Datuk K, Siti cari ketenangan di Bali
Cerita dan foto oleh Zubir Mohd Yunus

Kemesraan jelas terbayang pada wajah pasangan popular ini walaupun terus dihimpit pelbagai cerita negatif
SEPANJANG minggu lalu, industri hiburan digemparkan dengan berita kononnya penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dimasukkan ke hospital kerana dipukul suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali Datuk K selepas hampir setahun pasangan itu mendirikan rumah tangga.
Perkahwinan Siti dan Khalid yang dianggap Wedding of the Decade itu dimulai majlis akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan pada 21 Ogos tahun lalu, diikuti persandingan gilang gemilang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Ogos, seterusnya diakhiri persandingan di Dataran Lipis, Pahang pada 3 September.
Desas-desus turut menyebut Datuk K bertindak begitu kerana dia mahu berkahwin lain. Pun begitu, Siti menafikan kejadian itu menerusi satu laporan akhbar dan menyifatkannya sebagai satu fitnah. Laporan media turut menyatakan, Khalid akan membawa isterinya bercuti ke Bali mulai 14 Julai lalu.
Mungkin kebetulan yang seolah-olah dirancang rapi, namun hakikatnya tidaklah begitu kerana penulis seisi keluarga turut berada di Kuta, Bali pada tarikh berkenaan kerana bercuti.
Sebaik saja menerima kiriman SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) daripada Editor Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah di Kuala Lumpur yang mahu penulis mendapatkan komen mereka, Datuk K terus dihubungi dan akhirnya satu pertemuan eksklusif bersamanya dan isteri diadakan keesokan harinya (15 Julai).
Penulis menerima jemputan makan tengah hari daripada pasangan popular itu di sebuah resort percutian mewah iaitu di Amandari, Desa Kedewatan, Ubud, Bali. Siti bersama suaminya menginap di Asmara Suite yang berharga AS$2,100 semalam. Suite berkenaan juga pernah didiami bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter.

Kedatangan penulis disambut mesra oleh pasangan berkenaan. Khalid juga sempat memberitahu, percutiannya ke Bali bersama Siti kali ini adalah bagaikan ‘pre honeymoon’ mereka, selain menguruskan beberapa hal berhubung perniagaan.
Dalam pertemuan itu, Khalid dan Siti turut ditemani pakar chiropractic dari Jakarta, Indonesia, Dr Anthony K Dawson DC apabila Khalid mendapatkan rawatan susulan urutan bahu sejak mengalami kecederaan selepas Fiesta Media Idola 2007 (FMI’07) di Kuantan, Pahang, April lalu.
“Zubir, tengoklah sendiri muka Siti, kalau ada lebam-lebam,†kata Khalid bergurau sementara menunggu panggilan telefon daripada krew Melodi di Kuala Lumpur yang ketika itu sedang menjayakan lintas langsung menerusi TV3, kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Siti ketika diajukan pertanyaan berhubung khabar angin itu, menjelaskan gosip berkenaan tersebar menerusi SMS pada petang Jumaat lalu (13 Julai).
“Siti dapat tahu mengenai perkara itu pada sebelah malamnya. Itupun selepas dihubungi Kak Rozi (kakak ipar). Ketika itu, Siti bersama suami baru saja pulang menghadiri majlis perkahwinan anak Datuk Osman Desa yang turut dihadiri beberapa menteri kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya.
“Kak Rozi memberitahu, cerita Siti kononnya dipukul suami, sehingga masuk hospital dah kecoh apabila media ke balai polis untuk mendapatkan pengesahan, selain menghubungi pihak hospital. Siti turut dimaklumkan, cerita berkenaan tersebar menerusi SMS dan panggilan daripada orang tidak dikenali kepada wartawan.
“Siti ingin menjelaskan bahawa cerita itu sama sekali tidak benar, kejadian seumpamanya memang tak pernah berlaku. Bagi Siti, orang yang menyebarkan fitnah ini mungkin sakit hati, sakit mata atau mungkin sakit jiwa. Mereka tak boleh tengok Siti bersama suami hidup bahagia.

“Siti pernah melalui gosip yang lebih teruk dari ini, tapi ia membabitkan Siti seorang diri. Tapi, selepas mendirikan rumah tangga, ini adalah gosip pertama yang turut mengheret nama suami Siti, sekali gus membabitkan reputasinya dan maruah keluarga mentua,†kata Siti dalam nada kesal.
