Cinta Jangan Hanyut
LEBIH 11 tahun menjadi anak seni, Datin Seri Siti Nurhaliza masih berada dalam kelasnya tersendiri. Saban hari, tidak pernah surut daripada dugaan termasuk paling hebat dilanda ribut asmara sebelum menikahi Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa, dua tahun lalu.
Namun, Siti, 29, tetap menghadapinya dengan tenang. Tenang – inilah rahsia kejayaan penyanyi berprofil tinggi ini.
Sementara di lapangan seni, bersama syarikat miliknya, Siti Nurhaliza Productions, kerjayanya diurus dengan cemerlang. Usai suksesnya album Hadiah Daripada Siti yang merangkul banyak pengiktirafan pada Anugerah Industri Muzik Ke-15 lalu, Siti merencana untuk mengadakan sebuah konsert mega di ibu kota yang setaraf persembahannya di Royal Albert Hall, London, beberapa tahun lalu.
“Insya-Allah, Siti mahu mengadakan sebuah konsert mega dan eksklusif buat peminat Siti selewat-lewatnya hujung tahun ini. Ini sasaran Siti sekarang,” ujar Siti penuh teruja saat dihubungi VAZZ minggu ini.
Ekonomi negara Merisaukan. Harga barang semua naik dan bahangnya cukup terasa kepada semua isi rumah. Apa yang akan terjadi ke atas ekonomi kita nanti ya? Jadi Siti berdoa agar semuanya baik. Siti juga berharap tidak akan berlaku rusuhan atau protes yang boleh menyebabkan negara tidak aman.
Minyak (Ketawa). Isu yang satu ini kita kena akur kerana ini masalah global. Namun Siti akui, kenaikan harga minyak memang membebankan golongan bawahan. Siti kasihan pada rakyat berpendapatan rendah dan Siti harap semua pihak bertimbang rasa terhadap isu ini.
Bagaimanapun Siti yakin isu ini pasti ada hikmahnya. Misalnya, sekarang Siti lihat jalan raya tidak begitu sesak kerana mungkin lebih ramai yang memilih pengangkutan alternatif untuk berjimat.
Percutian Kalau cuti singkat, selalunya Siti habiskan di rumah saja bersama suami. Jika panjang, baru kami akan keluar bercuti sama ada di dalam atau luar negara. Namun kini kalau nak bercuti, Siti tunggu musim cuti sekolah sebab nak bawa anak-anak sekali bercuti, baru meriah!
Lokasi percutian kesukaan Siti sebenarnya di tanah tinggi. Suami pula sukakan pantai. Jadi kadang-kadang kami bergilir bercuti di tempat kegemaran masing-masing. Bercuti di pantai pun seronok sebab ada banyak aktiviti sukan air yang boleh dilakukan.
Bencana alam Sudah terlalu banyak berlaku kebelakangan ini. Isu pemanasan global, gempa bumi, ribut, banjir dan banyak lagi. Seharusnya kita sama-sama sayangi bumi dan tidak lupa menghulurkan bantuan kepada insan malang yang diuji dengan bencana alam.
Cinta Alhamdulillah, cinta untuk insan yang Siti idam sudah dimakbulkan. Pun saban hari Siti berusaha untuk mencintai agama dan negara dengan lebih baik lagi. Hanya menjadi manusia, kita jangan hanyut dengan alam percintaan.
Pangkat Tidak menjanjikan apa-apa. Ya, ia satu anugerah buat kerja keras dan kita dihargai dengan status tersebut. Namun Siti percaya setiap manusia adalah sama, terutama di sisi Tuhan.
Powered by Kosmo
Artis Dan Fesyen
Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK sofiatul.chik@kosmo.com.my

IZWAN, Amylia dan Hatta tidak pernah menyesal dengan penampilan masing-masing walaupun pernah dikritik.
SENTUH hal fesyen, ia tidak dapat lari daripada memerhati pakaian artis-artis pada acara besar mahupun penampilan seharian. Silap pakai, mereka pasti menjadi bahan kritikan.
VAZZ kali ini menampilkan seorang pereka fesyen dan dua artis muda untuk bercakap tentang topik ini. Amelia dan Izwan Pilus walau pernah dikritik, masih melihatnya sebagai satu proses pembelajaran. Dan Hatta Dolmat menyampaikan apa yang dirasakan oleh seorang yang bertugas mencantikkan artis kita.
