Serambi Pak Engku Tumpuan Artis
Oleh Razif Rosdi
Foto oleh Bijantora
Selepas terbabit dalam penyediaan makanan majlis perkahwinan Dato’ Siti Nurhaliza bersama Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, nama Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku yang menguruskan Kuzie Catering ini semakin menjadi pilihan golongan selebriti untuk menempah makanan untuk apa jua majlis.
Pak Engku yang juga dikenali sebagai Chef Selebriti ini pernah terlibat dengan Konsert Seroja Mawi selain bertanggungjawab menyediakan santapan untuk perkahwinan Ning Baizura bersama Omar Sharif dalam suasana kampung Melayu.
Terbaru, Pak Engku terlibat dengan menjadi penaja utama bagi program Teratak Siti Nurhaliza yang rakamannya dibuat pada 12 Ogos lalu.
Apapun, baru-baru ini, bertempat di Tingkat 4, Wisma PKPS, Shah Alam, Pak Engku yang popular dengan hidangan masakan Melayu telah mengadakan majlis berbuka puasa di Serambi Pak Engku.
Apa yang pasti, majlis yang diadakan pada hari itu sinonim dengan perkahwinan Ning Baizura. Bagaimanapun, daya tarikan Pak Engku sudah tentu masakan Melayu yang membuatkan semua orang mahu tambah banyak kali.
“Istimewanya, kami banyak menyediakan masakan tradisional seperti Kuih Lopes, Apam Balik, Gulai Daging Kawah, Laksa Sabak Bernam dan Mee Rebus Kuala Langat,” ujar Pak Engku.
Lebih 500 tetamu yang hadir termasuklah selebriti popular seperti Nabil Raja Lawak, Raja Azura, Haziq, Farhan, Jefry Din, Jaafar Onn, Rohana Jalil, Maya, Azlee Senario, Nash dan ramai lagi.
Pada majlis tersebut, Pak Engku turut menghulurkan duit raya kepada 34 anak yatim dari Yayasan Al-Ijabah, Subang Jaya, Selangor. Murah rezeki Pak Engku.
Murai
Cucu Wahid Satay
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Hyra
Hyra tinggalkan kerjaya pramugari demi cinta pada seni
DI antara 15 cucu pelakon veteran Wahid Satay, hanya Mahirah Mohd Yasin atau mahu dikenali sebagai Hyra yang menyambung legasi datuknya dalam bidang seni. Disebabkan cintanya pada dunia seni, gadis berusia 23 tahun itu sanggup meninggalkan kerjaya selesa sebagai pramugari di Silkair hanya kerana ingin memberi tumpuan pada bidang nyanyian.
Hyra berkhidmat di awan biru selama dua tahun iaitu dari 2004 hingga 2006. Bagaimanapun kerana sukar membahagikan waktu antara kerjaya seni dan tugas sebagai pramugari, dia mengambil keputusan nekad meninggalkan terus kerjaya berkenaan.
Namun sebelum itu, Hyra berbincang dengan keluarga terlebih dulu sebelum keputusan dicapai. Keluarga juga tidak menghalang, malah mereka memberikan sokongan sepenuhnya ke atas keputusan dibuat. Gadis berperwatakan lemah lembut dan memilik wajah iras Datuk Siti Nurhaliza Tarudin itu percaya rezeki berada di mana-mana meskipun belum mengetahui untung nasib dalam dunia muzik.
Kerjaya sebagai penyanyi bermula apabila dia diintai syarikat Bio Music Production yang tertarik dengannya ketika membuat persembahan pembukaan Konsert Siti Nurhaliza yang diadakan di Stadium Tertutup Singapura pada 2005. Sebelum itu, anak kedua daripada tiga beradik itu banyak menyertai pertandingan nyanyian dan dua kali memenangi pertandingan Tiru Gaya Siti iaitu pada 2003 dan 2005.
“Rezeki di tangan Tuhan. Saya percaya kalau ada rezeki tak ke mana. Sebelum keputusan ini dicapai, saya sudah fikir semasak-masaknya. Saya berserah saja semuanya pada Allah.

WARISI BAKAT: Hyra bersama Wahid Satay pada Festival Filem Malaysia ke-21 di Putrajaya.
“Tujuan saya menceburi bidang seni untuk memperjuangkan industri muzik Melayu. Kejayaan rakan senegara seperti Imran Ajmain dan Taufik Batisah memberi keyakinan untuk saya mencuba nasib dalam bidang ini,” katanya.
