Skip to content

Posts from the ‘Berita Harian’ Category

16
Nov

‘Jadi Malas Kalau Selesa’



Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
‘Jadi malas kalau selesa’
Oleh Nor Hatina Shuib
hatina@bharian.com.my
2011/11/16
Ally Iskandar
Ally Iskandar
Ally Iskandar cabar pengacara muda sentiasa asah taring

BAGI penonton dan persepsi orang luar, melihat Ally Iskandar muncul dalam pelbagai program daripada bual bicara hingga hiburan dianggap sebagai penampilan yang agak berlebihan.
Memang tidak dinafikan Ally adalah antara personaliti TV popular sehingga namanya tidak pernah lekang dalam senarai Top 5 kategori Pengacara TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang dipilih oleh pembaca Berita Harian yang juga mungkin peminat jejaka ini.
Menggunakan e-mel sebagai pengantara untuk menemubual pengacara dan personaliti TV3 ini, bagaikan berada di hadapannya.

Setiap soalan yang kadang-kadang berbau kritikan diterima secara terbuka. Malahan Ally memberikan kerjasama cukup baik apabila menjawab semua soalan yang dikemukakannya tanpa ada elemen bersifat defensive atau meletakkan dirinya saja betul.

Penuh peribahasa dan kata-kata pembayang, jejaka berusia 35 tahun itu membalas setiap pertanyaan dengan gaya tersendiri, selain diselang-selikan dengan unsur jenaka menyerlahkan sifat kelakarnya yang tidak terhad hanya ketika mengacara majlis rasmi.

Sepanjang kerjayanya di stesen TV, Ally pernah mengendalikan MHI, Anugerah Juara Lagu, Konsert Jom Heboh, program sensasi tiga episod Tiada Rahsia Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa, Singgah Sahur, ResQ, dan peringkat akhir Pesona Nona.

“Saya umpama seorang guru yang dituntut mengajar, seorang doktor yang merawat (pesakit) dan seorang pegawai polis yang menjaga keselamatan yang mana tugas pengacara pula adalah tuntutan syarikat untuk digalas sebaik mungkin.

“Saya bekerja sepenuh masa di Media Prima. Selain menggalas tugas Penerbit Eksekutif di Primeworks Studios, pengacaraan TV menjadi salah satu tugas hakiki saya. Walau apa program yang dipertanggungjawabkan, saya dituntut untuk melaksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata pemegang ijazah Sarjana muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem dari University of the Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat.

Menurutnya, pengurusan masa sangat penting dalam mengendalikan tugas yang pelbagai, apatah lagi apabila tanggungjawab itu juga membabitkan kerja di sebalik tabir seperti produksi dan penyuntingan.

“Bebanan tanggungjawab bukan persoalan. Itu pegangan saya tatkala memutuskan untuk menceburi dunia penyiaran. Tiada istilah kerja senang dalam bidang media. Saya akui mengendalikan tugas pengacaraan yang berbeza-beza sangat mencabar.

“Saya terima cabaran itu kerana saya jenis tidak boleh duduk selesa. Bila selesa akan jadi malas. Bila malas akan hilang ‘competitive edge’. Itu bukan sikap yang sihat sebagai orang media,” tegasnya lagi.

Ditanya adakah dia sedar dirinya menjadi pilihan utama untuk menjadi pengacara dalam acara atau majlis berprestij stesen televisyen yang dinaunginya itu, Ally berkata, memang setiap kali menerima amanah itu, ia dianggap sebagai ujian yang kemampuan dirinya.

“Saya lebih melihat tanggungjawab ini sebagai cabaran daripada pihak pengurusan ke atas saya, untuk menguji kemampuan saya mengendalikan program besar. Kekananan (seniority)i dan bakat itu persepsi orang.

“Saya tidak pandai membuat penilaian terhadap bakat diri sendiri. Tapi saya memerlukan kepercayaan sesama tenaga produksi. Dengan sikap saling percaya akan kemampuan masing-masing, gunung pun boleh diangkat,” katanya.

Menurutnya, menjayakan program TV adalah usaha bersama dan dia pasti semua orang mahu bekerja dengan orang yang boleh dipercayai.

Ally menjelaskan, tugas sebagai pengacara terdiri daripada dua aspek iaitu ‘pengikat’ kandungan dalam memastikan perjalanan program lancar dan ejen pencetus, pemangkin dan pengekal keghairahan penonton mengikuti program dari awal hingga ke penghujung.

“Jelak dan jemu adalah hak khalayak. Sebelum memulakan tugas, rutin saya ialah mengingatkan diri akan dua perkara juga iaitu “program ini bukan pasal saya’ dan “program ini adalah untuk penonton’,” katanya penuh makna.

Dia juga mempunyai pandangan tersendiri dalam menerima kenyataan jika kerap kali muncul dengan gaya pengacaraan yang sama.

“Gaya pengacaraan seseorang hos ialah trademark atau ‘cap dagang’nya. Sama seperti suara seorang penyanyi. Saya percaya mustahil semua orang suka cara saya tetapi saya juga percaya semua orang akan suka program yang dikendalikan dengan baik,” jelasnya.

Ditanya soalan agak berbisa berkenaan akan hilang taring dalam menarik minat orang ramai menonton dirinya jika terlalu kerap pengacara, Ally memperlihatkan cukup bijak dan matang dalam berkata-kata.

“Pengacaraan adalah tugas hakiki saya. Kekerapan peluang mengacara adalah hak pihak pengurusan. Saya sekadar menggalas amanah. Kalau saya mengelak, bererti saya lari dari tanggungjawab.

“Hilang taring itu lumrah hidup. Jika pun benar saya ‘bertaring’, saya tahu ia takkan kekal. Justeru, selagi ada rezeki, saya berdoa agar terus dapat melaksanakan tugas sebaik-baiknya. Pada masa sama, saya anjurkan kepada ‘harimau-harimau muda’ lain untuk mula mengasah taring masing-masing dan belajar memburu peluang. Kasihan saya nanti jika masih terpaksa membaham dengan gusi disebabkan taring kalian masih tumpul.

