Magis Perias Wajah



Oleh Maliah Surip


NURUL (kiri), Sai dan Baby tidak memilih kasta untuk mencantikkan seseorang.

Panel 1 Azhari Hassan atau lebih mesra sebagai Baby Elle meneroka dunia mencantikkan kaum hawa sejak tahun 1992. Bermula sebagai jurusolek pengantin di kampung halaman di Sungai Koyan, Pahang, rezeki terbuka buatnya hasil usaha gigih untuk merias wajah para selebriti. Pernah ‘lama’ dengan Nasha Aziz, dia beralih kepada Misha Omar. Pemilik Butik Baby El’s & Mira Zaidy di Kota Damansara ini mendampingi Ning Baizura selain merupakan jurusolek dan koordinator pakaian di Al-Jazeera, Malaysia.

Panel 2 Sebagai seorang jurusolek cukup terkenal – Nurul Shukor, profilnya diisi dengan merias wajah-wajah artis tempatan dan kerabat diraja. Memulakan kerjaya lebih 15 tahun lalu dengan Haiza, artis pertama yang menerima sentuhan tangannya, pemilik Nurul Shukor Touch ini sinonim sebagai jurusolek kegemaran dan peribadi Datin Seri Siti Nurhaliza sejak lima tahun lalu. Terdahulu, Nurul pernah bekerja sebagai pembantu di warung mi soto dan petugas di restoran KFC.

Panel 3 Merupakan kakak kepada penyanyi tersohor, Ella, Saidatulnisa Aminuddin atau dikenali sebagai Sai memulakan langkah awal sebagai jurusolek pada tahun 1984 selaku mak andam dan tahun 1990 sebagai jurusolek artis. Telah memberi sentuhannya kepada ribuan wanita di Malaysia, pemilik Butik Saidatulnisa di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor ini dikenali sebagai jurusolek diraja – terutama di kalangan kerabat Brunei Darulsalam.

Satu pertemuan yang penuh warna – gelak, canda dan kesedihan yang bersulamkan sebuah perkongsian pengalaman.

Temu janji dengan tiga jurumekap tersohor tanah air, Nurul Shukor, Baby Elle dan Saidatulnisa diadakan pada lewat malam kerana kesibukan masing-masing.

Pun saya harus akur dan bernasib baik kerana berjaya mengumpul mereka sementelah Nurul sibuk menguruskan kelas solekan.

Tak menang tangan merias wajah kliennya, Saidatulnisa pula kerap benar berteduh di Brunei dan kadangkala di London sebagai jurumekap peribadi diraja Brunei.

Begitu juga Baby Elle yang sibuk di Al-Jazeera (khabarnya dibayar mencecah RM7,000 sebulan) selain menjalankan butiknya yang baru dibuka.

Kenapa mereka? Tanpa mereka yang merias, merapi dan mendandan para selebriti yang pada awal kemunculan begitu naif dengan alat solek, barangkali mereka semua umpama lukisan hitam putih tanpa warna.

Ringkasnya, bagaimana boleh terjebak dalam dunia ini?

NURUL SHUKOR (N): Sewaktu bekerja di sebuah hotel di Singapura saya bekerja sebagai seorang jurusolek secara tidak langsung. Semuanya terjadi selepas teman saya memberi kepercayaan untuk saya menyolek dia pada hari perkahwinannya, sedangkan saya tidak pernah menyolek orang.

Kalau dikenang semula memang lucu sebab alat solek pun saya pakai dia punya dan ada yang diberi teman (senyum). Kemudian saya balik ke Malaysia, bekerja di salon Emma G4O, buat rambut dan saya terus asah bakat sebagai jurusolek pada masa sama.

Alhamdulillah, rezeki, saya bekerja untuk iklan komersial sebelum Raja Malik membawa saya ke Metrojaya untuk menyolek. Dari mulut ke mulut, pintu saya terbuka apabila diambil Pony Canyon sebagai jurusolek rasmi mereka. Di situlah saya membina nama.

