Intisari Rancangan Astro Ria
Isnin 18 Ogos 2008
6.00 Regimen 7080
7.00 Casa Impian
7.30 Ratu Sehari
8.00 LayaRIA
10.00 Kring Kring
10.30 Bolos
11.00 DramaRIA (Cinta Q)
12.00 LayaRIA Cuti Sekolah (Cinta Fotokopi)
2.00 Cinta & Keadilan
2.30 DramaRIA Merdeka (Bukit Lalang)
3.30 Dokumentari Anak Gemilang Malaysia (Profil Zaaba)
4.30 Koleksi Terbaik Gitu-Gitu Apek
5.00 P&C (Pandanganku & Ceritaku)
6.00 Bolos
6.30 DramaRIA (Cinta Q)
7.30 DramaRIA (Elit)
8.00 vaRIAsi (Mawi)
8.30 vaRIAsi (Datuk Siti Nurhaliza)
9.00 Bolos
9.30 DramaRIA (Cinta Q)
10.30 P&C (Pandanganku & Ceritaku)
11.30 Dokumentari Anak Gemilang Malaysia (Profil Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj)
12.30 LayaRIA Cuti Sekolah (Mak Andam Terlampau)
2.30 Idaman
3.30 P&C (Pandanganku & Ceritaku)
4.30 DramaRIA (Cinta Q)
5.30 Bolos
Utusan Malaysia
”Itu Fitnah! Saya Tak Mabuk” – Que Haidar
PENAMPILAN Que Haidar ketika hadir pada Anugerah Stail Eh! 2008.
MAJLIS Anugerah Stail Eh! 2008 anjuran majalah EH! di GSC The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu dikatakan tercemar gara-gara seorang artis.
Bintang yang dimaksudkan itu pelakon Que Haidar apabila dia dikatakan lalok dan bercakap merapu-rapu ketika dipanggil menyampaikan anugerah.
Dalam majlis itu Que bersama bekas bintang sukan berjaya Dr. Fara Hani Imran dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Malangnya ketika di atas pentas, pelakon itu dilihat bercakap perkara yang bukan-bukan dan menyanyi sesuka hati membuatkan penonton menjadi terkejut.
Bagaimanapun Dr. Fara Hani dikatakan berjaya mengawal keadaan daripada situasi pada hari itu menjadi bertambah buruk dan kelam kabut.
Gara-gara insiden itu, semua tetamu termasuk para artis membuat pelbagai andaian termasuklah menuduh Que Haidar mabuk pada majlis itu.
Lebih dari itu dia dikatakan ‘ting-tong’ atau tidak mampu mengawal diri kerana dipengaruhi dadah.
Untuk tidak membuatkan peminat terus tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku, saya berborak dengan Que agar segala persoalan yang dibangkitkan dijelaskan sendiri oleh tuan punya diri.
Daripada mendengar cakap-cakap belakang, jalan terbaik biarlah Que sendiri yang bercakap.
”Saya tidak lalok,” kata Que ringkas merungkai permasalahan tersebut. Ikuti penjelasan Que.
Saya tak pergi majlis itu tapi saya dengar ada kecoh-kecoh fasal Que. Apa yang berlaku tu?
Alah… itu majlis anjuran majalah Eh! Saya dipanggil sampaikan hadiah dengan seorang wanita yang bekerja sebagai doktor.
Tak kenal ke pasangan Que hari tu?
Tak kenal pun. Tak pernah jumpa. Yang saya tahu dia doktor. Itu saja.
Dengar cerita Que bercakap merapu. Kenapa jadi macam tu?
Masa doktor tu bagi ucapan, saya nampak dia bercakap laju sangat. Cakap orang putih pula tu. Saya tak sempat nak tangkap apa dia cakap sebab saya ni bukan ‘terror’ sangat Bahasa Inggeris ni. Masa dia cakap nak umumkan nama pemenang, saya dah jadi ‘blur’ bila saya tengok muka dia. Sebab itulah saya buat apa yang penonton perkatakan dan cakap-cakap pasal saya tu.
Abang Niezam tak tengok. Apa yang Que buat? Biar keluar daripada mulut Que sendiri daripada dengar orang bercakap di luar sana.
Saya cuma menyanyi lagu Sudirman. Pendek je saya nyanyi. Saya nyanyi ”terkapar-kapar ku kelemasan.” Saya menyanyi lagu tu sebab nak merujuk kepada ucapan doktor tu yang sebenarnya saya tak berapa faham. Lagipun sebelum ni orang kaitkan saya macam Sudirman. Itu saja.
Apa kaitan Nabila (anak Amy Search) yang dikatakan menjerit dari depan pentas?
Nabila kawan baik saya. Bila dia dengar saya menyanyi dia kata ”I love you Que”. Saya pun sambut ”I love you too.” Mungkin saya dan Nabila faham mesej kami iaitu sekadar bergurau atas pentas. Tapi malang sekali orang buat tuduhan lain pula kepada saya. Ingatkan nak jadikan majlis itu meriah dengan gelak ketawa tapi tak jadi. Kawan-kawan yang kenal saya memang faham saya sebenarnya cuba buat lawak atas pentas.
Yalah, selalunya Que Haidar tak macam tu. Tiba-tiba buat perangai yang lain dari kebiasaan. Ada orang kata Que ‘minum’ sebelum naik pentas. Apa komen Que?
Ehh… bang! Saya tak mabuk la. Itu semua fitnah terhadap saya. Bila orang buat tafsiran yang salah, dia orang melemparkan macam-macam tekaan yang seolah-oleh saya ni buat jahat. Saya tak macam tu bang. Percayalah.
Ada pula kata sebab ambil dadah. Tuduhan berat tu Abang Niezam tengok?
Jangan tuduh saya macam tu. Saya tak buat. Betul bang.
Selama ni Que tak pernah pakai cermin mata hitam di mana-mana majlis. Betul tak? Kenapa hari tu Que pakai. Ada yang kata Que nak ‘cover’ sesuatu.
