang dijanjikan, rombongan dibawa ke Kilang Hanbul Cosmetics Yongsung-ri Samsung-myun yang terletak di Eumsung Chongbook setelah duduk di dalam bas selama sejam setengah dari bandar Itaewon.

‘Di sinilah Siti simpan magis terbaru Siti melibatkan produk yang diberi nama Demagic, sebuah lagi projek terbesar SimplySiti,’ akhirnya terdedah rahsia penyanyi yang lahir pada 11 Januari 1979 itu.

Katanya, Demagic adalah sebuah set penjagaan kulit sesuai dengan gaya hidup masyarakat moden masa kini. Rawatan yang ditawarkan mencakupi semua golongan tanpa mengira jantina dan peringkat usia.

Produk Demagic boleh didapati di pasaran tanah air bermula tahun depan selepas melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) secara saintifik oleh sekumpulan saintis dan pakar kulit.

Kesemua bahan yang digunakan juga telah diuji di makmal berulang kali sejak awal tahun lalu sebelum mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Sebelum itu, satu sesi taklimat dibuat oleh pihak Hanbul Cosmetics yang dihadiri Ketua Pengarah R&D Hanbul Cosmetics, Pyo Hyung Bae, Naib Presiden Eksekutif SimplySiti, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed dan Pengurus Kanan Penjenamaan dan Pemasaran SimplySiti, Amiel Junita Nasir.

Turut hadir dua wakil dari pihak Jakim iaitu Penolong Pengarah Kanan (Audit), Mohd. Fakarudin Masod dan Penolong Pengarah (Hub Halal), Johari Ab. Latiff.

Topik yang menjadi perhatian petugas media adalah kesucian produk yang dikeluarkan di bawah jenama SimplySiti.

‘Isu tentang kesucian SimplySiti adalah cabaran terawal buat Siti yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

‘Sebenarnya, isu ini tidak timbul kerana kami menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak Jakim dengan memenuhi semua peraturan dan spesifikasi yang diminta.

‘Semua produk dari SimplySiti sememangnya bersih dan tidak perlu diragukan bermula dari bahan mentah sehingga proses pembungkusan dan penghantaran ke Malaysia,’ jelasnya panjang lebar.

Ditanya apakah cabaran utama buat diri penyanyi berusia 32 tahun setelah bergelar ahli perniagaan, ini jawapannya.

‘Siti melihat apa juga cabaran melanda sebagai pembakar semangat buat diri untuk terus ke hadapan. Sekarang ini Siti fokus untuk mendapatkan produk yang terbaik, berkesan dan bukan bersandarkan kepada populariti semata-mata.

‘Kena juga fikir cara untuk mengekalkan prestasi ini sebab Siti tak mahu buat macam melepaskan batuk di tangga sebab pelaburan yang dibuat ini bukan calang-calang,’ ulas Siti panjang lebar.

Utusan

Tunggu Masa Takluk Indonesia

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

BUKAN mudah untuk artis kita mahu menembusi pasaran Indonesia. Penerimaan masyarakat di sana tidak semudah kita menerima kehadiran mereka ke sini sebaliknya perlu dilakukan dengan usaha yang lebih keras.

Satu persatu nama-nama besar kita yang mencuba nasib di sana. Tapi sayang, apa yang diharap langsung tidak dijelmakan dengan kejayaan yang mampu untuk dibanggakan. Ada yang sekadar singgah tapi tidak memberi impak besar.

Yang bertuah hanya beberapa nama. Antara yang pernah mencipta fenomena di sana termasuklah Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid.

Pada 19 hingga 23 November yang lalu, kumpulan Bunkface tampil ke Jakarta untuk rencana aktiviti mereka. Bunkface sebenarnya telah dijemput oleh penganjur di sana untuk menyertai festival muzik Urban Fest yang sudah menjadi festival tahunan.

Festival yang menghimpunkan ratusan kumpulan indie seluruh dunia berlangsung selama dua hari yang menyaksikan persembahan hebat kumpulan-kumpulan muzik yang dijemput khusus.

Menariknya, walaupun kehadiran Bunkface belum begitu besar impaknya di sana, kebanyakan peminat tahu dan menyanyi ke semua lagu-lagu mereka.

Melalui lagu, Bunface sebenarnya sudah mengembangkan sayap ke Indonesia. Buktinya walaupun ada di antara peminat mereka yang langsung tidak mengenali mereka, tapi mereka boleh menyanyikan lagu dengan baik.

