Skip to content

August 12, 2008

Sinis Dan Lucu Di FFM21



Oleh JESSABELL SOO & TENGKU SUZANA RAJA HAMAT hiburan@kosmo.com.my


GANDINGAN lama dan baru, dari kiri, Nabil, Saiful Apek, Erra Fazira dan Salih Yaacob berjaya menyuntik tenaga pada malam anugerah FFM21.

MEMILIH kota pentadbiran kerajaan Malaysia, Putrajaya sebagai medan persinggahan ke-21 Festival Filem Malaysia (FFM21) yang melabuhkan layarnya hujung minggu lalu, boleh disifatkan satu percaturan yang tidak merugikan buat penganjur tahun ini.

Tahun hadapan, FFM22 memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai destinasi seterusnya. Elok juga pemilihan yang dibuat itu memandangkan orang di Sabah dan Sarawak dikatakan masih kehausan hiburan.

Di Putrajaya baru-baru ini, walaupun ada majlis pelancaran FFM21 tetapi ia tidaklah begitu diendahkan oleh orang ramai meskipun telah memilih pusat membeli-belah Alamanda Putrajaya yang dilihat sebagai lokasi strategik. Orang Kuala Lumpur juga dikatakan terlalu muak dengan acara hiburan.

Terpanggil untuk memperihal lagi apa yang berlaku menjelang malam kemuncak pada hujung minggu lalu.

Segala-galanya berlangsung mengikut perancangan yang walaupun berpuluh kilometer dari Kuala Lumpur, kunjungan para karyawan filem dan kehadiran nama-nama yang menggelarkan status diri masing-masing sebagai pelakon juga tidaklah sangat mengecewakan.

Ibarat rumah siap pahat masih berbunyi, ketika para penerima trofi anugerah FFM21 mungkin sedang bernafas dengan lega kerana segala percaturan yang telah mereka lalui telah mendapat habuan yang setimpal, acara yang memberi hak eksklusif Astro ini masih diperkatakan ramai.

Benar apa yang lebih penting pada FFM21 adalah meraikan para karyawan yang dengan anugerah bagi kategori yang dipertandingkan, namun janganlah acara tahunan ini dicacatkan dengan perkara yang sepatutnya boleh dielakkan.

Kerana ini siaran milik Astro, tidak semesti semuanya harus bertitik-tolak daripada Astro itu sendiri. FFM acara global jadi Astro jangan menjadikan itu alasannya.

Pemilihan Linda Onn dan Bob Lokman memang tidak salah. Masing-masing ada profil sebagai pengacara di majlis anugerah yang besar, misalnya Anugerah Era dan Anugerah Industri Muzik misalnya. Tetapi maaflah, gandingan mereka berdua ini di PICC, Sabtu lalu kelihatan tidak begitu meninggalkan kesan.

Semuanya lesu dan tidak mencipta tarikan baik kepada penonton di Dewan Plenari PICC mahupun di rumah. Siapa di antara Linda dan Bob yang menghilangkan ‘mood’ tontonan malam FFM21 baru-baru ini tidak perlu dibangkitkan. Semua sudah maklum, Astro juga harus maklum. Jangan semata-mata kerana statik di satu tahap, acara milik Malaysia ini jadi tawar dan hambar!

Begitu juga dengan pemilihan nama-nama penghibur yang menjadi sandaran persembahan FFM21 yang diisi dengan lagu-lagu daripada filem.

Malam berkenaan adalah malam untuk meraikan karyawan dan anak seni yang telah mengharumkan persada filem tanah air. Sepatutnya, para penghibur yang dipilih juga haruslah bukan sekadar yang bergelar menyanyi, namun walaupun masih baru, Bob dan Yazer disifatkan menunjukkan persembahan cemerlang.


KEMUNCULAN semula Melissa Saila di pentas sebagai penyanyi bergandingan bersama Ahmad Fauzi.

Dalam tempoh lebih dua jam, paling membosankan adalah pada separuh masa pertama majlis berlangsung. Nasib baik ada tenaga dan vokal berhantu daripada Datuk Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu Hati, lagu tema filem 1957 Hati Malaya dan Sabar Menanti daripada filem Hapuslah Air Matamu, kalau tidak pasti ramai yang tertidur.

