Salam Lebaran…

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Lebaran buat semua.
Seperti kata-kata yang tertera dalam kad raya Siti, “Langit ramadhan membuka keampunan, Menjelang Syawal bulan kemenangan, Saudara dan taulan bersambutan tangan, Membina kukuh ikatan persaudaraan, Jauh dan dekat saling berhubungan, Berkirim Salam tanda ingatan, Ikatan mesra sempurnakan lebaran.”
Alhamdulillah, Syawal sudah hampir menjelang, Ramadhan meninggalkan banyak kenikmatan kepada kita semua. InsyaAllah hari-hari yang seterusnya segala nikmat dan kebaikan akan terus mengiringi kita semua. Sempena kedatangan bulan yang mulia ini, Siti ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada semua peminat di mana sahaja anda berada, semoga kita semua dapat meraikannya dengan penuh kesyukuran. Kesempatan yang ada di samping memohon maaf di antara satu sama lain, ziarah menziarahi, kita juga haruslah sentiasa mengingati golongan yang kurang bernasib baik. Keinsafan diri dan rasa penuh syukur harus ada dalam diri kita walaupun sedang bergembira menyambut hari kemenangan ini.
Jika tidak ada aral melintang, pada hari raya pertama tahun ini, Siti dan suami akan berhari raya di Kuala Lipis , Pahang sebelum ke Kedah pada hari berikutnya. Jika ada yang mahu bertandang ke rumah Siti, silakan kerana tahun lepas Siti tidak beraya di kampung Siti.
Tidak ada istilah rumah terbuka kerana sesiapa sahaja boleh datang berkunjung ke rumah keluarga Siti dan InsyaAllah Siti akan melayani anda. Sambutan raya Siti dan keluarga sederhana sahaja kerana yang penting kami dapat berkumpul setelah lama tidak bertemu.
Mengenai lagu raya Bulan Kedamaian, anda sudah boleh muat turun lagu tersebut seperti iklan SN Mobile Digital yang tertera di laman ini. Siti harap anda berpuas hati dengan lagu raya kali ini. Banyak bahan yang disediakan untuk anda muat turun dan jangan lupa mendaftar sebagai ahli untuk dapatkan diari, rahsia dan juga madah Siti. Selain itu untuk mendekatkan lagi Siti dengan anda semua, pihak SN Mobile Digital telah menyediakan saluran interaktif di mana anda boleh bertanyakan apa sahaja soalan kepada Siti. Anda hanya perlu TAIP TANYA dan hantar ke 33777. InsyaAllah semua soalan anda akan Siti jawab.
Salam Lebaran…
Siti Nurhaliza
Salam Ramadhan
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Salam Ramadhan, bulan penuh keberkatan, keampunan dan kemuliaan. Semoga kita semua umat Islam dapat menunaikan kewajipan berpuasa dengan sabar dan penuh keinsafan, InsyaAllah.
Alhamdulillah, bulan puasa ini walaupun kita terpaksa menahan lapar dan dahaga tetapi tanggungjawab dan rutin seharian harus diteruskan. Barangkali Siti boleh mengambil kesempatan di sini untuk berkongsi dengan anda apa yang Siti lakukakn pada bulan puasa ini. Sebagaimana yang anda sedia maklum, Siti akan terlibat dalam pementasan teater muzikal My Name Is Remy bermula 18 Oktober sehingga 3 November nanti. Sekarang ini waktu Siti banyak dihabiskan dengan mengadakan latihan nyanyian dan sedikit lakonan. Walaupun peranan Siti tidaklah sebesar mana tetapi Siti juga mahu tampilkan yang terbaik kerana inilah pembabitan pertama Siti dalam pementasan sebegini. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan dari sehari ke sehari Siti akan cuba memperbaiki kelemahan.
Selain sibuk dengan latihan teater, Siti juga akan masuk studio untuk rakaman album pop terbaru. Siti berharap anda memahami kerana Siti terpaksa menangguhkan penerbitan album tradisional memandangkan hampir satu tahun setengah mengumpul material tetapi ia masih tidak mencukupi. Bagi Siti biarlah hasilnya mendatangkan suatu impak yang baik dan penangguhan ini bukan disengajakan malah mahu terus berusaha mendapatkan material yang terbaik. Mengenai album pop pula, InsyaAllah sebagaimana album-album sebelum ini, sudah pasti Siti akan terus mempersembahankan yang terbaik buat industri dan peminat semua. Siti akan gabungkan semua citarasa dalam album ini dan tidak tertumpu kepada satu golongan sahaja.
Selain perkembangan album pop ini, Siti juga telah siap merakamkan sebuah lagu raya yang berjudul Bulan Kedamaian, ciptaan Yasin. Lagu ini juga sudah Siti siapkan video klipnya. InsyaAllah anda akan dapat mendengar lagu ini di radio tidak lama lagi. Walaupun tidak dipasarkan dalam bentuk album tetapi anda boleh memiliki lagu ini menerusi langganan di 33777 (di bawah SN Mobil Sdn. Bhd.) Pengumuman tentang ini akan Siti buat sejurus selepas sistemnya diaktifkan kerana sekarang ini masih dalam percubaan. InsyaAllah dalam waktu yang terdekat ini anda dapat memiliki lagu tersebut secara penuh dan juga dalam bentuk ringtone.
Mengenai kontroversi majlis ulangtahun perkahwinan Siti dan suami yang disiarkan di TV3, Siti menerima pandangan dan komen dengan hati terbuka. Namun jauh di sudut hati Siti dan suami tidak berniat langsung mahu menunjuk-nunjuk kebahagiaan kami ataupun riak. Siti dan suami mengadakannya sempena ulangtahun perkahwinan yang pertama, mungkin memberi makna yang tersendiri dan kami berkongsi dengan banyak pihak yang telah bertungkus lumus membantu majlis kami setahun yang lalu. Keluarga, sanak saudara, sahabat handai, media, peminat dan ramai lagi adalah di antara tetamu yang diraikan termasuklah TV3. Stesen tv ini telah menyiarkan majlis perkahwinan kami pada tahun lalu secara langsung dan mungkin kesinambungannya diadakan program ulangtahun tersebut dan ia di luar bidang kuasa Siti dan suami. Bukan TV3 sahaja yang kami undang malah pihak media elektronik lain juga dijemput. Mengenai liputan yang mereka buat atau apa programnya tentulah di luar kuasa Siti.
Mungkin pihak TV3 mahu berkongsi dengan penonton yang tidak dapat ke majlis itu ataupun dengan peminat-peminat saya tetapi Siti tidak menyangka ia menjadi satu perkara yang diperkatakan. Siti mohon maaf jika ia tidak menyenangkan hati sesetengah pihak tetapi Siti dan suami tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk.
Setakat ini dahulu bicara Siti kali ini. InsyaAllah bertemu lagi dalam catatan seterusnya.
Salam sayang buat semua.
Penjelasan Pihak SitiZone
Pertama sekali pihak SitiZone ingin memohon ribuan maaf jika ada di antara pemenang peraduan di SitiZone yang tidak mendapat emel pemberitahuan tentang kejayaan mereka terpilih ke majlis ulangtahun perkahwinan Dato’ Khalid dan Dato’ Siti Nurhaliza. Justeru kami mohon maaf di atas perkara ini kerana setelah diteliti ianya harus kami terangkan di sini supaya isu ini dapat diperjelaskan dan tidak ada salah faham di mana-mana pihak.
Pihak SitiZone telahpun memilih 5 orang pemenang bertuah untuk peraduan ucapan terbaik dan setiap seorang pemenang dibenarkan membawa seorang teman. Ini bermakna 10 orang terpilih untuk menghadiri majlis tersebut. (Ia tidak termasuk 10 orang pemenang peraduan ulangtahun SitiZone ke 2, mereka yang terpilih 10 orang dan jumlahnya menjadi 20 orang bersama teman. Hanya seorang sahaja yang tidak dapat hadir ke majlis ini kerana berada di luar negara dan seorang lagi memberitahu ketidakhadirannya pada keesokan harinya atas sebab-sebab tertentu. Kesemua pemenang ini berjaya dihubungi melalui emel yang dihantar pada 22 Ogos, sekitar jam 2 petang).
Bagi kelima-lima pemenang peraduan ucapan pula, emel mereka juga telah dihantar pada 22 Ogos, sekitar waktu yang sama. Tidak timbul soal kami menghantar emel lewat kepada mereka. Memandangkan kelima-lima pemenang ini masih tidak membalas emel kepada SitiZone, pihak kami akhirnya mengambil keputusan untuk menyiarkan emel mereka di SitiZone. Justeru pihak kami tidak tahu mengapa semua pemenang tidak menghubungi kami sedangkan emel telah dihantar pada 22 Ogos. Selain itu di peti ‘sent item’ emel kami juga telah menerima mesej bahawa kesemua pemenang telah mendapat emel daripada kami.
Jika ini satu kesilapan, mungkin dari segi teknikal, tetapi pihak SitiZone memang telah menghantar emel kepada kelima-lima pemenang pada 22 Ogos dan kami mengambil keputusan menyiarkan emel mereka di SitiZone kerana pihak SitiZone masih tidak menerima balasan emel dari pemenang.
Dalam soal ini, kami mohon maaf tetapi kami telah berusaha yang terbaik dan tidak menyangka perkara yang sebaliknya berlaku. Kepada semua pemenang peraduan ucapan, kami mohon agar anda berpuas hati dengan penjelasan ini. InsyaAllah jika ada majlis lain nanti, kami akan cuba hubungi anda lagi. Terima kasih.
Team SitiZone
Perasaan Siti Untuk APM…
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Hai… semua dah rindu ya, Siti lagilah rindu pada semua yang datang ke laman ini.
Memang aktiviti agak padat, termasuk urusan kerja dan peribadi tetapi Alhamdulillah dapat juga Siti menulis sesuatu di sini. Ramai yang mahu bertanyakan mengenai perasaan Siti sewaktu APM di Singapura tempohari. Alhamdulillah, kepada peminat yang menngundi bagi kategori popular, Siti ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Sokongan anda yang tidak pernah berhenti membuatkan Siti rasa lebih bersemangat. Begitu juga dengan kategori terbaik, tentunya material yang dinilai itu menambat hati golongan yang membuat penilaian.
Tidak mudah bersaing di pentas APM, walaupun ada lagi pihak yang mungkin memperkecilkan anugerah ini tetapi bagi Siti, melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi, apa salahnya kita menilai bakat sendiri dengan negara-negara jiran. Pengalaman berkarier di Indonesia dan Singapura selama 12 tahun juga banyak mematangkan Siti. Tidak mudah menawan dan menembusi hati peminat negara jiran, ia perlu kerja keras dan bagaimana mahu memasarkan diri dan produk kita. Justeru Siti berterima kasih kepada APM kerana medan ini telah membawa satu lagi tahap kepada peningkatan industri muzik serantau.
Kepada peminat-peminat yang datang dari jauh, ada yang dengarnya datang ke Singapura dari Malaysia dan Indonesia, juga yang asal Singapura, Siti sekali lagi mengucapkan terima kasih kerana hadir memberi sokongan kepada Siti di APM. InsyaAllah, pengiktirafan yang diterima tidak pernah mematahkan semangat Siti. Banyak lagi usaha yang harus dibuat untuk memajukan diri dan doakanlah agar Siti berjaya menghadapinya.
Sekarang ini jadual Siti kembali sibuk. Memang Siti akui bercuti seketika baru-baru ini tetapi kerja sudah menanti. Selain menjalani penggambaran beberapa iklan, Siti juga akan ke Indonesia untuk penggambaran video klip bagi lagu Runut Bunyi filem Kayangan. Selepas itu Siti sibuk sebagai salah seorang juri untuk rancangan terbitan TV3 terbaru, Mystarz. Kemudian baru tumpuan diberikan kepada album tradisional terbaru. Jika album konsert Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma di Istana BUdaya tidak dapat diterbitkan atas sebab-sebab tertentu, Siti mohon maaf. Sebagaimana yang Siti pernah katakan, tidak mudah melahirkan album yang bukan hakcipta sendiri. Jangan risau, Siti akan beritahu nanti bagaimana statusnya tetapi jangan bimbang kerana ada album lain yang akan menyusul.
Sekian sahaja catatan Siti kali ini. Semoga semuanya gembira selalu.
Salam manis…
Siti Nurhaliza
Sokongan dihargai…
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan bahagia hendaknya. Doa Siti agar anda dapat menjalani kehidupan dan kerjaya dengan tenang dan mendapat kejayaan selalu.
Alhamdulillah, RTM sudahpun menyiarkan konsert penghargaan Siti buat Tan Sri Dr.P.Ramlee dan Puan Sri Saloma beberapa hari lalu, namun mungkin gambaran sebenar konsert tersebut tidak secara keseluruhannya. Sebagai konsert yang dirakamkan secara langsung, Siti akur bahawa ada beberapa perkara yang harus disunting dan diperbaikkan jika mahu mengeluarkannya dalam bentuk kaset, cd atau vcd. InsyaAllah, SNP (M) Sdn. Bhd. memang berusaha ke arah itu dan kami masih lagi dalam proses menyiapkannya kerana untuk menerbitkan album yang mengandungi lagu-lagu nyanyian atau hakcipta orang atau pihak lain, banyak perkara dari segi undang-undang yang pihak Siti perlu selesaikan. InsyaAllah jika tidak ada aral melintang Julai nanti album ini akan dipasarkan dan Siti harap agar anda semua dapat mendoakannya.
Siti juga berterima kasih di atas kesungguhan anda memastikan undian Siti dalam carta lagu dan anugerah diteruskan dengan semangat yang Siti dapat lihat melalui mesej-mesej anda, dan tentunya ia membuatkan Siti berasa terharu. Siti tidak menyangka masih memiliki peminat-peminat yang begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh menyokong kerjaya Siti meskipun kini sudah 12 tahun Siti dalam industri, ditambah dengan status Siti yang sudah berkahwin. Sokongan ini memang membuatkan Siti berasa amat terharu apatah lagi dalam setiap persembahan Siti, masih terlihat wajah-wajah peminat yang sentiasa meluangkan masa. Inilah yang memberikan Siti semangat untuk lebih bekerja keras walaupun situasi kerja Siti sudah agak berbeza kerana terpaksa membahagikan karier dan rumahtangga, namun InsyaAllah, segalanya akan dapat diatur dengan baik.
Sekarang ini Siti terlibat dengan kempen Gegar U di mana Siti juga menyanyikan lagu temanya. Promo tentang kempen ini juga disiarkan di Astro, semoga apa yang Siti lakukan ini akan memberikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Apatah lagi di luar sana ramai peminat Siti yang masih belajar di IPT dan tentunya menjadi inspirasi kepada peminat yang masih bersekolah untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi Siti, ilmu itu amat penting, tidak kiralah ilmu atau kemahiran apa yang kita miliki, jika digilap InsyaAllah akan membuahkan hasil yang baik.
Mengenai album tradisional Siti pula, bukan Siti sengaja melambat-lambatkan prosesnya tetapi Siti harus memberi laluan kepada album konsert P.Ramlee dan Saloma terlebih dahulu. Sementara Siti juga masih menantikan lagu-lagu bermutu daripada pencipta lagu. Biasanya agak sukar mendapatkan pilihan lagu yang banyak dari genre tradisional tetapi Siti masih lagi sabar menanti kerana mahu memberikan sesuatu yang lebih baik dalam album kali ini. Siti harap anda semua memahami.
InsyaAllah, bertemu peminat Singapura di Anugerah Planet Muzik 8 Jun nanti. Siti juga tidak sabar untuk ke sana memandangkan sudah agak lama tidak bertemu peminat yang menantikan kehadiran Siti. InsyaAllah Siti akan membuat persembahan malam itu bersama Gita dan Taufik, nantikan persembahan kami.
Salam mesra selalu…
Siti Nurhaliza
Ibu Ratu Hatiku
Ibu Ratu Hatiku Sepetang bersama Dato’ Siti Nurhaliza dan M. Nasir
Diceriakan oleh pengacara dan penyanyi ‘versatile’ Adibah Noor
Hargai pengorbanan ibu dan mereka yang tersayang, luahkan  kasih sayang kepada mereka sambil menikmati hidangan petang oleh D’Saji, sambil berhibur dengan alunan syahdu Dato’ Siti Nurhaliza dan M. Nasir.
