Skip to content

Posts from the ‘Others’ Category

22
Jan

Sensasi Winnie K & Suki




Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Sensasi Winnie K & Suki
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2012/01/22
pix_gal0
Suki selami semangat Tahun Naga

ESOK Tahun Baru Cina akan disambut meriah bagi keturunan Tionghua di negara kita. Bersempena Tahun Naga itu juga, B’POP menggandingkan Suki, 22 dan Winnie K, 31, yang diakui nama mereka cukup dikenali di kalangan masyarakat Melayu dalam persada seni suara di negara ini.
Cuba melawan arus, tiada langsung baju warna merah yang sering menjadi simbolik bagi perayaan berkenaan digayakan mereka. Merah menurut kepercayaan orang Cina mewarnai semua perkara yang menjurus kepada tuah, kebaikan, perkahwinan, kelahiran, musim bunga, pengambilalihan perniagaan sehinggalah revolusi dikenakan kedua-duanya.
Sekalipun tanpa warna merah, semangat Suki dan Winnie tetap ceria di depan kamera dengan dua persalinan. Mood persalinan pertama mengenakan pakaian tradisional Cina, Cheongsam diakui agak lambat sedikit membuatkan mereka sebati di depan kamera.

Barangkali momentun kedua-duanya belum panas lagi biarpun masih pernah bertemu muka sebelum ini. Namun, mood mereka ternyata berubah serta merta untuk persalinan moden. Winnie dan Suki pantas mencipta keserasian sekali gus memudahkan tugas jurufoto.

Kehadiran mereka juga secara kebetulan datang dengan isi cerita menarik yang mahu dikongsi bersama peminat. Suki seperti biasa akan menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga tersayang di kampung halamannya di Seremban, Negeri Seremban., manakala Winnie meraikannya di ibu kota.

Pemilik nama penuh Low Sook Yee ini akui nampak gembira menceritakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini. Ungkapnya sambil berseloroh, acara wajib baginya setiap kali menjelma Tahun Baru Cina ialah makan, makan dan makan.

“Buah limau dan kuih bakul antara kegemaran saya. Paling seronok dapat bersama-sama keluarga untuk makan besar mengumpulkan semua ahli keluarga. Bapa saya akan masak pelbagai menu istimewa terdiri dari ikan, sup, ayam dan banyak lagi. Semestinya bahagian ini yang sentiasa ditunggu-tunggu ramai.

“Ibu pula akan menyediakan pencuci mulut. Tahun ini yang jadi bertambah seronok ialah kakak saya dari Hong Kong akan pulang bersama anaknya. Saya pula jenis yang suka melayan budak. Paling seronok, saya masih menerima angpau kerana masih belum berkahwin. Kalau saya sudah kahwin, sayalah yang kena beri angpau pula,” katanya yang turut merakam kembali lagu Warisan dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad bersama Aizat dan Lorence Soosai.

Suki sempat diusik dengan persoalan mengenai sisi peribadinya. Ternyata Suki tak berahsia dan terbuka dalam menceritakan hal kekasih. Kekasih yang dikenali sejak tiga tahun lalu itu sebenarnya merangkap pengurusnya juga iaitu Jeremy Chong.

“Kalau ada yang tanya mengenai hal ini, saya akan cakap yang betul. Sepanjang saya berdepan kesusahan termasuk masalah dengan Galaxy, dia banyak memberi bantuan dan sokongan. Saya lebih selesa bekerja dengan orang yang boleh dipercayai sepertinya,” katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sesawang, www.sukionline.com, www.facebook.com/iamsukilow, www.twitter.com/SukiLow dan www.youtube.com/user/sukilowmusic.

Mengintai sisi kerjaya seninya, Suki yang juga juara program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama terbitan 8TV ini sedang dalam rangka menghasilkan album ketiganya yang keseluruhannya memuatkan lagu Melayu selepas album Finally/ Akhirnya dan album Mandarin, Ladies Night.

Sudah empat lagu siap dirakam dan berbaki empat lagi yang dalam proses pemilihan. Buat permulaan, lagu ciptaan Ajai dan liriknya oleh Jeremy Chong berjudul Terlalu Mencintaimu itu pernah dirakam Alyah dengan menggunakan judul Pusara Kasih tetapi difahamkan ia terperap begitu saja kerana beberapa masalah.

“Sekalipun saya sudah agak lama tidak muncul dengan album berbahasa Melayu (selepas Finally/Akhirnya) dan memberi perhatian untuk album Mandarin di Taiwan, masih ada peminat bertanya saya mengenai kemunculan kembali dengan album lagu Melayu.

“Memang pada mulanya saya sendiri berhasrat untuk bergilir-gilir menghasilkan album Melayu dan Mandarin. Tetapi biasalah setiap yang kita rancang tak selalunya menjadi seperti diingini. Buat permulaan album ketiga saya ini dijangka berada di pasaran Mei atau Jun ini.

“Besar kemungkinan album ketiga ini hanya akan diedarkan secara online selain menumpukan muat turun secara digital. Album ini diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat saya sendiri, Infi8 Dreams yang ditubuhkan sejak Julai tahun lalu,” katanya yang tampil dengan imej segar berambut pendek sejak tahun lalu lagi.

Sekitar 2010 ketika sibuk mencuba nasib melebarkan legasinya di Taiwan termasuk menghasilkan album Ladies Night, Suki sebenarnya turut berpeluang mencuba nasib berlakon drama di sana berjudul The Gift yang turut disiarkan di Astro Shuang Xing (saluran 324).

Peluang itu diperluaskan menerusi syarikat Galaxy Music Sdn Bhd selepas Suki tidak lagi bersama pengurusan 8 Unit. Malahan, Suki selain membikin album turut diberi pendedahan mengenai pembentukan imejnya. Bagaimanapun selepas sekian dua tahun setengah bersama syarikat berkenaan Suki melihat nasib dan kerjaya seninya seperti diperkotak-katikkan.

“Saya dan pengurusan Infi8 Dreams dalam proses menyaman syarikat itu atas paksi Misrepresentation atau salah nyata yang digunakan dalam terma undang-undang. Mereka cakap ada pengalaman dalam pasaran muzik di China tetapi sebaliknya. Mereka janji macam-macam tetapi tiada langsung hasilnya. Saya sendiri sudah melaburkan RM367,575.15 kepada Galaxy untuk memastikan perancangan menembusi pasaran China mampu sukses.

“Tapi bayangkan selepas album kedua dipasarkan di negara kita, saya masih tertunggu-tunggu strategi dan perancangan seterusnya daripada mereka,” katanya yang masih menunggu keputusan lanjut daripada mahkamah berhubung isu terbabit.

Winnie K duta pakaian dalam

WINNIE K pula tanpa berselindung mengharapkan tuah Tahun Naga untuk bertemu Mr Right. Akui penyanyi lagu Kau Ada Di Mana itu, sudah lama dia mengharap dipertemukan dengan jejaka idaman sekali gus berdoa supaya ia menjadi kenyataan tahun ini.

“Usia saya pun bukanlah makin menurun. Siapa yang tak nak berkahwin dan hidup bahagia. Saya sendiri mengharapkan semua itu dan benar-benar mahu berkahwin tahun ini,” ungkapnya membuka bicara.

Seperti Suki, Winnie juga melihat sambutan Tahun Baru Cina sebagai pesta makan. Jelas Winnie lagi, ada kalanya setiap kali beraya, tuntutan kerja masih cuba dipenuhi. Ada kalanya, dia terikat dengan undangan membuat persembahan selain menjadi tetamu undangan untuk beberapa program TV.

Ketika fotografi ini berlangsung pun, Suki sibuk dengan rakaman latihan beberapa program Tahun Baru Cina termasuk Dragon Festival Concert 2012 di TV2. Mujur pula sesi latihan diadakan di Angkasapuri, RTM dan berdekatan dengan Balai Berita. Untuk program berkenaan, Winnie bergandingan dengan Kelvin Lau sebagai pengacara dan turut membuat persembahan.

“Kalau tak ada komitmen kerja, saya akan tumpukan masa Tahun Baru Cina ini bersama keluarga di samping emak, sepupu, kakak dan anak saudara. Cuma bapa saya sudah 13 tahun meninggal dunia dan kami sudah biasa beraya tanpanya.

“Setiap kali perayaan ini datang, saya sering disogokkan dengan pelbagai makanan enak yang membuatkan saya sendiri jadi rambang mata. Kuih tradisional yang dipanggil kuih lipat antara kegemaran. Selalunya selepas tiga hari makan ketika menyambut Tahun Baru Cina ini, saya akan ke gimnasium.

“Saya tak nafikan terlalu menjaga badan dan mengawal apa yang dimakan. Tetapi untuk Tahun Baru Cina, saya lupakan seketika hal jaga badan. Oh ya… Selasa ini jam 12 tengah hari, saya baru saja mendapat undangan untuk muncul sebagai tetamu bagi program Wanita Hari Ini bersempena Tahun Baru Cina,” katanya yang sering mengunjungi gim Celebrity Fitness di One Utama sebagai menjaga badan dan stamina.

Mengenai perkembangan seni dan kerjaya, Winnie memberitahu dia sedang merancang untuk menghasilkan EP dalam bahasa Melayu dan Cina. Kali terakhir Winnie muncul dengan album berbahasa Cina pada 2010 yang diedarkan Warner Music. Kontraknya bersama syarikat rakaman itu juga sudah tamat tahun lalu.

“Saya juga baru balik dari Hong Kong. Ia lebih kepada urusan kerja kerana saya ke sana membincangkan projek mengenai penjagaan produk kecantikan. Saya belum boleh bercakap lanjut kerana ia masih dalam peringkat awal. Saya juga menjadi duta pakaian dalam, ELV yang diasaskan di Jepun.

“Sudah tahun kedua saya bersama ELV. Pakaian dalam itu bukan untuk gaya kecantikan semata-mata tetapi bagus untuk kesihatan. Saya tak kisah mendedahkan badan dan ibu saya pun OK selepas melihat contoh gambar saya mengenakan pakaian dalam berkenaan,” katanya yang gemar melancong ke luar negara dan sempat ke Melbourne, Australia untuk tujuan bekerja sambil bercuti.

Winnie juga sempat memberitahu ramai yang masih menyangka Winnie Kok dan Winnie K adalah dua orang yang berbeza. Hal ini sudah banyak kali dimaklumkan kepadanya termasuk mereka yang sering berurusan dengannya untuk persembahan korporat.

“Sebelum ini saya tukar nama dari Winnie Kok ke Winnie K pun untuk pasaran album ke Indonesia. Ia bertujuan memudahkan orang untuk menyebut dan mengingatinya. Lihat saja bagaimana nama suami Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa cukup dikenali dengan nama Datuk K,” kata Winnie yang sempat memberitahu bahawa Dragon Festival Concert 2012 akan disiarkan di TV2 9.30 malam ini dan muncul dalam program Lucky Dragon Game Show 2012 di TV2 esok jam 4 petang.

Profil

Winnie K

Nama sebenar: Kok Mui Kuan

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Status: Bujang

Profesion: Penyanyi dan model

Kejayaan: Juara Asia Bagus di Singapura (1993), Top Ten Artis Cina Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2001 dan Anugerah Best Artist dan Malaysia Most Highly Supported Best Artis Global Chinese Golden Art Award (2005)

Suki

Nama sebenar: Low Sook Yee

Tarikh lahir: 11 Disember 1989

Asal: Seremban

Pencapaian: Juara One In A Million musim pertama

Drama: The Gift

Berita Harian

25
Dec

Menyorot Pahit & Manis 2011

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

PAHIT dan manis tahun 2011 sudah dirasai. Kalau mengikut hitungan, kurang daripada seminggu sahaja lagi kita akan melabuhkan tirai 2011 dengan seribu satu kenangan.

Ada yang suka tak kurang juga yang kurang gembira dengan perjalanan yang telah dilalui. Walau apa sekalipun terjadi, adakah tahun ini benar-benar memberikan peningkatan memberangsangkan kepada anak seni kita?

Menyelak satu persatu diari anak seni sepanjang tahun ini, Pancaindera dapat melihat sendiri kebangkitan beberapa nama yang menjadikan tahun ini sebagai tahun untuk mereka bersinar.

Nama Syamsul Yusof mula meniti di bibir para peminat filem tempatan berikutan kejayaan filem-filem arahanya mencatat kutipan yang membanggakan.

Selain kejayaan, cerita panas keretakan rumah tangga beberapa personaliti tanah air cukup mengejutkan.

Paling menggemparkan kisah rumah tangga Jimmy Shanley bersama Shuhaila berantakan sehingga menimbulkan kontroversi yang cukup hangat apabila Jimmy mendedahkan segala-galanya di dalam mahkamah.

Di sebalik kontroversi itu juga, ramai juga anak seni kita yang berjaya mengikat dua hati menjadi satu.

Sudah pasti nama Memey dan Norman Hakim menjadi perhatian apabila perkahwinan RM12 juta mereka menjadi topik paling panas sepanjang tahun ini.

Tak lupa Yasmin Hani dan Shahrin yang ‘berperang’ dengan beberapa rakan media akibat tiada jemputan.

Sementara Hattan menggejutkan para peminatnya apabila didakwa menceraikan isterinya setelah tujuh hari bernikah.

Kepada yang telah pergi, takziah buat keluarga mereka. Tidak ada siapa yang dapat menggantikan mereka. Hanya budi yang ditabur mampu dikenang sehingga akhir hayat.

Perkahwinan

21 Januari- Ayu Raudhah akhirnya selamat diijabkabul bersama pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak. Biarpun pada waktu ini dia dikatakan ‘perang dingin’ dengan Rita Rudaini akibat perselisihan faham, akhirnya masing-masing bahagia bersama keluarga sendiri.

18 Februari- Farish Aziz yang juga merupakan bekas pengacara program Durian Runtuh selamat disatukan bersama Zahrah Fowzi di Kota Kinabalu, Sabah.

26 Februari- Setelah bercinta beberapa ketika, Siti Sarah Raisuddin akhirnya memilih Shuib Sepahtu sebagai suami. Pasangan bahagia ini telahpun dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Uwais Alqarni yang lahir pada 4 Disember lalu.

23 April- Nurul AF2 bernikah dengan seorang peguam, Munzil. Kes mereka panas selepas bernikah apabila keluarga kandung Nurul mula buka mulut apabila Nurul bernikah menggunakan wali hakim.

29 April- Lebih 30 tahun membujang, Zed Zaidi akhirnya memilih Natalia sebagai isterinya yang sah. Majlis yang diadakan secara gilang-gemilang itu mendapat liputan meluas.

30 April- Majlis yang diadakan secara tertutup akhirnya diketahui juga. Cheryl Samad memilih Ng Ping Ho sebagai suami dan hanya menjemput saudara mara dan rakan taulan di hari bahagianya.

