Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

SHERRYN nekad berundur diri dari kelab malam untuk menjadi artis rakaman.
Harapan tinggi kepada album sulung yang mendapat sentuhan Fauzi Marzuki
PENGALAMAN yang ditimba ketika bergelar penyanyi lounge hotel memang sangat manis untuk di kenangkan.
Itulah kata bakat baru yang bakal mewarnai pentas hiburan tanah air, Sherryn Azhari atau nama sebenarnya Aziatulshima Ahmad Azhari. Dia berasakan dirinya beruntung kerana pengalaman lalu banyak mematangkan dirinya untuk berada dalam arena muzik tanah air ke peringkat yang lebih tinggi.
Biarpun pernah mengikuti kombo RTM dan membuat beberapa persembahan untuk RTM, namun hingga kini dia tidak sesekali berasakan dirinya bertuah jika dibandingkan dengan penyanyi yang baru ingin mengenali dunia seni ini.
Menurutnya, sudah hampir lima tahun dia mendekatkan diri dengan dunia sebenar hiburan ini.
“Saya mula aktif dalam bidang nyanyian ini sebaik saja menamatkan persekolahan, namun sekadar menyanyi di majlis-majlis kecil saja.
“Selepas berpindah ke Kuala Lumpur, saya mendapat tawaran menyanyi di Modestos, Jalan P.Ramlee ketika berumur 20 tahun.
“Bermula dari situlah saya dapat merasai suasana dunia hiburan sebenar apabila tugas saya bukan saja menghiburkan tetamu tetapi juga belajar mengenali tetamu yang hadir dari pelbagai peringkat usia dan bangsa,” katanya.
Sherry mengakui dirinya masih lemah dalam bidang ini namun disebabkan semangat dan tidak mahu menunggu peluang hadir, dia nekad berundur diri dari menyanyi di kelab untuk meneruskan cita-citanya sebagai artis rakaman.
“Sepanjang setahun lalu lagi saya sudah tidak bekerja di kelab malam dan menumpukan sepenuh perhatian saya dalam menghasilkan lagu untuk album pertama saya ini.
“Album yang diberi nama Keretapi Laju ini akhirnya siap pada Disember tahun lalu dan saya sangat berpuas hati dengan usaha pengorbanan selama ini.
“Saya sangat berharap album yang berkonsep pop rock ini mendapat tempat di hati pendengar yang meminati genre ini. Memang genre ini sangat kurang dinyanyikan oleh penyanyi wanita dan sebab itulah saya menjadikan ia sebagai kenyataan,” katanya.
Sepanjang setahun lalu, anak kelahiran Seberang Prai, Pulau Pinang ini bukan saja menumpukan perhatiannya di dalam nyanyian namun terpaksa mengurus syarikat rakamannya sendiri iaitu Sheryn Entertainment yang baru beroperasi tahun lalu.
“Ini adalah salah satu lagi tanggungjawab yang saya lakukan untuk diri saya apabila mengeluarkan sendiri duit simpanan untuk menubuhkan syarikat ini.
“Dengan penubuhan syarikat rakaman ini lebih mudah untuk saya menghasilkan lagu sendiri selain ingin membuka peluang kepada artis yang baru ingin mendekati dunia seni.
“Saya mahu produk pertama keluaran syarikat saya ini datangnya dari saya sendiri sebagai pembakar semangat untuk terus dalam bidang ini,” katanya.
Album Keretapi Laju ini diterbitkan oleh empat komposer berpengalaman seperti Fauzi Marzuki, Aminuddin, Opie Bloodsed dan Zali Ghazi. Ia juga akan dipasarkan oleh syarikat Insistech Musicland Sdn Bhd.
Sebanyak 10 lagu seperti Keretapi Laju, Impian Yang Nyata, Kau Dan Aku, Bercinta Semula, Ku Rasa Cinta, Tak Mahu Tahu, Waktu Itu, Cinta Semalam, Sendiri Bersama Diriku dan Andai. Album yang kini sudah berada di pasaran sejak 26 Disember tahun.
PROFIL: Sherryn Azhari
Nama Sebenar: Aziatulshima Ahmad Azhari
Tarikh Lahir: 12 Januari 1984
Umur: 25 tahun
Asal: Seberang Prai, Pulau Pinang
Adik-Beradik: Anak ke-3 daripada 5 beradik.
Bintang: Capricorn
Muzik yang diminati: Pop Rock, R&B, Dangdut dan Balada
Penyanyi Idola: Datuk Siti Nurhaliza
Berita Harian