Tarikh: Ahad, 20hb Mei 2007
Jam: 2.30ptg
Tempat: Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab off Jalan Semarak, Kuala Lumpur
Tempahan:-
Meja VIP : RM 3,500
Meja Platinum : RM 2,800 satu meja @ RM280 seorang
Meja Emas : RM 2,300 satu meja @ RM230 seorang
SitiZone members akan menikmati diskaun 25%! Jangan lepaskan peluang ini, tempat adalah TERHAD!
Untuk tempahan sila hubungi: 03-4251 2469, 016-2636 132, 03-2698 8302
Terima kasih…
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini.
Salam 12 tahun Siti bersama anda, ulangtahun yang memberikan Siti kematangan, kemesraan dan pertemuan dengan anda semua. Siti bersyukur kerana kerjaya Siti dapat memberikan Siti ruang untuk bertemu dengan segenap lapisan masyarakat, menyalurkan bakat yang ada, berkongsi kebahagiaan, kesukaran, kepayahan, cabaran dan kejayaan dengan anda seterusnya memberikan Siti peluang untuk mematangkan diri dalam dunia yang penuh pancaroba ini.
1 April 1996 merupakan hari yang begitu bererti apabila album pertama Siti dipasarkan ketika itu. Kini Siti telah mempunyai 11 buah album solo dan beberapa album lain dan inilah yang telah mendekatkan Siti dengan anda semua. Sememangnya tarikh yang begitu bererti ini akan sentiasa di ingatan dan tentunya Siti amat berterima kasih kerana anda juga tidak jemu mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan Siti. Semua yang Siti lakukan ini adalah kerana wujudnya anda dalam kerjaya Siti dan tentunya Siti akan terus mengenang detik yang manis ini. April adalah bulan yang agak sibuk bagi Siti. Seperti yang sudah Siti letakkan jadual di sini termasuk dua acara besar iaitu Minggu Setiausaha dan Konsert Istana Cinta, Siti berharap anda akan terus memberikan sokongan. Sebagai artis, Siti akan sentiasa mahu menampilkan yang terbaik dalam setiap persembahan dan Siti akan berusaha ke arah itu. Selain itu Siti juga akan menyertai Fiesta Media Idola, seperti biasa mewakili pasukan Shahzan Muda, Pahang. Jika anda berminat melihat artis dan media bersukan, silalah datang ke Kuantan, Pahang, negeri kelahiran Siti. Sambil melihat kami bersukan, anda juga menjayakan kempen `Cuti-Cuti Malaysia’.
Sekali lagi Siti ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana telah menyokong Siti selama ini. Semoga ikatan ini akan terus berkekalan dan doakan kejayaan Siti dalam setiap apa yang Siti lakukan. Siti juga turut mendoakan kejayaan anda semua.
Salam manis daripada Siti…
Siti Nurhaliza
Secretaries Week with Siti Nurhaliza

Secretaries’ Week
Palace of the Golden Horsed presents Secretaries’ Week with Dato’ Siti Nurhaliza @ Le Marquee.
Date: Tuesday, 24th April 2007
Venue: Le Marquee, Palace of the Golden Horses
Dinner show: 8.00pm to 11.00pm
Ticket prices (per person): RM250++, RM350++, RM500++
*Book before 6th April 2007 to enjoy 10% Early Bird discount.
For reservations, please call: 03-8946 4911
APM 2007 : Vote for Siti
APM 2007 voting is ON! Vote for Siti in two categories!
Most Popular Song (Biarlah Rahsia)
Most Popular Female Artiste
To vote for Sitil:
Code: S2 (Biarlah Rahsia) & F12 (Siti Nurhaliza)
SMS to 72346:
APMCodeI/C No.Name
Vote wisely and responsibly! Let’s do it today!
Or forms can also be found in MANJA magazine.
Note: For Singapore only. 50cents per vote, voting ends 8th April 07, Sunday
For Malaysia:
Voting form in MEDIA HIBURAN
For Indonesia:
Voting form in BINTANG INDONESIA
Istana Cinta Concert Siti Nurhaliza
Venue: Istana Budaya
Date: 20th (Fri) and 21st (Sat) April 2007
Ticket Prices: RM50, RM80, RM150, RM200, RM250
Website: Istana Budaya (www.istanabudaya.gov.my)
Tel: 603-4026 5558
Email: boxoffice@istanabudaya.gov.myThis e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it
Ticketing Website: http://www.ticket2u.biz