“Kijang tak akan datang menyembah sang harimau untuk dijadikan habuan,” kata Ally yang mencabar pengacara baru dengan kata-kata bidalan dan perumpamaan.

Cara berbeza, matlamat sama

WALAUPUN sudah berpengalaman mengendalikan pelbagai program, tetapi Ally tidak malu untuk mengakui betapa perasaan berdebar dan rasa gentar tetap ada dalam dirinya.

“Sehingga sekarang saya masa berdebar di hadapan khalayak atau kamera. Tapi rasa gentar dan gemuruh itu perlu ada. Perasaan sedemikian membuatkan seorang pengacara menjadi peka kepada persekitarannya,” jelasnya.

Bersoal jawab dengan Ally yang dilihatk gemar mengaitkan gaya penyampaiannya dengan setiap perempuan cantik dan mungkin tempoh gelak tawa penonton akan berakhir jika kerap kali digunakan, dia teguh dengan pendiriannya.

“Saya orang media. Apa saja yang mempunyai daya penarik pasti menjadi penambat perhatian khalayak. Saya mengusik Neelofa di Anugerah Skrin sama seperti wartawan menulis gosipnya dengan Hans Isaac di surat khabar.

“Pendekatan kita berbeza, tapi matlamat kita sama dan saya percaya selebriti pun tahu akan perkara ini kerana kita semua saling memerlukan. Apa yang penting adalah ia digayakan dengan berhemah.” katanya.

Katanya lagi, ketika disoal adakah cukup bersedia menerima kritikan peminat yang mungkin sudah biasa dan dapat mengagak caranya yang mengaitkan artis wanita cantik sebagai bahan usikan ketika mengacara.

“Kerja sebegini saya kena terima yang baik dan yang buruk daripada penonton. Kalau dikaitkan dengan wanita cantik, saya tiada masalah. Yang cantik wanita itu, bukan saya.

“Sebenarnya, ketika di Anugerah Skrin 2011 sebagai contoh, banyak juga nama lain yang saya jadikan bahan usikan (David Teo, Aaron Aziz, Anuar Zain). Tapi subjek wanita cantik juga yang lebih mengesankan khalayak termasuk wartawan. Sebab itu anda tak bertanya soalan berkenaan ‘teori’ saya tentang faktor Aaron Aziz menjadi kegilaan wanita. Anda tak perasan barangkali,” katanya.

Katanya lagi, pengacara yang melakukan tugas secara berpasangan perlu berupaya untuk saling menghormati, mengiktiraf dan meraih keupayaan masing-masing dan jarang kedapatan pasangan pengacara sama hebat.

“Tahap keserasian adalah persepsi dan ‘pre-conception’ penonton. Bagi saya, sehebat atau selemah mana pasangan pengacara, tanggung jawab saya ialah untuk memastikan dia selesa bergandingan bersama saya agar kami dapat lakukan tugas dengan berkesan,” katanya.

Berita Harian

11
Nov

Semuanya Rahsia?

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Semuanya rahsia?
Oleh Nor Hatina Shuib

2011/11/11
pix_gal0
MULA-mula mereka menyebut beberapa nama terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah untuk diundang khas dalam album mereka nanti. Apabila ditanya siapa sebenarnya yang hendak diundang, mereka menjawab, rahsia!.

Selepas itu, bercerita pula pasal album terbaru. Sekali lagi mereka mahu berahsia apabila ditanya mengenai tajuk lagu dan nama komposer yang menyumbangkan lagu untuk mereka.
Inilah gelagat anggota kumpulan Hujan yang diketuai Noh Ahmad tatkala bercakap mengenai kemunculan album single terbaru Hujan – Kotak Hati. Bersungguh-sungguh memperkatakan itu dan ini, tetapi apabila diminta menjelaskan sesuatu dengan lebih lanjut, dijawab dengan rahsia.
Memerhatikan gelagat pemuzik muda yang sentiasa membawa idea baru ini pada Sidang Media Hujan – Kotak Hati di pejabat syarikat rakaman Warner Music, di Petaling Jaya, baru-baru ini, agak sedikit menghampakan apabila suasana temu bual bermain dengan tanda tanya dan teka-teki mengenai perancangan masa depan terbaru mereka.

Mereka seperti acuh tak acuh apabila menjawab soalan. Mungkin ini adalah imej Hujan iaitu perangai yang tak berapa serius ketika berdepan dengan soalan daripada media.

Kira-kira 20 minit pertama media disajikan dengan kelakuan vokalis kumpulan itu, Noh yang terkenal dengan sikapnya suka mengusik dan melambat-lambatkan sesi temu bual. Ada saja yang mahu dipusing ke sana-sini setiap kali disoal media mengenai album baru. Banyak main. Itu antara kata-kata yang terbit di bibir beberapa media melihatkan Noh asyik berteka-teki dengan soalan media sehingga majlis itu dilihat seperti pertandingan teka-teki . Ada saja yang mahu diusik Noh kepada media. Nasib baiklah ahli kumpulan itu, Dimas bijak mengembalikan suasana yang sengaja dikeruhkan Noh dengan beberapa jawapan mengenai album mereka.

Malahan suasana di bilik mesyuarat itu juga agak menarik apabila media disajikan dengan bingkisan beberapa kotak kecil yang dibalut dengan cetakan gambar anggota Hujan dan kotak hati berwarna merah jambu yang dilekatkan di setiap sudut ruang bilik itu.

“Kami sudah siap album baru iaitu album keempat Hujan. Setakat ini tiga lagu sudah siap dihasilkan dan kemungkinan keseluruhannya lapan lagu. Tajuk, komposer dan segala-gala berkenaan album ini jika lebih manis dirahsiakan terlebih dulu,” kata Noh.