Definisi fesyen untuk kalian? H: Fesyen merupakan sesuatu yang universal. Bila cakap tentangnya, ramai yang keliru sama ada dia suka berfesyen atau dia seorang fashionable. Kedua-duanya berbeza dan luas maknanya. Ada suka yang cantik dan ada suka yang ganjil.
I: Fesyen adalah apa yang kita tampilkan bersesuaian dengan identiti. Tidak semua orang boleh pakai semua. Ia juga lambang peribadi. Seperti kata Hatta, ia universal. Ada yang suka fesyen yang pelik. Sebenarnya kita kena betulkan minda tentang fesyen.
Sebagai artis, saya boleh dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai krisis identiti. Saya ada dua kehidupan iaitu sebagai artis dan sebagai orang biasa.
Bila keluar sebagai orang biasa, saya pakai yang biasa saja. Sebagai artis, saya suka gaya yang orang mudah ingat iaitu ada ciri-ciri saya sendiri. Fesyen juga merangkumi tata rias, rambut dan cara berjalan.
A: Bagi saya, fesyen adalah personaliti. Adakala saya mahu feminin, kadang-kadang bergantung dengan warna yang saya bawakan. Ala-ala feng shui juga. Membawa pakaian adalah seperti membawa mood saya.
Pernahkah kamu dikategorikan sebagai mangsa fesyen? A: Ia satu perkataan yang zalim bagi saya. Setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri. Siapa peduli apa yang nak saya bawakan. Saya pakai bukan untuk puaskan hati sesiapa.
H: Pandangan setiap manusia tak sama. Kadangkala seseorang pakai, ada yang rasa cantik dan ada yang tidak. Kita tidak boleh salahkan orang. Tidak ada kesalahan dalam berfesyen. Kita kena suka apa yang kita pakai.
I: Tak salah kalau dilabelkan begitu, ia satu teguran yang perlu untuk kita tahu apa konsep yang sesuai dengan diri kita. Sebagai artis baru, saya mencuba sehabis daya untuk kelihatan elok.
Tetapi ada perkara yang kita terlepas pandang. Semua ini proses trial and error. Saya pernah digelar fashion disaster tapi saya menerimanya secara positif. Kini saya faham walaupun mahu kelihatan kreatif, kita tetap kena ingat dengan sensitiviti orang kita.
A: Tapi kekadang saya rasa tidak adil. Ada juga artis yang tidak kena gaya pemakaiannya tetapi kerana dia disukai, lalu dia tidak ditegur,
I: Tapi Datin Seri Siti Nurhaliza pun pernah dikritik tentang fesyennya. Ini semua proses pembelajaran juga. Kita jangan takut mencuba.
H: Kadangkala kalau salah gaya, reputasi seseorang pereka fesyen itu akan jatuh.
NASHA sentiasa menarik perhatian lensa.
Ada tak seingat kamu, kamu rasa kamu salah gaya dan menyesal kerana mengenakan gaya tersebut? I: Tidak pernah kerana saya rasa semuanya adalah proses percubaan juga. Saya akan pakai apa yang saya suka dan selesa.
Seingat saya, sewaktu AIM lepas, saya tampil dengan imej gothik dengan warna mata yang gelap. Itu idea untuk konsep persembahan saya, bukan saja-saja hadir dengan imej tersebut.
Bila di atas pentas, saya mewakili diri saya sebagai artis baru. Saya dikritik teruk malah ibu saya juga turut mengkritik pakaian saya. Walau dikritik, orang ingat saya dengan gaya tersebut. Baik atau buruk, ia adalah satu publisiti buat saya dan saya belajar.
H: Orang kita terlalu sensitif. Ada yang tidak boleh terima sesuatu fesyen. Masih ada yang mengatakan cantik itu harus sopan dan kemas. Bila pelik saja, mereka kutuk.
A: Artis kita masih ramai yang mahu berada di zon selesa apabila menyentuh tentang fesyen. Mereka mengamalkan konsep selamat.
Seingat saya, pernah saya tidak ada pilihan baju pada tahun 2006 tetapi saya tidak boleh buat apa-apa. Saya tidak suka dengan baju saya. Pengalaman itu mengajar saya supaya memilih baju saya sendiri.
H: Pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2005, saya masih baru dan sedang bersemangat untuk mereka baju. Saya reka untuk Fasha Sandha dan Jaclyn Victor. Tapi saya tak sanggup tengok semula gambar baju itu.