Peranan media baru seperti Youtube, Facebook dan Twitter cukup berkesan dalam mempromosikan kumpulan yang cukup popular dengan lagu Situasi ini ke sana.

Tidak hanya melakukan persembahan di Urban Fest semata-mata, Bunkface juga turut mengadakan persembahan mereka di Hard Rock Cafe (HRC), Jakarta pada hari berikutnya.

Paling tidak pada petang 21 November itu Bukface telah membuktikan yang mereka memang kumpulan yang hebat dengan persembahan penuh bertenaga dan memukau khalayak yang hadir.

Buktinya ada lima syarikat rakaman gergasi Indonesia yang turun padang melihat sendiri persembahan mereka. Masing-masing cukup tertarik untuk membawa Bunkface ke satu fasa yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Teruja dengan impian

‘INI bukan impian kami tapi impian semua. Memang kami cukup mengharapkan agar dapat masuk ke pasaran Indonesia dan melebarkan sayap di sana. Cuma semua itu perlu kerja keras yang tak pernah jemu,’ kata Sam ketika diminta mengulas mengenai kehadiran mereka di Indonesia baru-baru ini.

Bagi Sam, apa yang diimpikan mereka bukan sekadar angan kosong sebaliknya melalui pelbagai perancangan yang telah diatur melalui Bunkface Production, In Digital, AirAsia, Jamu Mak Dara dan beberapa pihak lain di sana.

‘Paling membanggakan kami dapat buat persembahan di HRC yang turut dihadiri oleh wakil syarikat rakaman di sini. Ada maklum balas yang positif dan hanya menunggu masa sahaja.

‘Beberapa syarikat sudah ada membuat tawaran tetapi rundingan masih lagi berjalan untuk kami. Ini petanda awal yang kehadiran kami bukan sia-sia sebaliknya berjaya.

‘Impian kami bertiga nak jelajah seluruh Indonesia. Itu memang hasrat kami sejak awal lagi. Bukan tak mampu untuk ke negara lain yang lebih mencabar tetapi lebih baik kita dahulukan negara serumpun.

‘Kami ada lagu Inggeris dan kami ada lagu Melayu. Sudah pasti untuk ke negara luar selain Indonesia lagi mudah. Tapi adakah mereka akan menerima lagu Melayu kami dengan baik.

‘Jadi lebih baik kami menumpukan kepada Indonesia terlebih dahulu sebelum ke tempat lain. Kalau apa yang kami hajatkan itu berjaya, barulah kami akan ke tempat lain,’ jelas Sam.

Selain Sam, Bunkface juga turut dianggotai oleh Paan dan Youk.

Konsert HRC

Usai petang itu, Bunkface sempat mendendangkan lagu-lagu popular yang ada dalam album Phobia Phony seperti Bunk Anthem, Soldier, Situasi, Dunia, Revolusi, Prom Queen dan banyak lagi.

Juga tiga lagu baru yang turut diperdengarkan seperti Panik, Bunk Not Dead dan Kita Perang Kita Menang yang sungguh mengujakan seluruh peminat yang memenuhi HRC.

‘Bunkface perlu naik satu lagi tahap sebenarnya. Bukan tak selesa dengan apa yang kami dah ada tapi kalau boleh kami semua nak lebih pendedahan di luar negara.

‘Kami nak banggakan Malaysia yang pemuzik macam kami mampu untuk berdiri hebat di mata orang lain. Paling tidak pun muzik boleh menyatukan kita semua yang selalu bertelagah dalam beberapa isu sensitif,’ luah Sam lagi.

Utusan

Lirik Kak Chah Cinta Kepada Tuhan

aziz.itar@utusan.com.my

ANAK seni berdarah kacukan Melayu, Jawa dan Cina ini telah menulis tidak kurang daripada 500 lirik. Kebanyakan karyanya menjadi lagu popular di mana ia terus diminati termasuklah oleh para pendengar generasi baru.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Kak Chah menjadi sebutan ramai kerana lirik-lirik nukilannya bukan sahaja puitis. Malah, elemen-elemen cinta dalam bait-bait liriknya menjadi perhatian ramai.

Sayangnya, kata Pengerusi Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) ini, ramai peminat kurang menyedari nilai-nilai cinta yang digarap menerusi lirik-lirik tulisannya yang bukan setakat kisah cinta pasangan kekasih.

Sebaliknya kata Kak Chah, lirik-lirik tulisannya juga berkisar tentang cinta seorang hamba kepada Allah. Namun, tidak ramai menyedari elemen-elemen ketuhanan di sebalik lirik-lirik tulisannya itu.