Memang betul selama ni saya tak pernah pakai cermin mata hitam pun. Pada majlis itu kali pertama saya pakai. Sebabnya mata saya merah. Bukan ambil dadah, bukan mabuk. Saya tak cukup tidur sebab ada shooting. Masa pergi ke majlis tu, saya cuma sempat tidur dua jam saja gara-gara shooting Orang Minyak Naik Minyak. Tak mahu mata nampak merah kerana tak cukup tidur punya pasal, saya pakai cermin mata hitam. Itu saja. Tak sangka kerana itupun orang buat andaian yang salah.
Dah Que artis, memang macam tu. Apa yang dibuat mesti orang akan bercakap.
Saya boleh terima kenyataan itu. Saya pegang kepada satu saja iaitu kalau saya tak buat, buat apa saya nak takut. Siti Nurhaliza (Datuk) pun pernah lalui teruk lagi daripada pengalaman yang saya lalui. Cuma saya nak minta maaf kepada penganjur dan semua orang yang tak berpuas hati dengan tindakan saya. Kalau salah, saya minta maaf. Itu jalan terbaik. Tak ada niat nak rosakkan majlis orang.
Que tak takut lepas ni orang akan memberi macam-macam tanggapan serong kerana kejadian itu?
Kalau nak dengar cakap orang susahlah bang. Saya buat macam itu sebab nak hiburkan orang dan kawan-kawan saya. Tapi dianggap perosak majlis pula. Tak apalah… saya terima. Kita memang susah nak menggembirakan orang tapi kejadian itu memberi banyak pengalaman dan kesedaran kepada saya.
Que rasa sedih tak dengan apa yang berlaku?
Lepas kejadian itu ramai yang menegur saya. Tipulah kalau tak sedih. Tapi takkan selamanya saya nak sedih. Saya belajar daripada kesilapan. Ada juga artis yang kata saya ni kampung. Ya… saya mengaku saya ni orang kampung. Asal dari kampung. Cuma saya nak ucapkan terima kasih kepada kawan-kawan artis lain yang beri semangat kepada saya. Saya hargai semua itu. Sekarang dah tak sedih dah.
Apa yang Que harapkan selepas kejadian itu?
Saya tak mahu perkara ini terus berpanjangan. Saya nak minta maaf. Itu saja. Lepas ni saya harap saya tak buat kesilapan serupa lagi. Sekali lagi saya minta maaf. Saya tabah menghadapi ujian ini.
Utusan Malaysia
Kem Salleh Kagum Ciri-Ciri Praktikal Sylphy
Oleh ROSLAH OTHMAN
KEM Salleh mengakui Nissan Sylphy mempunyai ciri-ciri praktikal yang digemarinya.
NAMA Kem Salleh cukup sinonim dengan Kapas Couture. Idea dan konsep berbeza yang cuba ditampilkan antara faktor utama namanya terus meniti di bibir kalangan penggemar fesyen di negara ini. Beliau tidak hanya dikenali sebagai perancang perkahwinan yang kreatif tetapi berwibawa dalam menghasilkan rekaan mengikuti cita rasa pelanggan terutama bagi mereka yang sukakan gaya eksklusif dan tersendiri.
Di Kapas Couture, Kem atau nama sebenarnya, Kamarulzaman Salleh lebih menumpukan tugas sebagai perancang perkahwinan dan dekorasi sejak dua tahun lalu.
Kapas Couture diusahakan sejak 2001 secara kecil-kecilan. Pada tahun 2002 barulah butik Kapas Couture dibuka di Suria KLCC dan berpindah ke Great Eastern Mall, Jalan Ampang, sehinggalah ke hari ini.
Biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam industri ini, kerana minat dan disiplin diri yang sentiasa dipraktikkan, Kem mampu menghasilkan idea kreatif tersendiri dan menepati cita rasa masa kini. Dalam tempoh itu juga, Kem berjaya membawa perspektif baru dalam dunia hiasan pelamin dan majlis perkahwinan serba indah yang sebelum ini jarang diceburi oleh kaum Adam.
Sentuhannya bukan sebarangan. Bukan juga setakat pelamin ringkas yang kerap diserikan dengan bunga plastik, lampu neon warna warni atau permainan fabrik sebagai lakaran konsep.
Identitinya terserlah pada pemilihan gabungan warna putih, emas dan perak, selain perhiasan bergemerlapan yang diperbuat daripada kristal menjadi trademark. Gabungan idea kreatif Kem dan sahabatnya, Ashley Wong yang bertindak sebagai pereka fesyen menjadikan Kapas Couture berjaya membina label fesyen pilihan di kalangan orang ternama serta personaliti terkenal tanah air. Antaranya termasuklah Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura.
Berkongsi pengalaman, kata anak kelahiran Tengkara, Melaka ini, peranan yang dimainkan perancang perkahwinan amat penting kerana ia memudahkan pasangan menjayakan majlis. Dari kad kahwin hinggalah berbulan madu, perunding diperlukan. Secara ringkasnya dari A sampai Z khidmat perunding diperlukan.
Impian dan harapan Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Kem mempunyai tanggungjawab lain sebagai wakil pengarah di salah sebuah institut pengurusan di ibu negara yang berpengkalan di Manila, Filipina. Sebagai individu yang mempunyai disiplin tinggi dan bijak menguruskan masa, beliau tidak pernah menganggap melakukan dua kerja dalam satu masa sama menjejaskan tumpuannya.
Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan pencapaiannya sekarang, kata Kem: ”Secara jujur saya bersyukur dengan apa yang diperoleh hari ini. Ini kerana mempunyai kerjaya yang berlatarbelakangkan kelulusan, pada masa sama kerja yang dilakukan kerana minat.
“Bagaimanapun kepuasan untuk terus menyumbang idea, tenaga dan wang ringgit kepada individu yang memerlukan masih belum dicapai sepenuhnya.”
Kem juga memasang impian lain iaitu mahu mengacarakan rancangan realiti yang lebih kepada gaya hidup dan membuka sebuah kafe berkonsepkan Kapas Couture satu hari nanti.
Peluang memandu Nissan Sylphy Menyifatkan dirinya seorang yang sederhana, namun sentiasa mahu tampil bergaya dan sempurna, Kem mengakui ia banyak diaplikasikan dalam kehidupan termasuk kediaman dan kenderaan peribadi.
Bercerita mengenai kenderaan peribadi, kata Kem, beliau lebih suka menggunakan satu kenderaan sahaja untuk memudahkannya bergerak ke sana sini.
”Apa yang penting ia sebuah kenderaan yang praktikal,” ujarnya yang lebih menggemari gaya sporty.
Berpeluang memandu uji Nissan Sylphy baru-baru ini, Kem mengakui kenderaan tersebut dilihat mempunyai ciri-ciri praktikal yang digemari.
Selain membolehkan penumpang tidak merasai langsung setiap kali pertukaran gear dilakukan, enjin juga bergerak lancar.
”Lebih penting dari segi prestasi, enjin serba aluminium 2.0L CVTC dengan teknologi XTRONIC CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan) itu menjadikan Sylphy sebuah jentera yang menjimatkan dengan penggunaan minyak sejauh 16 kilometer bagi satu liter petrol,” ujarnya.
Utusan Malaysia
Irama Lagu, Lirik Senada HSKU 2007
Oleh ABD. AZIZ ITAR aziz.itar@utusan.com.my
NOR Mohamed YACKOP (kiri) dan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (dua dari kanan) beramah mesra dengan seniman-seniman tersohor negara, Mustapha Maarof (kanan), Jins Shamsuddin (tiga dari kanan), A. Samad Said (tiga dari kiri) dan Datuk Rahim Razali (dua dari kiri) pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2007 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
IRAMA dan lagu bukan sahaja seperti aur dengan tebing yang sukar dipisahkan, tetapi ia juga amat rapat pertaliannya dengan dunia kesasteraan yang tinggi nilai bahasa serta budayanya.
Justeru, tidak hairanlah nilai hiburan yang antara lain berteraskan lirik dan lagu seakan-akan senada alirannya dengan majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil 2007 (HSKU 2007) yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis itu, HSKU 2007 bukan sahaja memberikan anugerah kepada para pemenang hadiah novel, cerpen dan puisi tetapi ia turut dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular tanah air termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Hubungan sastera terutamanya puisi pada malam itu misalnya, diungkap pada persembahan penyanyi kelahiran Singapura, Ferhad yang mendendangkan lagu berjudul Kukoo.
Pada persembahan penuh bertenaga itu, Ferhad telah berduet dengan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang turut membacakan puisi sambil diselang-selikan dengan alunan irama hip hop yang kedengaran begitu santai sekali.
Kombinasi serta idea yang diketengahkan oleh Ferhad dan Sasterawan Negara menerusi lagu itu secara tidak langsung telah mengangkat martabat puisi melalui medium yang lebih meluas dan popular terutamanya dalam nafas baru.
Paling menggamatkan ruang dewan pada itu apabila Siti Nurhaliza tampil ke pentas dengan menyanyikan lagu bertajuk Biarlah Rahsia.
“Sebenarnya Siti pun memang minat dengan sastera termasuklah mencuba-cuba untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan lirik lagu. Lirik lagu Biarlah Rahsia ini merupakan salah satu karya ciptaan Siti,” katanya sebelum menyampaikan lagu tersebut.
HSKU 2007 bukan setakat mengaitkan anugerah itu dengan bidang nyanyian, tetapi anugerah yang masuk tahun ke-23 penganjurannya itu turut membabitkan bidang lakonan tanah air.
Pendekatan itu jelas diperlihatkan apabila anugerah sastera anjuran Kumpulan Utusan itu tidak ketinggalan menjemput beberapa tokoh perfileman tempatan bagi menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang juga pelakon veteran Tan Sri Jins Shamsudin dan Datuk Mustapha Maarof contohnya, diberi penghargaan untuk terbabit sama pada majlis penyampaian anugerah yang berprestij tersebut.
Selain penyampaian anugerah, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yackop yang menjadi tetamu kehormat pada malam itu tidak ketinggalan melancarkan koleksi novel yang memenangi anugerah pada malam itu.
Lima novel remaja yang dilancarkannya itu bertajuk Warisnya Kalbu, Tawarikh Cinta, Baromkeh Matamu Di Mataku, Dari Suatu Tikungan Lorong dan Wira Mandala Hijau.
Hadir sama majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Hashim Makaruddin, Pengarah Eksekutifnya, Mohd. Nasir Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HSKU 2007, Roselina Johari.
Utusan Malaysia
“Siti Rindu Soalan Nakal Media”
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my
Tiga beradik berjiwa seni. Dari kiri Siti Saerah, Siti Nurhaliza dan Siti Nursaida. Ketiga-tiga Siti ini juga menyimpan hasrat untuk merakamkan album keluarga satu hari nanti.
LAMA benar Datuk Siti Nurhaliza tidak muncul di dada media. Selepas kekecohan isu perpindahannya dari sebuah kondominium ke banglo mewah di Bukit Antarabangsa, artis popular itu bagaikan membawa diri.
Ada soalan-soalan nakal yang bertanya apakah Siti merajuk dengan media?
Dan pada satu pertemuan dengan artis tersohor itu sebelum mengadakan persembahan di Laman Seni, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti tergelak menjawab soalan yang ditanyakan padanya.
“Tak adalah merajuk. Sebaliknya, Siti rindu soalan-soalan nakal daripada rakan-rakan media,” jawab Siti mengenai tanda tanya wartawan dan peminat-peminatnya mengenai kehilangannya selama ini.
Soalan-soalan nakal? Apa yang dimaksudkan oleh Siti?
“Kalau dulu sebelum Siti kahwin, kawan-kawan wartawan pantang jumpa mesti tanya bila nak kahwin.
“Kalau bukan soalan kahwin, soalan peribadi yang kadang-kadang Siti sendiri susah nak jelaskan. Selepas mendirikan rumah tangga, ada kalanya Siti akan teringat momen-momen manis yang Siti lalui ketika hidup bujang.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah, sehingga kini hubungan Siti dengan rakan-rakan wartawan masih baik dan Siti mengharapkan ia akan kekal sampai bila-bila,” tambah Siti yang juga terkenal sebagai artis yang gemar menyakat wartawan.
Isteri kepada usahawan Datuk Khalid Mohammad Jiwa itu yang semakin langsing menjelaskan, buat masa ini beliau lebih senang mendiamkan diri lantaran tiada berita menarik untuk dikongsi dengan masyarakat.
Apa lagi, dengan kedudukannya sebagai isteri yang sering dihambat oleh masa menyebabkan Siti mahu memberi tumpuan yang sepenuhnya menguruskan suami.
Tambahan pula, selepas menetap di banglo mewah yang tersedia 13 bilik tidur menyebabkan Siti perlu menyesuaikan diri.
“Semuanya berjalan lancar. Kehidupan Siti lebih tenang. Selain suami, ibu dan ayah mertua Siti juga menetap bersama kami di rumah itu. Jadi, Siti mahu meluangkan masa kualiti dengan keluarga,” jelas penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Jerat Percintaan pada tahun 1996.
Sesekali bila ada masa terluang, Siti selesa memanjakan diri dengan spa, salon dan membeli-belah.
Semua itu katanya, bagaikan terapi untuk dirinya mengisi masa lapang.
“Dahulu ketika sibuk dengan jadual seni, Siti tidak pernah memiliki peluang berbuat semua itu. Kini, masanya untuk Siti memberi tumpuan pada diri Siti pula dan ternyata ia sangat menyeronokkan,” katanya sambil memberitahu gaya hidupnya tidaklah begitu ekstrem elit seperti mana wanita mewah lain sebagai yang didakwa sesetengah pihak.
Ketika tiada anak kecil untuk dibelai dan dimanja, Siti berkata, itulah caranya mengisi masa lapang lebih-lebih lagi ketika suami sibuk memberi tumpuan pada perniagaannya.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, sudah tentu Siti juga akan menimang cahaya mata, cuma Tuhan belum kurniakan anak buat Siti. Kalau ada Siti tentu akan beritahu anda semua (wartawan),” jawab Siti seakan mengerti soalan yang mahu ditanya.
Pada masa yang sama, anak jati Pahang itu juga berkongsi kasih sayang yang dijalin dengan suami tercinta masih utuh dan Siti begitu mensyukuri dengan kurniaan Ilahi.
Bakal masuk studio rakaman
Selepas leka berbual mengenai kehidupan personal, Siti mengalih perhatian pada kerjaya seninya yang bakal memasuki fasa baru menjelang hujung tahun ini.
Seiring dengan kematangan yang dicapai dalam industri hiburan selama lebih sedekad, Siti sudah bersedia untuk melalui satu lagi transisi dalam proses pembikinan album terbarunya.
Menjelang hujung tahun ini, Siti akan muncul dengan album solo yang menyaksikan kerjasama beliau dengan komposer-komposer senior tanah air.
Kalau dahulu, komposer Adnan Abu Hassan merupakan orang paling penting mencorakkan kerjaya seninya, kali ini, Siti akan kembali bergabung dengannya.
Kekaguman Siti terhadap sifu M. Nasir juga memperlihatkan kerjasama kedua-dua mereka.
Komposer lain yang juga menyumbang lagu untuk album terbaru Siti ialah Fauzi Marzuki, Zubir Ali dan lain-lain lagi.
Kesemua komposer itu bersepakat menghasilkan lagu terbaik hadiah buat Siti pada bengkel lagu Berirama Malaysia Cipta Ekspres anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 14 hingga 17 Januari lalu.
Menjangkakan album terbarunya itu bakal dipasarkan hujung tahun ini, Siti menyatakan kegembiraannya dapat merakamkan lagu-lagu ciptaan komposer-komposer hebat itu.
“Siti dah tak sabar nak masuk studio sebenarnya,” ringkas Siti menggambarkan keghairahannya untuk kembali ke studio rakaman.
Sokongan buat kakak, adik
Biarpun sibuk memberi tumpuan pada urusan rumah tangga dan kerjaya seni, Siti juga pada masa yang sama tidak terlepas memberi sokongan moral buat kakaknya, Siti Nursaida yang merupakan bintang Akademi Fantasia 6 serta adiknya, Siti Saerah.
Menurut, sebagai artis berpengalaman, beliau terpanggil untuk memberi sokongan buat kedua-dua saudaranya itu.
Dan bagi Siti Nursaida, sokongan moral adik kesayangannya membuatkan dia semakin yakin untuk melangkah ke persada seni.
“Bertuah dan bersyukur kerana saya bergelar kakak kepadanya. Walaupun ada yang berpendapat saya menumpang popularitinya, itu semua saya anggap sebagai resam dalam industri hiburan.
“Saya melihat dari dekat bagaimana Siti berusaha untuk sampai ke kedudukannya hari ini dan saya akan jadikan kejayaan Siti sebagai motivasi buat saya,” ujar Siti Nursaida.
Hal yang sama disuarakan oleh Siti Saerah yang sukar menyembunyikan rasa bangga pada kakaknya yang juga artis nombor satu negara.
“Doa dan sokongan kak Siti (Siti Nurhaliza) terhadap saya merupakan hadiah yang paling berharga buat saya,” ujar Siti Saerah yang bakal berduet dengan Siti Nursaida dalam sebuah lagu yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.
Powered by Utusan Malaysia
Muslee Berjaya Zahirkan P. Ramlee
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my
SEPERTI yang kita semua sedia maklum, bukanlah satu kerja yang mudah untuk mengangkat kisah hidup, kerjaya dan cinta Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mungkin tidak pernah kita ketahui sebelum ini di atas pentas untuk untuk dipertontonkan kepada khalayak.
