Adib Terbit Album Inggeris Siti
MASIH terbayang reaksi tetamu asing yang begitu terpegun melihat beliau menyanyi walaupun di bilik karaoke Red Box Pavilion, Disember lalu ketika majlis santai bersama rakan media.
Ketika itu, Datuk Siti Nurhaliza yang hadir bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa turut mengundang anak tirinya, Adib dan Ashraf yang kebetulan ditemani dua rakan warga Australia.
Tatkala Siti melagukan melodi Kau Kekasihku, pandangan tetamu warga Australia itu sedikitpun tidak berkelip menyaksikan Siti selain terus-terusan melemparkan pujian kepada Adib dan Ashraf.
Malam yang disangka berakhir begitu saja tanpa diduga ternyata membawa perkhabaran susulan yang cukup menggembirakan.
Ini kerana Adib bersama kenalan dari Australia itu mendapat idea untuk menerbit album berbahasa Inggeris pertama kali buat Siti sekali gus mahu memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa.
Perancangan album itu khabarnya sudah pun dimulakan dan lebih menarik, ia diterbit?kan syarikat produksi What’s Up Entertainment milik Adib sendiri.
Siti ketika diusulkan hal itu akui menyambut baik idea yang dicetuskan Adib apatah lagi sekian lama menyimpan impian merakamkan album Inggeris.
“Mulanya Siti agak ragu-ragu juga memikirkan mampukah perancangan ini terlaksana dan diterima pendengar apabila album itu siap kelak. Namun melihatkan kesungguhan Adib bersama kawan-kawannya me?nyusun strategi dengan tersusun, Siti mula berasa yakin untuk melakukannya.
“Alhamdulillah, sekarang sudah enam lagu dirakamkan dan masih berbaki empat. Sesuai dengan minat Siti, album ini lebih terarah kepada pop.
“Insya-Allah, kalau tiada halangan, ia akan berada di pasaran Malaysia pertengahan tahun ini. Matlamat Siti menghasilkan album Inggeris sudah tentu ada kaitan dengan impian Siti menembusi pasaran luar,” kata Siti.
Sempat bercerita pengalamannya merakamkan keenam-enam lagu berkenaan, akui penyanyi ini sebutan atau ‘diction’ menjadi antara perkara yang sangat dititikberatkan.
“Siti kena menyanyi dengan ‘feel’ dan pada masa sama, perlu menjaga sebutan ada kalanya agak sukar. Berhubung penga?laman bekerjasama dengan orang luar, ia tentu ada kelainan namun semua ini pengalaman baru dan berharga buat Siti.
“Untuk album ini Siti bekerjasama dengan dua komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander juga pe?nyanyi hip hop popular di sana,” katanya lagi.
Pada temu bual santai itu, Siti sempat bercerita mengena persembahan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality yang akan diadakan di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta, pada 5 April nanti.
Berbeza dengan persembahan sebelumnya, Siti yang sudah tujuh kali bekerjasama dengan Hotel Quality akan memperkenankan nostalgia sebagai konsep persembahan.
“Ini adalah kali ketujuh saya mengadakan minggu setia?usaha bersama Hotel Quality. Namun kali ini Siti mahu mengembalikan nostalgia buat tetamu yang.
“Siti akan menyanyikan lagu-lagu nostalgia Siti antaranya Kau Kekasihku, Aku Cinta Padamu dan Cindai yang diberikan nafas berbeza. Untuk memeriahkan suasana itu nanti, Siti memilih pengacara terkenal Dee (Jangan Ketawa),” kata Siti yang semakin cantik dan bergaya.
Bagi yang berminat menyaksi?kan persembahan Siti yang semestinya tidak menghampa?kan itu, silalah membuat tempahan tiket berharga antara RM340 dan RM550 menerusi talian 03-26939233 sambu?ngan 8023/ 8017.
Harian Metro
Keputusan Saya Muktamad: Siti
KEPUTUSAN penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, menarik diri daripada pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) boleh dianggap drastik. Malah, sudah tentu ia satu kejutan yang tidak diduga.
Sejak dikenali menerusi lagu Jerat Percintaan pada 1995, sejarah kejayaan Siti di ABPBH cukup membanggakan apabila menang Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali manakala Penyanyi Wanita Popular tidak pernah kalah sejak 1996. Pastinya langkah ini memberi laluan buat penyanyi wanita lain untuk menang.
Penyanyi Aizat Amdan mengakui terkejut dengan keputusan Siti menarik diri daripada pencalonannya tahun ini. Apapun, katanya, dia melihat perkara itu secara positif. Bahkan, keputusan dibuat Siti itu dianggap ada baik dan buruknya, tetapi ia harus dihormati.
“Apa yang baiknya, saya melihat ia mungkin memberi peluang kepada Siti melakukan segala diinginkan selama ini. Manakala yang sebaliknya pula, mestilah peminat Siti sedih tidak dapat mengundi artis kegemaran mereka di dalam persaingan ABPBH2010.
“Saya percaya keputusan yang diambil ini sudah difikirkan olehnya sebaik mungkin,” katanya yang sukar mengulas peluang diri untuk meraih gelaran Bintang Paling Popular. Menurut Aizat, ia masih terlalu awal dan biarlah peminat yang tentukan.
Pelakon Lisa Surihani pula berkata, dia pun tidak menyangka Siti akan membuat keputusan menarik diri. Menurut Lisa, namun dia percaya Siti sudah berfikir panjang terhadap sebarang keputusan diambilnya. Justeru, peminat Siti harus akur mengenainya.
“Sebagai artis baru, saya melihat Siti sememangnya sudah ada kelompok peminat yang ramai dan peluang beliau untuk menang gelaran Bintang Paling Popular pun cerah. Saya yakin, jika Siti terus bertanding pasti undi diraihnya masih banyak.