“Setiap kali mahu menulis lirik, saya harus faham siapakah audiens yang akan menghayatinya. Mereka kebanyakannya adalah golongan remaja dan masyarakat kebanyakan dan bukannya golongan alim ulama.

“Apatah lagi, saya bukannya seorang ustazah yang bercakap tentang agama Islam secara terus dalam karya-karya dan tulisan saya. Sebab itu, saya gunakan kapasiti sebagai penulis lirik lagu dengan kaedah yang santai.

“Saya gunakan bahasa Melayu yang ringkas dan mudah difahami dan bukannya bahasa Arab. Tujuannya supaya ia mudah difahami oleh pendengar,” katanya bercerita kepada S3 tentang kisah di sebalik karya-karyanya itu.

Namun, semua itu tidak menghalangnya menyelitkan jalan cerita dan mesej yang mengandungi elemen-elemen ketuhanan. Dia memang menulis tentang cinta tetapi ia tentang cinta manusia kepada Tuhan.

Anak kelahiran Singapura ini berkata, boleh dikatakan semua liriknya sebenarnya sarat dengan elemen ketuhanan iaitu antara makhluk dan penciptanya.

“Contohnya, lagu Mawar Terpinggir nyanyian Francissca Peter penuh dengan elemen ketuhanan di sebaliknya. Ia tentang kehadiran orang ketiga yang hadir dalam sesebuah hubungan kasih sayang.

“Dalam lirik itu saya mahu ketengahkan bagaimana perasaan menjadi orang kedua atau ketiga di mana ia menagih rasa reda atas sesuatu ketentuan-Nya. Ia bukan kisah cinta sesama manusia sahaja.

“Begitu juga dengan lirik lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon yang mengisahkan pengharapan seseorang terhadap takdir hidupnya di mana akhirnya pergantungan terhadap Yang Maha Esa adalah klimaknya,” ujarnya.

Sebagai penulis lirik yang berpengalaman dan mempunyai wawasan sendiri, niat sebelum menyelitkan sesuatu mesej di sebalik lirik-lirik tulisannya cukup penting.

Kak Chah yang juga penulis skrip filem Qaisy & Laila yang diterbitkannya pada tahun 2005 misalnya, menggunakan bakat menulis yang dianugerahkan Allah sebagai jalan bagi mencari keredhaan-Nya.

“Saya sedar Allah berikan kita sesuatu kelebihan itu ada sebab musababnya. Sebab itu, bakat yang saya ada ini tidak seharusnya dipersia-siakan. Kalau ustazah berdakwah melalui ceramah agama, maka dakwah saya melalui lirik.

“Dalam lirik tulisan saya, yang paling ditekankan adalah rasa cinta kepada Allah, itu adalah yang paling hakiki. Cinta kepada Tuhan itu paling hampir dan ia tidak pernah sia-sia, cuma hamba-Nya itu sahaja yang tidak mencari serta memahaminya.

“Cinta sesama manusia biasanya selalu berakhir dengan kekecewaan. Sedangkan cinta Allah terhadap hamba-Nya sentiasa terbuka dan ia kekal abadi,” jelasnya.

Dalam usaha untuk meningkatkan ilham dan mutu penulisan lirik, Kak Chah banyak membaca buku-buku yang mengandungi elemen-elemen falsafah, selain sering mengikuti kelas pengajian agama di merata-rata tempat.

Semua itu, kata penulis lirik lagu Merisik Khabar dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Dialah Di Hati (Datuk Siti Nurhaliza) banyak membantunya dalam menghasilkan lirik-lirik yang mengandungi tema yang sarat dengan elemen ketuhanan.

Utusan

12 Rebut Anugerah Seri

Nasional
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
12 rebut Anugerah Seri
Oleh Hanisah Selamat, Rozdan Mazalan dan Mohamad Fairoz Azizan
bhnews@bharian.com.my
2011/11/24
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

ANTARA artis bergambar pada majlis sidang media meraikan 25 tahun puncak kegemilangan Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Subang, semalam.

Foto

HANIZAM (dua dari kiri), Mior Kamarul (tiga dari kiri), Azhar dan Pengurus Besar Ederan Tan Chong Motor Aven Yong (tiga dari kanan) memotong kek sempena ulang tahun yang ke 25 ABPBH.