Namun, itu merupakan satu cabaran yang cukup besar dan ia telah berjaya ditangani dengan baik oleh Enfiniti Productions Sdn. Bhd. (EPSB) untuk ‘menghidupkan’ kembali Seniman Agung itu menerusi teater muzikal mega, P. Ramlee the Musical (PRM).
Sesiapapun tidak mampu menyangkal keberanian dan semangat yang ditunjukkan oleh penerbit eksekutif EPSB, Datin Seri Tiara Jacquelina kerana dia sememangnya begitu yakin dan berani bahawa teater muzikal kedua terbitannya itu mampu mencipta kejayaan yang cukup luar biasa sebagaimana Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) dua tahun lalu.
Malah, wanita bersemangat waja ini menjanjikan bahawa penonton kali ini akan pasti berasa puas dengan pementasan PRM musim kedua yang sudah pun bermula sejak 28 Jun lalu.
Tambahan pula, dengan mempertaruhkan Musly Ramlee yang tidak mempunyai nama besar sebagai P. Ramlee, sewajarnya, Tiara memang begitu optimistik dengan segala yang telah dilakukannya.
Apa yang pasti, Tiara tidak memungkiri janjinya apabila pementasan musim kedua PRM sememangnya cukup hebat dan fantastik sehingga penonton yang hadir pada malam pembukaan PRM tempoh hari terasa bagaikan P. Ramlee dan era kegemilangannya kembali wujud dan bernyawa.
Memang benar kata Tiara sebelum ini, PRM yang baru ini adalah lebih sesuai untuk dilabelkan sebagai pementasan yang baru dan bukannya musim kedua.
Perubahan terhadap jalan ceritanya lantas menjadikan perjalanan PRM lebih pantas, kemas dan mudah difahami.
Pelbagai emosi yang dialami sewaktu menonton PRM kali ini. Katakan sahaja baik gembira, sedih, tawa dan tangis semuanya cukup lengkap dalam pementasan ini.
Mungkin tidak wajar untuk membandingkan PRM yang terbaru ini dengan musim terdahulu kerana kedua-duanya ditampilkan dengan pendekatan yang berbeza baik pemegang wataknya mahupun dari segi muzik yang ditampilkan.
Tidak keterlaluan dikatakan PRM kali ini terletak pada kehebatan lakonan Musly sebagai P. Ramlee yang berjaya menghidupkan watak ikon negara itu dengan gayanya yang saling tidak tumpah seperti legenda itu. Kedengaran ada juga yang berbisik, “Dia memang macam P. Ramlee lah.”
Percaturan Tiara untuk mempertaruhkan Musly sememangnya tidak pernah silap dan aktor itu diramalkan menjadi seorang bintang besar satu hari nanti.
Mungkin kerana sudah lebih sedekad dia membawa imej P. Ramlee ke mana sahaja dia pergi dalam membuat persembahan, ternyata ia tidak memberikan masalah buat Musly untuk menzahirkan P. Ramlee di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
Memang dapat dilihat lakonan dan nyanyian Musly begitu bagus serta menghampiri tahap sempurna dan walaupun hanya diberikan tempoh kurang dari sebulan untuk sesi latihan, Musly memang cukup berdedikasi dan segala usaha serta keringat yang dicurahkannya itu sudah cukup jelas dapat dilihat menerusi persembahannya.
Meremang bulu roma saat Musly mendengarkan nyanyiannya terutama sekali apabila dia mendendangkan lagu Hujan Di Tengahari dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti.
Penghayatannya menerusi kedua buah lagu ini begitu bagus sehingga menusuk ke jiwa dan terasa penderitaan dan kesedihan yang dialaminya apabila kedua-dua isterinya, Junaidah (lakonan Atilia) dan Norizan (Melissa Saila) meninggalkannya kerana tidak dapat menerima suami mereka merupakan figura hebat dan popular.
Kehadiran Musly ternyata meningkah kata-kata orang bahawa dia hanya mampu meniru gaya P. Ramlee tetapi PRM sebenarnya telah menyerlahkan bakat Musly untuk menjadi seorang artis yang versatil.
Bukan itu sahaja, keserasian Musly dengan empat pelakon wanitanya juga terjalin dengan baik dan dapat dilihat mereka tiada masalah untuk bergandingan bersama. Malah, pengaliran watak masing-masing juga berjalan dengan lancar.
Namun bak kata Musly, untuk membawakan watak P. Ramlee memang bukan satu masalah buatnya tetapi, untuk menyakinkan penonton dalam memberikan persembahan terbaik buat penonton membikin hatinya gundah-gulana.
“Perasaan saya tiada siapa yang tahu dan apa yang saya harapkan kini, adalah sokongan dari semua pihak. Saya memilih untuk melibatkan diri dalam teater ini bukanlah bertujuan untuk disanjung dan dipuja tetapi untuk membudayakan masyarakat hari ini tentang P. Ramlee.
“Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak ternyata memberi satu pengalaman baru buat saya untuk membuat lebih baik lagi untuk pementasan ini. Seandainya, penonton menganggap saya adalah jelmaan P. Ramlee, itu adalah penerimaan mereka kepada saya.
“Apa yang buat saya gembira adalah segala perit jerih saya semuanya berbalas apabila menerima segala kritikan dan komen positif dari orang ramai,” kata Musly atau nama sebenarnya Musly Amir Mohamed Ramli merendah diri.
Selain Musly, pelakon utama yang lain iaitu Liza Hanim yang memegang watak sebagai Saloma dan Atilia juga tidak kurang hebatnya.
Sungguh jelas menampakkan lakonan dan penghayatan mereka telah banyak berubah. Tidak nampak mereka kekok mahupun ‘ketakutan’ di atas pentas sebagaimana pada musim pertama tahun lalu.
Ada beberapa adegan lakonan Liza dan Atilia juga berjaya mengundang hilai tawa di kalangan penonton yang menyaksikan telatah mereka di atas pentas yang ternyata berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan jayanya.
