Terpegun, terpekik dan terpukau di Hongkong
OlehSuryani Omar
BERGAMBAR dengan selebriti, shopping sakan, makan dim sum ‘asli’ tapi halal dan lari daripada dikejar psycho!
Di mana lagi boleh seseorang melalui pengalaman itu semua jika bukan di Hongkong?
Walaupun lawatan penulis ke Hongkong baru-baru ini disambut cuaca buruk – hujan setiap hari – masih bermacam aktiviti dapat dilakukan.
Pendek kata, Hongkong adalah destinasi pelancongan seronok tidak mengira musim!
Hendak bergambar dengan Angelina Jolie dan Brad Pitt atau bergaya dengan Ayumi Hamasaki atau peluk Aaron Kwok? Pilih sahaja selebriti-selebriti yang menanti di Muzium Lilin Madame Tussaud’s di Hongkong.
Saya seronok mendampingi ‘Aaron’ yang kacak, sehinggakan ada teman menyangka saya benar-benar bertemu ‘empat mata’ dengannya!
Muzium tersebut adalah cawangan Madame Tussaud’s yang pertama di Asia. Ia terletak di The Peak. Cara paling nyaman untuk sampai ke atas adalah dengan menaiki Peak Tram. Harganya cuma HK$22 ($3.80) sehala bagi orang dewasa.
Terdapat sekitar 100 patung selebriti di Madame Tussaud’s Hongkong.
Jurucakap Madame Tussaud’s Hongkong, Cik Bobo Yu, berkata setiap tahun pihaknya mendapatkan maklum balas daripada pengunjung mengenai selebriti mana yang ingin dilihat.
Jadi, janganlah terperanjat jika dalam masa akan datang, Siti Nurhaliza akan disertakan dalam koleksi patung lilin Madame Tussaud’s.
Dalam pada itu, rasanya tidak sah kalau tak terjerit-jerit di pameran terbaru Madame Tussaud iaitu Scream!
Saya sendiri terjerit macam orang gila walaupun mata dipejamkan sepanjang pengalaman selama tiga hingga lima minit itu.
Namun, mungkin bagi mereka yang gemar cerita seram, tidak takut langsung.
Ada beberapa teman yang keluar dari pameran tersebut sambil tergelak. Sebabnya, kami dikejutkan dengan kehadiran ‘pelakon’ psycho di ruang pameran yang tugasnya hanya untuk membuat pengunjung melonjak gerun.
Lawatan ke SkyTower @ The Peak tidak harus ditinggalkan juga.
Kalau cuaca baik, ia menjanjikan panorama yang cukup indah kerana anda berada di paras tertinggi di Hongkong.
Selepas puas bergambar dan terjerit-jerit, masanya untuk mengecas semula tenaga dengan menikmati juadah Hongkong yang asli tetapi halal tersedia.
Di 21A Ashley Road, Tsim Sha Tsui (disebut Chim Sa Chui) terdapat restoran makanan halal milik anak Melayu Singapura, Encik Abdul Kader Caffoor dan seorang warga Hongkong, Encik Andy Cheng.
Restorannya menjual pelbagai hidangan termasuk snek ala Hongkong iaitu roti bakar.
Menurut Encik Abdul Kader, terdapat pelbagai tempat makan menjual makanan Timur Tengah dan India. Namun, anda harus berhati-hati kerana walaupun halal, ada yang menjual minuman keras.
Satu lagi tempat yang tidak boleh anda lepaskan ialah Islamic Centre Canteen di Masjid Ammar and Osman Ramju Sadick Islamic Centre, 40 Oi Kwan Road, Wan Chai.
Ia menjual pelbagai juadah Hongkong asli seperti Dim Sum, dumpling dan sebagainya. Ia dimiliki pasangan Cina Hongkong beragama Islam, Encik Jaman Markar, 55 tahun, dan isteri, Cik Maryam Markar.
Ia terletak di antara stesen MTR Wan Chai dan Causeway Bay.
Setelah puas makan, bakar lemak-lemak (dan kocek) dengan membeli-belah. Hongkong memang terkenal dengan deretan kedai-kedai yang dibuka sehingga larut malam.
Mereka yang gemar pakaian, kasut dan beg, saya syorkan ke Granville Road (turun di MTR Tsim Sha Tsui).
Membeli-belah di ruang factory outlet juga satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Tempat terbaik untuk membeli-belah ialah di Citygate Mall, di depan MTR Tung Chung.
Daripada Esprit, Club 21, Nike, Timberland, BodyShop, Joy hinggalah Adidas – rambang mata saya!
Mereka yang memang suka shopping boleh menghabiskan setengah hari di sini. Pendek kata, ‘mabuk shopping’ di Hongkong.
Minggu depan, nantikan sekilas liputan saya tentang pasar-pasar malam serta taman bertema di Hongkong pula.
Nota: Lawatan penulis ditaja AirAsia, Lembaga Pelancongan Hongkong (HKTB) dan Uni Asia Tours. Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur (KL), Malaysia, ke Hongkong ditawarkan setiap hari. AirAsia terbang dari Singapura ke KL, dua kali sehari.
Cyberita