1 Mei- Pelakon Fazreen Rafi selamat disatukan bersama Sharifah Marlina di Batu Gajah, Perak. Fazreen mula popular selepas membintangi drama bersiri Spa-Q.

15 Mei- Hanya bercinta selama tujuh bulan, akhirnya pelawak Yassin memilih Farrah sebagai isterinya. Majlis diadakan di Putrajaya.

28 Mei- Ahmad Fedtri Yahya memilih Nurul Anati sebagai suri di hati. Dinikahkan di Kelantan, pasangan ini cukup bahagia sebagai suami isteri.

31 Mei- Salih Yaccob akhirnya menamatkan spekulasi perkahwinan apabila selamat bernikah dengan gadis berusia 25 tahun. Samihah merupakan isteri keempat Salleh selepas Norizah Mamat, Norraha Hamat dan Norfara Wahida.

1 Julai- Memilih untuk bernikah dengan Siti Rahayu Abas, Tomok kini bakal bergelar bapa tidak lama lagi.

1 Julai- Noh yang juga merupakan vokalis kumpulan Hujan selamat disatukan dengan Mizz Nina. Majlis berlangsung meriah dengan tiga kali majlis resepsi di tempat berbeza.

15 Julai- Cukup manis dengan imej bertudung, akhirnya Farah Diana Anuar selamat diijabkabulkan dengan Johan Johari di atas cruise Tasik Putrajaya.

16 Julai- Pengacara Majalah 3, Nurul Syuhada Nurul Ain bergelar isteri kepada Raja Amir dengan wang hantaran sebanyak RM20,111.

30 Ogos- Ashraf Muslim memilih Masjidil Haram di Mekah sebagai tempat untuk disatukan bersama Nor Dayana Lokman sebelum hari raya Aidilfitri lalu.

9 September- Faezah Elai bernikah dengan pengarah drama, Heykal Hanafiah yang juga merupakan seorang duda. Walaupun perkahwinan mereka menimbulkan kontroversi tetapi berjalan dengan lancar.

24 September- Memey dan Norman Hakim di nikahkan di kampung Memey di Felda Tenggaroh, majlis resepsi pula diadakan di Hotel Crown Plaza Kuala Lumpur yang menelan belanja RM12 juta.

30 September- Biarpun cinta yang lalu tidak kesampaian, akhirnya Nabil Raja Lawak selamat disatukan bersama Nazirah Ayub di Putrajaya. Majlis resepsi mereka diadakan di I-City Shah Alam, Selangor.

1 Oktober- Taja yang juga merupakan gitaris kumpulan Meet Uncle Hussain selamat bernikah dengan Kimy yang juga pengurus kumpulan itu.

21 Oktober- Pernikahan Yasmin Hani dan Shahrin Black Rose mencetuskan kontroversi apabila ada beberapa organisasi media yang tidak dijemput untuk membuat liputan.

11 November- Dira Abu Zahar mengakhiri zaman janda dengan Helmy Yusof di Merlimau, Melaka. Dira merupakan pengacara baru rancangan Melodi.

11 November- Hattan selamat bernikah dengan Farah Asyikin yang juga merupakan janda anak dua di kediamannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan.

20 November- Ezlyn akhirnya memilih pengurus sendiri iaitu Adam Fahmi Samsudin sebagai suaminya yang sah. Pasangan ini juga dikhabarkan mendapat tajaan berjuta-juta ringgit.

20 November- Mungkin Zahiril adalah pasangan yang paling romantis setakat ini. Dia mendeklamasikan puisi buat isterinya, Shera pada majlis resepsinya.

11 Disember – Chef Rizz memilih Ana Dahlia sebagai isterinya yang sah. Mereka selamat dinikahkan di Taiping, Perak pada tarikh yang sama.

Lambaian terakhir

1 Januari – Mohd. Faisal Yusup, 33, pelakon dan juga bekas suami kepada penyanyi popular Siti Nordiana disahkan meninggal dunia pukul 1.45 tengah hari di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Allahyarham meninggal di samping isteri, Rosmunira Rashid, 27, serta anak lelaki daripada perkongsian hidupnya dengan Siti Nordiana, Mohamad Rayyan Nakhaie.

13 Mei – Penyanyi lagu Penawar Rindu, Datin Orked Abdullah meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 12.40 tengah hari setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu. Penyanyi berusia 64 tahun yang popular itu berada dalam keadaan kritikal setelah tiga tahun menderita penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sebelum meninggal dunia.

19 Jun – Pelakon dan pelawak veteran terkenal, Zami Ismail, 67 tahun atau lebih dikenali sebagai Pak Uda, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah jantung. Allahyarham dikebumikan di Tapah, Perak mengikut permintaannya 15 tahun dahulu yang mahu dikebumikan di kampung halamannya.

1 Ogos – Setelah menderita dua tahun akibat barah pangkal rahim, akhirnya penyanyi era 60-an, Hasnah Haron meninggal dunia lebih kurang pukul 8 pagi. Semasa hayatnya Hasnah popular dengan lagu-lagu seperti Bersedih, Sabar Menanti dan Siti Zubaidah.

11 Oktober – Penyanyi yang popular dengan lagu Lembaran Terakhir, Datuk Ahmad Jais meninggal dunia di Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) kira-kira pukul 9.20 pagi. Ahmad Jais, 75, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru setelah dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua minggu.

Cerai & kes mahkamah

PANTAI mana yang tidak dilanda badai. Mungkin itu ayat yang paling sesuai untuk menggambarkan apa yang telah dilalui oleh anak seni yang masih naik turun mahkamah dalam pelbagai hal.

Antara artis yang telah disahkan bercerai tahun ini termasuklah Siti Saidah dengan Mohd Ghazali. Siti Saidah adalah kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain pasangan itu, rumah tangga yang dibina oleh Joey Daud menemui titik noktah apabila dia bercerai dengan Noraini Daud. Kes rumah tangga yang melanda mereka cukup hangat apabila dikhabarkan berpunca daripada orang ketiga.

Nama Watie Elite menjadi panas apabila Noraini menuduh bekas anggota kumpulan Elite itu menjadi dalang sehingga menghancurkan rumah tangga yang dibina itu.

Dalam kes dadah pula, Benjy dikenakan denda RM5,000 oleh mahkamah atas kesalahan memiliki dadah. Dia kini masih menjalani perintah buang daerah di Pahang.

Pelawak Saiful Apek juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan. Dia didakwa di mahkamah bersama tiga yang lain dan kes masih berjalan sehingga hari ini.

Penyanyi Adzrin Azhar pula dikenakan penjara satu tahun akibat terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram. Dia dilepaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

Terkenal sebagai ratu kontroversi, Raja Azmi sebelum ini didakwa di Mahkamah Syariah atas tuduhan khalwat dengan Roslin Hashim. Bagaimanapun pihak pendakwaan menutup kes itu atas sebab yang tidak dinyatakan secara khusus.

Kes tuntutan royalti Anuar Zain terhadap syarikat rakaman Sycrosound masih berlanjutan setelah dia menolak tawaran menyelesaikan secara baik di luar mahkamah.

Begitu juga dengan kes AC Mizal terhadap tuntutan penggubahan wang anak dengan bekas bekas isterinya. Kes tersebut masih belum selesai hingga hari ini.