“Ini kerana pemilihan beliau untuk gelaran Bintang Paling Popular juga relevan berdasarkan jumlah peminat yang menyokongnya selama ini. “Bagaimanapun, saya menghormati keputusan Siti dan mungkin ini adalah tindakan terbaik untuk dirinya,” kata Lisa.
Menurutnya, dalam industri hiburan memang ada pasang dan surut. Puncak kegemilangan seseorang artis mengikut zaman dan ia perkara yang tak perlu dinafikan. Apapun, Lisa yakin peminat sentiasa menyokong dan menyayangi Siti sampai bila-bila.
Keputusan Siti ini diluahkannya ketika hadir di sidang media ABPBH2010, kelmarin. Ada menganggap berita ini cukup mengejutkan kerana ketika ini namanya berada di puncak kegemilangan dan peminatnya juga masih sedia untuk mengundi. Apapun kata Siti, tahun ini dia lebih rela tidak bertanding dan menyifatkan ini masa paling sesuai berbuat demikian.
Melihatkan tindakan Siti, pasti masyarakat di negara ini teringat kepada keputusan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang nekad melepas segala jawatan penting beliau pada 2003 walaupun ketika itu negara masih perlukan khidmatnya.
Bersandar pendirian ‘berhenti sebelum kenyang’, Dr Mahathir berpegang teguh pada keputusan dibuatnya untuk mengundur diri sebagai pemimpin negara selepas 22 tahun menabur bakti kepada Malaysia. Apakah ia antara alasan yang mendorong Siti? Menurut Siti, sedikit sebanyak diakui memang beliau tertarik dengan cara Tun Mahathir itu. Katanya, ia memberi idea kepadanya untuk mengambil tindakan sama. Beliau berkata, sepanjang 15 tahun menjadi anak seni pelbagai suka dan duka sudah dilaluinya.
“Selain sudah memikirkannya masak-masak, ada juga orang kenamaan (VIP) yang memberi nasihat sama kepada saya. Jadi, ini adalah keputusannya dan biarlah saya berhenti secara cantik. Lagipun, saya tak nak sentiasa dilabel artis nombor satu.
“Saya seorang yang bersikap realistik. Malah, saya percaya suatu hari nanti akan ada pengganti Siti Nurhaliza. Apapun, saya gembira sepanjang tempoh ini, sudah mempunyai kelompok peminat yang kuat dan kalah atau menang pertandingan pun pernah dirasai.
“Bagaimanapun, saya tahu pasti akan merindui saat berdebar untuk ketahui siapa pemenang anugerah itu. “Namun, saya juga percaya semua artis yang bertanding dalam ABPBH mempunyai peluang untuk dipilih sebagai Bintang Paling Popular,” katanya.
Akui Siti, dia sudah memikirkan perkara ini (menarik diri bertanding ABPBH2010) semasak-masaknya selepas menang gelaran Bintang Paling Popular, tahun lalu. “Penarikan diri ini keputusan muktamad saya dan ia sudah pun dibincangkan bersama penganjur. “Saya difahamkan penarikan diri dibenarkan kepada calon yang pernah menang gelaran Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali atau lebih. Jadi, saya mencapai syarat itu dan syukur hasrat ini termakbul akhirnya. “Apapun, saya sentiasa sedia memberi sokongan kepada ABPBH sama ada sebagai penyampai anugerah atau membuat persembahan,” katanya.
Siti berkata, sekalipun keputusannya turut menyebabkan beliau tidak boleh dicalonkan lagi dalam penganjuran ABPBH edisi seterusnya, itu tak mengapa. Baginya, apa yang diraih sehingga kini sangat bermakna untuk dirinya dan karier diceburi. Tahun ini, kira-kira 600 calon artis dan selebriti tanah air disenaraikan berentap dalam 16 kategori pencalonan awal ABPBH2010. Majlis kemuncak bertemakan klasik dan moden ABPBH2010 akan berlangsung pada 3 April 2011.
Masih bertempat di Arena of Stars Genting Highlands, pemenang gelaran Bintang Paling Popular akan meraih hadiah lumayan berupa kereta Nissan Teana tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) manakala penonton bertuah pula menerima kereta Nissan Grand Livina. Hadir sama pada sidang media pertama itu ialah Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mahfar Ali; Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2010, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan wakil penaja. Turut dilancarkan, laman web ABPBH2010 iaitu www.abpbh.com.my atau facebook.com/abpbh dan twiter.com/abpbh. Artis yang hadir memeriahkan majlis seperti Adi Putra, Diana Danielle, Rafidah Ibrahim, Shahir (AF8), Adira (AF8), Mizz Nina, Erni Zakri, Rabbani, Jinbara, Rini, Daus (AF8), Black (Mentor), Azlan & The Typewriter, Aizat, Kieran dan Faizal Ismail.
Harian Metro
Sebutan Tuntutan Cerai Kakak Siti 20 Disember
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula permohonan cerai secara baik membabitkan penyanyi Saida atau Siti Norsaida Tarudin, 34, dan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri, 40.
Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan dikemukakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam itu melalui Peguam Syarie Noor Azlina Che Hasan.
Mohd Suhaily menetapkan tarikh itu bagi memberi peluang kepada pasangan itu berbincang bagi menentukan sekiranya ikatan perkahwinan masih boleh diselamatkan atau mereka masih ingin mengekalkan keputusan mahu bercerai. Bagaimanapun, Saida yang juga kakak penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dan Mohd Ghazali tidak hadir pada prosiding semalam.
Permohonan itu difailkan Saida mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 pada 6 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan.
Harian Metro