Sebagai penyanyi baru, kehadiran album sulung cukup dinantikan gadis manis ini. Album sulung Hyra memuatkan 10 lagu berkonsepkan moden pop etnik. Biarpun masih baru, Hyra turut menyumbangkan sebuah lagu dan lirik. Lagu yang mendapat sentuhan Mahira ialah Aku, Teman dan Kasihku. Tidak ketinggalan datuknya Wahid Satay turut menyumbangkan lirik lagu Hampa Diri Ku yang mengisahkan mengenai dirinya yang kehilangan ibu.
“Semua lirik yang membabitkan saya ditulis secara spontan. Saya tidak ada pengalaman dalam bidang penulisan tetapi minat untuk menulis lirik. Alhamdulillah saya juga mendapat tunjuk ajar daripada pihak produksi.
“Lirik Aku adalah mengenai kisah hidup seseorang yang ada prinsip tersendiri. Lagu itu ada sedikit kena mengena dengan diri saya,” katanya yang turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan.
Hyra mula berlakon pada 2003 dalam sebuah drama bersiri berjudul Dua Wajah serta Hadirnya Ramadan. Dia juga pernah bergandingan dengan datuknya dalam program Warna Ramadan. Hyra juga mewarisi bakat datuknya apabila terbabit dalam drama komedi Salam Lebaran.
Oleh kerana memiliki wajah seiras Siti Nurhaliza, Hyra diberi peranan sebagai Siti Nurhaliza dalam drama komedi bersiri Kelakarsi Episode 6 Mat Jenin.
“Walaupun Singapura hanyalah sebuah negara yang kecil, begitu juga dengan industri muzik di sana tetapi mujur rezeki untuk saya tidak putus. Di Singapura jika ada seberang persembahan, penganjur selalunya akan undang saya. Jadi saya tidak berdepan masalah apabila memilih kerjaya nyanyian,” katanya.
Profil:
Nama Sebenar: Mahirah Mohd Yasin Tarik Lahir: 8 Mac 1985 Bintang: Pieces Adik Beradik: Dua dari tiga beradik
Berita Harian
Debaran Protege Siti Nurhaliza
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

ARTIS-artis SNP Saida (tiga dari kiri), Sairah (empat dari kanan) dan kumpulan Coda bersama tunggak utama SNP, Siti Nurhaliza (empat dari kiri).
DALAM sibuk menjalani ibadah puasa dan menguruskan persiapan hari raya, tiga artis baru yang bernaung di bawah syarikat rakaman Siti Nurhaliza Productions (SNP) iaitu Saida, Sairah dan kumpulan Coda sememangnya tidak senang duduk menanti ketibaan Syawal yang bakal diraikan awal Oktober ini.
Seperti Sairah yang terlebih dahulu merasai nikmat berhari raya sebagai anak seni sejak empat tahun lalu, kini perasaan yang sama turut dirasai oleh kakaknya Saida dan juga ahli kumpulan Coda.
Aidilfitri kali ini bagaikan membuka ruang kepada mereka untuk mendekati peminat kerana inilah kali pertama mereka berpeluang menghiburkan para peminat pada majlis-majlis berbuka puasa dan program-program hari raya sebagai artis SNP.
Ketiga-tiga mereka kini telah pun muncul dengan produk terbaru. Saida baru sahaja lahir dengan single pertama berjudul Sedalamnya Cinta ciptaan Sharon Paul manakala lirik oleh PSNN.
Ketika dihubungi baru-baru ini, menurut Saida singlenya yang berkonsepkan pop balada itu telah pun diputarkan di corong-corong radio sejak sebulan lalu.
Menanti reaksi peminat terhadap single pertamanya tentulah tidak semudah yang disangka, kata bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu: “Tentunya bermacam-macam perasaan yang saya lalui, mana tidaknya inilah pertama kali saya menyanyikan lagu sendiri sebab selalunya nyanyi lagu orang.
“Dalam menanti penerimaan peminat bermacam perasaan yang timbul takut ada, berdebar pun ada. Bagaimanapun, setakat ini, penerimaan peminat semuanya baik. Alhamdulillah,” kata Saida yang bakal menyambut Syawal dirumah mertuanya di Teluk Intan, Perak.
Menurut empunya nama Siti Norsaida Tarudin, 32, ini lagi, selain sibuk dengan aktiviti-aktiviti promosi singlenya oleh SNP, dia juga terlibat dengan pelbagai program Ramadan seperti Maxis Tour dan Marhaban anjuran Astro yang dijadualkan oleh Maestro Records.