Persembahan yang boleh disifatkan penyelamat acara hiburan FFM21 termasuklah gandingan Erra Fazira dan Nabil yang menyanyikan lagu daripada filem Ali Baba Bujang Lapok, Apek dengan lagu Aspalela, serta gandingan Melissa Saila dan Ahmad Fauzi dengan lagu daripada filem Kolej 56.

Jika FFM22 tahun depan, masih lagi dipegang oleh Astro, tanggungjawab stesen TV berbayar ini nampaknya semakin besar.

FFM21 meninggalkan kita semua dengan coretan suka, duka, lucu dan manis. Berikut beberapa adegan semasa FFM21 yang mungkin tidak dapat dilihat menerusi kaca televisyen.

* Sungguhpun tempat duduk di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) penuh dengan tetamu tetapi kelihatan kosong di kaca televisyen kerana tempat duduknya bersaiz agak besar.

* Disebabkan FFM21 disiarkan secara langsung tepat pada pukul 9.00 malam, ramai artis terpaksa menunggu di tepi pintu disebabkan gagal memasuki dewan pada masa yang ditetapkan. Ini menyebabkan sejumlah besar artis terpaksa menunggu sehingga waktu rehat iklan pertama sebelum ke tempat duduk masing-masing.

* Penggunaan kertas-kertas kecil berwarna-warni semasa persembahan tarian daripada filem Estet pada permulaan majlis menyebabkan keseluruhan pentas dipenuhi dengan kertas-kertas tersebut. Pihak penganjur pula menggunakan masa yang agak lama untuk membersihkan pentas yang berserabut itu.

* Hiburan pada malam FFM21 didominasi oleh bintang-bintang AF termasuk Zahid, Bob, Stacy, Burn, Yazer, Riz, Farah dan Sahri. Okeylah juga, sekurang-kurangnya bolehlah nampak nama-nama yang sudah lama menyepi.

* Kesilapan juara AF6, Stacy yang berkali-kali ‘salah masuk’ ketika ingin menyampaikan lagu Wajah Rahsia Hati. Dia terpaksa menunggu isyarat daripada penyanyi latar. Hai, tak datang latihan ke dik?Ada juga yang mendakwa itu bukan salah Stacy sebaliknya salah pemuzik yang memainkan muzik korus terlebih dahulu. Ya ke?

* Dewan jadi gamat kerana kesalahan kecil penulis lirik tersohor, Kassim Mosdor mengumumkan hadiah wang tunai untuk kategori Skor Muzik Asal Terbaik. Hadiah anugerah tersebut adalah RM10,000 tetapi disebut RM10 sahaja.

* Letupan bunga api kononnya untuk mencipta gempak akhirnya membawa malang. Ramai artis wanita yang duduk di bahagian depan balik dengan muka masam kerana gaun cantik mereka rosak terkena percikan bunga api. Antara yang menjadi mangsa, gaun pelakon terkenal Vanida Imran dan Zahida Rafik. Lebih malang lagi, gaun berkenaan merupakan gaun tajaan pereka fesyen masing-masing. Siapa nak bayar tu? Boleh minta ganti rugi dengan penganjur ke?

* Alahai Yatt. Penonton yang berada di rumah ada yang mempersoalkan persembahan pengacara muda ni di acara karpet merah. Ada ke Erra Fazira dipanggil Yatt sebagai ‘si gadis manis dan jelita’? Hello, Erra tu gadis lagi ke cik adik? Ini termasuklah Yatt ‘mengenakan’ Afdlin Shauki yang bukan saja badan besar tetap juga menghasilkan kerja besar. Afdlin pun nampak macam kurang seronok dengan cara pengacara itu. Itu belum lagi soalan Yatt yang macam kereta api panjangnya, tapi artis yang ditemu bual hanya dapat menjawab dengan beberapa patah saja. Dah tu, soalan lebih panjang sampaikan Afdlin sendiri macam tak mahu jawab soalan Yatt.

Kosmo

Read more from Kosmo

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments