Oleh HAMDAN AHMAD
PADA 23 Mac 2008, hari Ahad yang lalu telah berlangsung Petronas Grand Prix Malaysia (F1) kali ke-8. Pertama kali F1 ini diadakan ialah pada tahun 1999 hasil daripada buah fikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Semasa idea untuk mengadakan F1 ketika itu ada pihak merasa sangsi dengan cadangan tersebut tetapi sekarang kewujudan F1 di bumi Malaysia sudah pun terbukti dan diterima ramai.
Dengan adanya F1 di sini, membolehkan rakyat negara ini menonton sambil bersantai melihat pemandu kesayangan mereka beraksi betul-betul di depan mata sendiri di Litar F1 Sepang.
Menonton perlumbaan F1 di TV dengan menyaksikannya dengan mata sendiri di sirkit Sepang adalah dua perkara berbeza. Sebenarnya deruman kereta F1 di TV berbanding dengan deruman yang kita sendiri alami ketika hadir di sirkit Sepang memang sudah dapat kita bezakan.
Tidak seperti tahun sebelumnya, jumlah penonton yang menyaksikan F1 kali ini telah meningkat kepada 126,000. Bilangan penonton yang menyaksikan perlumbaan yang sama tahun lepas sekadar 115,000 sahaja. Ini menunjukkan peningkatan bilangan penonton lebih kurang 10 peratus berbanding tahun lepas. Statistik ini secara jelas menunjukkan Grand Prix F1 tahun demi tahun semakin mendapat sambutan rakyat jelata negara ini dan juga peminat sukan bermotor luar negara.
Kalau dahulu nama Malaysia kurang dikenali oleh orang luar negara, kini ia mudah dikenali dan salah satu sebab kerana kita berjaya mengadakan perlumbaan F1. Impak F1 bukan sahaja pada sukan permotoran itu sendiri tetapi perlu dilihat dari aspek menjana ekonomi negara.
Bermacam-macam program disediakan ketika berlangsungnya F1 baru-baru ini. Para penonton yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada Perdana Menteri Malaysia hinggalah kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza juga turut hadir bagi memeriahkan majlis. Juga kelihatan kumpulan kanak-kanak sekolah kebangsaan dari Pahang lebih daripada 100 orang kesemuanya yang ditaja oleh Petronas berpeluang menyaksikan perlumbaan F1 yang berlangsung. Mungkin ada di antara kanak-kanak ini yang tidak percaya yang mereka berpeluang menyaksikan F1.
Diharapkan peluang ini dapat mencetus minat kanak-kanak ini dan mana tahu suatu hari nanti mungkin ada di antaranya akan menjadi pemandu F1. Lebih menyeronokkan lagi apabila kereta BMW Sauber tajaan Petronas mendapat tempat kedua – julung kali diperoleh dalam tempoh 10 tahun.
Sejak kebelakangan ini aktiviti sukan peringkat antarabangsa telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan rakyat Malaysia dan juga pelancong asing dan telah pun memberikan pulangan dan nilai tambah kepada ekonomi negara.
On 26th March2008