RSS Feed

Category: Harian Metro

Aizat Artis Paling Laris



Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

Rap
MASALAH cetak rompak dan muat turun nada dering haram masih membelenggu karyawan muzik tanah air. Keghairahan anak muda memuat turun lagu tanpa bayaran menerusi internet atau penjual muzik haram secara Bluetooth atau MP3, menyebabkan jualan lagu, format fizikal terus merosot.

Pada masa sama, jualan digital tidak meningkat tetapi semangat artis tempatan menghasilkan album baru tidak pernah luntur.

Antara artis popular yang masih cekal menghasilkan album solo adalah Datuk Siti Nurhaliza menerusi Tahajjud Cinta, Nurul (Tika Cinta) dan Jaclyn Victor (Jaclyn Victor III).

Tahajjud Cinta adalah album berunsur kerohanian pertama penyanyi wanita paling popular tanah air itu yang dilancarkan sempena Ramadan pada 9 September lalu. Album ke-13 Siti itu mengenengahkan unsur kerohanian dan mesej agama, memuatkan lapan lagu dengan kerjasama beberapa komposer tempatan dan Indonesia seperti Audi Mok, Habsah Hassan dan Opick.

Pada Anugerah Industri Muzik 2009 (AIM 2009), penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu mencatat kejayaan menerusi album Lentera Timur untuk Album Terbaik manakaal Adam dan Hawa dendangan Misha Omar dipilih Lagu Terbaik.

Nurul atau Nurul Hooda Abdul Wahab tampil dengan imej baru lebih ceria membawa tema Japanese Pop atau J-Pop dalam Tika Cinta. Selepas lima tahun berduet, beliau kembali selaku artis solo. Kekuatan album tujuh lagu itu terserlah menerusi sentuhan beberapa komposer terkenal, Sharon Paul, Tam Spider dan muka baru, Bajai.

Menurut penyanyi kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu, sambutan diberikan orang ramai terhadap album ketujuh dilancarkan pertengahan tahun lalu, menggembirakannya.

“Walaupun Tika Cinta baru enam bulan dalam pasaran, saya yakin ia dijual dan terima lebih ramai tahun ini. Azam tahun baru adalah melakukan promosi lebih hebat memperkenalkan album itu di seluruh negara dan Singapura.

“Buat masa ini, saya menyerahkan urusan promosi dan pemasaran kepada syarikat rakaman, Metadome. Setakat ini, album Tika Cinta diterima baik pelbagai peringkat golongan. Bagi saya, ia penghasilan terbaik sepanjang karier nyanyian sepanjang lebih 10 tahun,” kata Nurul.

Jaclyn, penyanyi bersuara tinggi, cemerlang apabila muncul penyanyi pertama meraih anugerah khas Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2009. Lakonan sulungnya melalui filem Talentime membawa kejayaan kepadanya apabila menang Pelakon Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22).

 

 

Gitaris dan vokalis, Aizat mencatat nama penyanyi popular lelaki paling laris menerusi single, Hanya Kau Yang Mampu mencecah muat turun nada dering sebanyak 1.3 juta, sepanjang tahun lalu. Lagu itu dipertaruhkan Tomok ketika menjayakan One In A Million musim ketiga hingga bergelar juara.

Muat turun nada dering single beberapa artis berkumpulan turut menyerlah. Jinbara mencatat nada muat turun tertinggi kumpulan iaitu melebihi satu juta unit menerusi Patri. Single kumpulan indie, Hujan (Pagi Yang Gelap) mencatat angka mencecah melebihi 500,000 unit sebelum berakhir tahun 2009.

Meskipun terdapat dakwaan penghasilan album artis solo dan berkumpulan kurang menggalakkan sepanjang tahun lalu, jualan muzik dijangka meningkat 2010. Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) melihat perjalanan industri muzik sepanjang 2009 dilihat sebagai satu perkembangan positif.

