ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca semua. Semoga anda dalam keadaan sihat hendaknya disamping menjalani ibadah puasa.
Siti pasti pada minggu kedua kita berpuasa ini ramai di antara kita yang sudah mula membuat pelbagai persiapan untuk berhari raya. Siti sendiri, biasanya persiapan ini dibuat pada minggu terakhir puasa kerana pada ketika tidak begitu sibuk. Sekarang tidak begitu. Sekarang ini, rakaman album baru Siti masih dalam proses dan akan tamat pada minggu depan.
Selasa lalu, Siti berkesempatan muncul dalam majlis berbuka puasa anjuran Suria Record. Pada majlis itu juga diadakan majlis pelancaran video cakera padat(VCD) dan cakera padat album hari raya artis Suria Record.
Bagi peminat yang ingin mendapatkannya, album berjudul Gema Hari Raya itu sudah muncul di pasaran.
Siti sendiri muncul dalam tiga klip video iaitu secara berama-ramai dalam lagu Aidilfitri Di Alaf Baru, Nikmat Hari Raya dan satu lagu solo, Sesuci Lebaran.
Siti juga mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf kepada pihak tertentu kerana tidak dapat memenuhi pelbagai undangan pada bulan puasa ini kerana terikat dengan jadual rakaman.
Bagaimanapun, Siti akan cuba muncul dalam beberapa majlis jika jadual rakaman tidak bertembung dengan tarikh majlis diadakan.
Nampaknya sekian dulu catatan Siti minggu ini. Bertemu kembali pada minggu hadapan.
Sekian Wassalam.
-SITI NURHALIZA
METRO AHAD