Malah, nyanyian mereka juga begitu jelas dan terang sehingga penonton dapat merasakan apa yang mereka cuba sampaikan menerusi watak mereka itu.
Kemunculan Melissa pula sebagai Norizan yang paling dinantikan dan ternyata, dia kembali dengan lebih hebat lagi.
Banyak perubahan yang dapat dilihat menerusi wataknya itu namun, meninggalkan kesan yang cukup berbekas sebagai seorang isteri yang hatinya begitu kosong tanpa belaian daripada seorang suami yang merupakan insan seni yang dipuja.
Percubaan Emelda Rosmila yang menggantikan Datuk Siti Nurhaliza dalam memegang watak Azizah juga tidak kurang menariknya dan masih ada ruang lagi memperbaiki kelemahan kecil seperti mimik muka, penghayatan serta lontaran suara.
Mungkin disebabkan tahun lalu watak Azizah yang dipegang oleh Siti tidak boleh dikembangkan lagi kerana imej dan prinsip Siti, namun, kali ini, penonton akan dibuai dengan kisah cinta Azizah dan P. Ramlee yang dibuat dengan lebih mesra lagi.
Sememangnya dia bukan dilahirkan sebagai penyanyi tetapi dia mampu membawakan lagu Mulanya Cinta dengan gayanya yang tersendiri.
Jika tahun lalu, PRM mempertaruhkan Erwin Gutawa dengan barisan orkestra yang memberikan dimensi baru kepada pementasan teater muzikal tempatan, kali ini, dengan sentuhan magis Roslan Aziz bersama sebelas pemuzik iringan dan lapan orang penyanyi latar, ia telah menjadikan PRM kedengaran sungguh hebat sekali.
Siapa yang mampu menidakkan kehebatan Roslan yang sememangnya terkenal dengan susunan serta gubahan muziknya yang luar biasa itu.
Apatah lagi, lagu-lagu P. Ramlee merupakan santapan jiwanya, tiada masalah buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjadikan muzik PRM sebagai satu magis yang ternyata memukau penonton pada malam itu.
Seperkara lagi adalah barisan ensemble PRM juga telah memberikan persembahan yang menarik dengan gerak tari mereka yang dilihat begitu sempurna.
Ternyata dedikasi dan kesungguhan mereka dalam menghiburkan penonton sememangnya cukup terserlah dan segala kerja keras mereka berbaloi.
Kesimpulannya, PRM kali ini sememangnya puas ditonton dan segala-galanya adalah sempurna.
Naskhah karya Adlin Aman Ramlie ini yang juga bertindak sebagai pengarah telah berjaya diangkat dengan sempurna.
Dengan dibantu oleh Datuk Zahim AlBakri, PRM ‘wajib’ ditonton oleh masyarakat kita untuk terus mengenang P. Ramlee yang telah banyak berjasa dalam mencipta kegemilangan industri hiburan tanah air.
PRM memberi nyawa kepada penghidupan P. Ramlee untuk kita merasai kegembiraannya saat di puja dan diletakkan di tahap yang begitu tinggi.
Kesedihannya juga dapat kita rasai apabila dia pergi meninggalkan kita dengan hati yang hancur luluh apabila dia tidak lagi dihargai pada sisa-sisa hidupnya yang terakhir.
Pementasan muzikal PRM ini akan berlanjutkan sehingga 14 Jun ini di Istanan Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Powered by Utusan Malaysia
Kisah Siti Di Banglo Mewah
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN (Emel: ent_editor@kosmo.com.my)
INILAH rumah banglo mewah milik Datuk K yang sebelum ini didiami Tengku Zawyah.
ORANG luar boleh berkata apa saja, tetapi realitinya hanya empunya diri yang tahu segala kebenarannya.
Justeru apabila kecoh kisah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dikatakan sudah berpindah ke banglo mewah yang pernah didiami suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) bersama dengan bekas isteri, banyak kisah yang sebenarnya orang luar kurang arif tetapi masih sibuk berkata macam-macam.
Lebih mendukacitakan lagi, penyanyi ini sendiri diterjah dengan pelbagai kata-kata kurang elok, selepas dia dikatakan berpindah ke rumah bernilai lebih RM6 juta itu baru-baru ini.
Banglo berkenaan sebelum ini didiami oleh bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah Tengku Izham dan anak-anak selepas perceraian pada tahun 2005.
Bagaimanapun Pancaindera difahamkan Tengku Zawyah membuat keputusan untuk berpindah beberapa bulan lalu ke satu lokasi lain sementara menanti kediaman barunya di Kemensah, Selangor disiapkan penghujung tahun ini.
“Perpindahan Tengku Zawyah tidak ada kaitan dengan Siti dan saya. Tengku sendiri yang mahu berpindah. Insya Allah hujung tahun ini rumah baru dia akan siap di Kemensah dan dia akan tinggal bersama anak-anak,” kata Datuk K kepada Pancaindera menjelaskan sebab musabab bekas isterinya itu berpindah ke banglo berkenaan.
Oleh kerana banglo itu tidak berpenghuni, Datuk K mengajak kedua ibu bapanya, Siti Zainah Hanafi dan Muhammad Jiwa Abdullah berpindah ke situ beberapa bulan kemudian.
Dan atas permintaan Datuk K, semenjak awal Mei lalu Siti menyatakan kesudiannya untuk berulang alik ke banglo itu sekali gus bersama-sama menjaga Muhammad Jiwa yang menghidap strok.
“Memang benar Siti selalu ke banglo itu. Tetapi Siti belum pindah sepenuhnya. Banyak lagi barang Siti di kondominium kami,” kata Siti kepada Pancaindera.
Menurut Siti dia perlu akur dengan apa juga kata- kata orang luar yang mungkin membuat pelbagai tanggapan kepada dirinya selepas ini. Bagaimanapun sebagai manusia biasa dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak apatah lagi melarang mereka dari berkata buruk tentang dirinya.