Sairah pula yang kini popular dengan lagu Hero Wayang bakal muncul dengan single keduanya yang dicipta oleh Sharon Paul dan lirik oleh PSNN iaitu Akhir Cinta.
Menurut Sairah, lagu ciptaannya Hero Wayang yang liriknya ditulis oleh Allahyarham Loloq bukan sahaja sedang hangat diputarkan di corong radio tempatan tetapi juga di corong radio Singapura.
Ternyata, pengalaman mengikuti kakaknya, Datuk Siti Nurhaliza dalam menjayakan banyak persembahan pentas memberikan kelebihan kepada Sairah dalam menimba pengalaman.
Malah, bekas peserta One In A Million (OIAM) musim pertama itu kini semakin berkeyakinan muncul sebagai artis rakaman SNP dan membuat persembahan pentas sejak Mei lalu.
Ramadan ini, Sairah bakal ke set pengambaran klip video single pertamanya, Hero Wayang sebagai usaha mempromosikan lagu tersebut selepas hari raya nanti.
Bercerita tentang sambutan Syawal, kata Sairah, seperti biasa dia bakal pulang berhari-raya di rumah keluarganya di Kuala Lipis, Pahang.
Jika Saida dan Sairah berdebar menanti reaksi peminat terhadap single mereka, kumpulan Coda pula pastinya lebih berdebar menanti maklum balas terhadap album pertama yang bakal dipasarkan selepas hari raya nanti.
“Tentu sekali kami berdebar dengan reaksi peminat terhadap album pertama kami yang bakal dipasarkan selepas hari raya nanti.
“Takut juga dengan penilaian peminat terhadap lagu-lagu dalam album kami nanti.
“Kami telah buat yang terbaik, terpulanglah kepada penilaian peminat nanti,” kata vokalis Coda, Fahimie.
Menurut Fahimie, album yang telah siap lebih 90 peratus itu memuatkan 10 buah lagu termasuk single Buai dan Lebih Dari Cinta.
Enam lagu yang terkandung dalam album tersebut merupakan ciptaan anggota Coda sendiri. Manakala empat lagu lagi adalah ciptaan komposer yang tidak asing lagi antaranya Tam, Spider dan Aidit Alfian.
Lagu Buai pernah dinyanyikan oleh Coda ketika muncul dalam rancangan Zoom In Bersama Siti Nurhaliza di RTM tidak lama dahulu.
Kumpulan yang dianggotai oleh empat lagi anggota iaitu Akir (gitar utama), Jasher (bass), Freddy (gitar) dan Ejam (dram) itu telah bernaung di bawah SNP sejak pertengahan tahun lalu.
Bercerita tentang raya, tahun ini anggota kumpulan Coda bakal berhari raya di kampung masing-masing di sekitar Johor dan Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia
Siti Ke Umrah Dibayangi Gosip Dimadu
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, berlepas ke tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah Ramadan kelmarin.
Beliau ditemani suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, anak tiri bongsunya, ibu mentua, kakak ipar dan seorang teman.
Sudah lima kali Siti Nurhaliza menunaikan umrah Ramadan di tanah suci Makkah. Tarikannya begitu kuat sejak beliau menunai umrah Ramadan pertama kali beberapa tahun dulu.
‘Sukar Siti jelaskan. Mereka yang pernah merasai pengalaman berpuasa di sana tentu lebih faham.
‘Siti amat seronok di sana bersama umat Islam lain, berpusu-pusu ke masjid tatkala azan berkumandang,’ kata beliau seperti ditukil akhbar Metro Ahad.
‘Indahnya pengalaman itu sukar digambarkan!’ kata Siti Nurhaliza kepada pemberita sehari sebelum bertolak ke Madinah.
Menurut Siti, beliau mahu merebut keberkatan Ramadan Al-Mubarak dan kelebihan bersolat dan bertarawih di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Beliau akan berada di sana cuma 10 hari dan selebihnya menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Malaysia.
Namun, pemergian beliau kali ini dibayangi gosip konon beliau telah dimadu.
Siti Nurhaliza cuma tergelak dengan cerita itu, selepas tersebar khabar angin berkaitan suaminya di Internet dan akhbar.
‘Biarlah orang nak bercerita. Siti tak rasa cerita itu ada kaitan dengan Siti dan suami Siti, sebab ia tidak berlaku kepada kami,’ katanya.
‘Cuma, kalau berita begitu keluar, orang ramai akan membuat tekaan.
‘Yang penting, cerita itu tiada kaitan dengan kami,’ tegas Siti. — Metro Ahad.
