Terbaik Daripada Yang Popular
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bhariah.com.my

BARISAN nama yang bakal melakar sejarah pada malam Anugerah Skrin 2008.
Sebanyak 18 telefilem, 22 filem bertanding rebut 22 kategori pada Anugerah Skrin 2008 anjuran TV3
TANPA perlu membandingkan dengan Anugerah Emmy yang sudah melewati hampir enam dekad usia penganjuran, penggiat industri drama dan filem tempatan juga mampu berbangga dengan Anugerah Skrin yang diperkenalkan TV3 sejak 1995. Bertatih membina reputasi, Anugerah Skrin hari ini membesar, memperlihatkan proses evolusi yang mematangkan acara tahunan yang menobatkan penggiat drama dan filem tempatan.
Membawakan tema Berlian, Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008) sekali lagi membuktikan kesungguhan stesen televisyen swasta ulung itu untuk menyatakan terima kasih serta penghargaan mereka terhadap anak seni berjasa dalam memasyhurkan karya tempatan.
Buat kali keempat juga, penyertaan ASK 2008 turuti memperoleh kepercayaan jitu daripada stesen televisyen lain untuk sama menggembleng bahu dan menjayakan acara bersejarah dengan mempertandingkan produk siaran mereka.
Bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 7 November ini, jam 8.30 malam, ASK 2008 mempertandingkan 22 anugerah, berbanding 20 kategori tahun lalu meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman.
Seperkara yang menarik, ASK 2008 juga mengangkat kepercayaan terhadap watak pembantu yang turut memainkan peranan besar dalam sesebuah penerbitan dengan memperkenalkan dua kategori baru iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

GANDINGAN Adlin dan Nurul Syuhada melancarkan ASK 2008.
Umumnya, ASK 2008 menyaksikan sembilan kategori dikhususkan untuk drama, drama rantaian dan drama komedi, tujuh kategori filem dan enam kategori penerbitan dalaman. Penyertaan pula dipilih berdasarkan catatan jumlah penonton (rating) yang diraih berdasarkan kajian AGB Nielsen mengikut genre masing-masing daripada saluran membabitkan TV3, ntv9, 8TV, TV9, RTM dan Astro.
Ia menyaksikan 18 telefilem bertarung merebut Drama Terbaik, manakala Drama Rantaian Terbaik pula memperlihatkan 13 drama bersiri bertanding diikuti Drama Komedi Terbaik dengan lima pencalonan. Walaupun menerima hadiah terbaik, tetapi pencalonan awal berdasarkan populariti sesebuah drama iaitu mengikut rating tertinggi disenaraikan dalam anugerah ini.
Filem pula menyaksikan 22 produksi bertanding, berdasarkan tarikh tayangan bermula 1 Julai 2007 hingga 30 Jun 2008. Bagaimanapun, pada usia 13 tahun barangkali sudah matang sebuah acara berprestij seperti Anugerah Skrin, namun malangnya masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki untuk memastikan kredibiliti anugerah itu tidak dipersoalkan.
Jika jumlah tontonan menjadi ukuran untuk sesebuah produk membolosi senarai pencalonan, mampukah ASK 2008 mengangkat produk berkualiti tanpa berlaku prejudis terhadap karya lain yang barangkali lebih layak tetapi kurang mendapat perhatian khalayak?
Bercakap mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata, hanya pemilihan awal berdasarkan jumlah tontonan namun penjurian di peringkat akhir ditentukan oleh panel juri profesional. Tetapi, apakah wajar populariti dijadikan penanda aras untuk menentukan kualiti sesebuah produk?
Amrin berkata, selama 52 minggu bersiaran, panel juri berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk menilai semua drama yang disiarkan menerusi kesemua stesen terbabit.
Justeru, menyenarai pendek penyertaan berdasarkan jumlah tontonan mampu mengatasi masalah itu sekali gus memberikan juri profesional masa yang cukup untuk mengadili semua produk yang dipertandingkan.