Nadia Mustafar kalah dalam saman yang dikemukakan oleh Lisdawati berhubung dakwaan fitnah. Dia diarahkan membayar RM50,000 kepada Lisdawati seperti mana diarahkan mahkamah.

Cahaya mata

CUKUP bermakna sesebuah perkahwinan dengan kehadiran cahaya mata. Melihatkan beberapa pasangan yang menyambut kehadiran orang baru, terasa cukup indah.

Paling gembira sudah pasti melihat pasangan yang menerima kehadiran cahaya mata pertama. Anak yang lahir ditatang bagai minyak yang penuh.

Antara artis yang menyambut kehadiran orang baru buat pertama kali termasuklah Darling Ngasri, Aida finalis Gadis Melayu, Daphne Iking, Along Raja Lawak, Hanif Era FM dan Marion Caunter.

Artis-artis lain pula menambah bilangan anak mereka termasuklah Rich Estranged, Ayu OIAM, Linda Rafar, Sari Yanti, Syura, Faizal Ismail dan Cat Farish.

Utusan

24
Dec

Siti Puas Dapat ?Tembak? Staf

Oleh IFQDAR A. RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF
Lokasi: Galactic Laser, Mid Valley Megamall


TEMPUR… Pasukan Siti dan Datuk K saling mengacukan pistol sebagai amaran berjaga-jaga sebelum permaianan dimulakan.

PUAS! Itulah ungkapan yang terpacul dari mulut penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza setelah meluangkan masa hampir sejam di pusat permainan Galactic Laser yang terletak di tingkat tiga, pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, Petaling Jaya.

Ironinya, apa yang lebih menggembirakan ialah penghibur yang mesra disapa sebagai Siti itu turut ditemani oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K bersama dua anak bujangnya, Muhammad Adib, 21 dan Muhammad Asyraf, 20.

Bahkan bukan mereka berempat sahaja yang seronok bermain permainan ala paintball itu, tetapi keseronokan itu turut dikongsi bersama kakitangan produk kecantikan Simply Siti seramai lebih 30 orang.

Rata-rata di kalangan mereka, ia merupakan kali pertama mencuba bermain permainan tersebut dan semuanya ternyata teruja.

Menurut Siti, syarikat kosmetiknya itu akan sentiasa melakukan aktiviti riadah bersama bagi memastikan tekanan di tempat kerja dapat diseimbangkan.

‘Sebelum ini kami pernah bermain boling, futsal dan berkaraoke untuk menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

‘Ini adalah salah satu inisiatif atau pendekatan yang saya gunakan untuk menghargai kakitangan kami.

‘Dengan cara ini, setiap kali selepas berseronok, minda mereka akan berasa lega dan segar untuk memikirkan idea baru dalam tugasan masing-masing,’ katanya.

Game yang selamat

Mengulas mengenai permainan laser tag, Siti akui pada awalnya dia langsung tidak tahu cara untuk bermainnya.

Namun, setelah diberi taklimat oleh salah seorang petugas di situ yang digelar Marsyal, barulah dia faham serba sedikit pasal peraturan dan teknik permainan tersebut.

Bagaimanapun, di mindanya masih lagi samar selagi dia belum memasuki ruang gelap yang direka khas menyerupai medan pertempuran itu.

‘Setelah siap menyarungkan uniform khas yang dilengkapkan dengan pistol laser, perasaan mula berdebar-debar.

‘Kemudian, apabila sudah memasuki medan perang, saya terus mencari sudut terbaik untuk melakukan serangan.

‘Tidak lama selepas itu, keseronokan terus dirasai dan saya tidak henti-henti berkejaran ke sana sini untuk menembak ataupun mengelak tembakan musuh,’ cerita Siti yang mengetuai pasukannya di kumpulan D itu.

Menariknya, dalam aksi tembak menembak tersebut, Siti harus berhadapan dengan pasukan Datuk K (kumpulan B).

Gelagat lincah Siti yang terkenal sebagai olahragawati di zaman persekolahannya itu banyak membantunya untuk menjadi penembak yang berjaya mengumpul markah tertinggi dalam kumpulan.

Pernah pada satu ketika, Siti mendahului carta markah yang dipaparkan di luar medan perang dan sesekali saling berganti kedudukan dengan anak tirinya, Adib.

Ternyata, Siti masih lagi aktif dan ligat untuk bersaing dengan kakitangannya dan pertempuran antara kedua-dua pasukan agak sengit.

Bagaimanapun, di akhir pertempuran yang berlangsung selama 10 minit itu, pasukan Datuk K berjaya menumpaskan pasukan Siti.

Meskipun tumpas di tangan suaminya, Siti ternyata puas dan seronok bermain permainan tersebut dan menyifatkan permainan berkenaan sebagai sukan ekstrem yang selamat.

‘Permainan ini sesuai dengan semua peringkat usia asalkan masih berupaya untuk berlari.

‘Walaupun penat, yang penting saya dan kakitangan Simply Siti dapat mengetepikan seketika masalah di pejabat dan berseronok di sini.

‘Mungkin pada masa akan datang, satu aktiviti lain pula akan diadakan,’ katanya.

Utusan

24
Apr

Inikah Potret Seorang ?Diva??

Katarsis Kualong

KRISDAYANTI yang baru sebulan bernikah dengan kekasih hati, Raul Lemos mengumumkan bahawa pada ketika ini dia sudah mengandung empat bulan.

Sudah pasti berita itu menjadi tamparan hebat terutamanya buat peminat artis berkenaan baik di Malaysia mahupun Indonesia.

Selaku sahabat baik KD, saya tidak pasti pula bagaimana Siti Nurhaliza menerima berita berkenaan.

Hamil itu satu hal. Terfikir di benak saya, bagaimana KD boleh seberani itu mendedahkan ke media bahawa dia sudah hamil empat bulan?

KD seolah-olah mahu satu dunia tahu bahawa dia dan Raul sebenarnya ‘sangat’ bertanggungjawab atas segala perbuatan mereka dengan cara tidak menyembunyikan cerita itu.

Tetapi dalam masa yang sama saya terfikir, apakah ada sebarang rahsia yang kita sendiri tidak tahu mengenai hubungan mereka sebelum ini?

Secara tiba-tiba saya teringat semula kepada cerita bahawa sebenarnya pasangan ini telah lama bernikah.

Malah KD, ketika saya temui pertengahan tahun 2010 di rumahnya telah memakai sebentuk cincin berlian di jari manisnya. Dan ada rakan media Indonesia memberitahu saya bahawa ketika itu KD dan Raul baru saja bernikah secara rahsia.

Sewaktu berkunjung ke rumahnya di Pondoh Indah, Jakarta Selatan pada Ramadan yang lalu itulah, saya sempat bertanyakan cerita itu kepada KD.

Dalam kamarnya sendiri, kami hanya berdua dan saya mencari keberanian untuk bertanya soalan itu. Itu pun setelah dia memberitahu Raul sering ke rumah agamnya itu setiap kali ke Jakarta. Malah anak-anak serta ibunya sendiri sudah semakin mesra dan menerima Raul sebagai ahli keluarga, kata KD ketika itu.

‘Khabarnya kamu dan Raul memang sudah bernikah, apa benar?’ tanya saya.

KD diam seketika sebelum kemudian dia memegang bahu saya, menyorot mata saya dengan pandangan dalam dan berkata begini.

‘Soal kami sudah bernikah atau belum, hanya kami yang tahu. Ia menjadi rahsia kami berdua, nanti kalian akan tahu juga,’ katanya dalam senyum, membayangkan sedang sangat bahagia dengan lelaki baru.