TRANSFORMASI Dayang mengagumkan.
Dan pakaian yang paling kamu bangga merekanya? H: ABP 2007, saya reka pakaian untuk Erra Fazira dan mendapat Anugerah Pakaian Terbaik. Mengenali seorang Hatta Dolmat, dia sukakan detailing yang berlebihan dan ala couture. Tapi masa ABP tu saya tampil dengan sesuatu yang simple. Ketika itu saya tahu pasaran kita sukakan sesuatu yang simple, classy dan elegan.
Apakah rujukan kamu tentang fesyen? H: Boleh dikatakan saya seorang yang gemar melihat ke Barat apabila mereka fesyen. Saya lebih suka sesuatu yang klasik. Tapi kita harus ikut musim dan trend. Saya akan rujuk Internet dan lihat apa yang mereka lakukan pada musim itu dari segi warna, fabrik dan banyak aspek lagi.
I: Ikon saya adalah Amy Search sebab dialah satu-satunya artis yang berani berfesyen. Dan apa salahnya jika saya menjadi yang kedua, kan? Amy pakai apa pun orang tidak kisah kerana dia ada stail. Kalau orang cakap pun tidak menjadi kudis. Saya mahu cuba menjadi begitu.
Paling penting adalah berani mencuba. Kritikan akan datang lebih banyak daripada pujian. Dari segi gaya, saya berpaksikan mild gothic yang dicampur dengan pengaruh Korea. Dan saya suka detail sebab itu saya suka rekaan Hatta Dolmat.
A: Saya suka Alicia Keys. Bagi saya dia berkembang dengan cara yang konservatif. Dia tidak mendedahkan diri tetapi dia tetap nampak seksi. Saya sukakan gayanya yang seperti memberi pernyataan bahawa dia ialah seorang wanita yang hot!
H: Saya suka stail Camelia, Nasha Aziz dan Maya Karin
CAMELIA terus anggun membawa gelaran fashionista.
Apa pula yang cantik di mata kamu dan transformasi siapa yang kamu suka? I: Saya suka wanita yang berkulit sawo matang, kurus dan tinggi. Bagi saya wanita yang berambut pendek itu cantik. Saya suka transformasi Dayang Nurfaizah yang kini sangat elegan. Dan rambut pendeknya kini sesuai dengan dirinya.
H: Dayang dulu pun seperti ada krisis identiti. Ada satu masa rambutnya berwarna. Kini dia sangat cantik. Itulah proses pembelajaran dan mencari identiti.
I: Itu kecantikan yang sebenar. Apa yang Dayang tunjukkan adalah apa yang dia belajar.
H: Cantik adalah Maya Karin. Saya suka stail dia. Dan ya, setiap orang adalah cantik.
A: Saya ajar diri saya untuk tidak melihat fizikal. Pada saya semua ada keistimewaan tersendiri dan itulah yang akan membuatkan seseorang itu terserlah.
Hatta, bagaimana pula dengan fesyen untuk seorang pereka fesyen? H: Ada orang berpendapat apa saja yang dipakai seorang pereka fesyen adalah betul. Itu salah. Mereka juga manusia. Cuma saya suka gaya Marc Jacobs dan Roberto Cavalli.
MAYA tidak pernah salah berfesyen.
Ada pendapat yang salah lagi? H: Saya tidak faham apabila seseorang artis tidak dapat membawa sesuatu pakaian atau persembahan, mereka salahkan pereka fesyen. Mereka salahkan baju. Saya pernah mengalami keadaan begitu kerana tampil dengan gaya berbeza.
A: Takkan tak pergi fitting kan? Yang penting adalah selesa. Kalau ikutkan hati, memanglah nak menyanyi pakai kasut sukan saja. Tapi tak boleh. Saya yang kecil ni kena pakai kasut yang lebih tiga inci untuk nampak tinggi!
Kosmo
Apabila Nubhan Lupa Lirik

NUBHAN

ADUH! Kasihan Marilyn tengok bintang program realiti Akademi Fantasia 6 (AF6), Nubhan membuat persembahan live baru-baru ini.
Masa penonton tengah layan lagu yang dinyanyikannya, Mungkin Nanti oleh Peterpan, tiba-tiba Nubhan terlupa lirik! Tak fasal-fasal orang ramai ‘boo’ kat dia.
Ingatkan dia nak sambunglah nyanyiannya untuk tutup balik kesilapan, tapi tidak. Dia malu dan terus turun pentas. Janganlah macam tu Nubhan.