Terus mahu membongkar rahsia kehadiran Kotak Hati, Noh berkata, istimewanya album mereka kali ini ialah ditampilkan bersama DVD sebagai video yang merekodkan segala aktiviti Hujan sepanjang pembikinan album itu.

Uniknya album ini apabila apa yang berlaku di belakang tabir dipaparkan supaya peminat lebih memahami apa yang berlaku sepanjang album itu diterbitkan.

“Setakat ini, sudah banyak footage yang sudah diambil. Mungkin kita akan jual album bersama DVD tetapi secara terhad. Pastinya album baru ini akan menampilkan konsep berlainan daripada sebelum ini.

“Jika album sebelum ini agak ringan, album baru ini lebih serius dan berat. Konsep yang akan ditampilkan antaranya adalah dedikasi kepada semangat perpaduan,” katanya.

Hujan yang cenderung melabelkan genre yang mereka bawakan sebagai rock alternatif ini mula memikat peminat muzik sebaik melahirkan lagu Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada yang kerap kali disiarkan di radio.

Ditubuhkan pada 2006, Hujan dianggotai Noh sebagai vokalis, AG Coco (gitar), Acer (Dram) serta Dimas (keyboard), akan tampil dengan album terbaru yang segala-galanya masih menjadi rahsia dan mungkin ia satu kejutan kepada peminatnya dalam masa terdekat ini.

Pernah membuat persembahan di United Kingdom melalui Jelajah Hujan ke UK dan persembahan di Oxford Bar (Manchester), Zanzibar (Liverpool), Sheffield serta Cardiff, mereka bercadang menjelajah beberapa negara seperti Filipina dan Indonesia.

Noh memberitahu, mereka juga akan menampilkan penyanyi tempatan dan luar negara bagi mewarnai album terbaru mereka.

“Album ini ada penampilan khas, tetapi nama mereka dirahsiakan. Ia memberikan kelainan dari segi suara yang kita tidak ada,” katanya.

Berbicara mengenai Kotak Hati, Noh memberitahu kemunculan lagu bergenre balada mempunyai susunan muzik yang ringkas, tenang dan bersahaja.

“Ini single kami yang ketiga selepas Muda dan Inspektor Remos. Kotak Hati menceritakan kisah percintaan sepasang kekasih. Lagu dan lirik yang dihasilkan sendiri oleh saya dan ia menggambarkan keikhlasan pasangan kekasih ini bercinta. Mereka sanggup untuk berkongsi segala suka duka yang dihadapi bersama dan berharap untuk terus setia bersama,” katanya.

Selepas mengeluarkan album ke-3 mereka ‘Lonely Soldier Boy’yang dilancarkan pada 25 November lalu, Noh berkata penggambaran video klip itu dijalankan di sebuah studio di Sungai Buloh.

Ditanya kenapa video klip itu cukup ringkas, Noh dan rakan-rakan lain sepakat mengatakan ia sengaja dihasilkan begitu supaya lebih dekat di hati peminat.

Berita Harian

18
Oct

Menggetarkan Jiwa

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Menggetarkan jiwa
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2011/10/05
AIZAT menghiburkan penonton dengan himpunan lagu popularnya.
AIZAT menghiburkan penonton dengan himpunan lagu popularnya.
Aizat tawan DFP dengan lagu popular, kekuatan vokal

BAKAT seninya mula dikesan di sebuah pentas yang agak kecil iaitu di Dewan Sivik di Petaling Jaya. Waktu itu penyanyi bernama Muhammad Aizat Amdan ini sedang mencari tapak dalam bidang seni dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia.
Dari tapak seorang bakat baru, Aizat melebarkan pengaruhnya apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu berjaya meletakkan dirinya di dalam kelompok penyanyi hebat tanah air. Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya menyebabkan peluang Aizat untuk beraksi di tempat yang lebih berprestij luas terbuka.
Konsert Satu Suara yang dijayakannya tahun lalu bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir memberi ruang untuk Aizat menonjolkan bakatnya di lokasi yang menjadi idaman ramai iaitu Panggung Sari, Istana Budaya.

Malam kelmarin, jejaka berusia 22 tahun ini mencatat sejarah peribadi dalam kalendar kerjaya seninya apabila berpeluang mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas pula, yang diketahui cukup eksklusif dan hanya mereka yang benar-benar bertuah berpeluang beraksi di lokasi itu.

Bukan calang-calang penyanyi yang mampu untuk berdiri di pentas itu, dan ternyata, bakat serta usaha yang tidak pernah mengenal erti jemu berjaya membawa langkah Aizat ke situ.

Membuka tirai persembahan sekitar jam 8.40 malam, anak kelima daripada enam beradik ini memilih lagu Susun Silangkata sebagai lagu pertama. Susunan muzik yang menarik dengan lirik yang penuh bermakna itu berjaya membangkitkan mood di kalangan penonton.

Sambil diiringi 12 pemuzik dan dua penyanyi latar, Aizat mencanai jiwa penonton dengan alunan melodi yang kebanyakannya adalah hasil ciptaan bersama abangnya, Anas. Lagu rancak seperti Fikirlah, Kau dan Aku, Years From Now serta Kau dan Aku dituang kepada penonton yang begitu mendambakan persembahan bertenaga daripadanya.

Tampil dengan imej ringkas iaitu berseluar jeans ketat dan kemeja rona merah, Aizat memperlahankan seketika momentum persembahannya dengan menyanyikan lagu Hanya kau Yang Mampu dengan diiringi petikan piano Belle Fatah. Tidak dinafikan vokal Aizat kala menyanyikan lagu ini cukup menggetarkan jiwa, sehinggakan dia mendapat tepukan gemuruh sebaik saja selesai menyanyikan lagu itu.

Sambutan menggalakkan yang diterimanya disambut anak muda ini dengan penuh teruja.

“Terima kasih kerana hadir pada malam ini. Saya begitu teruja kerana sudah lama saya mahu mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas. Baru sekarang impian itu tercapai,” ujarnya.