KD juga berkongsi cerita betapa dia cukup suka akan aroma bau badan lelaki itu yang dikatakan wangi kerana tidak merokok. Raul juga kalau berjalan mahu KD sentiasa di samping tidak berasingan.

Ketika makan tidak boleh duduk saling berdepan sebaliknya perlu berada di sebelah supaya pada bila-bila masa boleh mencapai tangan antara satu sama lain.

Justeru, kala minggu lalu KD mengumumkan dia hamil empat bulan, saya kembali teringat akan kenyataan beliau itu.

Apakah ada kemungkinan dia sebenarnya sudah menikah awal dengan Raul, tanpa pengetahuan kita semua?

Apatah lagi pada ketika itu Raul sebenarnya masih bergelar suami kepada Atha, maka ada sebab untuk mereka merahsiakan pernikahan awalnya itu.

Lalu untuk apa ada pernikahan lagi pada Mac lalu? Apakah ia diadakan sekadar untuk ‘menyimpan’ cerita pernikahan awal mereka?

Siapa tahu, barangkali itu juga mungkin berlaku. Saya beranggapan begitu kerana perkahwinan ‘gaya’ itu telah berlaku di kalangan artis kita sendiri sebelum ini.

Di Malaysia pun ada artis yang sudah berkahwin, bila ditanya bagai nak ‘rak’ buat penafian, malah ada yang tidak takut bersumpah.

Tetapi bila sampai satu masa yang mereka fikir sudah sedia untuk buat pengumuman, beberapa bulan kemudian mengakulah mereka dan boleh pula buat majlis secara besar-besaran seperti tiada apa-apa.

Siapa tahu kalau KD juga mengunakan modus operandi yang sama? Justeru kita yang tidak tahu duduk perkara sebenar, usahlah terlalu banyak berkata itu dan ini. Usah terlalu banyak mengeji dan menghina sedangkan kita sendiri tidak pasti, apa sebenarnya di sebalik cerita.

Apapun keadaannya, inilah potret sebenar seorang diva. Artis, karyawan mahupun seniman mempunyai cara kehidupan yang tidak mampu dipunyai oleh insan biasa. Kehidupan mereka penuh dengan cerita, sarat debaran, kacau-bilau dan biasanya penuh dengan teka teki yang tidak berkesudahan.

Kehidupan KD sendiri penuh dengan warna-warni, sanggup meninggalkan suami (Anang) yang sudah memberikannya dua anak semata-mata kerana mencintai seorang lelaki lain (Raul). Apakah banyak wanita lain yang ‘seberani’ dia?

Belum lagi dengan pelbagai kisah panas yang dituang dalam biografi peribadinya bagaimana dia pernah terjebak dengan najis dadah dan terbaru terbuka dalam soal kehamilan yang mengundang ‘nista’ bukan sedikit, apakah ada wanita lain yang sebegitu jujur pada dirinya sendiri?

Saya fikir tidak ramai yang mampu melakukannya. KD adalah seorang yang sering berlaku jujur pada diri sendiri, tanpa peduli apa orang mahu kata. Kepadanya, tidak ada perkara yang paling istimewa dalam kehidupan selain daripada berdamai dengan diri sendiri.

Utusan

4
Apr

Saya Reda ? Saida

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar MOHD ARIF RAMELI (Pelatih UNISEL)


Teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an merupakan lakonan pertamanya di pentas teater.

MAHLIGAI perkahwinan yang dibina oleh Siti Nursaida Tarudin atau Saida, 35, bersama suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, hampir menemui titik noktah apabila memfailkan perceraian pada 6 Oktober tahun lalu.

Walaupun kes perceraian kakak kepada Datuk Siti Nurhaliza itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Saida tetap dengan pendiriannya untuk tidak kembali bersatu dengan suaminya.

Bagaimanapun, sehingga kini, Saida dan Ghazali masih lagi tinggal sebumbung sementara menunggu keputusan perbicaraan yang dijangka bakal diputuskan tidak lama lagi.

Menyingkap kisah di sebalik rumahtangga yang dibina 15 tahun lalu itu, Saida menjelaskan, perpisahan itu adalah kehendaknya.

Akan tetapi, Saida bersikap realistik dan sedar, hanya Tuhan sahaja yang dapat menentukan takdir dan jodoh.

‘Jika ditakdirkan suatu hari nanti kami kembali bersama, saya reda tetapi bukan sekarang. Lagipun, siapalah saya untuk mengelak daripada takdir yang telah ditentukan Allah.

‘Mungkin dalam perpisahan itu, saya akan menemui titik kebahagiaan yang membuatkan saya menerima Ghazali semula.

‘Cuma seperti yang telah saya nyatakan tadi, dalam waktu terdekat ini, biarkanlah saya bahagia bersama anak-anak,’ katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an (KMJ 60-an) di Restoran Istana Bambu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, biarpun perpisahan tersebut adalah keinginan Saida sendiri, dia amat sedih dengan situasi berkenaan memandangkan usia perkahwinannya mencecah 15 tahun.

Katanya, tiada satu pasangan pun yang telah mendirikan rumah tangga, mahu berakhir dengan perceraian.

Apatah lagi apabila mengenangkan nasib empat orang anaknya, membuatkan Saida bertambah sedih.

‘Tetapi inilah takdir yang tertulis buat saya dan saya reda. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku,’ ujar bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu.

Utusan

3
Apr

?Hati Saya Tetap Pada Kak Pah?

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto ZAINI HUSIN


Shaiffudin mahu terus mengumpul koleksi Datuk Sharifah Aini.

LAGU Kisah Yang Terjadi kerap diputarkan di radio sekitar tahun 1975.

Terpesona dengan keindahan lirik dan melodinya menjadikan lagu itu pencetus buat Muhammad Shaiffudin Sarif untuk meminati biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

Meskipun ketika itu Shaiffudin baru berusia lapan tahun, namun dia tahu, Sharifah Aini adalah orang yang paling layak untuk berada di dalam hatinya sebagai idola.

Cerita pemuda berusia 45 tahun itu, dahulu, minatnya terhadap penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan ramai terutama keluarga.

Semuanya kerana dia segan untuk memberitahu bahawa wanita yang sering dikenali sebagai Kak Pah itu adalah penyanyi kesayangannya.

‘Bayangkan, segala gambar, keratan akhbar atau majalah berkaitan Kak Pah saya simpan bawah tilam atau di mana-mana sahaja tempat tersorok.

‘Masa itu budak-budak lagi. Segan nak mengaku. Tetapi sekarang lain. Sebut apa sahaja. Konsert Kak Pah di semua lokasi saya pergi.

‘Album dia semua saya ada, gambar-gambar dia, jangan cakaplah, berlambak-lambak ada dalam simpanan,’ katanya bersungguh.

Menurut Shaiffudin, koleksi paling dalam simpanannya selain piring hitam adalah gambar-gambar Kak Pah dari awal pembabitannya dalam bidang seni termasuk beberapa keping gambar penyanyi itu semasa kecil.

Layak dipanggil peminat tegar Kak Pah, Shaiffudin turut mengaku menyimpan kenangan bersama penyanyi bersuara merdu itu.

Antaranya, dia pernah dipelawa menaiki kereta bersama Sharifah Aini dalam perjalanan pulang selepas selesai menonton konsert penyanyi itu sekitar tahun 1998.

