Majlis Hari Raya Yang Lalu…
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Seperti biasa Siti mendoakan agar anda semua berada dalam keadaan yang baik dan dikurniakan kebahagiaan selalu.
Rasanya masih belum terlambat untuk Siti mengucapkan terima kasih di atas kehadiran warga Sitizone yang berkesempatan datang berhari raya bersama-sama tempohari. Pertama sekali Siti minta maaf jika ianya diadakan agak tergesa-gesa memandangkan Siti memang ada urusan lain selepas tarikh itu. Namun kehadiran warga Sitizone hari itu amat menggembirakan Siti walaupun Siti difahamkan warga Sitizone yang lama tidak sempat mendaftar dan ada di antara mereka yang tidak mendapat undangan kerananya. Siti mohon maaf kerana majlis yang buat pertama kali diadakan ini adalah khusus untuk warga Sitizone yang mendaftar sahaja (pendaftaran di Sitizone baru).
InsyaAllah jika ada rezeki, di masa akan datang majlis seumpama ini boleh diadakan lagi. Siti berharap agar semua yang datang hari itu berpuas hati dengan majlis yang seadanya itu dan terhibur dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan. Cuma Siti perhatikan ada warga Sitizone yang malu-malu dan ada juga di antara mereka yang tidak mengambil bahagian tetapi hanya menyokong dari belakang. Selepas ini Siti berharap agar semua warga Sitizone akan bekerjasama, tidak hanya ada kelompok tertentu kerana laman ini dibuka khusus untuk merapatkan hubungan di antara kita semua.
Selepas mesej ini anda baca, Siti sudah sibuk dengan persediaan rakaman vokal. Sekarang ini muzik untuk album sudah siap dan Siti sudah bersedia ke studio. Doakan agar album ini akan dapat disiapkan dengan baik. Siti juga ada sasaran tertentu untuk album ini, besar harapan Siti agar Sitizone dan peminat semua dapat bekerjasama bagi memastikan album ini akan menjadi penanda aras industri muzik Malaysia terus berkembang.
Buat semua, semoga gembira dan bagi yang menduduki peperiksaan semoga berjaya. Kepada yang telahpun menduduki peperiksaan, doa Siti agar anda juga akan berjaya.
Sekian, salam mesra selalu.
Siti Nurhaliza