Misi Aswara Lahirkan Artis Berilmu



Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
bhnews@bharian.com.my


MUSTAPA (kiri) beramah mesra bersama Omar (kanan) dan Habsah (dua dari kanan) ketika melawat di NSTP, kelmarin.

Akademi Seni Budaya dan Warisan hargai akhbar kumpulan NSTP beri liputan luas aktiviti mereka

AKADEMI Seni, Budaya dan Warisan (Aswara) akan terus dengan misinya untuk melahirkan penggiat dalam pelbagai bidang seni yang berpendidikan tinggi kerana ia bukan saja mengangkat kedudukan seseorang individu itu sendiri tetapi juga dalam setiap kegiatan kebudayaan dan kesenian keseluruhannya.

Sehubungan itu, pengambilan tahunan pelajar baru untuk institusi pengajian ini lebih menitik beratkan kemahiran asas sekurang-kurangnya dalam bidang yang mereka ingin ceburi.

Rektornya, Datuk Omar Awang berkata, kriteria pengambilan pelajar baru Aswara biasanya dinilai daripada 60 peratus kemahiran dalam setiap bidang yang mereka ambil, manakala 40 peratus lagi daripada kelayakan akademi yang mereka miliki.

“Kalau seseorang pelajar itu mahu mengikuti pengajian vokal, dia bukan saja mempunyai bakat dan kelayakan asas untuk menyanyi tetapi juga mesti ada kebolehan lain seperti bermain alat muzik. Begitu juga bagi pemuzik. Seseorang bakal pelajar mesti ada kebolehan asas untuk bermain sekurang-kurangnya dua alat muzik,” katanya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan, Aswara berbangga kerana melahirkan anak seni yang berjaya dalam bidang masing-masing. Antaranya ialah Juhara Ayub dalam bidang teater, Siti Jasmina Ibrahim (penulisan novel dan skrip), Namron dan Zul Huzaimy (filem). Adlin Aman Ramli dan Pierre Andre juga antara bekas penuntut Aswara.

Omar berkata memasuki tahun kedua selepas diiktiraf sebagai institusi bertaraf universiti, Aswara kini mula gigih mengorak langkah untuk menghasilkan anak seni bertaraf dunia.

Katanya, gelaran anak seni berkelas dunia bukan hanya tertumpu kepada bakat dalam memberikan hiburan kepada masyarakat semata-mata, tetapi ia juga merangkumi kepada aspek pengetahuan dan daya pemikiran intelektual yang kritis dan dinamik.

Aswara yang kini mempunyai seramai 700 pelajar berminat menjalinkan kerjasama dengan NSTP dengan membuka peluang berkenaan kepada kakitangan syarikat ini yang ingin menyertainya.

Terdahulu Omar bersama 16 kakitangannya daripada bahagian pengurusan dan tenaga pengajar Aswara mengadakan lawatan ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP). Antara yang menyertai rombongan Aswara ini ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Penyelidikan, Habsah Mohd Noordin; Dekan Muzik, Ayob Ibrahim dan Pensyarah Fakulti Penulisan, Zakaria Ariffin.

Dalam kunjungan ini, beliau bersama kakitangannya diberikan penerangan dan penjelasan daripada Penolong Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mustapha Omar dan Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian, Mahfar Ali mengenai bagaimana akhbar dalam kumpulan NSTP seperti Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST) memainkan peranan dalam memberikan publisiti terhadap segala bidang seni, termasuk aktiviti yang dianjurkan oleh Aswara.

Turut hadir dalam dialog ringkas ini ialah Pengarang Eksekutif (Rencana), Zainuddin Ayip; Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah; Pengarang Sastera, Salbiah Ani; Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri.

Mengulas lawatan dan sesi dialog ini, Omar berkata, pihaknya gembira dan kagum dengan kunjungan ini yang disifatkan sedikit sebanyak dapat membantu mereka memahami kehendak dan keperluan satu sama lain selain mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin.

“Kami begitu gembira. Apatah lagi lawatan ini amat bermakna sekali. Kami memang sangat menghargai peranan yang dimainkan oleh pihak media terutama Berita Harian dan Harian Metro kerana banyak memberi liputan yang meluas kepada aktiviti Aswara dan saya dapati banyak perkara yang dapat dilakukan pada masa hadapan hasil dialog yang diadakan,” katanya.

Omar berkata, bagi mengeratkan lagi hubungan antara akhbar kumpulan NSTP dan Aswara, pihaknya juga berminat menyalurkan kepakaran yang mereka miliki untuk mengadakan kursus jangka masa pendek yang bersesuaian dengan keperluan kakitangan, terutama kepada wartawan berkaitan.

“Dengan mempunyai kepakaran dalam bidang seperti muzik, seni tari, teater, penulisan, filem dan video, warisan dan yang terbaru, seni halus, kami percaya kursus berkenaan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak secara langsung,” katanya.

Selepas sesi dialog itu, Omar bersama anggota rombongannya dibawa ke Galeri NSTP untuk melihat pameran pameran lukisan Imuda & 40 Perempuan yang menampilkan beberapa potret lukisan artis terkenal tanah air dan luar negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Maya Karin, Allahyarham Puan Sri Saloma, Erra Fazira, Datuk Sarimah Ahmad, Azizah Ariffin, Nasha Aziz, Nora Danish, Rozita Che Wan dan Britney Spears.

Berita Harian

On 27th November2008

  Comments: 0 Read more


Leave a Reply