‘Sungguh tak sangka, seorang diva seperti dia tak kisah hendak menumpangkan seorang peminat seperti saya menaiki keretanya sampai ke luar pintu pagar.

‘Nampak yang dia tak meninggi diri meski sudah bergelar biduanita negara. Di dalam kereta sempat kami berbual-bual sebentar. Itulah pengalaman manis sepanjang saya meminati Kak Pah,’ ujarnya.

Ditanya keistimewaan Kak Pah pada matanya, jelas Shaiffudin, selain personaliti yang menarik, bakat Kak Pah sebagai penyanyi juga unik dan lain daripada yang lain.

‘Kalau dia menyanyi, sebutan setiap perkataan dalam nyanyiannya jelas. Tak seperti artis lain. Selain menyanyi, dia pun berbakat dalam bidang lakonan.

‘Saya juga suka pada sepasang mata yang dimiliki Kak Pah. Cukup cantik!’ pujinya tanpa segan.

Sukar membuat keputusan lagu yang benar-benar menjadi kesukaannya, kata Shaiffudin, kebanyakan lagu Kak Pah cukup istimewa di hatinya.

Berani bertaruh bahawa tiada artis lain setanding Kak Pah, akui Shaffudin, dia akan terus meminati idolanya itu sehingga ke akhir hayat.

‘Datanglah Siti Nurhaliza atau Erra Fazira ke, hati saya tetap pada Sharifah Aini. Dia memang superstar sebenar,’ katanya yang bercita-cita mahu membuat pameran koleksi Kak Pah kepada umum.

Utusan

11
Feb

?Kirim Siti Nurhaliza Selesai Masalah?

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my


MENTERI Negara Pemberdayaan Wanita dan Perindungan Anak Indonesia, Linda Amalia Sari Gumelar menyampaikan plak Anugerah Inspirasi kepada Siti Nurhaliza di Bandung, Indonesia baru-baru ini.

SAYANGNYA Indonesia kepada penyanyi Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bukan kepalang. Dia dilihat sebagai jurucakap bangsa Melayu yang wajar dijaga sebaik yang mungkin.

Sehinggakan pernah dikeluarkan kenyataan andai Malaysia tidak mahu Siti Nurhaliza, berikan kepada Indonesia.

Kerana personaliti serta kejayaan menembusi pasaran muzik Melayu serantau Siti Nurhaliza juga dicadangkan sebagai Duta Kebudayaan Masyarakat Melayu pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) di Bandung baru-baru ini.

Siti Nurhaliza barangkali bukan seorang pegawai diplomat lulusan luar negara yang membantu kerajaan menjual nama negara.

Namun, menyedari tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, dia terus menjaja nama negara menerusi seni.

‘Kalau ada yang merasakan saya boleh memikul tanggungjawab mengakrabkan hubungan, saya bersedia menerimanya,’ reaksi Siti Nurhaliza kepada Hits ketika mengulas cadangan Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi Chalid melantik beliau sebagai Duta Kebudayaan Masyarakat Melayu baru-baru ini.

Penyanyi itu memberitahu, apa saja yang baik untuk hubungan serantau, beliau bersedia untuk membantunya.

Persetujuan itu dibuat Siti Nurhaliza memandangkan beliau mahu masyarakat serantau khususnya bangsa Melayu menjadi bangsa yang kuat dan berpengaruh seperti bangsa lain.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, penyanyi itu berkata, beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi merealisasikan idea pelaksanaan tugas itu.

Katanya, beliau tidak mampu memikul tanggungjawab itu sendirian kerana rumpun Melayu mempunyai skop yang luas dan mencakupi banyak isu termasuk ekonomi, sosial dan pembangunan modal insan.

‘Semenjak terlibat dalam lapangan seni saya dapat melihat perubahan landskap sosial masyarakat Melayu.

‘Justeru, seni seharusnya dijadikan sebagai instrumen penting oleh seluruh masyarakat serumpun untuk terus memperkasakan bangsa Melayu sehingga menjadi kuasa baru dunia,’ kata Siti Nurhaliza lagi.

Nama Siti Nurhaliza dicadangkan oleh Saiful berdasarkan penerimaan besar masyarakat terhadap personaliti penyanyi Malaysia itu.

Apa lagi dalam keadaan di sebalik hubungan Malaysia dan Indonesia yang kadangkala ‘panas’, artis popular itu boleh mengakrabkan hubungan serumpun itu.

‘Lebih baik gelar itu datang daripada masyarakat, kerana gelar itu akan abadi,’ kata Saiful yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia, Antara.

Ketika menjelaskan lebih lanjut cadangan beliau itu, Saiful Hadi berkata, beliau yakin Siti Nurhaliza boleh memainkan peranan amat berkesan untuk ‘menyejukkan suasana’ ketika berlaku krisis dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, misalnya.

‘Ketika ada isu-isu hangat, tak perlu bersusah-payah kita mengirim delegasi Malaysia atau Indonesia untuk menenangkan keadaan, cukup dengan mengirim Siti Nurhaliza menyanyi dan mengatakan buat apa kita bermusuhan,’ katanya.

Ketika di Bandung, Siti Nurhaliza yang juga usahawan kosmetik menerima Anugerah Wanita Inspirasi yang disampaikan oleh Menteri Negara Pemberdayaan Wanita dan Perlindungan Anak Republik Indonesia, Linda Amalia Sari Gumelar.

Anugerah itu diberikan kepadanya sebagai pengiktirafan dan penghargaan sumbangan beliau dalam bidang ekonomi dengan usahawan-usahawan Indonesia.

Utusan

25
Apr

Zon Abie: Selebriti Kita ‘Tak Berkira’

Oleh Abie Abdullah

Rap
SIAPA kata artis kita ‘demand’? Tak baik tuduh artis kita bukan-bukan soal bayaran. Bukan saja tidak letak harga, malah bagi khidmat percuma lagi. Semua demi peminat walaupun yang membayar untuk ‘bersama’ mereka itu bukan seringgit dua.

Ini berlaku di Minggu Setiausaha anjuran Hotel Istana dan Lord’s Tailor, Rabu lalu. Pelik bin hairan juga, sebab biasanya, keraian yang diadakan sepanjang April ini adalah bulan untuk artis menambah isi dalam akaun bank masing-masing selain bertemu peminat.

Malah bayaran untuk persembahan makan tengah hari atau malam, bukan sedikit yang dibayar kepada penghibur negara. Tidak cukup artis Malaysia, Kris Dayanti saban tahun tidak terkecuali daripada acara ini. Bukan seribu dua ringgit bayaran artis.

Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Ning Baizura, bukan kecil anak pengalaman mereka dalam dunia nyanyian, jadi bukan kecil juga jumlah yang harus dibayar buat mereka. Ini bukan soal ‘demand’ tak bertempat tetapi ‘demand’ kerana hak mereka.

Lain pula yang berlaku depan mata saya. Bukan nak mempertikaikan keluhuran hati lebih 20 lelaki yang didatangkan khas untuk menyedapkan mata setiausaha apabila dikatakan mereka berkhidmat percuma selama hampir sehari suntuk di majlis itu.

Situasi itu membuatkan hati saya terdetik, baik sungguh mereka! Tidak hanya mereka, penyanyi yang diundang seperti Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Azharina Azhar dan Shila ND Lala turut sama membuat ‘amal’.

Walaupun ada antara mereka yang terpaksa mengosongkan jadual daripada rutin kebiasaan di lokasi serta ada yang bergegas dari majlis lain atau ke majlis lain selepas itu, artis ini sangat komited. Mereka menyanyi percuma!