Tapi yang penting, walaupun lupa lirik, ‘suara angsa’nya langsung tak keluar tau. Jadi satu pujian harus diberikan kepadanya.
Tak apa dik, itu baru permulaan. Biasalah, Siti Nurhaliza pun pernah terkantoi masa awal-awal menyanyi dulu, tetapi lihatlah sekarang, ‘meletup’ gitu.
Marilyn: Anggaplah kesilapan itu sebagai pengajaran.
Kosmo
Siti Akhirnya Menghuni Banglo RM6 Juta
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN ent_editor@kosmo.com.my

INILAH dia rumah Datuk K yang kini dihuni Siti Nurhaliza yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Gambar kecil, Datuk K dan Siti Nurhaliza.
KUALA LUMPUR – Setelah beberapa bulan sepi, banglo mewah bernilai lebih RM6 juta di Bukit Antarabangsa yang pernah diduduki Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa dan bekas isterinya, kini menerima kehadiran penyanyi Datuk Siti Nurhaliza sebagai penghuni baru.
Banglo berkenaan yang sebelum itu diduduki bekas isteri Khalid (Datuk K), Tengku Zawyah Tengku Izham bersama anak-anaknya selepas perceraian mereka, dikatakan mula diduduki Siti sejak awal bulan ini.
“Memang benar Siti selalu berada di banglo ini semenjak bekas isteri saya pindah beberapa bulan lalu,†jelas Khalid kepada Kosmo!.
Nak Anak
Oleh MALIAH SURIP & SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

DATIN SERI Siti Nurhaliza sudah kerapkali ditanyakan soalan ini: “Bila hendak menimang cahaya mata?â€
Dan minggu ini, dalam pengakuan eksklusifnya kepada VAZZ, dia mengaku telah bertemu beberapa pakar kesihatan sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan anak. Kata Siti, dia inginkan anak daripada benihnya sendiri termasuk tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF).
Ini mungkin berbeza daripada Erra Fazira yang telah mencongak untuk mengambil anak angkat dalam tempoh lima tahun mendatang seandainya belum diizinkan mempunyai zuriat sendiri.
Amy Search dan Ziana Zain yang sudah mempunyai zuriat pula seirama untuk menjaga tahap kesihatan demi mencapai sasaran mereka untuk memperoleh dua orang cahaya mata lagi.
Sebenarnya, dari segi perubatan, tahap kesuburan seorang wanita boleh bertahan selama 36 tahun bermula dari usia akil baligh (sekitar 12 tahun) sehingga umur 48 tahun.
Sementara bagi lelaki, biar tahap kesuburan boleh menurun, rata-rata mereka masih dianggap subur hingga ke akhir hayat selagi sperma dapat dihasilkan.
VAZZ meneropong pasangan selebriti yang baru mahu menimang cahaya mata atau yang ingin menambah bilangan anak.
Siti mungkin cuba kaedah tabung uji

BERCAKAP mengenai zuriat para selebriti, penyanyi tersohor tanah air, Siti Nurhaliza Tarudin sentiasa diperhatikan sejak bernikah dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada Ogos 2006.
Serangan soalan yang sama dan sesekali disulam persepsi nakal termasuk mereka merancang zuriat selain sempat difitnah sebagai tidak subur, sudah lama hinggap dan ditelan pahit oleh pasangan bahagia ini.
Sementelah, Siti telah mempunyai empat orang cahaya mata ’segera’ hasil perkongsian hidup suaminya yang kali terakhir mempunyai zuriat 10 tahun lalu dengan bekas isteri.
Namun baik Siti, 29, mahupun Khalid yang terkenal dengan gelaran Datuk K, 49, tetap menyambut kata-kata nakal tersebut dengan tahap kesabaran yang tinggi biar tiada siapa yang tahu jauh di sudut hati, nista itu cukup mengguris.
Tanpa lelah juga, Siti, dalam banyak pertemuan dengan media memberitahu sopan: “Siti belum mengandung,†atau, “Kami sedang berusaha, doakan kami segera menimang cahaya mata.â€
Tidak berasa tertekan kerana belum berpeluang mengandung dan menganggap situasi ini normal kerana usia perkahwinannya baru ingin mencecah dua tahun, Siti optimis usaha yang berterusan bersama berkat doa, dia dan suami pasti mampu memperoleh zuriat.
Pokoknya kata Siti ringkas: “Mesti usaha dan jangan putus asa.â€
Sementara saat diajukan tentang memilih alternatif memperoleh zuriat, sama ada mengambil anak angkat atau melalui proses pensenyawaan in vitro atau bayi tabung uji (disebut juga bayi biologikal) yang kini menjadi trend bagi selebriti Hollywood, Siti mempunyai pilihannya sendiri.
“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.
“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,†ujar Siti yang bagaimanapun berkali-kali memberitahu belum terdesak untuk mendapatkan zuriat. Dia juga menekankan sudah cukup ‘meriah’ dengan keletah anak-anak tiri yang dianggap sebagai anak sendirinya.
Seiring itu, kata Siti juga, sejak mendirikan rumah tangga dia telah beberapa kali bertemu pakar sakit puan bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa stabil.
Tambah Siti: “Selain menjaga pemakanan dan mengambil vitamin kesihatan, melakukan pemeriksaan kesihatan bagi seorang wanita adalah penting.â€
Info
Pasangan: Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, & Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49. Nikah: 21 Ogos 2006 Zuriat:Tiada
Siti Tidak Tolak Zuriat Tabung Uji

SITI NURHALIZA
KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datin Seri Siti Nurhaliza yang kerap ditanya mengenai zuriat, tidak pernah berasa tertekan untuk segera menimang cahaya mata.
Bagaimanapun, jika diberi pilihan, Siti, 29, tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF) berbanding mengambil anak angkat.
“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.
“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,†ujar Siti yang bagaimanapun menegaskan beliau belum terdesak melakukan kaedah tabung uji buat masa ini.
Tambah Siti yang menikahi usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49, pada 21 Ogos 2006, beliau juga gembira berkongsi kasih dengan empat anak tirinya hasil perkongsian hidup suaminya dahulu iaitu Mohamed Anas Zawawi, 21, Mohamed Adib, 16, Mohamed Asyraf, 14, dan Mohamaed Aazief, 10.
Siti nafi pindah ke banglo

SITI dan suami tersayang di sarang cinta mereka, sebuah penthouse di tengah-tengah Kuala Lumpur.
“RUMAH Siti sekarang sudah cukup besar,” itu yang dijelaskan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza menafikan cakap-cakap yang mengatakan dia bakal berpindah dari rumah yang diduduki sekarang ke mahligai yang lebih besar dan tersergam indah.
Meskipun Siti dan suami Datuk Khalid Jiwa (Datuk K) ketika ini menduduki kediaman jenis penthouse, penyanyi ini merasakan rumah berkenaan sudah cukup besar untuk dirinya dan suami serta anak-anak tirinya.
“Siti bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Dalam hati Siti, rumah yang Siti diami sekarang sudah cukup besar dan tidak bercadang untuk berpindah ke mana-mana. Siti bahagia di sini,” katanya lagi.
Akhir-akhir ini, kencang sekali khabar menyampaikan pasangan romantis yang cukup popular ini bakal berpindah ke rumah besar yang pernah didiami oleh Datuk K dan bekas isterinya yang terletak di Bukit Antarabangsa.
Rumah mewah bagaikan mahligai bernilai lebih RM6 juta itu diserahkan kepada empat anak Datuk K, selepas bercerai dengan Tengku Zawyah Tengku Izham.
Bagaimanapun baru-baru ini, tercetus khabar kononnya Siti bakal menduduki mahligai berkenaan bersama suami dan anak-anak tirinya.
Menurut Siti, dia sendiri tidak faham kenapa berita mengenai hasrat untuk berpindah ini boleh timbul sedangkan dia tidak pernah mempunyai sebarang hasrat berbuat demikian.

SITI dan suami tersayang di sarang cinta mereka, sebuah penthouse di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Juga tidak ada sebarang perbincangan dibuat mengenai perpindahan berkenaan.
“Siti tidak tahu apa-apa. Tetapi diri Siti juga yang kena. Tak apalah, mungkin ada yang suka bercakap dan mereka berhak untuk kata apa saja.
“Soal suami dan kehidupan yang terdahulu, Siti tidak mahu campur. Sejak dulu lagi Siti cakap yang Siti hanya boleh campur dalam urusan keluarga Siti sahaja, bukan kisah masa lampau suami,” katanya mohon dimengertikan.
Malah biarpun rumah berkenaan tidak ‘segah’ mahligai di Bukit Antarabangsa itu, Siti tidak pernah menganggap ia kecil.
“Siti tak rasa rumah yang Siti duduk sekarang ni kecil. Malah rumah ni sudah cukup besar untuk Siti. Kalau anak-anak balik, adalah bilik seorang satu, cukuplah bagi Siti,” katanya.
Kata Siti, dia sendiri tidak pernah meminta lebih daripada suaminya. Cukup sekadar tempat yang selesa untuk berteduh dia dan keluarganya, itu saja.
“Apapun Siti sudah cukup sangat selesa dengan pemberian Tuhan. Siti bersyukur sangat,” katanya lagi.
Diterjah dengan soalan bagaimana sekiranya di masa depan ada keperluan untuk dia berpindah ke tempat lain, Siti menyerahkan urusan berkenaan kepada suaminya.

SITI menyerahkan segala perancangan kehidupan rumah tangga kepada suami.
Sebagai isteri dia hanya perlu berada di sisi suami dan mengikut apa saja yang difikirkan molek dan terbaik untuk rumah tangga mereka.
“Urusan itu di luar bidang kuasa Siti. Sebagai isteri, Siti ikut saja apa yang suami sudah aturkan. Tetapi kalau suami hendak balik ke rumah lama, Siti berat hati juga sebab tak mahu orang bercakap macam-macam.
“Siti serahkan semua komen atau apa saja pada suami. Dia yang lebih mengetahui apa yang berlaku,” katanya.
Apa yang penting kata Siti dia mahu memberi tumpuan kepada perjalanan kehidupannya bersama keluarga dengan sebaik mungkin.
Selain memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian yang masih memuncak, Siti akan memastikan dia mampu membahagikan masa antara kehidupan peribadinya dan kerjaya yang dijulang.
JUMPA PAKAR SAKIT PUAN
“…sebelum kahwin pun banyak cerita bukan-bukan yang disebarkan mengenai Siti, sekarang dah kahwin pun ada lagi yang sebar khabar angin.”

‘Rumah tangga saya tidak bergolak’
KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui menemui pakar sakit puan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor tengah hari Ahad lalu.
Bagaimanapun, tegas penyanyi nombor satu negara itu, kunjungan tersebut bukan bermakna dia sudah berbadan dua seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Sebaliknya, penyanyi tersohor negara itu berkata, kunjungannya ke hospital itu semata-mata kerana menjalani rawatan dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar di sana.
“Memang Siti pergi ke SJMC untuk mendapatkan rawatan biasa di sana. Tiada yang istimewa. Siti belum mengandung lagi dan insya-Allah Siti tidak akan sembunyikan jika Siti mengandung kelak,” kata Siti yang turut berkunjung ke beberapa pusat pakar sakit puan lain di sekitar ibu kota.
Beliau yang ditemui pada sidang media pengumuman penganjuran peraduan Swap Jom Olay di Hotel Prince, Jalan Conlay di sini berkata: “Siti tidak sakit atau mengalami masalah kesihatan wanita, tapi pada Siti selain panduan daripada orang tua, Siti memerlukan khidmat nasihat daripada pakar. Sebab itu Siti berkanjung ke sana.”
Ditanya apakah beliau sudah bersedia untuk hamil, Siti berkata, sememangnya dia sudah bersedia untuk bergelar ibu andai ditakdirkan mengandung.
Pada pertemuan tersebut, Siti turut menafikan rumah tangga berusia tiga bulan yang dibinanya dengan usahawan Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K kini bergolak.
Siti yang menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang tidak berasas itu berkata, dia terlalu bahagia dengan kehidupannya hari ini.
“Khabar angin itu tidak benar sama sekali. Siti tidak mampu menahan orang daripada berkata apa sahaja dan Siti relakan apa sahaja yang ingin orang katakan tentang perkahwinan Siti.
“Dahulu, sebelum kahwin pun banyak cerita bukan-bukan yang disebarkan mengenai Siti, sekarang dah kahwin pun ada lagi yang sebar khabar angin.
“Apa yang penting, Siti bahagia dan sangat gembira dengan kehidupan baru Siti. Siti bahagia kerana dipertemukan jodoh dengan Datuk K, seorang suami dan teman yang baik,” katanya sambil mengukir senyuman.
Pada pertemuan itu, Siti turut menafikan dakwaan kehidupannya dikongkong oleh suami.
