RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Lagu-Lagu Raya Siti Dan Teman-Teman



KOMEN: Ini antara album lagu-lagu berkonsepkan hari raya yang baru selepas saban tahun kita asyik disajikan dengan lagu-lagu raya malar segar dari era tahun 1960-an hinggalah 1980-an.

Dalam album ini cuma ada sebuah lagu raya lama berjudul Bila Takbir Bergema yang dirakam serta dinyanyikan semula oleh Anis Suraya, serta lagu Sesuci Lebaran nyanyian Datuk Siti Nurhaliza yang dimuatkan kembali dalam adunan bunyi baru.

Selebihnya, album yang menampilkan banyak lagu-lagu berkonsepkan irama Malaysia dan pop ini merupakan lagu-lagu baru ciptaan ramai komposer masakini seperti Pak Ngah, S. Atan, Khir Rahman, Rosli Selasih dan Aiman.

Album ini memperdengarkan kelainan daripada segi konsep muzik di mana jika lagu-lagu Pak Ngah lebih cenderung dan kuat dengan irama Malaysia, manakala komposer seperti Rosli Selasih lebih kepada pop Melayu Deli.

Tarikan utama album ini menerusi lagu Aidilfitri Di Alaf Baru ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan secara beramai- ramai oleh Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim dan Anis Suraya.

Siti Nurhaliza paling banyak menyumbangkan suaranya menerusi empat buah lagu berjudul Anugerah Aidilfitri, Airmata Syawal, Bila Raya Menjelma dan Sesuci Lebaran.

Selain lagu berkonsepkan Hari Raya, penyanyi dari Indonesia, Yuni Shara sedikit tersasar apabila lagu 5 Waktu nyanyiannya lebih ke arah lagu nasyid yang bertemakan tentang kepentingan solat.

Melodi lagu-lagu yang ditampilkan dalam album initidak berapa kuat di mana ia kurang menyerlahkan suasana hari raya, selain hanya perkataan pada judul-judul lagu seperti Syawal, lebaran dan raya yang mampu menggambarkannya.

Sebagai album hari raya yang menampilkan lagu-lagu baru, album ini perlu banyak kali diulang siar agar ia mudah melekat di halwa telinga para pendengar, dan seterusnya mungkin boleh menjadi lagu-lagu malar segar suatu masa nanti.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan berjudul Balik Kampung yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Selamat Hari Raya (Fazidah Joned) dan Menjelang Hari Raya (Datuk D.J. Dave).

Judul Album: Lebaran Bersama Siti & Teman-Teman

Artis: Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Noraniza Idris, Liza Hanim, Anis Suraya dan ramai lagi.

Konsep Muzik: Pop

Terbitan: Suria Records Sdn. Bhd.

Utusan Malaysia

Leave a Reply