Aizat bijak membaca selera penonton. Barangkali, pengalaman mengadakan persembahan dan juga konsert bergerak sebelum ini membuatkan dia tahu apa yang dimahukan penggemarnya.

Seperkara yang menjadikan Aizat penyanyi yang istimewa ialah vokalnya yang ampuh serta penghayatannya dalam mengalunkan bait lirik cukup puitis. Itulah kelebihannya apabila seorang penyanyi mendendangkan sendiri lagu ciptaannya.

Mesejnya sampai, umpama anak panah yang menembusi tepat ke dasar hati. Sayu rasanya apabila dia menyanyikan lagu Pergi dan Lagu Kita yang diakui kuat dari segi melodi dan seni katanya.

Pada malam itu, penonton yang hadir cukup bertuah kerana bukan saja disajikan dengan lagu popularnya, tetapi mereka juga berpeluang mendengar lagu terbaru bertajuk Jerrypah.

“Buat masa ini judulnya ialah Jerrypah. Lagu ini mengisahkan si lelaki yang sanggup membuang egonya demi seorang wanita. Insya-Allah, ia akan dimuatkan dalam album saya akan datang,” ulasnya mengenai lagu rancak yang mempunyai pengaruh muzik kumpulan The Beatles, yang amat dikaguminya itu.

Sebagai tribute kepada kumpulan Alleycats, dia juga menyanyikan kembali lagu Senyumlah Kuala Lumpur dengan versi baru. Untuk menutup persembahan, Aizat memilih lagu kumpulan Dewa, Hadapi Dengan Senyuman sebelum meninggalkan pentas.

Secara keseluruhan, persembahan yang memakan masa hampir 80 minit itu berjaya meletakkan Aizat ke satu lagi aras yang lebih tinggi daripada kedudukannya sekarang.

Cuma apa yang perlu diperbaiki selepas ini ialah kemahiran komunikasinya dengan penonton. Sepanjang persembahan, ada ketika Aizat seperti tenggelam punca. Sepatutnya dalam persembahan sebegitu, sedikit sebanyak Aizat perlu bersedia, apakah bahan yang perlu disampaikan kepada penonton supaya ia tidak sampai mengganggu tumpuannya.

Untuk menjadi penghibur yang baik, bukan saja pandai menyanyi dan mencipta lagu tetapi juga mempunyai kemahiran berinteraksi dengan penonton. Apapun tahniah buat Aizat kerana berjaya menawan pentas berprestij itu selepas Yuna.

Berita Harian

21
Sep

Jualan Amal Meriah

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Jualan amal meriah
Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2011/09/21
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

RAMLAH dan suami menerima sumbangan.

Foto

SAM menunjukkan beg Umie Aida yang akhirnya menjadi milik kakaknya, Zizie.

Foto

Foto

Foto

Koleksi peribadi Umie Aida, Siti Nurhaliza, Fasha antara jadi rebutan

TAS tangan Louis Vuitton milik Datin Paduka Umie Aida menjadi barang lelongan yang mendapat bidaan tertinggi pada Karnival Amal Syawal di Balai Berita, New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kuala Lumpur pada Sabtu lalu iaitu mencecah RM4,000.
Walaupun hanya berbalas bidaan menerusi teks mesej Blackberry (BBM), dua aktres popular, Erra Fazira dan Zizie Ezette saling membida namun akhirnya ia jatuh ke tangan Zizie.
Acara yang diadakan dengan matlamat mengumpul dana membiayai kos rawatan pembedahan kerosakan hati Amir Shah Osman, 55, yang juga suami wartawan hiburan Harian Metro, Ramlah Zainal, juga disertai ramai artis lain.

Amir Shah yang menghidap sirosis hati kronik perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di India pada kos yang agak murah berbanding di tempat lain iaitu kira-kira RM150,000 yang dijadualkan akhir bulan ini.

Bukan sekadar lelong, acara seawal jam 12 tengahari hingga 7 malam diselitkan dengan pelbagai aktiviti lain termasuk jualan amal membabitkan gerai selebriti, bergambar bersama artis pujaan, persembahan hiburan dan sebagainya.

Di anjurkan Kelab Kebajikan, Sukan & Rekreasi, Jabatan Pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) ia menjadi simbol semangat bantu membantu di antara rakan media, artis serta tidak ketinggalan sokongan pembaca.

Bagai pesta apabila Farah Fauzana, Didie Alias dan Along Cham memulakan lelongan pada harga serendah RM30 bagi barang kesayangan selebriti membabitkan jaket, kasut dan beg tangann milik Fasha Sandha, Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Faradhiya, Raja Azmi, Farah Asyikin, Seelan Paul, Eja, Aizat dan Sheila Lama.

Walau ada dikalangan penggiat seni tidak dapat menghadirkan diri, mereka masih ingin turut serta dengan menitipkan barang mahu pun makanan yang boleh dijual supaya boleh disalurkan kepada dana berkenaan.

Sambutan pelanggan di lebih 20 meja juga memberangsangkan dengan jurusolek, Zulfadli menjual mekap selain Ana Raffali (biskut coklat cip), Pak Engku (nasi tomato), Linda Onn (nasi ayam), Deja Moss (kek lapis Sarawak, Alyah (CD), Elly Mazlein (kek lapis), Irma Hasmie (baju/aksesori) serta Ako Mustapha (batang buruk).

Boleh dikatakan lebih 50 artis terbabit secara langsung dan tidak langsung bagi merealisasikan karnival yang diilhamkan hanya seminggu sebelum majlis berlangsung hasil gabungan wartawan hiburan Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times.

Wajah lain yang biasa dilihat Ziela Jalil, Erma Fatima, Atilia, Nubhan, Diddy, Jalani Sidek, Roslin Hashim serta Ikhwan selain Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib berkata, beliau terharu dengan sokongan ditunjukkan peserta terutama penggiat seni yang sanggup datang untuk sama-sama membantu meringankan beban Ramlah serta suaminya.

“Di pihak Media Prima, kami menyokong penuh usaha Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengarang NSTP dalam membantu bukan hanya orang luar tetapi kakitangan NSTP sendiri,” katanya.

Presiden Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengarang, Shahiman Sharip berkata, pihaknya berpuas hati sasaran mengutip sekurang-kurangnya RM30,000 dalam bidaan dan jualan pelbagai barangan termasuk makanan pada karnival itu tercapai apabila jumlah keseluruhan hampir RM50,000.

Seorang peniaga dari Sabah, Dayang Herma Awang Yusuf, 21, yang memperuntukkan lebih RM1,000 untuk bidaan beberapa barangan artis termasuk milik Fasha Sandha berkata dirinya terpanggil untuk membantu selepas terbaca mengenai kisah Amir Shah di Berita Harian.

“Hari ini saya dan suami sengaja singgah di Balai Berita untuk mengikuti acara ini. Selain menyimpan koleksi artis kesayangan, sekurang-kurangnya pelaburan untuk mendapatkan barangan ini disalurkan kepada individu memerlukan,” katanya.

Berita Harian

19
Sep

Bukan Kerana Tidak Popular

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Bukan kerana tidak popular
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2011/09/20
Nama Siti tiada dalam AIM18 kerana tidak hantar pencalonan

JANGAN membuat sebarang spekulasi bahawa kerjaya penyanyi nombor satu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kini merudum hanya disebabkan namanya tercicir daripada senarai Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 yang diumumkan baru-baru ini.
Ketiadaan nama Siti dalam AIM 18 bukanlah bermakna produknya kurang berkualiti sehingga gagal menambat hati juri AIM.
Sebaliknya kata penyanyi bersuara merdu itu, isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan kerana Siti Nurhaliza Production (SNP) memang tidak menghantar sebarang penyertaan berikutan tiada produk untuk dipertandingkan tahun ini.

“Siti tidak melihat ketiadaan nama dalam senarai AIM 18 sebagai satu masalah kerana dari pihak SNP, kami memang tidak menghantar sebarang pencalonan. Bagi Siti itu bukanlah satu masalah.

“Mungkin penonton dan peminat berasa janggal disebabkan ketiadaan nama Siti dalam senarai pencalonan. Tapi bagi Siti, memang Siti sudah tahu kalau tiada sebarang produk artis memang tidak boleh bertanding malah Siti sudah bersedia dengan semua itu.

“Apabila tidak berada dalam senarai pencalonan, Siti menjadi lebih teruja untuk mengetahui siapa yang dicalonkan dan siapa pula yang bakal membawa pulang anugerah pada malam itu nanti,” kata penyanyi itu yang turut musykil dengan syarat penyertaan AIM yang baru.

Sebagai anak seni yang sudah 15 tahun berada dalam industri, penyanyi ini ternyata kurang bersetuju apabila isu kerakyatan dijadikan salah satu pra syarat yang melayakkan penyanyi untuk bertanding.

Muzik kata penyanyi kelahiran Kampung Awah, Pahang ini tiada sempadan. Tiada salahnya sesiapa saja yang bekerja demi menyemarakkan lagi industri muzik Malaysia diberi peluang dan pengiktirafan.

“Siti faham pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berbuat demikian kerana ingin melindungi industri muzik tanah air. Tetapi muzik itu tiada sempadan, selagi kehadiran mereka dapat membantu memeriahkan industri kita, rasanya tidak salah sekiranya mereka turut diiktiraf.

“Apa yang meragukan kenapa baru sekarang soal kerakyatan dibangkitkan? Kenapa dari dulu perkara ini tidak menjadi isu? Kita sepatutnya bersyukur sebab orang luar membantu kita. Kalau begini caranya, Siti buat album untuk peminat sajalah, bukan untuk masuk bertanding dalam AIM.

“Bagaimanapun Siti tetap menghormati AIM kerana ia tidak seperti anugerah lain. AIM adalah satu-satunya anugerah yang memberi penghargaan kepada karyawan yang terbabit dalam industri muzik.

“Anugerah ini juga menilai dengan teliti pembikinan sesebuah album, justeru Siti yakin bukan Siti saja malah artis lain juga pasti berasa rugi jika produk mereka tidak dipertandingkan setelah bertungkus lumus menghasilkan album,” katanya.

Siti juga ternyata mempunyai banyak kenangan manis bersama AIM, di awal kemunculannya sebagai penyanyi dia sudah memenangi dua anugerah di dalam AIM iaitu Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Jerat Percintaan.

Selain itu, dia juga pernah memenangi Album Terbaik menerusi Transkipsi selepas memenangi kategori Album Pop Terbaik.

Meskipun pernah merasa pelbagai trofi di dalam AIM, Siti mengimpikan satu hari nanti dia berpeluang membawa pulang trofi Video Klip Terbaik dan Kulit Album Terbaik.

Gigih terbitkan program I-Klon

SELAIN menguruskan kerjaya seninya, syarikat yang ditubuhkan pada 1998 iaitu ketika usianya 19 tahun turut aktif menerbitkan pelbagai program televisyen.

Terbaru, Siti baru saja menerbitkan sebuah lagi program baru berjudul I-Klon untuk saluran TVi, RTM yang dijangka menemui penonton pada November depan.

Program sebanyak 13 episod itu baru saja selesai menjalani rakaman untuk episod akhirnya minggu lalu bertempat di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC).

Program I-Klon adalah sebuah program realiti yang mencari bakat remaja yang bukan saja boleh meniru gaya artis yang menjadi idola mereka, tetapi juga mempunyai iras serta kebolehan yang sama seperti artis pujaan mereka.

Uji bakat pencarian peserta I-Klon diadakan selama dua hari sebelum Ramadan yang lalu. Kira-kira 100 peserta hadir pada sesi uji bakat. Bagaimanapun hanya 16 peserta dipilih ke peringkat saringan.