“Saya tidak dikongkong. Yang penting saya harus bijak membahagikan masa terhadap kerjaya seni dan rumah tangga,” jelasnya.
Sementara itu, Siti turut mengakui dia berdebar menanti tarikh 16 November (esok) kerana buat pertama kalinya dia akan memberi taklimat pada forum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diadakan bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pada forum berkenaan, Siti akan berkongsi pengalaman, rahsia kejayaan serta beberapa aspek yang membantu ekonomi negara dari sudut industri seni tempatan.
Selain Siti, personaliti lain yang turut diundang untuk menyampaikan ceramah mengenai RMK-9 ialah pelumba Formula A1 negara, Alex Yoong.
KOSMO!
15 November 2006
source dari http://ctnurhalizaonline.net/
DULU KAD KAHWIN, SEKARANG ANAK ANGKAT
KOSMO 4 JUN 2006
ASSALAMUALAIKUM dan selamat hujung minggu buat anda semua pembaca setia akhbar KOSMO! Ahad.
Kepada adik-adik yang sedang bercuti, jangan hanya tahu berseronok sehingga lupa kerja-kerja sekolah.
Sementara buat anda yang naik pelamin sempena musim cuti sekolah, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Pengantin Baru. Saya mendoakan semoga rumah tangga yang dibina kekal sehingga ke akhir hayat.
Sebetulnya, ketika saya leka mulis artikel ini, saya sedang tersenyum bila mengenangkan semula dakwaan pakcik Ibrahim Deraman, 81, dari Pasir Puteh, Kelantan kononnya saya anak kandungnya.
Secara jujurnya, saya betul-betul tidak pasti apa motif beliau berbuat demikian.
Setahu saya, ibu dan ayah saya ialah Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail. Saya sedia maklum sejarah kelahiran saya dan saya fikir tidak ada sebab mengapa status saya sebagai anak kepada ibu dan ayah yang tercinta perlu dipertikaikan lagi.
Keadaan ini kembali mengingatkan saya kepada satu lagi kejadian yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.
Ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mencetak kad perkahwinan yang tertera nama saya dengan seorang lelaki yang saya tidak kenali.
Terkejut bukan kepalang saya ketika itu. Masakan ada orang yang sanggup melakukan tindakan sedemikian terhadap saya.
Aduh, bila mengenangkan dua kejadian ini, berpinar kepala saya memikirkan apakah motif yang mendesak pihak-pihak sebegini sanggup berbuat demikian.
Namun, sebagai seorang yang rasional, saya tidak mahu begitu resah memikirkan hal-hal yang remeh sebegini kerana pokok pangkalnya saya tahu siapa diri saya yang sebenar.
Sebagai artis, semua ini adalah lumrah yang harus saya lalui. Pendek kata, ia adalah dugaan dan asam garam hidup sebagai selebriti.
Membicarakan mengenai dugaan hidup juga, saya terpanggil untuk berkongsi rasa sedih dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Yogyakarta, Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini yang mengorbankan banyak nyawa.
Takziah daripada saya kepada keluarga yang kehilangan orang-orang tercinta dalam musibah itu.
Berdasarkan apa yang saya baca dalam laman web rasmi saya, sitizone.com juga saya diberitahu salah seorang peminat setia saya menjadi mangsa korban gempa bumi di negara jiran kita itu.
Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan rasa bangga dengan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) yang telah melaksanakan tugas yang sangat baik apabila dihantar oleh kerajaan ke Yogyakarta untuk membantu mereka yang ditimpa bencana alam itu.
Kesedihan kita pastinya juga terbawa ke dalam Negara apabila kejadian tanah runtuh turut berlaku di Kampung Pasir, Hulu Klang, Selangor Rabu lalu.
Saya dapat memahami bagaimana keadaan mereka yang sudah tentu tidak mampu daripada menyembunyikan keadaan sedih selain meratapi pemergian orang-orang tersayang.
Namun, pada masa yang sama, sebagai umat Islam, kita harus reda dan menerima segala ketentuan Yang Maha Esa.
Pada ruangan ini juga, saya mahu mengajak seluruh peminat seni tanah air untuk terus memastikan semangat seni yang ditinggalkan oleh Seniman Agung, Tan Sri P.Ramlee yang genap 33 tahun pemergiannya ke rahmatullah pada 29 Mei lalu akan terus subur dalam diri kita.
Pejam celik, pejam celik sudah lebih tiga dekad, Allahyarham pergi meninggalkan kita khazanah seni yang sangat berharga untuk kita warisi.
