KUALA LUMPUR, 15 APRIL 2008: Tiada yang lebih menggembirakan Dato’ Siti Nurhaliza apabila akhirnya mendapat peluang keemasan untuk bertemu dengan idola pujaannya, Diva Celine Dion.
Pertemuan bermakna itu terjadi di hotel butik The Ritz-Carlton Kuala Lumpur, pada petang Ahad lalu selepas Celine bertemu wartawan tempatan dalam sidang media di hotel tersebut.
Difahamkan, ia diaturkan oleh pihak penganjur dan anggota keluarga mereka (YTL) yang kebetulan mengenali suami Siti, Dato’ Khalid MuhammadJiwa (Datuk K).
Kata Siti, dia tiba lebih awal di hotel itu dan kemudian menunggu hampir 20 minit dalam sebuah bilik khas sebelum mendapat isyarat untuk bertentang mata dengan penyanyi pujaannya itu. Selain Datuk K, anak bongsu mereka, Mohd Aazief, 10, juga ada bersama manakala Celine pula sentiasa ditemani suami merangkap pengurusnya, Rene Angelil.
“Macam tak percaya Siti akhirnya dapat berjumpa Celine. Maklumlah, Siti minat Celine sejak zaman sekolah lagi. Realitinya, dia memang peramah dan sudi bergambar dengan Siti beberapa kali pada petang itu. Kesempatan itu juga Siti gunakan untuk menghadiahkan album terbaru Siti, Hadiah Daripada Hati kepada Celine dan dia menerimanya dengan senyuman.
“Walaupun pertemuan kami itu singkat, ia sangat bermakna dan Siti akan kenang sampai bila-bila,” kata Siti kepada murai.com.my awal malam tadi. Dia sebenarnya sedang sibuk membeli-belah di KLCC.
Mengulas mengenai konsert Celine di Stadium Merdeka, Siti berkata dia amat mengkagumi vokal penyanyi kelahiran Quebec itu yang disifatkan sebagai belum ada tandingan.
“Siti suka cara dan spirit Celine ketika dia menyanyi kerana ia dilontarkan dengan penuh perasaan,” kata Siti lagi.
Komen Siti Tentang Saida
Menjawab pertanyaan lain, Siti akui dia cukup berbangga melihat perubahan dalam diri kakaknya, Saida yang kini sedang bertanding dalam program realiti TV paling popular, Akademi Fantasia 6 (AF6).
“Bagi Siti yang lebih kenal siapa Kak Ida (Saida), dia sudah banyak berubah sejak berada dalam AF6. Kalau dulu janganlah harap Kak Ida nak menyanyi depan orang ramai kecuali ada adik beradik kami ada di sekelilingnya.
“Sikap pemalu Kak Ida memang ketara sejak kecil lagi. Mimik dan raut mukanya memang begitu, macam orang sedih,” kata Siti sambil tertawa kecil.
Yang jelas, Siti meminta supaya janganlah masyarakat terus membanding-bandingkan dirinya dengan Saida kerana cara mereka melangkah ke dunia seni nyata berbeza. Lebih dari itu, suara dan personaliti masing-masing pun tidak sama.
“Suara Kak Ida lebih besar. Kalau hendak minta komen Siti terhadap mutu persembahan Kak Ida, apa yang Siti rasakan, Kak Ida kena betulkan teknik nyanyiannya, jaga pernafasan supaya jangan semput dan kena buang lagi perasaan malu-malu itu kalau di atas pentas.
“Satu lagi Siti sendiri pun rimas melihat tangan kiri Kak Saida asyik naik ke atas. Entahlah, mungkin itu cara dia mengatasi gementar agaknya,” kata Siti.
Siti faham Saida memerlukan masa untuk membina nama dan identitinya sendiri dan dia yakin satu hari kelak, impian Saida itu akan berjaya dengan sokongan semua pihak.
Dalam isu lain, Siti bagaimanapun menafikan dia telah memperuntukkan wang yang banyak dan khusus untuk mengundi Saida sepanjang bertanding dalam AF6.
“Bohonglah kalau Siti cakap Siti tak pernah Afundi Kak Ida langsung tapi tidak benar pula gosip Siti memancing undi dan berhabis-habisan wang untuk Kak Ida. Siti tahu Kak Ida ada fan base sendiri dan merekalah yang menyokongnya dari belakang.
“Siti lebih suka memberikan sokongan moral kepada Kak Ida kerana Siti sedar peminat AF sudah matang dalam memilih siapa yang mereka suka,” jelas Siti.
Murai