Program yang diarahkan oleh Adi Shamsul ini menemui penonton selama 30 minit setiap minggu dan setiap episod, sebanyak dua orang juri dipilih untuk menilai peserta. Antara juri yang terbabit ialah Siti sendiri, Syafinaz, Zukhairi, Cat Farish, Johan Raja Lawak, Didie Alias, Hazama, Ezlynn dan Mawi.

“Sejujurnya bentuk program ini disarankan oleh RTM, sementara SNP hanyalah bertindak sebagai penerbit saja. Selalunya dalam pertandingan nyanyian atau realiti setiap peserta memiliki idola mereka. Bagaimanapun kita selalu menegah mereka supaya menjadi diri sendiri dan jangan terikut cara artis pujaan mereka.

“Sebaliknya I-Klon pula berbeza, kita mencari peserta yang mampu meniru artis pujaan mereka. Memiliki persamaan yang dekat dengan artis pujaan pula adalah satu kelebihan,” kata Siti.

Berita Harian

10
Sep

Siti Kena Tunggu Giliran

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Siti kena tunggu giliran
Oleh Hanisah Selamat dan Farihad Shalla Mahmud

2011/09/09
Radio bahasa Inggeris nafi pilih kasih terhadap lagu Fallin in Love

STESEN radio berbahasa Inggeris menafikan wujudnya diskriminasi terhadap lagu Inggeris nyanyian terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Fallin In Love apabila didakwa kurang diputarkan berbanding dendangan penyanyi antarabangsa.

Walaupun single pertama daripada album sulung Inggeris penyanyi itu sudah diedarkan ke semua stesen radio akhir Julai, ia dikatakan hanya berkumandang di saluran radio Melayu.
Melihat populariti lagu ciptaan Bryan B yang juga komposer dari Australia ini di laman sosial YouTube terutama selepas Siti menyanyikannya di Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 di Singapura, ramai beranggapan ia memang disukai ramai.
Justeru timbul persoalan sama ada sememangnya pengendali radio Inggeris tempatan lebih mengagungkan karya luar atau menganggap populariti lagu dendangan penyanyi di negara ini tidak sehebat produk asing hingga sukar mendapat peluang.

Pengurus Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim, berkata tidak timbul soal pilih kasih kerana berbeza dengan stesen Melayu, radio berbahasa Inggeris seperti Fly FM menerima sejumlah lagu baru yang banyak untuk disiarkan bersilih ganti, tidak kira penghasilan penyanyi tempatan mahu pun antarabangsa.

“Kita tidak pernah meletakkan sebarang kategori lagu yang berada disenarai giliran kerana apa juga produk yang dihantar (kepada Fly FM) kita akan siarkan, namun harus faham kerana dalam sehari berpuluh lagu baru diterima, termasuk yang dihantar syarikat muzik antarabangsa di sini.

“Peluang disiarkan sama rata namun kita mempunyai panel khas bukan hanya dikalangan warga kerja stesen radio ini malah sekumpulan pendengar yang akan menilai sesebuah lagu itu cukup popular atau tidak untuk terus kerap dimainkan,” katanya mengenai pemilihan format lagu di Fly FM.

Katanya, ketika lagu Falling In Love nyanyian Siti mula-mula dihantar ke radio Media Prima, ia kerap diputarkan tetapi selepas beberapa ketika ada lagi lagu lain yang lebih popular terutama dari label antarabangsa pula mendominasi carta.

Begitu pun, dendangan Siti yang turut dimuatkan dalam album sulung Inggerisnya yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat itu masih kerap berkumandang di stesen radio Melayu milik rangkaian Radio Media Prima iaitu Hot FM.

“Sebagai saluran yang menjadi pilihan pendengar dari pelbagai latar belakang, kita cuba memenuhi selera ramai tanpa meletakkan prejudis terhadap lagu tempatan tetapi lingkaran masa berpusing dengan pantas kerana apabila lagu baru lain memasuki carta, lagu yang terdahulu akan terkebelakang.

“Bukan hanya lagu Datuk Siti Nurhaliza, kami membuka peluang seluas-luasnya untuk pencipta dan penyanyi tempatan kerana inilah juga fungsi saluran radio memberi hiburan, maklumat serta ruang kepada semua,” katanya lagi.

Sementara itu Pengurus Rangkaian AMO Radio Networks, Raqeem Brian ketika mengulas isu itu mengesahkan pihaknya ada menerima single Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun, seperti kebanyakan penyanyi lain, lagu Fallin In Love itu perlu melalui prosedur sama iaitu menunggu giliran disiarkan.

“Kami menerima single itu sebelum Hari Raya lalu dan kini dimasukkan di dalam senarai lagu baru dan perlu menunggu giliran untuk disiarkan. Kalaupun radio Hitz.FM tidak siarkan lagu itu, kami ada stesen lain seperti Mix.FM yang boleh berbuat demikian,” katanya.

Raqeem juga menafikan kelewatan menyiarkan lagu itu disebabkan sikap prejudis terhadap penyanyi Melayu yang menyanyikan lagu Inggeris.

“Kami tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih. Sebelum ini pun kami banyak menyokong penyanyi tempatan yang menerbitkan album Inggeris,” tegasnya.

Lagu ciptaan Brian B ini dimuatkan dalam album sulung Inggeris Siti berjudul All Your Love yang bakal berada di pasaran 24 September ini.

Berita Harian

4
Sep

Misi Keamanan Perlu Ambil Kira Risiko Yang Bakal Dihadapi: Tun M

Mutakhir
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Misi keamanan perlu ambil kira risiko yang bakal dihadapi: Tun M

2011/09/04
SERDANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

hari ini menasihati penganjur misi kemanusiaan supaya mengambil kira risiko yang

mungkin dihadapi anggotanya di tempat yang bakal mereka bertugas, terutama di
negara seperti Somalia, yang tidak mempunyai kerajaan yang kukuh.
“Sebelum pergi, anda kena sedar bahaya yang mungkin dihadapi,” katanya
kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di sini.
Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas kematian jurukamera BernamaTV

Noramfaizul Mohd Nor, 39, akibat terkena tembakan ketika dalam perjalanan dengan

sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama beberapa anggota media lain dari

Malaysia di Somalia pada Jumaat.