Sebagai anak seni, saya banyak menjadikan beliau sumber inspirasi kerana kecekalan dan dedikasi Allahyarham terhadap kerja-kerja seninya sangat tinggi dan wajar dijadikan contoh buat artis-artis generasi baru.
Semoga Allah terus mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
Berbalik kepada cerita kerjaya seni saya, Rabu lalu saya diundang untuk menjayakan persembahan sempena Pesta Tadau Keamatan yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah.
Sebagai meraikan hari kebesaran itu, saya turut diminta menyampaikan lagu bahasa Kadazan berjudul Rumandawi.
Ia merupakan detik yang menyeronokkan saya kerana bukan sahaja sekadar menyanyi lagu tersebut bahkan turut mengenakan pakaian suku kaum Kadazan.
Rasanya setakat ini sahaja yang dapat saya kongsi dengan anda kerana seperti anda saya juga harus memenuhi undangan perkahwinan.
Bertemu lagi di ruangan PenaSiti minggu depan.
BERSYUKUR DI ATAS RAHMAT-NYA
KOSMO 26 MAC 2006
ASSALAMUALAIKUM dan salam hari minggu buat semua pembaca KOSMO! Ahad. Harapan Siti agar anda semua sedang gembira bersama keluarga pada hari cuti begini.
Sejak 22 Mac lalu, Siti berada di Singapura untuk menjayakan Anugerah Planet Muzik 2006. Bermula penganjurannya enam tahun lalu, Siti tidak pernah ketinggalan bersama APM kerana ia adalah medan untuk mengembangkan bakat seni di negara serantau.
Tahun ini Siti diberi peluang untuk menjadi penyampai anugerah dan juga membuat persembahan. Sejak tiba di Singapura, Siti sudahpun menjalani latihan bersama pemuzik dalam nyanyian solo dan juga berduet bersama tiga artis lain iaitu Rossa, Marcell dan Anuar Zain.
Siti rasa gembira dan berbesar hati kerana di pentas APM Siti buat julung kalinya dapat mempersembahkan lagu dari album terbaru secara eksklusif berjudul Biarlah Rahsia, lagu ciptaan Melly dan lirik oleh Siti. Sewaktu menjayakan sebuah acara hiburan di Indonesia beberapa tahun lalu, Siti pernah berduet lagu tersebut dengan penyanyi asalnya iaitu Chrisye. Satu pengalaman manis bagi Siti apabila dapat menyampaikan sekali lagi lagu tersebut bersama rakan-rakan seperjuangan.
Siti juga ingin memanjatkan rasa syukur di atas rezeki Siti di APM tahun ini untuk kategori Artis Wanita Paling Popular. Siti berasa amat terharu kerana para peminat masih mempercayai bakat Siti dan anugerah tersebut adalah pemberian mereka kepada Siti. Selama enam tahun menerima anugerah yang sama Siti mahu melahirkan rasa terima kasih kepada seluruh peminat di Malaysia, Singapura dan Indonesia yang tetap setia bersama Siti.
Usaha anda selama ini amat Siti hargai dan tentunya album baru yang bakal menyusul April ini adalah tanda sayang Siti kepada anda semua.
Pada kesempatan ini juga Siti ingin mengajak anda semua bersama-sama Siti dan beberapa artis nasyid lain menjayakan Malam Maulidur Rasul yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 1 April ini. Jika setahun lalu Siti mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London, namun kali ini penampilan Siti dalam konsert yang turut dijayakan Rabbani, Yasin, Waheeda dan beberapa lagi adalah berbeza.
Siti ingin berterima kasih kepada Rabbani kerana sudi mengundang Siti dan ini merupakan satu persembahan yang begitu membuatkan Siti rasa tidak sabar untuk membesarkan lagi sambutan Maulidur Rasul. InsyaAllah Siti akan tampil dengan lagu-lagu dan penampilan yang bersesuaian pada hari tersebut. Jangan lupa dapatkan tiket kerana apa yang lebih penting adalah berkumpulnya kita nanti adalah untuk menzahirkan rasa kasih dan cinta kita semua kepada Rasulullah s.a.w.
Jangan lupa datang beramai-ramai bersama keluarga, teman, saudara kerana InsyaAllah konsert itu nanti akan memberi manfaat dan sesuatu yang berguna kepada kita semua.
Sekian dahulu Pena Siti kali ini. Salam mesra selalu.