Trofi istimewa sempena ABPBH 25 tahun disertai semula artis paling popular

SUBANG JAYA: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 pada 8 April tahun depan memperkenalkan Anugerah Seri Perak sempena sambutan ke-25 tahun acara berprestij itu dengan membariskan 12 Bintang Paling Popular sepanjang 1990 hingga 2010 untuk bertanding semula merebut gelaran itu.
Anugerah khas sempena ulang tahun jubli perak majlis pengiktirafan tahunan anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) itu bakal ditentukan peminat menerusi undian.
“Trofi istimewa ini ialah antara penghargaan kepada bintang paling unggul sepanjang zaman, sekali gus menyemarakkan sambutan ABPBH yang ke-25. Seperti biasa, ABPBH terus memberi pengiktirafan kepada semua penggiat seni, sekali gus meletakkan martabat artis dan personaliti tanah air pada tahap sepatutnya,” kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola, Zainuri Misfar yang juga Editor Hiburan Berita Harian, pada sidang media di Hotel Holiday Villa & Suites Subang, di sini semalam.

Hadir sama Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011 yang juga Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan, Hanizam Abdullah.

Sementara itu, daripada 560 nama, hanya 320 calon membabitkan pelakon, penyanyi, pengacara TV dan penyampai radio dipilih untuk berada dalam senarai awal 15 kategori yang dipertandingkan, seterusnya berpeluang mara ke peringkat lima terakhir menerusi undian peminat.

“Jika dulu kami menerima pencalonan asalkan mereka mempunyai produk sepanjang tempoh disyaratkan, kini kita melakukan saringan awal berdasarkan syarat lebih ketat, iaitu album, drama, filem, rancangan radio, program TV atau nama mereka yang benar-benar dikenali dalam industri ini,” katanya.

Senarai calon berserta borang pencalonan awal kempen undian ABPBH 2011 disiarkan Berita Harian/Berita Minggu bermula esok hingga 29 Disember untuk membolehkan peminat serta pembaca memilih lima finalis bagi setiap kategori.
Pembaca perlu mengumpul tujuh borang undian sebelum mengirimkannya.

Kali ini, penganjur turut melebarkan cabang pertandingan dengan mengadakan undian lima kategori sampingan secara online bermula Januari, iaitu Anugerah Muat Turun Mobile, Artis Wanita Paling Popular Online, Artis Lelaki Paling Popular Online, Pakaian Selebriti Terbaik Sepanjang 25 Tahun ABPBH dan Artis/Selebriti Asia Popular Online.

Kempen pusingan awal majlis bertemakan Big, Bolder & Silver membabitkan saingan perfileman, muzik dan penyiaran itu dijangka mendapat sokongan padu pembaca hingga malam kemuncak di Genting Highlands. Bagaimanapun, tahun ini kategori Artis Nasyid Popular yang diperkenalkan pada 1998/1999 digugurkan.

Penerima gelaran Bintang Paling Popular akan menerima ganjaran lumayan termasuk kereta Nissan Teana 2.5, manakala pemenang kategori pembaca menerima Nissan X Gear tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCMSB).

Turut menjadi penaja ABPBH2011 ialah Hotel Holiday Villa & Suites Subang, Genting Resort World, Rafflesia Mandalay serta Euro Moda daripada Gulatis, manakala TV3 dan HotFM sebagai penyiar rasmi.

INFO

Artis Kategori Anugerah Seri Perak:

Aishah, Zainal Abidin, Eman Manan, Datin Sofia Jane, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi, Nabil, Shaheizy Sam

Kategori ABPBH2011

Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Komedi Lelaki Popular, Artis Komedi Wanita Popular, Pengacara TV Lelaki Popular, Pengacara TV Wanita Popular, Penyampai Radio Lelaki Popular, Penyampai Radio Wanita Popular, Artis Baru Lelaki Popular serta Artis Baru Wanita Popular.

Berita Harian

Bezakan Lawak Dan Lakon Lawak

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN


Lawak Adlin Aman Ramli pada minggu lepas tidak ‘menangkap’.

RAMAI yang tidak puas hati apabila pelawak, Jalil Hamid disingkirkan pada minggu lepas, minggu keempat Maharaja Lawak Mega (MLM).

Perjalanan Jalil yang terkandas itu dianggap tidak sepatutnya berlaku kerana jika diukur kemampuan lawak yang dipamerkan, dia harus beraksi pada minggu kelima.

Pada minggu lepas, selain Jalil, dua lagi peserta menduduki tiga tempat terbawah iaitu kumpulan Syok dan Hiro. Tetapi kedua-dua kumpulan itu terselamat.

Sebaik sahaja nama Jalil diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu keempat MLM Jumaat lalu, pelawak tanah air itu tenang dan tersenyum lalu mengangkat tangannya.