Jalan pintas yang mungkin memberi kemudahan dari segi penjurian tetapi mampukah cara itu memutik keyakinan kepada penerbit untuk memartabat ASK sebagai acara yang punya kredibiliti?
Antara populariti dan kualiti, ASK 2008 dilihat tidak lebih sekadar meneruskan kelangsungan penganjuran tanpa memberi keadilan kepada semua penerbitan yang layak untuk dipertandingkan.
Logiknya, dalam seminggu hanya berapa drama disiarkan menerusi semua saluran televisyen. Apakah jumlah kecil itu tidak mampu dinilai secara berperingkat oleh penganjur hingga mendesak mereka menunggu saat akhir untuk mengadili kesemuanya? Mengapa tidak proses penilaian dilakukan dari awal kerana ASK juga menetapkan tarikh siaran tertentu untuk sesebuah drama layak dipertandingkan?
Turut menjadi persoalan, mengapa perlu merujuk kepada stesen televisyen untuk mendapatkan pencalonan sedangkan pihak yang sepatutnya menyerahkan penyertaan adalah penerbit?
Bukan mahu membandingkan Anugerah Emmy yang jauh lebih berpengalaman namun apa salahnya ASK 2008 mengambil formula yang diamalkan acara itu lalu dimanfaatkan untuk membantu mempertingkatkan industri drama tempatan.
Rasanya itu lebih memberi keadilan jika TV3 serius mahu memacu kualiti penerbitan drama tempatan dan menggalakkan penerbit untuk tampil dengan produk lebih hebat dan membanggakan nama Malaysia.
Ukuran penerimaan khalayak juga tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk menilai kualiti kerana antara mutu dan populariti, ada garis besar yang memisahkan dua aspek itu.
Disukai khalayak tidak bermakna program itu berkualiti kerana ia disokong pelbagai faktor lain termasuk siri promosi berkesan yang hanya dijalankan oleh sesetengah saluran televisyen dan penerbit.
Bagaimana nasib penerbit yang menghasilkan drama yang baik tetapi tidak diendahkan khalayak kerana kurang diberikan promosi hingga langsung tidak disedari kemunculannya? Siapa yang seharusnya membela mereka? Apakah mereka tidak layak menyertai ASK hanya kerana kurang jumlah penonton?
ASK 2008 menetapkan kriteria seperti plot dan garapan skrip, kekuatan dialog, bahasa dan gaya serta
penafsiran dan penghayatan watak, pembawaan dan peranan pelbagai watak sebagai antara aspek utama
menentukan pemenang bagi setiap kategori membabitkan drama, filem dan penerbitan dalaman.
Aspek lain yang turut diperhatikan adalah pengarahan dan lakonan, watak serta kesan lakonan, videografi dan penyuntingan teknik visual, teknikal membabitkan bunyi, penata cahaya dan kesan khas selain kreativiti lakonan iaitu keberkesanan dan konsistensi dalam lakonan.
Ketika penggiat filem dan drama menaruh kepercayaan industri ini akan terus berkembang, ASK 2008 bagaimanapun, masih belum yakin untuk mempertandingkan aspek teknikal yang turut memainkan peranan penting dalam sesebuah produksi.
Lalu apa yang ada pada ASK 2008 hanya kategori yang mengangkat martabat pelakon dan pengarah manakala kekuatan keseluruhan produksi terpaksa dikongsi semua menerusi kategori Drama/Filem Terbaik dan Lakon TV/Lakon Layar Terbaik Filem.
Di mana peranan mereka yang berada di balik tabir? Mengulas mengenai hal ini, Amrin berkata, industri penerbitan drama dan filem tempatan masih kecil menyebabkan kita tidak mempunyai cukup kepakaran untuk menilai aspek itu.
Bagaimanapun, katanya, mereka yakin dalam tempoh lima tahun akan datang ASK akan berkembang dan penilaian yang dibuat juga lebih mendalam mencakupi pelbagai aspek teknikal.
Sudah tiba masanya ASK mengalami anjakan, membawa anugerah itu ke satu tahap baru dan membuktikan kita juga mampu melakukan sesuatu yang membanggakan dengan cara sendiri.
ASK 2008 menyaksikan gandingan Nurul Syuhada dan Adlin Aman Ramli sebagai pengacara majlis, selain disajikan persembahan hiburan daripada Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Lah, Noryn Aziz dan Nikki.
INFO: Kategori dipertandingkan pada ASK 2008
Drama, Drama Rantaian dan Drama Komedi:
Drama Terbaik Pelakon Lelaki Terbaik Pelakon Wanita Terbaik Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Pengarah Terbaik Lakon TV Terbaik Drama Rantaian Terbaik Drama Komedi Terbaik
Filem:
Filem Terbaik Pelakon Lelaki Terbaik Pelakon Wanita Terbaik Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Pengarah Terbaik Lakon Layar Terbaik
Penerbitan Dalaman:
Dokumentari/Majalah Terbaik Rancangan Bual Bicara Terbaik Rancangan Muzik Terbaik Rancangan Hiburan Terbaik Rancangan Realiti Terbaik Rancangan Laporan Khas/Berita Terbaik
Calon Drama ASK 2008
Kehangatan Lantana (Neon Entertainment Sdn Bhd/TV3) Ihsan (Layar Consult Sdn Bhd/TV3) Tuhan Pun Tahu (JS Pictures Sdn Bhd/TV3) Cinta Si Rempit (Sonata Films Sdn Bhd/TV3) Suara Saleha (Pena Creative Sdn Bhd/TV3) Cari (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd) Pulanglah Di Aidilfitri (Suar Channel Sdn Bhd/RTM1) Nasi Lemak Lebaran (Kirawang Sdn Bhd/RTM1) Kebun Pisang Tok Mudim (Sketch Seven Sdn Bhd/RTM2) Calon Madu (Tas Sdn Bhd/RTM2) Wasiat Fitrah (Unit Drama TV RTM/RTM2) Raya Sedondon (Pena Creative Sdn Bhd/TV9) Abang! Mak Panggil Balik (Radius One Sdn Bhd/TV9) Relung Kasih (Grand Brilliance Sdn Bhd/TV9) Aku Bukan Buaya (Grand Brilliance Sdn Bhd/ntv7) Jangan Lupa (Phosumpro Sdn Bhd/ntv7) Hang 2 (Big Star Acts Sdn Bhd/Ria) Kembalikan Amanda (Helle Pictures Sdn Bhd/Ria)
Drama Rantaian:
Jelatang (Asia Media Content Sdn Bhd/TV3) Iris (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd/TV3) Manjalara (Juita Viden/Filmscape Sdn Bhd/ TV3) Bella (Grand Brilliance Sdn Bhd/TV3) Takdir Yang Terindah (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd/RTM1) Bicara Aur Dengan Tebing (Teniview (M) Sdn Bhd/RTM1) Tangisan Bulan Madu (Asia Media Content Sdn Bhd/RTM2) Bilik No 13 (Manjafilms Sdn Bhd/RTM2) Akademi Polis (ME Comm Sdn Bhd/TV9) Pendekar Lima (Ace Motion Pictures Sdn Bhd/TV9) Elly (Asia Media Content Sdn Bhd/ntv7) Ghost (Popiah Pictures/8TV) Jangan Main Belakan (MIG Production Sdn Bhd/Ria)
Drama Komedi:
Mr Mama (Radius One Sdn Bhd/TV3) Bujang Antik (Radius One Sdn Bhd/RTM1) Pak Pandir Moden (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd/TV9) Gaia (Karya Prima Sdn Bhd/Ria) Di Bawah Ketiak Isteri (Nusantara Seni Karya Sdn Bhd/Prima)
Berita Harian
bravo and best of luck to all!!!