Pengurus Besar RIM, R Ramani Ramalingam berkata, jualan muzik menerusi format digital semakin penting tahun demi tahun dan format ini mampu mencapai lebih sejuta muat turun di kalangan pelanggan telefon bimbit syarikat telekomunikasi terhadap lagu hangat dan diminati ramai.

Katanya, perkembangan menggalakkan ini dapat dilihat melalui anggaran jualan muzik ahli RIM sepanjang 2009 iaitu jualan fizikal (kaset, cakera padat, VCD dan DVD) dijangka berkurangan berbanding menerusi telefon bimbit dan internet. Ramani juga menyangkal dakwaan industri muzik semakin malap berikutan kewujudan kaedah digital seperti diramalkan banyak pihak.

“Jumlah jualan muzik di Malaysia membuktikan semua ramalan kewujudan kaedah digital tidak tepat. Perubahan industri muzik daripada segi evolusi teknologi mempengaruhi format, perniagaan muzik dan cara muzik dinikmati termasuk cetak rompak dan penukaran cita rasa orang ramai,” katanya.

Katanya, mengikut carta perbandingan RIM 2008 dan 2009, jualan muzik menerusi format fizikal masih menurun. Ia disebabkan beberapa faktor seperti peningkatan teknologi digital, alternatif lain seperti penyiaran radio berformat dan saingan untuk wang pengguna.

“Dari segi sumbangan penerbitan single terhadap industri, sudah tentu perkembangan teknologi merubah proses pengeluaran dan edaran muzik. Ia memberi peluang penggiat seni mengambil lebih risiko mengeluarkan muzik secara berperingkat dengan kos lebih rendah.

“Industri muzik tanah air juga mendapat manfaat dengan perkembangan ini kerana penghasilan single bentuk digital menggalakkan lebih ramai artis dan syarikat, lama atau baru, mencuba nasib menilai sama ada hasil seni mampu memenuhi cita rasa pendengar muzik. Ini penting sebelum mereka membuat pelaburan lebih berat menghasilkan pengeluaran dan promosi album penuh,” katanya.

Ramani meramalkan industri muzik 2010 cerah dengan jualan muzik secara keseluruhan kembali meningkat dan berharap semua pihak termasuk kerajaan, media dan orang ramai terus menyokong industri muzik tempatan demi mengekalkan budaya seni dan identiti negara.

Harian Metro

Tiada Lagi Kerdipan Bintang

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
ESOK kita menyambut ketibaan tahun baru 2010, tetapi seharusnya kita jangan lupa kenangan manis dan pahit sepanjang 2009.

Dalam kegembiraan dan kegemilangan dunia glamor hiburan, insan bergelar artis juga tidak terkecuali daripada suratan takdir menyahut panggilan Ilahi kerana setiap yang hidup pasti akan mati,

Pastinya pemergian pengarah terkenal. Yasmin Ahmad pada 25 Julai lalu selepas tiga hari koma, mengejutkan masyarakat. Begitu juga kehilangan vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim pada 13 Ogos cukup dirasai kerana suara merdunya bukan saja mengalunkan lagu yang membawa keinsafan, malah laungan azan memanggil umat Islam menunaikan solat lima waktu dan setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha, suaranya meruntun perasaan dengan laungan takbir.

Dunia seni tanah air juga kehilangan komposer Zubir Ali, Osman Ghani, penyanyi Zainal Cugat, pelakon Shukery Hashim, pelawak Param, pelakon Dayana Kamal dan komposer Ismail Fariz Ali.

Ismail yang dikenali menerusi lagu popular Datuk Khatijah Ibrahim, Ku Pendam Sebuah Duka, meninggal dunia 24 Disember lalu.

Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza pula kehilangan bapa tersayang, Tarudin Ismail, 67, yang disifatkannya sebagai insan yang paling bermakna dalam kerjayanya kerana menjadi pendorong dan pemberi semangat kepadanya setiap kali berhadapan cabaran dan dugaan dunia seni.