Sejak minggu pertama MLM bersiaran, sebagai peserta solo atau stand up comedian, Jalil sebenarnya telah melawak dengan baik.

Lawaknya mampu membuatkan penonton ketawa. Tetapi Jumaat lepas, pada minggu yang menghendaki peserta melawak dengan tema cinta, Jalil tersingkir.

Di atas pentas penyingkiran, dia diberi peluang untuk memberikan ucapan di hadapan juri yang terdiri daripada Zainal Abidin Hassan, Datuk Siti Nurhaliza dan seorang juri jemputan daripada Indonesia manakala Chef Wan tidak duduk di kerusi juri MLM minggu lepas.

Dengan jujurnya, Jalil selaku pelawak dan pelakon yang disegani ramai berkata: “Keupayaan seorang berfikir adalah berbeza dengan tiga orang berfikir.

“Keupayaan dua orang berfikir dengan seorang berfikir, saya rasa jauh bezanya.

“Cuma saya harap satu sahaja dalam mencari lawak ini. Kita perhatikan semula… lawak dengan lakon lawak adalah benda yang berbeza.

“Antara lakon lawak dengan lawak itu, saya rasa dapat difikirkan semula semoga ia menjadi satu bahan yang baik sebab antara komedi dengan komedi pun ada bezanya.”

Kenyataan Jalil itu perlu diberikan perhatian kerana 70 peratus markah peserta diberikan oleh para juri.

Bukan mahu mempertikaikan keputusan juri yang dilihat bijak sana tetapi apakah para juri mampu membezakan di antara lawak dengan lakon lawak kerana seorang pelawak, dia melawak dan bukannya berlakon lawak.

“Bagi saya, melawak berseorangan ini sesuai untuk persembahan tapi untuk dibawa bertanding, memang ia membebankan.

“Saya pula bergerak secara seorang. Cara penyampaian juga adalah berbeza dengan mereka yang datang secara berkumpulan.

“Cara tiga orang berfikir atau cara dua orang berfikir adalah berbeza dengan cara seorang berfikir,” kata Jalil ketika ditemui selepas pertandingan.

Ia membawa maksud yang cukup dalam untuk direnungkan sama ada oleh penonton mahupun juri pertandingan.

Jalil menambah, sejak dari minggu kedua menyertai MLM, dia merasakan satu tekanan kerana menyedari kehadirannya melawak secara solo, bukan satu perkara mudah.

“Cabaran memang hebat sehinggakan saya sukar untuk melelapkan mata pada waktu malam. Apa pun, keputusan juri malam ini adalah muktamad.

“Saya kini rasa lega sebab sudah tersingkir,” kata Jalil yang masih boleh mengukir senyuman biarpun ada di kalangan penonton MLM tetap tidak puas hati kerana beliau tersingkir pada minggu keempat.

Penyingkiran bukan dirancang

Melihatkan persembahan kesemua 11 peserta pada minggu keempat MLM, persembahan Adlin Aman Ramli tidak mencuit hati.

Jika dilihat daripada persembahan pada malam tersebut, rata-rata penonton tidak dapat ‘menangkap’ apa yang cuba disampaikan oleh Adlin.

Timbul persoalan, mengapa Adlin tidak disingkirkan? Apakah penyingkiran peserta itu dirancang?

Selaku penerbit MLM, Khairul Nizam Jamaludin berkata, tidak timbul sebarang isu penyingkiran peserta yang dirancang kerana pihak Astro benar-benar telus dalam sistem pemarkahan.

“Kami mempunyai pasukan audit yang betul-betul telus dalam sistem pemarkahan yang diambil daripada pihak luar.

“Ini bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah tepat dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Lagipun, 70 peratus keputusan terletak di tangan juri dan 30 peratus datangnya daripada undian penonton.

“Jadi isu penyingkiran yang dirancang ini tidak timbul kerana keputusan terletak di tangan juri.

“Ini melibatkan kredibiliti Astro itu sendiri dan bukan perkara main-main,” ujarnya.

Pada minggu keempat, kumpulan Boboi menduduki tempat teratas (70 markah) manakala kumpulan 3G dan Osbon berkongsi markah (66 markah), diikuti Bawal Power (BP) dan Saehu (62 markah).

Lain-lain, kumpulan dari Bandung, Indonesia, Bawel (61 markah), Pimai (60 markah), Adlin (53 markah), Hiro (53 markah) dan kumpulan Syok (49 markah).

Utusan