BABY ELLE (B): Saya bermula daripada minat ingin melihat orang cantik. Saya suka cantikkan orang. Dulu di kampung, kalau ada orang kahwin, sayalah orang pertama yang akan sibuk nak tengok muka pengantin disolek. Sehinggalah ada orang percaya saya boleh menyolekkan orang.

Kemudian pergi ke Kuala Lumpur, ikut ‘mak ayam’ (ketawa) Azman Razali. Dia yang membuka peluang saya menyolek artis tempatan. Saya bermula dengan menyolek Nasha Aziz untuk filem Kad Cinta dan kemudian, alhamdulillah, rezeki berkembang.

SAIDATULNISA (S): Asalnya saya dulu merupakan seorang penari kebudayaan.

N: Hah, dia dulu perempuan kabaret (ketawa).

S: (Ketawa) Hah tulah. Bila jadi penari, saya kerap menyolek diri sendiri, kemudian teman-teman. Dari situ saya mula buat solekan untuk orang kahwin sebelum perlahan-lahan terlibat dalam industri. Tapi bukan Ella artis pertama yang saya solek, saya pun tak ingat siapa.

Apa kata keluarga tentang pekerjaan kalian terutama Nurul dan Baby?

N: Keluarga saya menentang habis, terutama arwah ayah. Dia pandang rendah saya dan pekerjaan ini. Dia tak suka saya jadi macam ini, macam pondan.

Tiga tahun saya tak bertegur dengan ayah sebab pekerjaan ini. Tapi saya tekad, saya mahu buktikan pada dia bahawa ini pekerjaan yang betul. Yang boleh buat duit dan saya juga tak sakitkan sesiapa.

Namun lama-kelamaan dia boleh terima, sebab saya tetap anak dia. Lagi-lagi selepas ramai orang kampung kata, sayalah orang yang selalu mencantikkan penyanyi Siti Nurhaliza tu (ketawa). Kiranya saya tumpang Siti juga.

Alhamdulillah, sebelum dia meninggal dunia, dia sudah boleh terima keadaan dan pekerjaan saya. Katanya, saya ini Harimau Kertas dan dia bangga dengan saya.

B: Alhamdulillah, keluarga saya amat memahami. Hanya tentangan datang daripada orang kampung yang menghina saya. Tapi keluarga tetap menyokong sebab mereka tahu saya minat dalam bidang ini dan saya buktikan saya boleh berjaya.

S: Saya juga tiada masalah sebab keluarga tahu saya memang suka bidang ini.

mereka bertiga menyimpan banyak rahsia artis tanah air.

Bayaran pertama yang diterima?

B: RM15. Tapi itu pun dah rasa besar sangat masa tu sebab baru lepas sekolah. Rasa dah macam diva kampung sebab berjaya menyolek pengantin dan dibayar pula (ketawa).

N: RM50, daripada kawan yang saya cerita tadi.

S: RM25, juga hasil solek orang kahwin.

Bayaran sekarang?

N: Alamak, nak kena cakap ke? Tak payahlah ya. Tapi masih masuk akal (ketawa).

B: Betul, tak payahlah cakap harga kami. Yang penting, semua orang masih mampu membayar dan kami juga bukannya cekik darah sangat hanya kerana nama sudah ada (ketawa). Yang penting individu itu menilai bayaran kami setimpal dengan hasilnya.

S: Ya, sebab yang penting khalayak menghargai kerja kami. Kemudian baru datangnya harga kerana kerja jurusolek ini juga satu seni dan kreativiti. Jadi orang patut menilai kreativiti ini terlebih dahulu berbanding bayarannya.

N: Saya pun nak tambah. Sebenarnya kami bukan kejar duit saja ya. Kita buat benda ini sebab minat dan tahu ada bakat. Macam Sai cakap tadi, ini kerja seni kami. Jadi nilainya harus setimpal dengan seni yang diberi.

Adakah sekarang selektif menyolek orang? Maksudnya orang biasa mungkin agak sukar mendapat sentuhan magis kalian?