Tarudin meninggal dunia pada 15 Februari lalu jam 11.50 pagi akibat serangan jantung.

Di pentas antarabangsa, satu dunia gempar dengan pemergian Raja Pop, Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu di UCLA Medical Center, Los Angeles akibat masalah jantung.

Jackson, 50, yang sepatutnya mengadakan konsert solo di London pernah singgah di Malaysia menerusi History Tour In Concert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1996. Nyata, kematian Raja Pop itu diratapi ramai peminatnya di seluruh dunia termasuk peminatnya di Malaysia.

 

 

Zubir Ali

Komposer

6 Mac 2009

TERKENAL sebagai komposer dan penulis lirik lagu puisi, kehilangan Zubir Ali yang meninggal dunia pada 6 Mac lalu mengejutkan ramai rakan artis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi di sisi semua anggota keluarga di Hospital Pakar Damansara.

Kata isterinya, Fauziah Ismail, suaminya itu kelihatan sihat dan mampu berbual selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Namun, ketika sakit kembali Allahyarham sempat bergurau mahu dia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara yang akhirnya menjadi kenyataan tempatnya disemadikan.

Sepanjang hayatnya, Zubir pernah bekerja sebagai pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Malaya (UM).

Allahyarham pernah mencipta nama bersama kumpulan Harmoni menerusi lagu popular seperti Penantian, Nyanyian Ombak dan Sewaktu Hujan Berbisik.

Antara kejayaan yang pernah dicapainya ialah Pencipta Lagu Terbaik, Balada Seorang Gadis Kecil pada Pesta Lagu Malaysia 1983, Penulis Lirik Terbaik (Maal Hijrah) pada Pesta Lagu Maal Hijrah 1994 dan Pencipta Lagu Terbaik (Kau Tahu) pada Pesta Lagu Ma’al Hijrah 1995.

Zubir, 60, meninggalkan tiga anak, Fauzul Azhan, 30, Badiatul Adawiyah, 25 dan Raihan Nurani, 23.

Zainal Cugat

Penyanyi

15 Mac 2009

DI kalangan peminat muzik latin tempatan, nama Zainal Cugat cukup dikenali ramai.

Zainal atau nama sebenar Zainal Abidin Yassin mempunyai kemahiran menguasai tujuh bahasa – Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis, Brazil, Jepun dan Tagalog (Filipina).

Namun, perjuangan seninya terhenti apabila menghembus nafas terakhir pada 15 Mac lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) jam 10.10 pagi akibat serangan angin ahmar.

Mengimbas pengalaman seninya, arwah yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur mencipta populariti di kelab malam sekitar 60-an. Namanya menjadi sebutan ramai selepas menjuarai Talentime di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur dua tahun berturut-turut bermula 1954.

Antara lagu popular yang pernah dinyanyikan adalah Lagu Vollare (Dean Martin) dan Come Closer To Me (Nat King Cole) membuktikan kehebatannya sebagai penyanyi tempatan yang berbakat besar.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak termasuk Raizan yang dikenali Neves, vokalis kumpulan Pretty Ugly.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang.

Osman Ghani

Komposer

19 Mei 2009

LAGU Lizawati yang dipopularkan Rahim Maarof mengingatkan peminat dengan komposer Osman Ghani. Biarpun Osman dikenali pada era 70-an, tetapi cintanya pada muzik tidak pernah padam hingga ke akhir hayatnya.

Osman, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, Perak, 19 Mei lalu kerana asma. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan isteri, Husna Nor Md Habibi, 45, dan lapan anak, Suraya, Mohd Hazwan, Mohd Hairi, Mohd Azwan, Mohd Ridzuan, Siti Norashikin, Mohd Azlan dan Mohd Bunyamin.

Kata Husna, keadaan kesihatan suaminya itu kritikal selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan. Ketika masih hidup, arwah mempunyai projek menerbitkan album pelukis Wan Jaafar yang ingin menjadi penyanyi serta satu projek album bersama Akhil Hayy. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak dapat ditunaikan.

Shukery Hashim

Pelakon

10 Jun 2009

PENAMPILAN pelakon Shukery Hashim cukup sinonim dengan pelbagai drama TV. Namun, hasratnya untuk terus memberi sumbangan pada bidang lakonan hanya tinggal kenangan selepas dia pergi buat selamanya pada 10 Jun lalu.

Shukery, 55, atau nama sebenar Mohamad Shukery Hashim meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat barah pankreas.

Allahyarham yang dilahirkan pada 25 Januari 1954 di Langkawi, Kedah, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, Kuala Lumpur, selepas solat Asar.

Arwah meninggalkan balu, Faridah Mat Desa, 51 bersama lima anak iaitu Norshikin, 28, Norizety, 26, Mohd Firdza, 25, Mohd Aidil, 22, dan Mohd Amirul, 14, serta tiga cucu,

Mula berlakon pada 1984, tetapi Shukery terlebih dulu aktif menerusi drama radio di RTM sejak 1975. Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Allahyarham pernah meraih tiga anugerah iaitu Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990,

Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular Berita Harian (1995).

Antara filemnya yang masih diingati penonton adalah Rahsia pada 1987, Ujang (1989), Syahadat (1992), Seri Dewi Malam (2001), Janji Diana (2003) dan terbaru, Shh… Dia Datang yang belum ditayangkan.

Antara ratusan drama dibintangi ialah Airmata Maria, A.D.A.M, Hadiah Pengorbanan, Cinta Keropok Lekor, Manjalara, Cinta Gila dan Rempit Vs Impak Maksima.

Yasmin Ahmad

Pengarah/pelakon

25 Julai 2009

BERITA pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad pengsan ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor pada 23 Julai mengejutkan rakan dan ramai peminat.

Yasmin, 51, kemudian terpaksa menjalani pembedahan membuang pendarahan dalam otak akibat strok di Hospital Pakar Damansara.

Bagaimanapun, selepas dua hari koma akhirnya Yasmin meninggal dunia jam 11.25 malam.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, SS 22, Subang Jaya Selangor keesokan harinya.

Ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah bukan saja kalangan umat Islam, malah pelbagai bangsa.

Rakan arwah, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Seri Farid Ridzuan, menyatakan Allahyarham mempunyai bakat yang dianggap luar biasa dan sukar dicari ganti.

Mengenai perbincangan kertas kerja yang menjadi karya terakhir Yasmin sebelum tidak sedarkan diri, Farid menyatakan ia adalah projek bersama yang mempunyai kaitan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Allahyarham sebelum ini sering terbabit dalam pembikinan iklan Petronas dan sempat menghasilkan lima filem iaitu Sepet pada 2005 diikuti Gubra, Mukhsin, Talentime dan Muallaf. Muallaf yang mencetuskan kontroversi kerana babak Sharifah Amani dibotakkan kepala, ditayangkan di pawagam tanah air pada 24 Disember lalu.

Menariknya, filem karyanya pernah menang pelbagai anugerah, dipertandingkan atau ditayangkan di festival antarabangsa antaranya di Berlin, Cannes, Venice, San Francisco, New York, Tokyo, Pusan, Manila dan Jakarta.

Mohd Asri Ibrahim

Vokalis Rabbani

13 Ogos 2009

SUASANA rakaman program Syahadah di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 13 Ogos lalu bertukar suram apabila vokalis kumpulan nasyid popular, Rabbani iaitu Mohd Asri Ibrahim jatuh pengsan. Asri, 40, kemudian disahkan meninggal dunia jam 11 pagi ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

Menurut adik iparnya, Adha Buyong, Allahyarham mengadu tidak sihat dan muntah pada pagi sehari sebelum kejadian. Pemergian Asri meninggalkan balu, Nurul Jannah Shahadan, 39, dan enam anak.

Dalam karier seni, Allahyarham terbabit sebagai pengasas Rabbani bersama lapan anggota lain sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1997. Allahyarham berdakwah menerusi lagu iaitu irama nasyid sejak 25 tahun dan pernah menganggotai kumpulan Nada Murni selama 15 tahun. Sepanjang bersama Rabbani, kumpulan ini menerbitkan 19 album antaranya Rabbani, Arah Dari Mana… Ke Mana… (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000) dan Maulana (2007).

Arwah yang dilahirkan di Klang, Selangor pada 3 Ogos 1969, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lancong, Seksyen 28, Shah Alam selepas solat Asar.

Param

Pelakon

14 Ogos 2009

POPULARITINYA sebagai pelakon kerdil menerusi beberapa filem antaranya Si Badul, Penagih Dadah, Panglima Badul, Si Luncai, Anak Tunggal dan Penyamun Tarbus melonjak na
ma Param sebagai pelakon berbakat besar.

Bagaimanapun, Param, 55, meninggal dunia jam 6 pagi pada 14 Ogos lalu akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Setia ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Menurut kakak mendiang, Sara, Param sempat mengumpul keratan akhbar dan majalah mengenai dirinya dalam satu album iaitu seminggu sebelum meninggal dunia. Param sempat berseloroh dia mahu album itu menjadi rujukan pada wartawan yang hadir apabila dia sudah tiada.

Kata Sara, adiknya itu mengadu sukar bernafas jam 5 pagi sebelum dibawa ke HKL. Param yang sepatutnya mempunyai temujanji untuk rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9 pagi tetapi tidak berkesempatan.

Param atau nama sebenar P Paramasivam menghidap sakit jantung sejak 1992.

Dia pernah mengalami kecederaan tulang belakang akibat terjatuh dalam satu kemalangan yang berlaku lebih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Param tidak lagi aktif berlakon sejak mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Biarpun berdepan masalah kesihatan, Param sering meluangkan masa menghadiri pelbagai acara hiburan. Keadaan kesihatannya bertambah baik selepas mendapat rawatan di IJN, tetapi mengadu sesak nafas.

Param memulakan karier seni bersama RTM Melaka pada tahun 1976. Ketika itu dia masih berkhidmat dengan Pejabat Belia di Tampin.

Sepanjang terbabit dalam bidang lakonan, Param sudah membintangi lebih 25 filem dan 40 drama. Drama Hang Setia yang ditayangkan menerusi RTM sejak 1988 selama empat tahun antara drama yang mengangkat namanya sebagai pelakon dan pelawak. Mayat mendiang Param dibakar di Hindu Krematorium, Cheras.

Dayana Kamal

Pelakon/model

18 Oktober 2009

BERITA pelakon dan model, Wan Nurdiyana Mohd Kamarul Zaman, 22, atau lebih dikenali Dayana Kamal terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Bunut Payung pada 18 Oktober lalu menarik perhatian ramai apabila dia terbunuh bersama dua rakannya yang lain.

Dayana, 22, pernah mencipta nama dalam bidang lakon menerusi filem Black Maria dan beberapa drama seperti Rumah Itu Duniaku, Sumaiyyah, Raya Dengan Tok, Selamat Tinggal Noni, Ayah Kami dan Matahari. Sebelum itu, Dayana pernah menyertai Pencarian Gadis Metro 2004 dan layak ke pusingan April pada tahun itu.

Mengenai kehidupan peribadi, arwah pernah mendirikan rumah tangga bersama vokalis kumpulan The Times iaitu Natazar Mohamad (Naza) pada Disember 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Dayang Fatihah Amanda, empat tahun. Namun, pasangan ini bercerai tiga tahun selepas itu.