Sementara itu, Datuk K mengakui ibu dan ayah Siti tidak senang dengan cerita seumpama itu sehinggakan bapa Siti memintanya membuat laporan polis agar siasatan segera dapat dibuat ke atas pihak yang tidak bertanggung jawab menyebarkan fitnah berkenaan.
“Saya akan berbincang semula dengan bapa mentua. Kalau itu kehendaknya, saya akur. Saya dan Siti sendiri memang nak tahu ini angkara siapa dan dari mana sumbernya. Pun begitu, setakat ini saya belum terfikir nak saman pihak berkenaan. Seandainya tersaman orang terencat akal atau kanak-kanak kecil, tak guna juga.
“Bagi saya, apa yang berlaku ini, orang hendak memberi imej yang buruk terhadap saya, bukannya hendak menjatuhkan Siti sangat. Saya kesal dengan fitnah ini lebih-lebih lagi dalam usia rumah tangga yang baru hendak mencecah setahun bulan depan,†ujar Datuk K lalu meminta diri untuk ke Dream Land, Bali atas urusan perniagaan.
Siti Saerah, Elyas bertunang, Dynaz dirisik

SAERAH dan tunang diapit Fasha
dan Datuk Siti.
SEBAIK saja dimaklumkan adik kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Siti Saerah dah bertunang, Zubir berkali-kali cuba menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan, tapi tidak berjawab. Sehinggalah lewat petang 7 Julai lalu, Zubir berjaya juga menembusi talian Saerah.
“Maaflah Abang Zubir, majlis pertunangan Saerah baru saja selesai sekejap tadi. Minta maaflah Saerah tak panggil rakan media kerana Saerah hanya menjemput saudara mara dan rakan terdekat saja,†katanya membuat pengesahan mengenai pertunangannya itu.
Zubir difahamkan, Saerah mengikat tali pertunangan dengan pemuda pilihannya, Elyas Tahir, 24, selama setahun.
Zubir dan warga kerja Bintang Popular ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Saerah dan Elyas di atas pertunangan mereka itu. Mudah-mudahan hajat untuk mendirikan rumah tangga dimakbulkan Tuhan, insya-Allah.
Zubir juga dimaklumkan rakan artis yang hadir pada majlis pertunangan Saerah itu ialah teman baiknya saja iaitu Fasha Sandha yang kebetulan tidak terbabit dengan sebarang penggambaran pada tarikh berkenaan. Pastinya kakak kesayangan Saerah, Datuk Siti hadir memeriahkan lagi majlis pertunangan adiknya itu.
Sementara itu, pelakon utama Haru Biru yang kini sedang meletup dengan drama Susuk, Dynaz khabarnya sudah dirisik teman lelakinya. Pun begitu, ramai yang membuat andaian dirinya sudah bertunang, walhal hanya cincin tanda saja yang melekat di jari manis Dynaz.
“Ini cincin merisik, bukan cincin tunang. Insya-Allah kalau mengikut perancangan, kami akan terus nikah, tak ada majlis pertunangan. Sekiranya direstui dan mendapat izin Tuhan, kami merancang akan berkahwin sebelum hujung tahun ini,†kata Dynaz yang ditemui dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini.
Zubir sekadar mendoakan rakan artis yang dah bertunang tu, dah dirisik, akan bertemu jodoh mereka sedikit masa lagi, insya-Allah.
‘Kalaulah trofi ini boleh dibelah dua…’
Oleh Zubir Mohd Yunus
Kemenangan pada AIM’14 minggu lalu timbulkan reaksi kurang senang di kalangan pemerhati seni dan peminat Siti
“SAYA memang tak pernah terfikir akan menang kategori ini (Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita). Dalam hati saya sudah berdetik, Datuk Siti Nurhaliza akan menang, tambahan pula albumnya, Transkripsi memang best!
Saya tabik Datuk Siti, dia dah lama dalam industri ini. Itu yang membuatkan saya terkejut pada malam tu. Saya dah tersandar di kerusi, jari dalam mulut lagi. Dalam sejarah Anugerah Industri Muzik (AIM) sendiri, Datuk Siti dah menang kategori berkenaan lapan tahun berturut-turut!
Apabila diumumkan saya yang menang kategori berkenaan, pada mulanya susah saya nak percaya, mimpi ke apa ni? Tapi, memang saya terlalu gembira apabila menang kategori itu. Akhirnya industri mengiktiraf vokal saya. Pertama kali sepanjang karier saya, saya memperoleh pengiktirafan setinggi ini.
Saya menjerit kerana terkejut! Tapi apabila saya menang kategori itu, saya tak rasa vokal saya lebih bagus daripada Siti. Saya juga tak rasa anugerah yang saya terima ini untuk mengatakan dia lebih bagus atau dia lebih hebat. Tapi, industri yang kata vokal saya bagus, bukannya vokal saya lebih bagus daripada sesiapa.
Kali ini industri sekadar mengiktiraf, saya berhak membawa pulang trofi berkenaan, itu saja. Dengan kemenangan ini, saya tak rasa, saya sudah mengatasi siapa siapa. Apa yang ada dalam fikiran saya apabila menang, industri mengiktiraf, saya sebenarnya boleh menyanyi!

JIKA mampu, Jac sanggup
berkongsi hadiah dengan
Datuk Siti.
Sebelum ini AIM mengiktiraf Datuk Siti sebagai vokal terbaik, tapi dalam AIM’14, vokal terbaik berpihak kepada saya, rezeki saya. Bagi saya, semua artis, baik penyanyi mahupun pelakon, ada keistimewaan tersendiri.
Pun begitu, saya faham, semua orang sayang pada Siti. Kalau saya boleh belah trofi ni jadi dua, saya akan beri sebahagian trofi ini pada Siti. Tapi, apakan daya. Saya faham ada pihak yang tidak boleh menerima kekalahan Siti. Tak puas hati bukan kerana saya yang menang, tapi sebab Siti gagal mempertahankan kemenangannya.
Apabila membezakan antara Transkripsi dan Inilah… Jac, memanglah Transkripsi lebih bagus, tengoklah siapa produser album berkenaan. Transkripsi juga diiktiraf AIM14 sebagai Album Terbaik, itu hakikatnya. Tapi, apabila saya diumumkan sebagai vokal terbaik, saya sekadar diberi penghargaan oleh industri, kali ini trofi berkenaan menjadi milik saya, itu saja.
Saya sangat menghormati Datuk Siti. Bukan senang untuk berada pada kedudukan Siti seperti hari ini. Justeru, apabila ada pihak yang mempertikaikan kemenangan saya, rasa terkilan dalam hati ini. Memang semua penyanyi yang bertanding, inginkan kemenangan, tapi juri AIM yang membuat segala penilaian.
Agaknya memang rezeki saya tahun ini untuk menang vokal terbaik. Tapi, orang yang bercakap mengenai isu ini, yang mengata, bukan melihat dari sudut negatif, sebaliknya kerana mereka menyayangi Siti.
Ada pendapat yang mengatakan album Gemilang lebih bagus dari Inilah… Jac, tapi bagaimana saya boleh menang vokal terbaik sedangkan Transkripsi lebih bagus. Saya tak mahu membandingkan Inilah… Jac dengan Transkripsi, sebaliknya saya lebih suka ingin membandingkan antara Gemilang dan Inilah… Jac.
Persoalannya adakah Inilah… Jac layak mengiktiraf vokal saya sebagai yang terbaik? Saya memang sayang album pertama saya, Gemilang. Lagu Gemilang mempunyai impak yang sangat besar kerana Malaysian Idol (MI). Ingat Gemilang, ingat MI dan ingat Jaclyn Victor.
Namun penghasilan Inilah… Jac lebih terperinci dan kami mengambil masa yang lama untuk mengumpul bahan yang terbaik. Saya dah beri sepenuh komitmen ketika menghasilkan Inilah… Jac. Bagi saya, album kedua ini lebih bagus. Justeru, tak adil kalau orang cakap Inilah… Jac adalah sebuah album yang tak bagus, tidak sehebat Gemilang.
Semua peminat saya tahu, trofi inilah yang saya inginkan. Akhirnya dalam AIM’14, saya berjaya mendapatnya. Tapi, saya tak mahu mereka di luar sana tak gembira kerana saya yang menang trofi ini. Saya masuk industri ini kerana saya suka menyanyi. Ia bukan sebab anugerah, tapi apabila saya diiktiraf, itu sudah cukup menggembirakan saya.
Saya tak mampu buat satu benda yang boleh memuaskan hati semua orang. Orang tetap akan bercakap. Sebelum ini bukannya saya tak biasa kena kritik, tapi saya tak pernah cakap apa-apa. Tapi apabila kali ini ada pihak mempertikai kemenangan saya, memang saya rasa sedih.