N: Taklah. Saya masih menyolek sesiapa sahaja yang mahukan khidmat saya. Tak kira darjat dan pangkat. Malah saya juga masih ambil job pengantin yang tinggal di rumah setinggan. Saya masih memberi khidmat kepada semua yang memerlukan.

S: Ya, saya juga. Malah sampai sekarang, saya masih memandu seorang diri pergi menyolek pengantin sebab saya memang suka mencantikkan orang. Ditipu tidak dibayar pun pernah. Tak kisahlah siapa pun nak dapatkan khidmat saya, jangan takut kerana harga untuk kerabat dan orang biasa berbeza.

B: Saya pun masih menyolek pengantin. Tak kisah sebab kami memang minat mencantikkan orang.

Macam mana boleh mendapat kepercayaan keluarga diraja?

S: Terus terang, sebenarnya ini semua bantuan media dan cakap dari mulut ke mulut. Media sebab selalu beri kredit kepada kami kalau menyolek artis. Daripada situ orang mula kenal, oh ini solekan saya, Baby atau Nurul. Kalau kami menyolek pengantin pula ia akan tersebar dari mulut ke mulut.

B: Media memang banyak membantu kami memperkenalkan diri kepada khalayak dan terus mendapat kepercayaan bukan sahaja golongan diraja tetapi juga orang biasa.

N: Kerana keikhlasan kita dalam bekerja (senyum).

DUNIA solekan memberi pulangan lumayan.

Dan menjadi teman akrab artis, mesti simpan banyak sangat rahsia mereka kan?

N: Oh, sangat banyak. Dulu, sebelum Siti berkahwin, saya rasa menyimpan rahsia dia seperti satu beban (ketawa). Bayangkan, saya pernah ditawarkan wang ringgit oleh seorang wartawan hanya untuk mendapatkan maklumat daripada saya. Namun saya berpegang pada prinsip bahawa saya tidak akan mengkhianati perhubungan yang telah kami jalin atas dasar hormat.

S: Banyak sangat rahsia artis-artis kita yang ada dalam tangan kami sampai tak larat dah nak simpan rahsia lagi (ketawa). Tapi sekali pun saya tidak pernah bocorkannya kerana saya tak sampai hati. Sudahlah saya dibayar, dilayan dengan baik, jadi mengapa tidak membalasnya dengan menghormati apa yang telah dikongsi sebagai satu rahsia?

B: Saya tak akan tutup periuk nasi saya kerana tidak pandai menyimpan rahsia dan menghormati hubungan yang telah dibina. Sebenarnya, tidak menjaja cerita artis atau sesiapa sahaja yang rapat dengan kita adalah kunci bagaimana orang mempercayai dan selesa bekerja dengan kita.

Kalau saya kata kalian ini sama taraf popularnya dengan artis?

N: (Ketawa) Gila sama taraf. Taklah, mana ada. Tapi saya percaya untuk keadaan sekarang, saya sudah selesa. Mungkin glamor yang kejar kami (ketawa). Alhamdulillah, ini jalan hidup kami.

S: Tak rasa glamor langsung.

B: Popular pada saya tidak penting kerana apa yang penting, kami memberi kepuasan kepada orang. Bila orang puji hasil kerja kami, itulah datangnya erti glamor. Rasa kembang (ketawa).

Adakah saya akan melihat kalian dalam jangka masa 10 tahun lagi sebagai jurusolek?

N: Jujurnya dalam masa terdekat, saya akan settle down kerja-kerja menyolek orang. Mungkin akan buat, tetapi tidak sekerap sekarang sebab saya ingin memberi fokus kepada perniagaan saya. Saya tak boleh tamak. Saya ada misi menukar profesion ini kepada sebuah empayar perniagaan, insya-Allah.

B: Macam Nurul, menyolek pasti ada sebab ini kecintaan kami. Tapi mungkin pada waktu itu akan lebih fokus terhadap perniagaan kami.

S: Sama seperti mereka (ketawa).

Kosmo

You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Magis Perias Wajah”

  1. lily says:

    love u all.. minat dgn makeup..

Leave a Reply