OLEH: WANDA IDRIS
CELINE DION.
APABILA dia bersenandung, menyampaikan lagu-lagu paling hits maka ada air mata yang mengalir atas nama kegembiraan yang tak terhingga. Ia juga adalah rasa yang dilahirkan kerana keterujaan berpeluang menyaksikan secara langsung persembahannya di pentas negara ini, satu-satunya destinasi di Asia Tenggara dan kedua di Asia selepas Shanghai, China yang dipilih oleh penyanyi itu untuk singgah bertamu dan bertemu peminat setianya.
Penyanyi Ezlyn misalnya ketika ditemui mengakui air matanya mengalir tanpa diundang sebaik menyaksikan penyanyi pujaan ramai itu muncul di pentas. Begitu juga dengan penyanyi popular Indonesia, Rossa yang turut mengalirkan air mata kegembiraan kerana tidak menyangka dapat menyaksikan persembahan artis pujaannya di Kuala Lumpur.
Malah terdengar juga nada-nada ‘cemburu’ apabila mendapat tahu bahawa Datin Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa berpeluang bertemu empat mata dan bermesra bersama penyanyi pujaannya itu pada satu acara tertutup selepas majlis sidang akhbar pada petang sebelum persembahannya.
Itulah penangan aura Celine Dion, salah seorang penghibur paling berjaya dunia dan diva kelahiran Quebec, Kanada yang begitu masyhur dengan skil dan kemantapan vokalnya.
Lalu tidak hairanlah jika dia dianugerahkan Chopard Diamond Award oleh World Music Awards untuk diangkat sebagai penyanyi wanita yang paling banyak dijual albumnya di dunia iaitu melebihi 200 juta unit.
“Bila dia muncul sahaja di pentas, air mata saya terus mengalir. Mana taknya, tak sangka dapat melihatnya secara live. Dan dalam banyak-banyak negara, dia memilih Kuala Lumpur. Tentu sahaja ia sesuatu yang amat membanggakan,” kata Ezlyn.
Penyanyi Rossa yang hadir bersama rakannya yang dikenali sebagai Bella pula memberitahu dia menjerit kegembiraan apabila mengetahui Dion akan menghibur di Kuala Lumpur.
“Mulanya saya mahu menempah tiket ke Shanghai untuk menyaksikan konsertnya di sana. Bila dapat tahu dia datang ke Kuala Lumpur, saya terus menjerit gembira.
“Apalagi, saya terus tempah tiket dan sempat juga membeli-belah sebelum menonton Celine Dion di sini,” kata Rossa yang tak henti-henti bercerita mengenai keterujaannya terhadap Dion dan konsert itu usai selesai persembahan.
Selain Rossa serta temannya, artis Indonesia yang kelihatan sama menyaksikan persembahan konsert Dion ialah Ruth Sahanaya dan suaminya.
Sementara artis-artis Malaysia yang hadir termasuklah Ziana Zain, Amy Search dan isteri, Nora dan suami, Johan Nawawi serta Maya Karin bersama ibunya. Turut kelihatan pada malam itu ialah Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bersama temannya.
Sememangnya menyaksikan penampilan Dion di pentas mengasyikkan. Vokalnya yang mantap kala mendendangkan lagu-lagu hitsnya seperti The Power of Love, It’s All Coming Back to Me, Because You Loved Me dengan memilih lagu penutup, My Heart Will Go On membuatkan Stadium Merdeka bergema dengan jeritan penonton.
Tidak banyak yang dicelotehkan Dion di pentas malah dengan penampilan paling ringkas, Dion sempat menyampaikan rasa bangganya apabila konsert itu turut dihadiri Yang Dipertuan Agong dan Permaisuri Agong.
Malah dia juga hanya berceloteh sedikit panjang apabila memberitahu alasannya menangguhkan kemunculannya di negara ini yang sepatutnya berlangsung pada 8 April lalu. Selebihnya, Dion yang juga ibu kepada seorang anak lelaki, Ren -Charles Dion Ang lil yang berusia tujuh tahun menghangatkan kedinginan malam minggu lalu dengan alunan suaranya yang lantang lagi memukau.
Biar ada lagu-lagu pilihan yang didendangkan agak kurang mesra dengan telinga pendengar di sini namun Dion membuktikan bahawa pengaruh muziknya yang pelbagai – daripada pop, soul ke rock hinggalah klasikal menjadikan dirinya seorang penyanyi sejati.
Malah atas minat yang mendalam terhadap kumpulan Queen dan vokalisnya, mendiang Freddie Mercury, Dion turut dedikasi sebuah segmen khas buat kumpulan tersebut.
Ketika melontarkan lagu medley We Will Rock You dan The Show Must Go On, kelihatan Siti Nurhaliza yang teruja dengan persembahan penyanyi pujaannya turut sama menyanyi dan bertepuk tangan.
Pada malam itu, Dion tidak ketinggalan menyampaikan sebuah lagu Perancis serta beberapa buah lagu daripada album terbarunya, Taking Chances selain berduet bersama salah seorang penyanyi latarnya, Barnev Valsaint untuk lagu I’m Your Angel yang dipopularkannya bersama R. Kelly.
Membuka tirai persembahan tepat pukul 8.50 malam, stadium bergema dengan tepukan dan sorakan peminat sebaik dia melangkah kaki ke pentas dan seterusnya mengalunkan I Drove All Night.
Selain tidak banyak berceloteh, gaya Dion juga ringkas. Hanya mengenakan busana pendek dengan but tinggi dan berbolera kulit, Dion hanya menukar pakaian sekali.
Itupun pada penghujung persembahan ketika menyampaikan lagu My Heart Will Go On yang menjadi antara lagu popular Dion di persada seni dunia sekali gus menutup tirai persembahan pada malam itu. Dion hadir ke Kuala Lumpur dalam rangka jelajah dunia Taking Chances World Tour 2008 yang telah pun bermula sejak Februari lalu di Johannesberg, Afrika Selatan.
Dia sepatutnya mengadakan konsert sulungnya pada 8 April lalu namun kerana masalah kesihatan akibat sakit tekak, Dion menangguhkan kunjungannya ke sini. Pada 11 April lalu, Dion yang setia ditemani suaminya, Rene Angelil telah mengadakan persembahannya di Shanghai, China sebelum terbang ke Kuala Lumpur.
Powered by Utusan Malaysia
On 20th April2008
April 22nd, 2008 at 5:08 pm
kalau gi konsert sanggup habis beribu riban,sanggup batal appoitment ngan tuhan.pikir-pikir ler sendiri.Inilah islam hadhari