Ibu Dayana, Wan Nor Hayati Ismail, 47, menyatakan arwah tampil dengan imej bertudung sejak Ramadan lalu dan sepatutnya berpakaian serba biru dalam satu pertandingan pakaian Muslimah. Bagaimanapun, pada saat akhir arwah mahu berpakaian putih.

Dayana yang juga anak sulung daripada empat beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mata Pasir, Kampung Chempaka.

Ismail Fariz Ali

Komposer

24 Disember 2009

NAMA komposer Ismail Fariz Ali mungkin agak kurang dikenali generasi baru, tetapi namanya pasti akan terus diingati sebagai pencipta lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

Ismail, 47, kembali ke rahmatullah jam 4.30 pagi pada 24 Disember lalu di Pusat Perubatan Gleneagles, Ampang, Selangor akibat barah perut.

Allahyarham yang juga tokoh korporat mendapatkan rawatan susulan di hospital itu sejak empat bulan lalu.

Menurut seorang saudara sebelah ibunya, arwah kerap mengadu sakit perut sejak pulang dari luar negara. Selepas mendapatkan pemeriksaan di hospital berkenaan, doktor pakar mengesahkan barah yang dihidapi arwah merebak ke tahap serius.

Mengenai kerjaya seni, arwah meminati muzik dan bermain piano sejak zaman kanak-kanak hingga menceburi bidang nyanyian pada 90-an.

Ismail, anak bongsu tiga beradik, meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berusia 14 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebelum solat Zuhur.

Harian Metro

Pencarian AF8 Bermula 10 Januari 2010

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
PROGRAM realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia kembali lagi dengan produksi berkualiti dan format lebih mantap pada musim kelapan (AF8), sekali gus menjanjikan sajian hiburan terbaik buat penonton setianya tahun depan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pihaknya juga meneruskan inisiatif dengan membuka peluang penyertaan AF8 kepada warga Singapura sama seperti tahun lalu.

“Pada musim lalu, pihak kami dapat sambutan menggalakkan dari peserta yang berminat untuk menyertai program realiti TV ini.

“Kami percaya dengan terus memberi peluang kepada mereka, kami mampu terus menyemarakkan industri seni tanah air melalui platform disediakan.

“Penyertaan juga dibuka kepada artis yang sudah ada nama, tetapi tidak terikat dengan sebarang rakaman mahupun pengurusan,” katanya ketika ditemui di sidang media AF8, baru-baru ini.

Hadir sama, Penerbit Eksekutif AF8, Norazian Mohd Zahir. Kata Azlin, pihaknya juga bukan sekadar mencari penyanyi dalam program AF sebaliknya penghibur dalam industri seni tanah air.

“Pada masa sama, kami juga tetap mementingkan aspek vokal yang ditampilkan peserta terbabit seperti pencarian sebelumnya.

“Tahun ini, pihak produksi akan mengunjungi lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti peserta yang dilihat layak untuk diketengahkan dan diberi bimbingan melalui kelas ditetapkan akademi.

“Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi uji bakat dibuka dari jam 9 pagi hingga jam 1 tengah hari dan peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan.

“Kategori umur ialah antara 18 hingga 45 tahun pada Januari 2010 dan mereka perlu membawa salinan kad pengenalan serta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta menyanyi secara acapella lagu pilihan seperti untuk wanita iaitu Gagap – Stacey (pop), Jika Kau Ubah Fikirasn-Mila (Rock), Tak Mungkin Kerana Sayang -Alyah (Ballad), Dan Sebenarnya -Yuna (Ballad), Di Taman Teman -Datuk Siti Nurhaliza (irama Malaysia) dan When You’re Gone -Avril Lavigne (rock).

 

 

“Manakala, lagu pilihan untuk peserta wanita ialah Situasi – Bunkface (Pop), Hujan -Sudirman (Ballad), Ada Untukmu -Nubhan (Ballad), Berdendang Dalam Tangisan -Jamal Abdillah (irama Malaysia), Fikirlah -Aizat (pop) dan I’M Yours -Jason Mraz (ballad).

“Sesi uji bakat bagi mencari juara baru akan diadakan di lokasi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (9 dan 10 Januari/30 dan 31 Januari 2010), The Zon, Johor Bahru, Johor (16 dan 17 Januari), Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari), Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22-24 Januari) dan Hotel Merdeka Palace, Kuching (23 dan 24 Januari),” katanya.

Pada peringkat uji bakat, peserta harus melepasi tiga pusingan saringan sebelum disenarai pendek. Barisan juri yang dipilih akan mengenal pasti kebolehan peserta jika mereka boleh diasah dan diberi bimbingan terutama sekali dalam bentuk vokal yang dapat mengimbangi setiap persembahan mereka kelak.

Peserta yang berminat dinasihatkan untuk hadir dalam keadaan bersedia dan meyakinkan barisan juri bahawa mereka layak untuk dibimbing dan diketengahkan sebagai bintang AF yang baru.

Barisan juri yang bergilir dalam sesi uji bakat ialah mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti Lah VE, Deja Moss, Fairus Hussin dan guru vokal berpengalaman membentuk pelajar AF iaitu Syafizawati Shariff atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi, Shahrol Bahri Shaarani dan Shaiful Rizal Kamarudin.

Dua pakar motivasi yang diundang untuk mengenali perwatakan pelajar ialah Ahmad Fadzli Yaakob atau Dr Fazley dan Azahari Othman yang juga dikenali sebagai Dr Luv di kalangan pelajar AF5.

Bagi Syafizawati yang sudah empat tahun terbabit dalam program AF berkata, dia akan menitikberatkan aspek kesedaran sivik peserta ketika sesi uji bakat untuk tahap kedua peserta nanti.

“Kami bukan saja ingin mencari peserta berbakat, malah peserta yang tidak malas, ada kesungguhan dan bertanggungjawab pada diri sendiri serta bersikap positif.

“Saya sasar peserta lepasan SPM untuk menghadiri sesi uji bakat ini.

“Saya juga akan melihat dari dua aspek iaitu pakaian dan imej yang ditampilkan peserta pada sesi uji bakat itu nanti. Peserta juga perlu menjadi diri mereka sendiri atau menjadi luar biasa. Tapi, janganlah jadi seperti Mawi atau Stacy ketika uji bakat itu nanti.

“Sepanjang empat tahun saya terbabit dalam program ini, saya melihat setiap peserta yang terpilih juga berbeza saban tahun.

“Sebenarnya, saya hanya membantu mereka memperbaiki aspek nyanyian, tetapi nampaknya saya buat lebih dari itu dalam AF.

Saya juga menyokong komen yang diberikan pengkritik dalam AF kerana ia bagus buat peserta memperbaiki prestasi mereka,” katanya.

Fazley yang terbabit pada tahap ketiga sesi uji bakat AF8 berkata, dia akan melihat seseorang peserta sudah bersedia untuk menjadi pelajar akademi ataupun sebaliknya.

“Selain dari bakat menyanyi, peserta juga perlu mempunyai personaliti yang baik untuk menjadi pelajar AF. Tapisan yang ketiga dalam sesi uji bakat ini juga bagi melihat peserta supaya tampilkan diri mereka yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, persembahan pentas istimewa diadakan untuk menghangatkan lagi sesi uji bakat di Johor pada 16 dan 17 Januari. Artis terbabit dalam persembahan ini ialah Mawi, Hafiz, Aishah, Yazid dan Isma.

Sila layari laman web www.astro.com.my/akademifantasia untuk maklumat lanjut.

Peserta digalakkan untuk membuat prapendaftaran di laman web tertera bagi mendapatkan keistimewaan laluan pantas ketika pendaftaran pada hari uji bakat.

Harian Metro