“Tak perlulah orang luar pula yang buat spekulasi tentang diri Siti. Orang selalu dengar benda yang buruk saja, tak baik macam itu, tak sihat untuk mereka sendiri.
“Siti tahu apa yang Siti buat. Dan sebagai isteri, Siti akur dengan apa juga keputusan yang suami Siti buat untuk kami sekeluarga,” katanya.
* Kekok di rumah baru
Menceritakan tentang pengalamannya menjejaki rumah mewah itu, kata Siti pada awalnya dia merasa agak kekok serta kurang selesa.
Ini kerana semenjak berkahwin dengan suaminya itu, mereka cukup selesa di ruang kondominium penthouse sambil sesekali dilawati anak-anak tirinya.
“Mula-mula dulu Siti pun rasa kurang selesa. Sampai sekarang Siti masih dalam peringkat menyesuaikan diri, sebab tak rasa macam rumah sendiri.
“Tetapi tak apalah, sebagai isteri Siti kena akur, perlu ada persefahaman dengan suami dan ikut mana yang dia fikirkan baik,” katanya.
Pancaindera difahamkan sebelum ini Datuk K berhasrat untuk membina sebuah banglo lain untuk Siti.
Banglo yang dikatakan berharga hampir RM10 juta itu sedang dalam peringkat perbincangan awal dengan pihak arkitek. Dan bagaimana pula dengan perancangan berkenaan? Apakah banglo khas untuk Siti Nurhaliza itu bakal terbina atau sebaliknya?
“Belum tahu lagi. Buat masa sekarang keutamaan saya ialah kepada ayah yang sedang sakit. Semasa saya membina rumah ini (banglo di Bukit Antarabangsa) saya berhasrat untuk membawa ibu bapa saya tinggal bersama.
“Dan Alhamdulillah sekarang hajat saya tercapai untuk membawa ibu bapa saya ke rumah saya ini. Hal yang lain tu biarlah kami fikirkan kemudian” kata Datuk K lagi.
Powered by Utusan Malaysia
Siti Ada Sebab Pindah Ke Banglo
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my
INILAH banglo mewah di Bukit Antarabangsa yang didiami oleh Khalid Mohammad Jiwa bersama isterinya, Siti Nurhaliza yang menjadi perbualan ramai.
BIARLAH orang buat spekulasi. Siti tidak berupaya untuk menghalang orang bercakap apa saja mengenai diri Siti.”Itu merupakan luahan yang entah berapa kali disuarakan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza merujuk kepada cakap-cakap orang mengenai dirinya.
Menyedari kedudukannya sebagai artis ternama tanah air, Siti hanya mampu untuk membiarkan dirinya menjadi topik perbualan ramai.
Terbaru, isteri kepada usahawan Datuk Khalid Mohammad Jiwa itu diheret sekali lagi dalam isu kehadirannya sebagai penghuni baru banglo mewah bernilai RM6 juta di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur yang pernah didiami Khalid dan bekas isteri pertamanya, Tengku Zawyah Tengku Izham.
Ada pihak yang mempertikaikan kenapa Siti sanggup menghuni kediaman itu sehingga menghukumnya sebagai seorang wanita yang zalim.
Hakikatnya, tiada siapa yang cuba memahami kedudukannya sebagai seorang isteri kepada usahawan yang membina rumah itu.
Pada satu pertemuan eksklusif dengan pasangan suami isteri itu di banglo RM6 juta berkenaan kelmarin, Siti dan Khalid sugul memikirkan kenapa isu itu terus ditiupkan oleh pihak-pihak yang seperti mencemburui kebahagiaan mereka berdua.
Bagi Khalid, beliau masih boleh bersabar kerana isu itu agak remeh kerana sebagai seorang usahawan sudah banyak sepak terajang dalam bidang perniagaan yang dilaluinya.
Namun melihat kerisauan isteri tercinta, Khalid memohon pengertian semua pihak agar menghentikan segala tohmahan dan dakwaan yang tidak berasas terhadap mereka berdua.
Kata Khalid, beliau tidak pernah menafikan hakikat banglo itu menyimpan banyak kenangan antaranya dengan Tengku Zawyah.
Pada masa yang sama, Khalid berkata, beliau sangat realistik bahawa pengalaman hidup dengan Tengku Zawyah sudah berlalu.
Sementelah Khalid pula kini sudah mempunyai kehidupannya sendiri, begitu juga dengan bekas isterinya.
Dan beberapa bulan lalu, Tengku Zawyah juga ujar Khalid, memilih untuk berpindah dari mendiami kediaman itu ke rumah lain.
“Oleh kerana dua orang anak kami tidak tinggal di banglo itu kerana belajar di luar negara dan seorang lagi di asrama, maka Tengku Zawyah merasakan dia kurang selesa untuk tinggal di rumah sebesar itu.
“Jadi, dia membuat keputusan untuk berpindah dan saya harus menghormati keputusan yang dibuatnya,” terang Khalid menafikan dakwaan kononnya beliau punca bekas isterinya itu membawa diri keluar dari banglo yang merupakan harta sepencarian mereka sebelum bercerai pada 2005.
Khalid juga memberitahu, segala urusan perpindahan Tengku Zawyah dilakukan secara baik antara kedua-dua pihak.
“Daripada membiarkan rumah itu kosong, saya bawa Siti tinggal bersama saya. Kebetulan juga, ayah dan ibu saya menetap di situ.
“Di banglo ini juga, ayah saya yang sedang uzur ditempatkan. Saya mahu sentiasa bersama ayah saya, menjaga dia dan memastikan dia mendapat rawatan yang baik.
“Begitu juga dengan ibu. Saya tidak mahu berjauhan daripada mereka terutamanya pada saat-saat ini,” jelas Khalid lagi.
Ayahnya, Mohamad Jiwa Abdullah, 78, yang uzur kini dijaga oleh beliau selepas sekian lama menghidap penyakit strok.
Pada masa yang sama, Khalid juga berjanji akan menyerahkan banglo berkenaan kepada salah seorang anaknya apabila sampai masanya kelak.
Lalu, soal Khalid lagi, apakah menjadi kesalahan baginya membawa isterinya menetap di banglo itu.
“Saya sangat hairan kenapa masih ada orang mahu kecoh mengenai isu ini. Saya mohon pengertian semua orang agar memberi ruang kepada saya dan Siti untuk menguruskan kehidupan kami,” pinta Khalid berkali-kali.
Menurut Khalid, beliau sangat menghargai kesudian Siti untuk menetap di banglo itu biarpun ketika pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah yang bukan-bukan terhadap mereka.
Sementara itu, Siti pula dalam reaksinya memberitahu, sebagai seorang isteri, dia akan mengikut apa sahaja kehendak suami khususnya terhadap perkara-perkara yang boleh membawa manfaat kepada rumah tangga mereka.
“Siti juga ada perasaan, ada rasa tanggungjawab. Ini keputusan yang suami buat, mahu atau tidak, Siti harus ikut. Janganlah buat dakwaan sesuka hati,” kata penyanyi itu lagi.
Bagaimanapun, Siti secara peribadi mengakui, dia lebih senang untuk tinggal di kondominium mewah di Jalan Ampang yang selama ini didiaminya, namun Siti harus akur dengan keputusan suaminya itu.
“Tetapi sesekali kami balik juga ke kondominium yang kami tinggal sebelum ini,” sambung penyanyi yang kini semakin popular dengan lagu Melawan Kesepian ini lagi.
Paling utama kata Siti, selain daripada undangan daripada suami, hatinya juga terbuka untuk menetap di banglo berkenaan kerana menghormati ibu dan ayah mertuanya yang juga menetap di sana.
“Siti sangat gembira dan begitu selesa kerana ibu dan ayah mertua juga sama-sama menetap di sana.
“Sekurang-kurangnya, Siti juga berpeluang untuk menjaga kebajikan mereka berdua,” katanya lagi.
Khalid dan Siti mengharapkan penjelasan ini akan menoktahkan segala pandangan kurang enak sebilangan masyarakat yang barangkali kurang mengerti kedudukan mereka.
Powered by Utusan Malaysia
Seleksi Terbaik Siti, Kris
KOMEN: Saya percaya para peminat Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti tentunya tidak teragak-agak untuk membeli album kompilasi ini yang menampilkan dua penyanyi kesayangan ramai tersebut. Malah, bagi yang tidak meminati Siti dan Kris pula tidak rugi mendapatkannya kerana album ini menampilkan seleksi lagu terbaik dua penyanyi bersuara gemersik merdu dari Malaysia dan Indonesia itu.
Antara lagu terbaik Siti yang dimuatkan dalam album ini ialah Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Percayalah dan Purnama Merindu. Sementara, lagu-lagu terbaik Kris yang diketengahkan pula seperti Menghitung Hari, Mencintaimu dan Cobalah Untuk Setia. Lagu-lagu Siti dan Kris itu bukan sahaja tidak jemu untuk didengar tetapi kekuatan melodinya juga akan menjadikan lagu-lagu tersebut malar segar. Sukar untuk membandingkan mutu vokal dan gaya nyanyian dua penyanyi ini kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri. Cuma penyerlahan suara Kris lebih ketara apabila album ini menampilkan lagu duetnya dengan Melly Goeslaw berjudul Cinta dan bersama Ajai (Hati Ini Telah Dilukai). Menerusi lagu duet antara lain dapat memperlihatkan keunggulan suara Kris berbanding teman duetnya. Sayangnya, dalam album ini tiada lagu yang menampilkan duet Siti dengan penyanyi lain. Justeru, Siti berdiri atas suaranya sendiri bagi memperlihatkan keindahan melodi serta keupayaannya vokalnya ketika membawakan lagu-lagu dalam album ini. Cuma kekuatan kebanyakan lagu Siti turut dibantu oleh suara penyanyi latar contohnya, menerusi lagu Purnama Merindu. Terdapat 16 buah lagu dalam album dalam bentuk paket digipak ini siap dengan liriknya sekali. Lagu-lagu dalam album ini mungkin telah melalui proses adunan semula memperdengarkan kualiti bunyi dan susunan muziknya yang mampu memuaskan halwa telinga para pendengar.
Judul Album: 2 Diva
Artis: Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti
Konsep Muzik: Pop
Terbitan: Warner Music Malaysia dan Suria Records
Powered by Utusan Malaysia
Koleksi Lagu Dua Diva
GABUNGAN yang pastinya ditunggu-tunggu para peminat setia mereka. Kali ini Kris Dayanti dan Siti Nurhaliza ‘bersatu’ dalam sebuah album yang menampilkan lagu-lagu hits masing-masing.
Sesuai benarlah dengan keakraban mereka sebagai kawan dan artis, album ini juga merupakan julung kalinya pernah dibuat oleh pihak syarikat rakaman.
Tampil dengan 16 koleksi dengan harga RM29.90, ia juga bakal diterbitkan dalam bentuk VCD Karaoke yang mengandungi koleksi 12 buah klip video asli mereka dengan harga RM19.90.
Lapan lagu-lagu solo Siti yang terkandung dalam album ini adalah Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Purnama Merindu, Seindah Biasa, Bicara Manis Menghiris Kalbu, Debaran Cinta, Ku Milikmu dan Percayalah.
Sementara Kris pula, selain lagu-lagu solo popularnya turut memuatkan lagu-lagu duet bersama suaminya Anang, Ajai dan Melly Goeslaw masing-masing untuk lagu Makin Aku Cinta, Hati Ini Telah Dilukai dan Cinta.
Lagu-lagu solo Kris pula merangkumi lagu-lagu Menghitung Hari, Cobalah Untuk Setia, Mahadaya Cinta, Pilihlah Aku dan Mencintaimu.
Album: Dua Diva - Kris Dayanti & Siti Nurhaliza
Edaran: Warner Music Malaysia
Powered by Utusan Malaysia