Sebenarnya bukan setakat belah dua, kalau ikutkan hati, trofi ini saya nak belah lima! Bagi satu bahagian pada Datuk Siti, Kak Aishah, Noryn dan Farhan. Tentu ada sebab mengapa kita berada di senarai Top 5 AIM’14. Semuanya adalah pemenang dalam kategori berkenaan.â€Â
Info Jaclyn Victor
Jaclyn Victor atau Jac, 29, dilahirkan pada 4 Disember 1978 dan berasal dari Kuala Lumpur. Anak sulung dari empat beradik ini mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Taman Ehsan, Kepong.
Sebelum menyertai pertandingan nyanyian Malaysian Idol (MI), Jac pernah menjadi penyanyi di kelab dan hotel seluruh Malaysia selama lapan tahun, sekali gus dia menganggap pengalaman itu sebagai kolej muziknya.
Menyertai MI pada 2004 sekali gus dinobatkan sebagai juara pertama program realiti TV berkenaan. Lagu Gemilang pernah menjadi juara Carta Hits 1 musim kedua pada 2005 dan Jac pula memenangi kategori Persembahan Terbaik.
Memenangi anugerah emas ketika menyertai Shanghai Music Festival pada 2005 dan mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) dan menang kategori Balada, kedua-duanya menerusi lagu Gemilang. Dia juga pernah bergelar Penyanyi Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006 di Singapura.
Menerusi AIM’13, Jac memenangi empat kategori sekali gus iaitu Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Album Terbaik, kesemuanya menerusi lagu dan album Gemilang.
Akhirnya Jac berjaya merobohkan tembok kukuh yang dibina Datuk Siti Nurhaliza sejak selama lapan tahun berturut-turut bermula 1999 apabila dinobatkan sebagai Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) pada AIM’14, minggu lalu.
Pakej artis jadi rebutan syarikat
Oleh Fairuz Zaidan
`ASYIK-ASYIK muka dia, asyik-asyik muka dia, macam dah tak ada orang lain’. Ini mungkin kata-kata yang pernah terkeluar daripada mulut anda atau setidak-tidaknya terdetik di hati kala melihat wajah serupa menghidupkan drama atau filem, memeriahkan majlis, menghiasi majalah, `memenuhi’ skrin televisyen atau papan iklan..melariskan produk.
Siti Siti Siti!; Mawi Mawi Mawi!; Fasha Fasha Fasha!. Ya tidak? Suka atau tidak, ini tuah badan. Rezeki namanya kerana populariti yang dikecapi sebagai selebriti.
Selain bakat masing-masing dalam industri hiburan, baik sebagai penyanyi atau pelakon, populariti membuatkan mereka menjadi rebutan banyak pihak untuk tujuan memajukan perniagaan.
Ini diakui Penolong Pengurus Perhubungan Awam, Jabatan Produk Pengguna L’Oreal Paris Malaysia, Monita Goh. Lihat saja wajah siapa yang `mengiringi’ produk jenama syarikat ini, yang merangkumi L’Oreal Paris dan Maybelline New York.
Datuk Siti Nurhaliza dan Fasha Sanda sebagai jurucakap Maybelline serta Camelia dan terkini, Maya Karin sebagai jurucakap L’Oreal Paris. Harus diakui, semua nama ini, gah di arena dunia hiburan dan populariti mereka sesuatu yang sukar dinafikan.
Kata Monita, pelantikan selebriti atau model sebagai jurucakap kosmetik sangat berkesan dalam meningkatkan jualan produk.
Lebih memberangsangkan, katanya, sambutan daripada pelanggan berikutan pelantikan jurucakap adalah serta-merta.
“Setiap orang tentu ingin kelihatan hebat dan pastinya inginkan sesuatu yang lebih baik. Menerusi jurucakap yang dilantik, yang sememangnya cantik, dapat mendekatkan lagi sesuatu produk dengan kecantikan sejati.
“Seperti pelantikan Fasha sebagai jurucakap terbaru Maybelline New York. Ia bertepatan dengan dengan kriteria Maybelline New York yang seiring memastikan wanita di Malaysia sentiasa kelihatan cantik dan hebat,†katanya.
Pemilihan Fasha, tambahnya, dibuat kerana wajahnya menepati pasaran terbuka di Malaysia.
“Hampir tiga tahun kami mencari selepas Siti dan barulah sekarang kami menemuinya. Pemilihan jurucakap umpama ingin mendirikan rumah tangga. Untuk memilih yang serasi dan tepat, semestinya mengambil masa.
“Kami berpendapat Fasha paling sesuai kerana kerjayanya kini sedang berkembang baik sesuai dengan jenama yang kami pasarkan sebagai produk kecantikan nombor satu di negara ini juga dunia.
“Selain cantik dan memiliki sifat lemah-lembut, Fasha juga sesuai mewakili wanita muda tempatan yang bebas, berkeyakinan tinggi, aktif dan pada waktu sama begitu berdikari dalam menentukan hala tuju kerjaya seninya,†katanya.
Begitu juga pemilihan Maya Karin sebagai jurucakap L’Oreal Paris. Bukan saja kerana kecantikan semula jadi beliau yang membuatkan ramai `tergoda’, kehebatannya di layar perak serta mempunyai kelompok peminat yang besar menjadi faktor dia dipilih.
Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) juga pernah mengadakan satu forum mengenai tahap populariti dan penjenamaan nama seseorang yang dikenali, kira-kira dua tahun lalu.
Forum bertajuk Peletakan dan Penjenamaan Strategik Seorang
Diva: Kajian Kes Siti Nurhaliza itu antara lain memfokus kepada isu pengekalan populariti daripada perspektif perniagaan. Forum itu juga membincangkan mengenai Siti Nurhaliza sebagai kajian kes dalam merujuk kepada peletakan strategik dan apa yang dilakukannya sejak bergelar penyanyi.
Seorang panel, Profesor Madya Dr Fauziah Md Taib berkata, Siti yang melakar nama dalam Malaysia Book Of Records sebagai penyanyi paling banyak menerima anugerah mempunyai rangkaian peminat pelbagai peringkat usia di rantau ini.
Fauziah berkata, lebih penting, Siti berjaya menjadikan dirinya sebagai `role model’ (contoh) gadis Melayu yang bersih daripada kontroversi, baik, lembut dan merendah diri.
“Siti juga berjaya daripada segi penjualan album. Tiga album pertamanya mencatat jualan 250,000 unit. Pada 2001, Siti dilaporkan menerima RM40,000 untuk satu jam konsert lengkap pakej `live band’ dan penari,†katanya.
Kajian yang dijalankan sekumpulan pakar itu juga bertujuan untuk mengenal pasti faktor kejayaan dan membincangkan fungsi `pusingan hidup produk’ dan jenama yang membolehkan pengekalan dan pengembangan populariti atau kejayaan seseorang penyanyi.
Ia secara tidak langsung menjadi kayu pengukur buat artis dalam mengekalkan puncak populariti mereka, sekali gus menjadi medan pilihan untuk `memasarkan’ personaliti dan populariti mereka.
Pengiklanan, jurucakap atau duta produk mungkin satu daripada medan pilihan yang dapat memasarkan personaliti dan populariti mereka. Apapun, sering kali bukan mereka yang mencari `medan’ ini sebaliknya mereka yang dicari untuk memasarkan produk dan memberi pulangan lumayan buat syarikat yang diwakili.
Kalau sudah rezeki…
Artis meriahkan majlis Berita Harian, Metro
Oleh Zubir Mohd Yunus
Antara yang hadir menceriakan makan malam itu ialah Raja Azura, Siti Nurhaliza, Ezlynn, Farawahida dan Nurul
DEMI menghargai sumbangan media terhadap perjalanan karier seninya selama ini, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sedia menangguhkan penerbangannya keluar negara semata-mata bagi menghiburkan lebih 300 warga kerja Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) pada majlis jamuan Makan Malam Tahunan Berita Harian / Harian Metro 2006 di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor, pada 25 Disember lalu.
EZLYNN berduet dengan Fara.
Siti yang hadir bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa diundang sebagai tetamu VIP pada malam itu. Mereka ditemani Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan isteri, Datin Noorlinda Abdul Talib; Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail dan isteri, Datin Noorzita Abdul Samad serta Pengarang Eksekutif (Berita) BHSB, Mahfar Ali.
Majlis gilang-gemilang dan penuh warna-warni bertemakan era 70-an atau retro itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran kakitangan termasuk pengurusan kanan bersama pasangan masing-masing yang tampil dengan pelbagai gaya dan fesyen menarik bersesuaian dengan tema.
Kehadiran Siti di pentas sememangnya dinantikan penonton sejak awal apabila mereka berasak-asak di belakang meja utama untuk merakamkan wajah penyanyi nombor satu itu dari jarak dekat.
Buat pertama kalinya Siti mendendangkan lagu Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu nyanyian asal Siti Fairuz membuatkan penonton terpaku mendengar kelunakan suaranya biarpun Siti tidak pernah berlatih menyanyikan lagu berkenaan untuk mana-mana majlis seumpamanya.
Siti juga tidak lupa untuk mengundang Manja berduet dengannya menerusi lagu Pandang Pandang Jeling Jeling. Siti tidak berhenti setakat itu saja apabila dia sekali lagi menjemput Hishammuddin menerusi lagu Endless Love.
Terdahulu, Ezlynn membuka tirai persembahan mendendangkan lagu hitnya, Hi Hi Bye Bye. Dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berduet dengan Farawahida iaitu finalis kategori Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 menerusi lagu Cinta yang dipopularkan Kris Dayanti dan Melly Goeslaw.
Mengambil tempat selepas itu ialah Farawahida. Seperti yang dijangka, dia mendendangkan lagu yang melonjakkan namanya, Tanpamu. Dia juga turut mengundang Ezlynn berduet dengannya menerusi Pudar. Sebelum mengundurkan diri, Farawahida mengundang Manja berduet dengannya menerusi lagu Hindustan, Kushiyan Aur Gham.
Bagi memeriahkan acara, pertandingan karaoke 70-an dianjurkan dan ia dimenangi Pengarang Bintang Popular, Roslen Fadzil dengan lagu Hari Ini Dan Semalam, diikuti pereka grafik, Mohd Razif Mohd Rosdi (Wajah Kesayangan Hamba) dan ketiga, wartawan hiburan Nurhadiani Baharum (Semakin Hari Semakin Sayang).
RAJA AZURA mengusik
peserta karaoke, Khairul.
Majlis malam itu lebih hidup dengan celoteh Raja Azura sebagai pengacara solo. Penataan bunyi pula mendapat tajaan KRU Berhad yang menjadikan sistem bunyi di dalam dewan itu begitu menggegar.
Pengarang Projek/ Keluaran Khas Harian Metro, Zubairi Zabidin dan Penolong Penyunting Metro Ahad, Md Noh Senan, turut menerima cenderahati khas berikutan persaraan mereka, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pihak penganjur menyediakan tabung khas derma bagi membantu mengurangkan penderitaan Ketua Unit Khas BHSB, Karim Sulaiman yang kini menghidap penyakit kulit yang kronik.
Syawal pertemukan wajah popular
Oleh Zubir Mohd Yunus
MAJLIS Rumah Terbuka Deeparaya anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) baru-baru ini menjadi medan pertemuan artis popular dua negara. Malah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang amat meminati lagu Dealova dendangan Once (Dewa 19) ceria apabila dapat bertemu bintang remaja dari Jakarta, Jessisca Iskandar yang juga bintang utama filem Dealova.
Jessisca yang berada di Malaysia bagi rangka promosi filem Dealova yang mula menemui peminatnya sejak 23 November lalu, nyata begitu teruja apabila menerima undangan, sekali gus diberitahu dia bakal bertemu Siti.
“Saya bukan saja menerima undangan, malah diberi peluang berjumpa Siti. Saya senang sekali kerana Siti begitu dikagumi di Indonesia. Jadi apabila bergambar dengannya ia satu penghormatan.
“Sekurang-kurangnya apabila saya pulang ke Jakarta nanti, saya boleh sampaikan kepada teman-teman, saya sudah ketemu dengan pencinta lagu Dealova ini,” kata Jessisca.
Sebelum fotografi, dilihat Siti bersama Jessisca sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit berbual mesra dan bertukar-tukar pandangan mengenai kerjaya seni masing-masing.
Siti yang hadir bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, menjadi perhatian kira-kira 800 tetamu yang terdiri daripada pelanggan korporat, pengiklan dan rakan artis lain di majlis tahunan anjuran NSTP itu.
Rumah Terbuka Deeparaya NSTP dihadiri Pengerusi NSTP, Datuk Seri Jawhar Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan Pengarang Eksekutif Harian Metro/ Metro Ahad, Mustapa Omar.
Antara artis paling awal hadir ialah superstar terkenal, Anita Sarawak bersama suami, Mahathir Abdullah yang duduk semeja dengan Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Fatimah Ismail.
Tidak ketinggalan memeriahkan majlis ialah pasangan kembar popular menerusi drama bersiri Kawan, Nora’sikin Rahmat atau Ikin dan Nora’ain Rahmat (Ain). Nama Ikin meledak secara tiba-tiba apabila digosip bercinta dengan Mawi Akademi Fantasia 3 (AF3). Lebih menarik, Mawi turut hadir pada majlis yang sama!
Pengarah Urusan KRU Berhad, Norman Abdul Halim datang bersama adiknya, Yusry. Sememangnya majlis rumah terbuka seumpama ini menjadi platform merapatkan lagi silaturahim pada Syawal yang mulia apabila Erra Fazira begitu mesra dengan bekas suaminya, Yusry.
Pengasas Aura Seri, Prof Dr Ibrahim Ahmad bersama isteri, Ira yang membawa filem Dealova ke Malaysia dengan kerjasama AirAsia Sdn Bhd dan Hotel Palace of the Golden Horses, meluangkan masa hampir tiga jam beramah mesra dengan kesemua artis.
Sementara itu, artis lain yang turut hadir ialah Fasha Sandha, Farah AF2, Hans Isaac, Amy Mastura, Nurul Syuhada TV3, Fara Fauzana Hot FM, Camelia, Hattan, Farahdhiya, Yasmin Harun, David Teo, Betty Benafe dan Umie Aida.
Datuk K, Siti belum ada rezeki timang cahaya mata
Oleh Zubir Mohd Yunus
SEJAK kebelakangan ini, media sering melaporkan Datuk Siti Nurhaliza mengandung, gara-gara badannya yang kelihatan agak berisi selepas berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, 21 Ogos lalu. Namun, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan daripada mulut Siti mahupun Khalid.
Justeru, ketika Zubir berpeluang menemui Siti dan Khalid pada majlis Aidilfitri di kediaman Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Cik Puan Muda Pahang, Datuk Seri Julita Aishah Abdul Latif, 27 Oktober lalu di Kuantan, Pahang, Zubir terus bertanyakan perkara berkenaan.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail sekeluarga.
Siti menafikan dia mengandung dan mengakui badannya mungkin kelihatan agak berisi kerana sudut penggambaran ada kala membuatkan dirinya tampak berisi seperti mana yang dipaparkan oleh sebuah akhbar tabloid, baru-baru ini.
Terdahulu, ketika menemui Datuk Khalid di hotel penginapan mereka pagi itu, dia turut mengesahkan isterinya belum berbadan dua lagi.
“Tak ada rezeki lagi Zubir,” pendek saja jawapan Khalid apabila Zubir bertanyakan perkara berkenaan.
Pada kesempatan ini juga Zubir ingin mengucapkan tahniah kepada Cik Puan Muda Pahang, Julita Aishah kerana dianugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena ulang tahun keputeraan ke-76 baginda, baru-baru ini.
Tahniah juga buat Siti yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Kad raya edisi khas artis
Oleh Norhayati Nordin
JIKA Mawi mencetak 5,000 kad raya edisi khas, Datin Siti Nurhaliza pula mencetak sekitar 3,000 kad raya saja.
Pengurus juga kakak ipar penyanyi terkenal itu, Rozie Abdul Razak, berkata kad raya Siti biasanya dihantar kepada wakil media, kenalan, pelanggan Siti Nurhaliza Production (SNP) dan peminatnya sebagai balasan.
“Apapun, Siti sentiasa menerima banyak kad raya setiap tahun. Ia tidak tertumpu kepada peminat di tanah air tetapi juga mereka (peminat )yang menetap di luar negara seperti London, Thailand, Singapura dan Indonesia,†katanya.
Ditanya konsep kad Siti tahun ini yang menggayakan busana perkahwinan, Rozie berkata gambar itu sememangnya diambil untuk tujuan berkenaan. Malah, ia dipilih sebagai rekaan kad raya atas persetujuan Siti.
Katanya, Siti mahu memberi kepuasan kepada peminat melihat foto perkahwinannya. Sekurang-kurangnya, ia boleh diabadikan peminat setianya yang tidak pernah jemu memberikan sokongan.
Pengurus penyanyi dan pelakon, Erra Fazira iaitu Syed Abu Bakar Syed Agil berkata pada Aidilfitri tahun ini, sebanyak 2,000 kad raya khas Erra dicetak untuk dikirim kepada peminat, rakan dan wakil media.
“Seperti tahun sebelumnya, rekaan kad raya Erra tidak banyak berubah. Ia ringkas dan menampilkan gambar terkini Erra. Cuma yang berubah, warna tema dipilih. Bagi Aidilfitri tahun ini, Erra memilih hijau sebagai temanya.
“Apa yang penting bagi Erra ialah dapat membalas kad raya dikirim peminat kepadanya. Bukan itu saja, kiriman kad raya sebenarnya sudah menjadi rutin tahunan Erra,†katanya.
Penyanyi bersuara lantang, Sharifah Hadijah Wan Moss atau Deja Moss pula memilih mengirimkan kad raya yang siap dicetak gambarnya untuk tatapan peminat, kenalan dan wakil media.