Mereka ke Mogadishu untuk membuat liputan misi bantuan kemanusiaan anjuran

Kelab Putera 1Malaysia di negara yang dilanda kebuluran itu.

Dr Mahathir berkata keadaan di Somalia tidak stabil kerana rakyatnya
berperang sesama sendiri.

Sambil menyifatkan kejadian yang menimpa Noramfaizul sesuatu yang malang,

beliau mengucapkan takziah kepada keluarga jurukamera itu.

Majlis rumah terbuka itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat, termasuk naib

pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye dan penyanyi

popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. — BERNAMA

Berita Harian

26
Aug

Senarai Pemenang ABPBH 2010 Siap Diumu

Nasional
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Senarai pemenang ABPBH 2010 siap diumu
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
bhnews@bharian.com.my
2011/04/02
MUHAMMAD NAZIM (tengah) mengira undian sambil dibantu Raihan (kanan) dan Akmal (kiri) di Balai Berita, semalam.
MUHAMMAD NAZIM (tengah) mengira undian sambil dibantu Raihan (kanan) dan Akmal (kiri) di Balai Berita, semalam.
200,000 borang undian, SMS selesai dikira

KUALA LUMPUR: Senarai pemenang 17 kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 sudah diputuskan apabila sesi penjumlahan undian selesai dijalankan di Balai Berita di sini, petang semalam.
Keputusan itu diperoleh hasil pengiraan lebih 200,000 borang undian dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima penganjur sejak proses pengiraan bermula hujung Januari lalu dan berakhir jam 5 petang, semalam.
Semakan akhir senarai lengkap jumlah undian itu dibuat Juruaudit Dalaman, Jabatan Tata Urus Korporat The News Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Muhammad Nazim Ismail dan Raihan Zakaria. Hadir sama pada semakan akhir itu ialah Pengarang Hiburan Edisi Mingguan Berita Harian yang juga Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa ABPBH 2010, Akmal Abdullah, selain Pengurus Jabatan Teknologi dan Informasi NSTP, Rahim Mukeri dan Eksekutif Pentadbiran Editorial NSTP, Mohd Azly Shafian.

Keputusan penuh ABPBH 2010 akan diumumkan pada kemuncak acara yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, malam esok.

ABPBH 2010, iaitu edisi ke-24 dianjurkan Berita Harian, akan dipancarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM mulai jam 9 malam. Sekitar 6,000 penonton dijangka memenuhi Arena of Stars, memperlihatkan prestij acara hiburan yang menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi gergasi, Celcom Axiata Berhad sebagai penaja utama ABPBH 2010.

Pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 2010 bakal membawa pulang kereta Nissan Teana 2.0 bernilai RM133,400 dan aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik daripada Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000.

Sementara itu, pembaca bertuah pula akan membawa pulang hadiah utama iaitu kereta Grand Livina 1.6(A) berharga RM88,600 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Bertemakan Moden Klasik, ABPBH 2010 menggandingkan Raja Azura, Sharifah Shahirah dan Zizan sebagai pengacara, manakala segmen persembahan pula diserikan nama popular seperti Alyah, Anuar Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Hujan, Ella, Ning Baizura, Yuna dan Azlan & The Typewriter.

Antara penyampai trofi ialah Aida Aris, Aida Khalida, Anita Sarawak, Ashraf Muslim, Dynas Mokhtar, Faizal Tahir, Fasha Sandha, Fizz Fairuz, Natasha Hudson, Rita Rudaini dan Sharnaaz Ahmad.

Berita Harian

26
Aug

NSTP Buka Gerai Meriah Sambutan

Nasional
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
NSTP buka gerai meriah sambutan

2010/05/29
KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) tidak melepaskan peluang membuka gerai di Festival Belia ‘Youth 10’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, mulai semalam sehingga 30 Mei ini.

Pengurus Jenama dan Tajaan NSTP, A Padmanathan, berkata NSTP menggabungkan akhbar New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro dan U-phoria di bawah satu bumbung gerai pada Festival Belia ‘Youth 10’ itu.
“Penggabungan akhbar NSTP dalam satu gerai ini menjadikan aktiviti lebih mudah dikendalikan dan kita boleh mendapat lebih ruang bagi menjalankan aktiviti bersama peserta.
“Semua aktiviti diuruskan oleh enam wartawan U-phoria dan mereka bertindak sebagai daya penarik supaya orang ramai datang ke gerai NSTP,” katanya ketika ditemui, semalam.

Padmanathan berkata, gerai NSTP turut menarik minat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza yang meluangkan masa di gerai terbabit.

Seorang pengunjung, El Sie Yeu, 22, dari Bintulu, Sarawak, berkata gerai NSTP menarik dan mempunyai aktiviti menghiburkan.

“Saya menyukai sudut pidato di gerai ini kerana saya boleh menyuarakan pandangan dan berpeluang merakamkan pidato saya melalui kamera yang disediakan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Chai Wan Ni, 20, dari Johor Bahru berkata aktiviti di gerai NSTP berjaya menarik minat remaja dan berasa seronok dengan hadiah yang ditawarkan.

“Kuiz dianjurkan di gerai NSTP agak mencabar minda, tetapi berbaloi kerana ganjaran wang yang ditawarkan,” katanya.