Cyberita
Gaya Elegan Wanita Berusia

‘Trench coat’ iaitu kot labuh melepasi lutut tentunya sesuai untuk wanita berusia 50-an
Soalan
Saya akan menghadiri malam penghargaan kakitangan yang dianjurkan majikan tidak lama lagi. Bagaimanapun, saya keliru memilih gaya sesuai untuk wanita berusia 50-an.
Jamilah Shariff,
melalui emel.
Jawapan
Pertama sekali saya ingin mengingatkan bahawa usia tidak patut dijadikan sebagai halangan untuk berfesyen. Bagi wanita bekerjaya, saya cadangkan supaya anda mencuba gaya yang agak berbeza dan jarang menjadi pilihan wanita pada peringkat usia 50-an.
Azura Mazaruddin
Pilihan gaya yang agak muda, tersendiri dan cukup versatile dengan mengenakan ‘trench coat’ iaitu kot labuh yang melepasi lutut tentunya sesuai untuk anda. Sebagai panduan, pilih ‘trench coat’ dengan lepel yang sederhana lebar serta mempunyai perincian butang sederhana besar di bahagian tengah jaket.
Saranan saya, gayakan ‘trench coat’ berwarna ceria seperti merah, hijau pucuk pisang atau jingga bersama kemeja putih tanpa ‘collar’ bertutup rapi di bahagian dalam bersama padanan celana panjang juga berwarna putih.
Mungkin anda berada sedikit janggal mengenakan kot labuh ini tetapi percayalah sehelai ‘trench coat’ boleh melindungi kelemahan penampilan kita. Untuk aksesori pula, saya cadangkan anda memberikan tumpuan kepada aksesori seperti kasut dan tas tangan.
Pemilihan tas tangan disarankan adalah jenis kulit kerana ia akan membuatkan penampilan anda kelihatan lebih mewah dan lain dari yang lain. Kasut yang bertutup di depan (pumps shoes) memadai sebagai pelengkap gaya.
Tip:
Kita harus bijak memilih fabrik dan potongan yang sesuai dengan bentuk tubuh dan jangan sesekali menjadi hamba fesyen.
PROFIL
Azura Mazaruddin
Usia : 24 tahun
Pencapaian : Tempat pertama Anugerah Jarum Berlian 2003, Pakaian Tercantik Permaidani Merah Murai.com 2007 (Raja Farah), Pakaian Tercantik Anugerah Juara Lagu 2008 (Nora Danish), Pakaian Tercantik dan Pereka Terbaik Anugerah Bintang Popular 2008 (Nora Danish)
Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat Azura ialah Datuk Siti Nurhaliza, Nora Danish, Rozita Che Wan, Amber Chia, Faizal Tahir, Amy Search dan Farid Kamil
Jika ingin mendapatkan khidmat pereka berbakat yang terkenal melalui label Azura Couture ini, hubungi 019-2586309 atau emel azuracouture@yahoo.com
INFO
Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.
Berita Harian
Depan Mata: Ogos Penuh Bermakna
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
Rap
BAGI generasi baru, merdeka punya pelbagai maksud. Ada menganggap jiwa merdeka apabila usia genap 21 kerana diberi kunci kebebasan dan tidak lagi dikongkong ibu bapa.
Atau remaja merdeka apabila ibu bapa tiada di rumah kerana tugasan luar dan mungkin juga merdeka kerana selesai menghadapi peperiksaan.
Apakah pengertian merdeka sebenarnya? Apakah sekadar diraikan setiap tahun pada 31 Ogos sempena memperingati kebebasan negara daripada dijajah British. Semalam kita meraikan Hari Kemerdekaan ke-51 dengan tema Perpaduan Teras Kejayaan dan hari ini pula, kita mula berpuasa.
Apa yang menariknya, sepanjang Ogos ini ramai pula yang menamatkan zaman bujang bukan hanya di kalangan selebriti terkenal malah orang biasa. Mungkin kerana angka lapan dianggap membawa tuah, tambahan pula tahun ini dianggap keramat bagi bulan lapan tahun 2008. Paling menarik tarikh 8.8.08.
Antaranya bekas pengacara Bersamamu, Noor Hafiza Saharuddin (Fifi), anggota Ruffedge, Mohd Kamarulzaman Zain Abdul Hamid (Zain), anggota Senario, Mazlan Ahmad, personaliti TV3, Nor Azlina Redzuan, pelakon Maya Karin, penyampai radio Era, Natasha Aimee Hashim dan penyanyi Deja Moss.