Kata Deja, kad hari raya itu dicetak pada tahun lalu. Memandangkan, cetakan banyak iaitu kira-kira 2,000 dan tidak sempat dihabiskan, maka apa salahnya dikirim tahun ini pula.
Bagi pengacara sensasi dan popular, Aznil Nawawi pula mengambil peluang membalas kad raya kiriman peminatnya pada tahun ini. Katanya, jumlah kad raya diterima rupanya banyak kerana peminat menghantarnya di Astro Ria, syarikat rakaman, SRC Records dan KRU.
“Melihatkan keikhlasan peminat yang banyak menyokong kerjaya saya hingga kini jadi saya berusaha membalasnya sedaya termampu tahun ini,†katanya.
Artis tempah kad glamor

Pelbagai rekaan kad raya yang cantik diedarkan pada rakan media
HANYA kurang 48 jam saja lagi, seluruh umat Islam akan menyambut Aidilfitri 1427H. Ketika artikel ini ditulis, Zubir sedang berperang dengan penyediaan bahan cerita hari raya. Zubir yakin, teman wartawan hiburan yang lain pun tidak akan terlepas dari tanggungjawab ini.
Minggu terakhir Ramadan ini, memang banyaklah Zubir menerima kiriman kad raya dan kuih muih daripada rakan artis, termasuklah puluhan ucapan raya menerusi SMS. Zubir terharu kerana ingatan rakan artis tidak pernah padam.
Seperti mana saban tahun Zubir menerima kad raya dan kuih muih daripada Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan isterinya, Cik Puan Muda, Julita Aishah Abdul Latiff. Sokongan Ku Muda suami isteri kepada perkembangan industri hiburan tanah air, amat Zubir hargai.
Berbalik kepada cerita kad raya artis, rata-rata Zubir menerima kad raya daripada artis senior terkenal umpamanya Datin Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Umie Aida, Amy Mastura dan ramai lagi (maaf jika Zubir terlepas nama mereka).
Mereka bukan saja Zubir anggap sekadar artis, malah seperti kawan baik. Mungkin tempoh perkenalan yang membuatkan ingatan mereka kepada teman wartawan tidak mungkin pudar. Artis generasi baru pula masih segan-segan, tapi masih ada yang sudi melemparkan kad raya mereka.
Contohnya seperti Bintang Paling Popular 2005, Mawi yang bertandang sendiri ke Balai Berita, baru-baru ini menyampaikan kad raya dan kuih muih kepada semua wartawan hiburan. Mungkin juga Mawi ingin pulihkan hubungannya dengan wartawan yang agak tercalar disebabkan beberapa insiden Ramai juga bintang kelahiran Akademi Fantasia yang melemparkan kad raya, tak terbalas rasanya ingatan mereka itu.
Pada kesempatan ini, Zubir ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam, khasnya buat warga kerja seni yang secara langsung mahupun tidak, pernah berurusan dengan Zubir selama ini. Jika ada kata-kata, perbuatan mahupun tulisan yang mengguris hati, Zubir mohon keampunan.
60 pembantu tukang masak
KUALA LIPIS: Lebih 60 pembantu tukang masak digunakan bagi menyediakan makan malam untuk kenduri kahwin Siti Nurhaliza Taruddin, 27, dan Datuk Khalid Mohd Jiwa, 47, di sini, malam esok.
Malah, lebih 600 kilogram beras diperuntukkan untuk syarikat katering bagi menyediakan jamuan itu buat peminat Siti sempena majlis persandingannya dengan Datuk K, di Padang Majlis Daerah Lipis (MDL).
Selain itu, 480 ekor ayam, 480 kilogram (kg) daging, timun (20 kg), 30 biji nanas, karot (lima kg) dan cili hijau (dua kg) diperlukan bagi menjamu kira-kira 6,000 peminat Siti.
Pengerusi Rukun Tetangga Taman Ceneras Jaya, Rosman Mahmud, 56, berkata pihaknya akan menggunakan 20 pekerja menyediakan hidangan itu, awal pagi esok.
“Kami satu daripada enam katering yang diberi tugas untuk menyediakan nasi minyak, rendang daging hitam, kurma ayam dan acar rampai,†katanya.
Ketua tukang masaknya, Mat Akil Jaafar, 58, berkata kerja menyiang bahan untuk memasak sudahpun bermula tetapi tugas sepenuhnya akan dilakukan malam ini.