Berita Harian

25
Aug

Enggan Terburu-Buru

Hip
Cetak Artikel Cetak .
E-mel Rakan Emel Rakan .
Enggan terburu-buru
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2011/08/26
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Tolak tawaran filem demi timba pengalaman berlakon

SEBELUM wanita cantik ini muncul di kaca televisyen, beraksi dalam drama Suria Di Cordoba dan Ramadan Terakhir, dia sebenarnya terlebih dulu menarik perhatian produser filem.
Bagaimanapun, enggan terburu-buru mengejar nama, pemilik nama Anzalna Nasir ini secara baik menolak lamaran yang datang. Bukan mengetepikan rezeki atau tidak mahu bergelar bintang filem, namun keyakinannya untuk muncul di layar lebar ketika itu belum benar-benar bersarang di jiwa. Seboleh-bolehnya dia ingin menimba pengalaman berlakon drama TV terlebih dulu.
Saya tidak mahu penampilan sulung dalam filem menerima kutukan apabila filem itu ditayangkan nanti. Begitu juga saya tidak suka menyusahkan pengarah dan kru di lokasi, kalau lakonan saya asyik tidak menjadi. – Anzalna Nasir, Pelakon.
Anzalna sendiri sedikit pun tidak menyesal apabila menolak tawaran berlakon filem.

“Saya nak cari menimba pengalaman dan belajar serba-sedikit mengenai lakonan. Saya tidak mahu penampilan sulung di filem menerima kutukan apabila filem itu ditayangkan nanti. Begitu juga saya tidak suka menyusahkan pengarah dan kru di lokasi, kalau lakonan saya asyik tidak menjadi. Apa pula kata mereka kalau untuk satu adegan saja, mereka terpaksa mengulanginya sampai berpuluh-puluh kali?

“Jadi, biarlah saya pungut pengalaman menerusi lakonan di TV dulu. Lagipun saya berasakan, tiada apa yang perlu saya kejar dan buat apalah hendak terburu-buru? Saya percaya, kalau ada rezeki, pasti ada tawaran lain yang datang selepas ini,”?kata bakat baru ini.

Mungkin kini namanya semakin meniti bibir peminat dan penerbit, namun tidak lama dulu empunya diri tidak pernah terfikir untuk menjadikan lakonan sebagai karier. Apatah lagi apabila minat asalnya lebih kepada nyanyian.

Menurutnya, dia memang menjangkakan peluang untuk melangkah ke dunia seni pasti ada. Begitupun, dia tidak menyangka, ruang dihulurkan itu lebih terarah kepada lakonan.

“Jadi, apabila saya mula-mula berlakon dulu, saya dapat rasakan aksi saya di depan kamera agak kaku. Namun, menerusi penampilan kedua dalam Ramadan Terakhir, lakonan saya mula mendapat maklum balas yang positif.

“Sejak itu, saya berazam untuk mempertingkatkan keupayaan diri. Kalau diizinkan, saya juga teringin mengikuti kelas lakonan. Namun buat waktu ini, saya banyak belajar di lokasi, serta daripada pemerhatian yang dilakukan terhadap lakonan bintang lebih berpengalaman lain.

“Sewaktu awal-awal dulu, saya banyak juga belajar daripada Adi Putra, yang berlakon bersama-sama dalam Suria Di Cordoba. Dia tidak lokek memberikan petua bagaimana untuk menghayati watak dan menguasai dialog. Kini, bersama drama terbaru, lebih banyak lagi ilmu yang saya pelajari,” ujar Anzalna yang meminati pelakon Nazim Othman dan Fauziah Nawi.

Katanya lagi, sebelum bergelar pelakon, dia sebenarnya bukanlah kaki wayang, apatah lagi untuk melekat berjam-jam menonton drama bersiri di TV.

“Bahkan, saya pernah ditarik telinga apabila tertidur dalam pawagam, tidak lama selepas filem diputarkan,” katanya sambil ketawa kecil.

Namun kini, dia berasakan dirinya perlu untuk lebih kerap menonton persembahan pelakon lain, demi memantapkan lagi kemahiran diri.

Menangis kerana adik saudara

ADA pengorbanan perlu dilakukan wanita ini apabila berhasrat menjadikan lakonan sebagai periuk nasi. Percintaannya jejaka terputus dek wujudnya percanggahan antara mereka, apabila dia memilih untuk menjadi anak seni.

“Sedangkan, dialah yang banyak menggalakkan saya untuk menyertai Dewi Remaja tidak lama dulu. Namun, apabila tawaran berlakon tiba, dia kurang bersetuju untuk saya bergelar pelakon. Jadi, demi kebaikan masing-masing, kami mengambil keputusan bawa haluan sendiri,” katanya yang kini mengaku belum mempunyai pengganti.

Bagi Anzalna, tawaran yang dihulurkan penerbit tentu sekali peluang terbaiknya untuk mencari rezeki. Ditambah minat yang kian bercambah, maka dia beranggapan amat merugikan sekali jika peluang itu ditolak ke tepi.

“Jauh di sudut hati, saya memang ingin mengumpul wang, bukan saja untuk masa depan sendiri, tetapi juga demi membantu adik saudara saya yang menghidap penyakit buah pinggang. Sudah lama saya memasang impian untuk membantunya, apatah lagi dia sendiri bukanlah daripada keluarga yang berada.

“Malah, dia jugalah yang saya kenangkan, ketika dikehendaki melakonkan babak menangis dalam Ramadhan Terakhir. Jika tidak kerana adik saudara saya itu, belum tentu saya dapat menjiwai babak sedih dalam drama arahan Ungku Ismail Aziz ini,” katanya yang mempunyai Diploma dalam pengajian bahasa dari sebuah kolej di Tasmania, Australia.

Menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idolanya dalam dunia nyanyian, Anzalna yang pernah dibesarkan di Kanada bercerita, dalam drama bersiri yang menghiasi slot Samarinda itu, dia berlakon sebagai Rossa, kekasih kepada Daniel (lakonan Aeril Zafril). Sebagai Rossa, dia perlu menjadi wanita yang sanggup berbuat apa demi kekasih.

Selain dirinya, turut berlakon dalam drama itu ialah Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud, Tasha Shilla, Jaslin Puasa dan Eyka Farhana.

INFO: Nur Anzalna Nasir
Tarikh lahir: Januari 1988
Asal: Pulau Pinang
Profesion: Pelakon
Drama: Suria Di Cordoba, Ramadhan Terakhir
Hobi: Menyanyi, melancong.

Berita Harian