RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Anjakan AJL22



Oleh: WANDA IDRIS

SELEPAS 22 kali penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) telah membuktikan kejayaan dan kegemilangan meraikan warga pencipta lagu tempatan.

Pentas AJL dilihat tempat berprestij membuktikan karya masing-masing. Bukan sahaja pencipta lagu dan penulis lirik, penyanyi juga memperoleh keuntungan melalui penyertaan itu.

Ini kerana di pentas itulah mereka membuktikan kemampuan vokal masing-masing. Pincang vokal tidak sahaja bererti pincangnya sebuah lagu.

Lebih besar daripada itu, mereka memincangkan sendiri kepercayaan peminat terhadap vokal artis pujaan mereka.

Justeru, tidak hairan kalau ramai artis tempatan yang berjaya menempah tiket ke AJL menganggap peluang ke pentas itu tidak boleh disia-siakan.

Malam Ahad lalu, kita menyaksikan kehebatan lagu, lirik dan vokal para peserta yang bersaing bagi merebut gelaran juaranya.

Tiga kategori dengan 14 buah lagu, kumpulan Estranged berjaya menggelarkan lagu Itu Kamu sebagai juara sekali gus menggondol wang tunai berjumlah RM37,000 termasuk bagi gelaran juara kategori Pop Rock yang menyumbang sebanyak RM12,000.

Satu anjakan dalam pertandingan lagu di negara ini kerana kumpulan tersebut merupakan sebuah kumpulan indie yang mencuba nasib dalam arus perdana.

Memberikan satu kualiti persembahan yang hampir sempurna lagu, lirik selain vokal dan permainan muzik yang mantap, Estranged membawa dimensi baru kepada AJL.

Sesuai benarlah dengan tema Keajaiban Muzik yang dipilih untuk mengangkat martabat AJL22 terbitan TV3 baru lalu.

Setidak-tidaknya kita sudah mampu menilai tentang sebuah lagu dan lirik yang baik berbanding lagu yang hanya bersandarkan populariti sahaja.

Tanpa kontroversi, memang kemunculan Estranged sebagai juara melengkapi pakejnya. Begitu juga dengan kemenangan lagu Samudera, ciptaan Johan Nawawi dan lirik Ahmad Fedtri Yahya bagi kategori Etnik Kreatif serta Izinku Pergi (Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak).

Cuma hendaknya lagu-lagu berentak Etnik Kreatif mendapat lebih tumpuan daripada para pencinta karya dalam penghasilan lagunya.

Ini kerana Etnik Kreatif bukan sekadar Irama Malaysia yang penuh keaslian malah juga ciptaan kreatif yang menyumbang kepada penampilan etnik atau kaum selain irama muzik dunia yang indah.

Biar terdapat beberapa kelemahan misalnya sistem audio yang kurang memberangsangkan, secara keseluruhannya AJL22 membuktikan bahawa penganjurannya sentiasa mendapat sokongan padu khalayak.

Buktinya, Stadium Putra Bukit Jalil, tempat berlangsungnya pertandingan berprestij itu dipenuhi peminat seni hiburan tanah air.

Tidak sahaja untuk melihat persembahan secara langsung, mereka hadir demi memberikan sokongan dan semangat buat artis pujaan masing-masing.

Nyata Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi mendapat tepukan paling gemuruh pada malam itu. Mereka membuktikan terus mengungguli sokongan peminat.

Malah kemenangan Mawi untuk Persembahan Terbaik memang berbaloi kerana persembahannya pada malam itu menampilkan sesuatu yang menyegarkan ketika menyanyikan lagu berentak rancak Angan dan Sedar, ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Loloq bagi kategori Pop Rock.

Sementara kehadiran Siti Nurhaliza menyerikan AJL dengan mewakili kategori Pop Rock bagi lagu Destinasi Cinta. Ini kerana kemunculannya dinantikan penggemar setia sementelah ‘berehat’ seketika daripada menyertai pertandingan itu.

Pengganti penyanyi asal juga memberikan satu persembahan amat meyakinkan. Lihat sahaja Sahri yang mewakili Kaer mempersembahkan lagu Izinku Pergi.

Biar persembahan pentasnya nampak klise namun vokalnya menyerlah. Malah lagu itu dianggap juri malam itu sebagai sebuah lagu yang perlu diangkat sebagai pemenang kategori Balada.

Fiq juga membuktikan keupayaannya menyampaikan lagu Mahakarya Cinta, lagu Audi Mok/lirik Shah Shamshiri dengan begitu baik sekali namun paling membanggakan ialah kemunculan Bob yang memukau stadium dengan lagu Kasih Tercipta, ciptaan Ajai dan lirik oleh Shuhaimi Baba.

Mungkin sahaja nasib tidak menyebelahi mereka kerana persembahan Vokal Terbaik dimenangi oleh gandingan Jaclyn Victor dan Lah VE menerusi lagu Ceritera Cinta, ciptaan Ross Arffin dan lirik Habsah Hassan.

Penyanyi senior seperti Aishah dan Ramlah Ram yang masing-masing mempertaruhkan lagu kategori Etnik Kreatif berjudul Kasihnya Balkis dan Dirgahayu memang tidak perlu dipertikaikan kemampuan persembahan mereka. Dengan vokal yang mantap, mereka sendiri punya banyak pengalaman malah pernah bergelar juara anugerah tersebut.

Begitu juga dengan kolaborasi Misha Omar dan Andy Flop Poppy yang mempertaruhkan lagu Sembunyi ciptaan Aidit Alfian dan lirik Loloq.

Tidak ketinggalan kumpulan Sofaz dengan lagu Janjiku, ciptaan dan lirik Taja dan Tass serta kumpulan Jinbara dengan lagunya Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) ciptaan Denai dan lirik oleh Andy Rahman dan RD Razi.

Selepas kejayaan pada malam itu, pastinya penganjur AJL mahu melihat magik itu berterusan pada masa hadapan.

Selama 22 tahun membuktikan kehebatan mereka menganjurkan pertandingan tersebut, pastinya ada perancangan baru bagi terus menyuntik kesegaran supaya khalayak terus menyokongnya.

Perlu ada resipi baru untuk menambah lagi perisa ke dalam AJL yang bakal memasuki usia 23 tahun tahun depan. Selain mengharapkan kemunculan lebih banyak lagu-lagu yang terbaik untuk dipertandingkan, pastinya satu suntikan baru juga harus dibuat untuk memperhebatkan lagi penganjurannya.

One Response to “Anjakan AJL22”

  1. kushah says:

    tahniah untuk semua artis .
    lagi2 siti nurhaliza .
    hehe .

Leave a Reply