Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

SAIDA dan Sairah bagaikan penyambung legasi kerjaya seni Siti.
MENJADI tonggak pendapatan utama kepada Siti Nurhaliza Productions (SNP) selama ini, Datuk Siti Nurhaliza sememangnya mampu berdiri kukuh sebagai satu-satunya sumber kewangan kepada syarikat miliknya itu.
Memang diakui, Siti tidak memerlukan penyanyi lain untuk membantunya memantapkan SNP atau menjana pendapatan kepada syarikat berkenaan.
Namun, tiada salah jika Siti ingin mengembangkan prospek SNP dengan kemasukan penyanyi baru.
Malah, keputusan untuk menceriakan keluarga SNP bukan dijayakan dengan penambahan seorang, tetapi tiga artis baru iaitu Siti Norsaida (Saida), Siti Nursairah (Sairah) dan kumpulan Coda.
“Selepas 13 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, Siti mahu berkongsi pengalaman Siti dengan bakat-bakat baru. Dan Siti rasa ini adalah masa yang sesuai untuk melahirkan artis baru di bawah naungan SNP, ” ucap Siti pada majlis berbuka puasa dan pengenalan artis baru SNP di Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengambil kesempatan untuk memperkenalkan secara rasmi tiga artis barunya pada majlis berkenaan, Siti memberitahu ada sebab mengapa kakak dan adiknya hanya baru sekarang diserap ke SNP.
Bukannya tidak yakin dengan bakat mereka, Siti bagaimanapun hanya mahu Saida dan Sairah mendapat pendedahan dalam dunia hiburan terlebih dahulu.
“Memang kalau diikutkan Siti boleh mengambil mereka berdua sebagai artis sejak dulu lagi. Tetapi sekarang waktu yang lebih sesuai kerana mereka sudah dikenali ramai.
“Saida sudah mendapat pendedahan menerusi Akademi Fantasia musim keenam (AF6) dan Sairah pula menerusi program realiti One In A Million (OIAM).
“Maka, ini adalah masa yang sesuai untuk mengembangkan bakat mereka dalam nyanyian,” kata Siti yang menyampaikan lagu Sesuci Lebaran dan Selamat Hari Raya di majlis berkenaan.
Selain Saida dan Sairah yang sudah dikenali ramai, Siti mengambil risiko dengan mengambil penyanyi berkumpulan baru, Coda menyertai keluarga SNP.

BIAR berterusan dihujani gosip negatif, Siti dan suami jelas bahagia bersama.
Kata Siti, Coda yang dianggotai oleh Fahimi, Freddy, Akir, Jashir dan Ejam memiliki bakat besar dan boleh mengubah lagu serta menulis lirik. “Siti sendiri melihat perkembangan Coda sejak menyertai SNP sejak pertengahan tahun lalu. Mereka berbakat dan Siti mahu berikan mereka peluang.”
Sungguhpun masih baru, ketiga-tiga artis baru SNP ini telah pun muncul dengan produk mereka. Saida baru sahaja merakamkan single pertama, Sedalamnya Cinta ciptaan Sharon Paul dengan kerjasama Maestro.
Manakala Sairah pula kini sedang popular dengan lagu Hero Wayang yang ditulis oleh allahyarham Loloq. Lagu ini bukan sahaja hangat dicorong radio tempatan tetapi juga sedang diputarkan di corong radio Singapura.
“Lagu-lagu Saida dan Sairah sudah dimainkan dicorong-corong radio. Dan Siti berharap anak-anak didik Siti ini akan berjaya memeriahkan industri seni muzik,” tambah Siti yang kelihatan lebih kurus kerana berdiet.
Selain daripada itu, kumpulan Coda juga sudah menghadiahkan single pertama mereka, Buai kepada peminat. Album mereka telah siap sebanyak 90 peratus yang terkandung enam lagu ciptaan sendiri serta empat lagu ciptaan komposer seperti Tam, Spider dan Aidit Alfian.
Konsert jelajah Siti
Ditubuhkan pada hari bahagianya bersama Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) pada 21 Ogos 2006, Yayasan Nur Jiwa giat melaksanakan tugas untuk membantu mereka yang memerlukan.
Siti dan suaminya yang merupakan pengarah juga tidak pernah berhenti daripada mengumpul dana kepada yayasan ini. Pada bulan Ramadan ini sahaja, yayasan ini telah menyalurkan bantuan kepada golongan miskin tegar.
“Bagi membantu golongan ini, kami berikan peralatan keperluan asas seperti almari, katil, tilam dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kami turut menyalurkan bantuan kepada rumah kebajikan yang daif,” kata Datuk K yang turut menghadiri majlis itu.
Selepas sambutan hari raya, Siti bercadang untuk melaksanakan konsert jelajah di seluruh Malaysia serta persembahan makan malam bagi tujuan mengutip dana dan membantu golongan artis yang kurang bernasib baik.

TIGA beradik yang menuju ke matlamat yang sama. Saida dan Sairah kini di landasan yang sama dengan Siti.
“Siti akan membuat persembahan di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Contohnya kalau di Johor, kami akan membahagikan separuh daripada kutipan kepada artis kurang bernasib baik.
“Manakala selebihnya pula kepada masyarakat Johor yang memerlukan terutamanya rumah kebajikan. Siti juga mungkin akan membuat persembahan dengan beberapa penyanyi lain. Tetapi semua itu belum diputuskan,” tambah Datuk K.
Kunjungi Mekah setiap tahun
Biasa menjejak kaki ke Mekah pada bulan puasa, kali ini merupakan kali ketiga Siti mengunjungi Tanah Suci Mekah. Namun, kunjungannya tahun ini lebih bermakna apabila ditemani suami tercinta, ibu mertuanya serta anak bongsu suaminya, Muhammad Aazief.
Berasa seronok untuk berada di sana terutamanya pada bulan Ramadan, Siti memberitahu pahala yang diperolehi adalah berlainan semasa bulan puasa.
“Melawat Tanah Suci masa bulan puasa lebih bermakna dan mendapat lebih pahala. Perjalanan kami sekeluarga di sana berjalan lancar dan kami berasa sangat seronok,” kata Siti yang mengerjakan ibadah haji penghujung tahun lalu.
Majlis ini menjadi medan untuk Siti Nurhaliza dan artis yang bernaung di bawah SNP untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama mereka.
Pada majlis itu, Sairah, Saida dan Coda turut menghiburkan hadirin dengan lagu terbaru mereka. Turut hadir pada majlis itu adalah ibu bapa Siti serta anak-anak dari Asrama Penyayang Nurul Iman.
Selain meraikan anak-anak dari Asrama Penyayang Nurul Iman, Siti yang merupakan duta ke Jusco juga menceriakan 60 anak-anak yatim dari rumah Tunas Harapan Sepenuh Hati, Pertubuhan Kebajikan Asrama Anak-Anak Yatim Ar-Raudhah dan Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah anjuran Yayasan Jusco Malaysia sehari selepas majlis anjuran SNP.
Kosmo
On 22nd September2008