Selamat melangkah ke alam rumah tangga dan tidak dilupakan pengantin lama. Datin Seri Siti Nurhaliza yang menyambut ulang tahun kedua perkahwinannya, 21 Ogos lalu. Tapi yang tidak sedap didengar apabila ada gosip mengatakan penyanyi yang popular dengan lagu Ku Mahu itu dimadukan.
Ia dipaparkan dalam Harian Metro Khamis lalu menerusi ruangan Soseh Soseh (SS), Artis jelita dimadukan? tetapi tidak disebutkan dengan terbuka siapa gerangannya.
Tapi ramai yang membuat tekaan artis itu Siti. Cerita itu memang mengejutkan peminat tetapi SS beria-ia mempertahankan cerita yang didengarnya.
Apabila ditanya bukti, katanya ada pihak menunjukkan gambar kedua-dua mempelai dan difahamkan, majlis pernikahan berlangsung di London. Tapi kata SS lagi, tidak tahulah pula kalau pelanduk dua serupa.
Dalam Metro Ahad semalam, Siti turut ditanya komennya mengenai cerita itu. Kata Siti, dia tidak rasa cerita itu ada kaitan dengannya dan suami sebab ia tidak berlaku kepada mereka berdua.
“Biarlah orang nak bercerita. Kalau berita begitu keluar, orang akan membuat tekaan dan Siti antara yang diteka. Terpulang kalau mereka nak meneka dalam kesamaran. Yang penting cerita itu tiada kaitan dengan kami,” katanya.
Tidak pasti pula apakah Siti sudah bertanya dengan suami perkara itu atau terus mempertahankan suaminya bahawa cerita itu hanya fitnah atau khabar angin semata-mata. Sememangnya cerita itu tidak masuk dek akal kerana tidak mungkin Datuk K sanggup berbuat begitu.
Tentunya Siti tidak akan melayan cerita seperti itu tambahan pula dia kini diulit kebahagiaan bersama suami yang meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, baru-baru ini.
Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa bersama anak bongsu, mentua, kakak ipar dan teman menyambut Ramadan di Makkah apabila berangkat ke Tanah Suci Sabtu lalu. Ini kali kelima Siti menyambut Ramadan di sana.
Begitulah Siti yang terus dihambat kontroversi dan gosip apabila membulatkan tekad berkahwin dengan ahli perniagaan berstatus duda anak empat.
Ada saja cerita kurang enak dilemparkan kepadanya hingga ada yang sanggup meramalkan paling lama jodoh mereka hanya dua tahun tapi Siti sudah melepasi tempoh itu dan kini cerita dimadukan pula. Hendak buat macam mana, orang terkenal, popular dan punya nama besar.
Seperti biasa, Siti tetap tenang menepis setiap khabar angin yang disebarkan. Tidak pula melatah walaupun ada kalanya cerita itu amat pedih untuk ditelan.
Erra Fazira pula diulit kegembiraan apabila disahkan hamil awal Julai lalu. Kandungan Erra kini masuk bulan ketiga tetapi waktu sama tetap sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri untuk Astro. Sebelum ini Erra pernah keguguran ketika kandungannya dalam peringkat awal (enam minggu).
Pastinya ia satu dugaan besar dalam hidup Erra kerana pelakon digelar Ratu Filem Melayu memang benar-benar inginkan zuriat. Katanya, dalam usia mencecah 30-an, dia tidak mahu menunggu untuk mempunyai anak apabila berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada Oktober tahun lalu.
Walaupun menerima berita duka dengan kegugurannya pada Mac lalu, ia tidak pernah mematahkan semangat Erra untuk bergelar ibu. Bukan Erra dan Emran saja yang gembira dengan pengesahan doktor itu, malah seisi keluarga sangat gembira.
Kelahiran anaknya nanti akan melengkapkan hidup Erra tetapi waktu sama memikul tanggungjawab besar sebagai ibu untuk membesar dan mendidik anaknya.
Dalam pada itu difahamkan Emran cukup bimbang melihat isterinya yang ligat seperti biasa apatah lagi komitmen kepada drama bersiri yang dijayakannya. Erra mengikat kontrak dengan Astro selama setahun awal tahun untuk menjayakan drama terbitan stesen berbayar itu.
Semoga Erra banyak berehat sepanjang Ramadan ini kerana kata orang tua-tua, pada awal kandungan perlu dijaga dengan sebaik mungkin kerana janin masih lemah.
Selamat menjalankan ibadah puasa.
Harian Metro