Semua artis wanita mengenakan gaun merah, sesuai dengan tema barangkali. Baju pula rekaan pereka muda, kecuali Jaclyn yang terpaksa membuka almari sendiri. Bagaimana dengan bayaran mekap? Opps, mungkin ada yang taja, baguslah!

Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus antara yang menjadi tatapan hadirin. Malah artis Indonesia turut dijemput seperti Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal, Ello, Rio Febrian, Delon dan Didi Riyadi.

Puaslah peminat yang rata-ratanya wanita mengabadikan gambar mereka bersama bintang kacak ini. Sebelum majlis bermula, mereka berlegar sekitar muka pintu ‘ballroom’ untuk memberi layanan kepada peminat. Kemudian dipanggil ke dewan, tamat sesi perkenalan di pentas, mereka perlu keluar.

 

 

Keluar ke mana? Sebenarnya kembali ke ruang legar depan pintu masuk dewan tadi. Dah mati kutu, tidak tahu apa nak buat sebab hadirin semuanya sedang menikmati celoteh Adflin Shauki dan AC Mizal selalu pengacara majlis serta ayam goreng garing keras yang menjadi antara menu hidangan Padang untuk makan tengah hari itu.

Sebelum saya dan rakan-rakan masuk ke dewan itu, mula terdengar daripada teman yang membawa artis kerana mereka tidak disediakan kerusi atau meja, jauh sekali untuk sama-sama makan. Detik hati, mungkin penganjur sudah sediakan tempat khas.

Bagaimanapun, pertanyaan hati itu semakin bertambah apabila beberapa artis jantan pemanis majlis mundar-mandir dalam dewan, bagaikan pelayan yang tidak membawa dulang. Senyum tetap di bibir, jauh sekali untuk dibuang daripada tatapan peminat.

Dalam gelak dek lawak si pengacara, Afdlin sempat menyuruh orang menghantar makanan ke belakang pentas sebab masing-masing kelaparan. Biasalah Afdlin, bijak sungguh gurauannya!

Kasihan melihat artis pemanis majlis itu yang ‘dikoreografikan’ seperti kehilangan arah, saya bersama teman seperti bendul mengajak mereka turut sama menjamu selera yang kebetulan ada tempat kosong di meja kami. Ada yang menolak, tidak kurang juga yang tidak mempedulikan protokol kerana perut makin rancak berkeroncong.

Sememangnya telahan saya meleset mengenai meja, kerusi, makanan dan minuman. Semua itu tidak disediakan kerana tugas mereka hanya memaniskan muka sepanjang majlis berkenaan. Bayaran? Seperti yang saya katakan tadi, mereka pemurah beramal.

Setahu saya, sesetengah majlis amal pun, artis dibayar secara token kalau tidak sepenuhnya. Namun, dalam kes tadi, mereka sudah berpuas hati dengan sepasang persalinan yang diberikan Lord’s Tailor.

Cuma malangnya, ada juga yang terkebil-kebil tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tidak tahu pun mereka perlu hadir untuk Minggu Setiausaha. Lawak sungguh artis kita, nampak sangat mudah dipergunakan mereka yang sememangnya kaki pengguna!

Bukan saja yang datang berseorangan, malah artis yang memasang pengurus juga ‘buta huruf’ pasal majlis ini sehingga mereka tersentak apabila melihat gambar dan nama mereka di dalam akhbar dan kain rentang di hotel berkenaan.

Syabas buat artis ini kerana sanggup beramal sehingga begitu rupa! Cuma kami di Harian Metro tidak sanggup berbuat begitu kerana memikirkan keringat dan periuk nasi masing-masing. Walaupun akhbar sering memberi publisiti untuk golongan ini, bayaran tetap bayaran!

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

23
Jan

Memey & Siti Nurhaliza Jadi Perhatian

[
Tonton video ]

KUALA LUMPUR,  23 JAN 2008:  Lama menyepi sejak musim pertama, Miss Propa dah kembali semula pada musim ini.  Tahniah  Miss Propa kepada murai.com.my yang sudah mencecah lebih 8 juta pageviews, baru-baru ini bagi tempoh sebulan, iaitu pada Disember, lalu.

Sepanjang penghujung tahun 2008 dan menjelma pula 2009, Miss Propa nampak ada 2 nama selebriti wanita yang sering bermain d ibibir pengikut iindustri hiburan tanah air. 

Siapa lagi kalau bukan Dato’ Siti Nurhaliza kita dan pendatang baru Memey. Masing-masing nampaknya punya cerita kontroversi masing-masing.

Dato’ Siti sensasi dengan gosip pergolakan rumahtangganya dengan Datuk K manakala si cantik Memey pula ‘berani mati’ muncul dalam hidup Norman Hakim dan Abby Abadi. Dari kes khalwat dengan Norman hinggalah dituduh menjadi punca Norman bercerai dengan Abby.

Apa pun, Miss Propa nak ucapkan tahniah kepada kedua-dua mereka. Syabas Dato’ Siti atas kelahiran album terbarunya yang berkonsepkan tradisional kontemporari, Lentera Timur. Kepada Memey pula, tahniah atas keberanian anda berhadapan semula dengan pihak media dan masyarakat.

Kepada pembaca murai.com.my, kalau ada sebarang pertanyaan berkenaan dunia hiburan atau artis kesayangan anda, e-melkan pertanyaan anda itu ke webmaster@murai.com.my. Insya-Allah Miss Propa akan tolong jawabkan. Eee… Propa-Lah!

[Klik di sini untuk menonton episod terbaru Miss Propa]

Murai

28
Sep

Mawi & Ikin Rahsia Majlis Risik

Oleh NIEZAM ABDULLAH
& WANDA IDRIS

MAWI dan Ekin! Selagi merpati dua sejoli ini tidak disahkan sebagai suami isteri, selagi itulah kisah mereka sentiasa menjadi bahan dan sensasi. Itulah hakikat yang terpaksa dibayar oleh tuan punya nama Asmawi Ani,27, ini apabila memilih gadis senegerinya, Nora’asikin Rahmat, 29, sebagai bakal isteri.

Hari ini timbul macam-macam spekulasi mengenai kedua pasangan tersebut. Pelbagai desas-desus mengenai tarikh dan konsep majlis perkahwinan hangat diperkatakan. Heboh dan kecoh di sana sini apabila orang asyik bertanya bilakah kedua-dua mereka hendak mendirikan rumah tangga?

Seperti kata Ekin dan dipersetujui Mawi, biarlah segalanya diumumkan pertengahan Syawal nanti semata-mata mahu berlaku adil kepada semua.

Itu keputusan Mawi dan kita harus menghormatinya. Untuk mendapatkan sesi fotografi kedua mereka pun bukannya mudah.

Tetapi kali ini sebagai membuktikan kasih dan sayang mereka, maka Mawi dan Ekin memenuhi permintaan untuk bergambar berdua dengan semua media.

Membilang hari-hari bahagia, ada orang kata kedua mereka bakal disatukan pada 20 Disember akan datang. Ada pula yang meneka pada 21 Disember majlis sanding di sebelah perempuan dan seminggu selepas itu di pihak lelaki.

Macam-macam tarikh diberikan tetapi Mawi tetap mengunci rapat mulutnya itu.

“Opss… tarikhnya dah ada tapi biarlah saya beritahu lepas raya. Barulah adil kepada semua,” ujarnya.

