Skip to content

January 10, 2008

Lima Dekad Chef Wan



Oleh HARYATI KARIM

TANGGAL 3 Januari lalu, genaplah 50 tahun usia Chef dan selebriti terkenal negara , siapa lagi kalau bukan Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail.

Di kala usia yang boleh dikira agak lewat, dia masih mampu berdiri dan tersenyum.

Malah, dirinya masih lagi bekerja keras untuk memantapkan lagi kerjayanya.

Bakatnya bukan sahaja terarah dalam bidang masakan tetapi turut dilemparkan dalam bidang seni.

Pernah berlakon dalam beberapa buah filem dan yang terkini, dia sedang hangat sebagai pengacara program bual bicara Ole-Ole Chef Wan yang ditayangkan di TV9.

Jika dihitung dengan teliti, terlalu banyak kejayaan yang dikecapinya.

Bermula daripada seorang chef dibelakang dapur hotel, dia terus melakar namanya dalam program masakan tempatan dan seterusnya mengelilingi dunia sambil membawa nama Malaysia bersama.

Dia yang turut dilihat kelibatnya dalam program Asian Food Channel (AFC), telah diraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 50, secara sederhana di Tarbush Feast Village Restaurant Star Hill, baru-baru ini.

Sungguhpun sambutan diadakan lewat empat hari dari tarikh hari lahirnya, Chef Wan tetap bersyukur kerana ramai sungguh sahabat handai dan saudara maranya yang hadir.

Tidak ketinggalan bekas isterinya turut memeriahkan majlis yang bermula pada jam 9.00 malam itu.

Mengakui, jika sebelum ini dia akan menyambut hari lahirnya dengan bercuti di luar negara, tetapi kali ini berlainan sedikit kerana sambutannya serba sederhana.

“Sebenarnya saya dah berfikir, tidak mahu buat sambutan hari lahir walaupun sebelum ini kawan-kawan saya ada mengajak ke Bali dan sambut di sana sahaja.

“Tetapi apabila difikir masak-masak, buat apa saya berhabis duit ke sana lebih baik saya simpan duit dan beri kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya yang mengatakan sambutan hari jadi dibuat dalam sekelip mata kerana tidak dirancang awal.

Walaupun ia tidak dirancang dengan teliti, majlis itu tetap berlangsung dengan penuhsempurna.


KASIH anak. Chef Wan menyuap manja ibunya sambil disaksikan anak-anaknya.

Bantu Beinda bukan untuk glamor

Chef Wan yang dikenali sebagai seorang yang begitu peramah, turut menghulurkan bantuan buat penyanyi dan pelakon, Bienda yang disahkan mempunyai jantung berlubang, apabila terbaca mengenainya di akbar.

“Saya bayangkan dia (Bienda) seperti anak saya sendiri walaupun saya tidak mengenalinya.

“Ini kerana saya ada anak perempuan, walaupun duit saya tidaklah banyak mana, tetapi rezeki saya masih ada untuk saya menghulurkan sedikit bantuan buatnya,” ujar Chef ini lagi yang turut menderma untuk Rumah Anak Yatim Nurul Iman, Gombak, Rumah Orang Tua dan Kanak-Kanak Cacat di Taman Mega, Port Klang.

Tambah Chef Wan, tujuannya membantu Beinda bukanlah untuk bermegah-megah tetapi sekadar niat untuk meringankan beban orang lain.

“Saya fikir kalau ada duit banyak-banyak pun bukannya boleh bawa masuk dalam kubur, saya pun tak tentu hidup lama, jadi baik saya kongsi rezeki saya bersama orang lain, dapatlah juga saya beramal,” tegasnya yang berharap ia boleh dijadikan sebagai contoh buat rakan artis yang lain.

Rahsia cergas dan sihat

Sementara itu, apa yang menarik perhatian ialah kelincahannya sama ada di pentas acara mahupun dalam program kelolaannya. Dia yang dilihat banyak berkerja keras, masih kelihatan cergas dan sihat.

Menurutnya, rahsia dirinya kekal seperti hari ini ialah hasit diet pemakanan yang diambil.

Chef wang juga mengakui amat menitik-beratkan penjagaan kulit muka. Sehingga kini, dia bebas daripada sebarang penyakit yang selalu menyerang lelaki seusianya.

“Kalau ada masa lapang saya suka berkebun dan memanjakan diri saya sendiri supaya kelihatan kekal sihat.

“Tidak perlulah saya suntik muka untuk nampak muda (ketawa),” jelasnya lagi mengamalkan membuang toksik dalam badan dua bulan sekali.

Mendengar penjelasannya, rasanya perbelanjaannya untuk kekal sihat sungguh besar, tetapi melihat pula pada kerjayanya yang kadang-kala menuntutnya berada di sesebuah lokasi untuk jangkamasa yang panjang, ia mungkin berbaloi untuknya.


BIAR sudah tidak bersama, Chef Wan dan bekas isteri tetap mesra.

Bapa kepada dua orang anak ini, (Serina dan Nazri), mempunyai keazaman yang besar untuk tahun baru ini. Azam 2008 Chef Wan ialah dia mengharapkan rezekinya akan bertambah.

Khabarnya, rancangan Ole-Ole Chef Wan bakal disambung ke musim seterusnya sebanyak 31 episod, dan sambutan hari lahirnya ini juga dimuatkan dalam salah satu episod program tersebut.

Selain itu, dia juga menjadi pengacara untuk program berjudul Jangan Dapur Tak Berasap, Seafood Odisi dan Palace Cuisine yang menemui penonton tidak lama lagi.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran rakan artis seperti Ning Baizura, Umie Aida, Zahida Rafik, dan juga kehadiran mengejut Datin Seri Siti Nurhaliza bersama imej barunya.

Kosmo

Read more from Uncategorized

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments