Personaliti Pilihan BH 2008: Nota Cantik Nor Ainn
Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
DEFINISI kecantikan terlalu luas kerana cantik tidak hanya tertumpu pada wajah semata-mata. Mungkin penampilan, petah bercakap, berani berbeza, yakin diri dan pemalu itu juga boleh menjadikan seseorang dipandang cantik. Kenyataannya, erti cantik bergantung kepada individu itu sendiri bagaimana mengistilahkannya di dalam kehidupan mereka.
Begitupun, cantik sememangnya berkait rapat dengan penampilan anda dari hujung rambut hingga hujung kaki. Malah, bagi menekankan lagi maksud cantik itu, ia juga boleh hadir pada seseorang kiranya mereka tahu memunculkan diri pada masa yang tepat di sesuatu acara selain memilih persalinan yang memancarkan jati diri mereka sendiri.
Peserta Pilihan Personaliti Berita Harian 2008, Nor Ainn Aznan, berkata cantik itu akan hadir pada si pemilik secara semula jadi, ditambah dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki. Justeru, apabila berilmu, orang memandang tinggi dan menghormati sebarang bentuk idea yang diluahkan.
“Kecantikan itu akan jelas andai kita tahu memanfaatkan masa sesuai menampilkan diri. Biar kena pada masa dan ketika, anda akan dipandang cantik dengan tutur kata yang sopan, penampilan yang terkawal dan bersederhana itu menjadi resipi terbaik untuk cantik ,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini,
Ikuti nota cantik dari pandangan Nor Ainn.
Bagaimanakah bentuk bibir idaman anda?
Saya tidak begitu menitik beratkan bentuk bibir kerana setiap orang berbeza. Lagipun, saya suka akan bentuk bibir yang saya miliki sekarang, penuh. Kadang-kadang, kita sentiasa rasa inginkan apa yang kita tidak miliki. Jadi, saya tidak mahu berasa seperti itu kerana saya yakin dengan apa yang saya miliki sekarang.
Warna kegemaran gincu bibir dan kenapa?
Saya menggemari warna Chocolate Smoothie kerana warnanya yang tidak terlalu menonjol, sesuai dengan pendirian saya. Tidak terlalu menonjol dan tidak juga rendah diri. Pada saya, yang penting ialah tahu apa yang kita kehendaki.
Anda mempunyai masalah dengan bibir?
Tidak. Saya tiada sebarang masalah walau apa jenis gincu yang digunakan.
Jika anda boleh membuat perubahan, bahagian manakah pada wajah atau tubuh anda yang hendak diubah? Kenapa?
Saya tidak pernah memikirkan untuk mengubah sesuatu pada wajah atau tubuh saya. Saya cukup selesa dengan apa yang saya miliki.
Jika anda menang, namakan pertubuhan kebajikan pilihan untuk menerima sumbangan penaja dan kenapa anda memilih pertubuhan itu?
Saya memilih Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim (Asrama Peyakin) Klang kerana saya juga seperti mereka. Kehilangan ibu atau bapa yang menjadi teras kekuatan saya. Untungnya, saya masih ada ibu dan tidak perlu menetap di rumah anak yatim. Jadi saya sering kali cuba menyelami perasaan mereka yang berada di situ. Insya-Allah jika saya berhak memenangi hadiah daripada program ini, saya akan berkongsi dengan mereka.
Siapa tokoh wanita yang anda kagumi dan kenapa?
Saya cukup mengagumi penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kerana beliau amat kental menempuh segala dugaan yang berlaku. Dengan gosip dan khabar angin yang melanda, saya melihat dia masih boleh mengukir senyum. Walaupun pahit, beliau berupaya menangani dengan tenang. Kalau kita tenang, semua perkara dapat diselesaikan dengan mudah dan teratur.
Solekan oleh Cik Nab 0122645410
PROFIL: Nur Ainn Aznan
Hobi: Membaca, Melancong
Pendidikan: Diploma Pengurusan Seni
Berita Harian
ct tu artis,susah payah dia,dia mesti sentiasa senyum.dimana saja dia pergi,lensa kamera tak henti2 ambil gmbr dia.tapi,suka duka dihati ct tuhan saja yg tahu.
Selamat malam, salam kenal…
Baru hari ini saya baca blog ini, ketemu di google
Si Cantik