Bukan saja spekulasi tarikh tersebut sebaliknya ada yang mendakwa kononnya mereka berdua sudah mengikuti kursus kahwin yang diadakan secara eksklusif di sebuah hotel yang hanya dihadiri kedua-dua mereka sahaja beberapa beberapa bulan lalu.

Saat ditanya daripada mulut Ekin mengenai perkara itu, katanya ia cerita yang tak betul.

Malah macam-macam khabar angin orang sebarkan selepas mereka membuat pengumuman rasmi menjadi pasangan kekasih dan akan mendirikan rumah tangga penghujung tahun ini. Hari ini wajah bakal pengantin ini bersinar bak bulan mengambang.

Saat diundang untuk melakukan sesi fotografi di PNB Darby Park, Kuala Lumpur kedua mereka dilihat pasangan yang cukup serasi.

Benarlah kata Mawi sebelum ini, mereka berdua sebenarnya “satu kepala”. Sebab itulah hubungan itu boleh kekal sehinggalah bakal menjadi suami isteri. Mawi sering mengusik Ekin tetapi jika ada sesuatu yang tidak digemarinya, mulalah Mawi “tarik” muka.

“Dia tak suka lipstik merah ni. Merah sangat dia kata. Lebih baik kita tukar warna lain,” bisik Ekin kepada jurusolek Najeeb yang mulanya mencalit lipstik warna merah menyala.

Bukan itu saja ketika diminta menyarungkan Baju Melayu berwarna putih, Mawi awal-awal lagi minta untuk tidak mahu memakainya kerana ia kelihatan seperti orang yang hendak pergi menikah.

Bukan banyak “songeh” tetapi ujar jejaka ini petua orang lama-lama jangan ditolak tepi kerana segala-galanya boleh berlaku jika bakal pengantin terlalu ghairah dengan pakaian seperti untuk naik atas pelamin.

- Majlis risik yang sederhana
Ketika berborak panjang, banyak benda yang tidak mahu diceritakan Mawi. Tetapi selepas dipujuk akhirnya Mawi mengakui dia sudah merisik Ekin pada bulan Jun lalu.

Majlis risik itu diadakan secara sederhana dan agak rahsia tanpa pengetahuan pihak luar sebaliknya dihadiri keluarga terdekat kedua pihak sahaja.

Di pihak lelaki, rombongan hanya terdiri daripada ibu, kakak dan adik beradik Mawi. Begitulah di pihak perempuan yang hanya dihadiri keluarga terdekat mereka.

Bukan sengaja mahu berahsia tetapi kata Mawi dia tak mahu majlis itu nanti dieksploitasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Lagipun memikirkan ia hanya majlis risik, tidak perlu dihebohkan satu Malaya kerana takut nanti ada yang tak kena atau tak menjadi.

Lagipun majlis merisik tersebut tidak dilakukan dengan perancangan rapi sebaliknya hanya keputusan pada saat-saat akhir.

Kerana terlalu ringkas, hanya ibu Ekin sahaja yang menyediakan makan tengah hari tanpa ada tempahan masakan dari mana-mana katering.

Bagi Ekin pula, majlis tersebut amat bermakna kerana ia membuktikan cinta mereka yang berada pada tahap “bukan main-main lagi”.

Pada majlis itu ujar Ekin, dia menerima sebentuk cincin yang disarungkan ibu Mawi sebagai tanda seriusnya perhubungan mereka. Bukan cincin belah rotan tetapi sebentuk cincin platinum bertatahkan tiga butir permata di atasnya.

“Ia bukan majlis yang kami jangkakan. Kebetulan masa Ekin balik Johor tiba-tiba sahaja kami merancang untuk mengadakan majlis itu,” ujar Ekin. Tidak ada wang hantaran, jelas Ekin perkara itu akan dibincangkan apabila tarikh bersejarah mereka nanti hampir tiba.

- Ada siaran langsung
Bukan sahaja perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza sahaja yang akan mencatat sejarah kerana akan disiarkan secara langsung tetapi juga majlis perkahwinan kedua-dua mempelai ini.

Tidak menafikan desas desus tersebut, kata Mawi buat masa ini banyak permintaan dari stesen televisyen yang berminat menyiarkan majlis pernikahannya itu.

Tanpa mahu menyebut stesen mana yang bertuah, keputusan itu sudah dibuat dengan teliti selepas mengambil kira beberapa perkara.

Dan Mawi sendiri akan memaklumkannya pada sidang media selepas Hari Raya nanti kerana buat masa ini pihaknya masih berbincang mengenai perkara itu.

Dengan adanya siaran langsung tak ada masalah untuk peminat-peminat Mawi melihat sendiri bagaimanakah perkahwinan mereka itu dilakukan. Ia juga sebagai hadiah Mawi untuk mereka yang banyak menyokong kerjaya seninya sehingga berjaya menjadi bintang popular pada hari ini.

Biarpun masih berahsia mengenai tarik keramat hari bersejarah mereka, Mawi bercadang mengadakan satu majlis yang meriah sebelah pengantin lelaki nanti.

Kata beliau, peminat juga dijemput datang tetapi terima sahajalah apa juga keadaannya nanti kerana jika terlalu ramai orang, beliau mengakui tidak dapat melayan semuanya dengan sama rata.

Padang bola Felda Taib Andak, Kulai, Johor, akan menyaksikan majlis itu yang dijangka meriah dengan adanya acara kuda kepang untuk tontonan umum.

- Hati semakin berdebar
Mengira hari-hari bahagia yang bakal dilalui itu, tidak menafikan sedikit sebanyak debaran itu kian terasa. Ekin tentunya bersyukur ketika melewati usia 29 tahun, ada juga insan yang sudi melamarnya untuk diangkat sebagai isteri.

Malah dia juga dapat membayangkan betapa gembiranya perkahwinan itu nanti kerana memperoleh keluarga yang saling faham memahami. Sementara bagi Mawi, debaran itu kerana beliau menempuh satu benda baru iaitu sebuah alam perkahwinan dan bakal menjadi ketua keluarga.

Tetapi tidak dinafikan semakin hampir hari itu, semakin banyak dugaan yang melanda membuatkan kadang-kala Mawi menjadi bingung memikirkan perkara tersebut.

Bukan sahaja fitnah tetapi pelbagai andaian buruk orang perkatakan mengenai cintanya terhadap Ekin tetapi dia tidak mahu ambil serius perkara itu.

“Saya membuat keputusan nak kahwin dengan Ekin, biarlah segalanya saya tanggung kerana saya lebih mengenali siapa Ekin daripada orang lain.

“Memang dugaan hubungan saya dengan dia terlalu kuat disebabkan mulut orang. Tapi saya tak ambil pusing kerana hasrat saya baik iaitu untuk mendirikan masjid,” ujar Mawi.

Menyambut Hari Raya di kediaman barunya pada tahun ini Mawi memilih untuk membawa ibu dan ahli keluarganya merasai suasana beraya di Kuala Lumpur.

Bukan mahu lari daripada peminat tetapi inilah niat untuk dia melihat keluarganya gembira dengan kejayaan yang dikecapinya selepas bergelar artis. Dan yang paling penting tidak lama lagi berakhirlah episod bujang dalam diri Mawi selepas melalui beberapa frasa hidup daripada seorang anak felda yang tak punyai apa-apa sehinggalah menjadi ternama.

Kepada Mawi dan Ekin selamat menempuh gerbang perkahwinan kerana kahwin itu adalah pelengkap kepada sebuah kasih sayang.

Utusan Malaysia