Skip to content

October 3, 2007

4

Tak percaya Siti berada di depan mata



Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Penyanyi popular luangkan masa kunjungi anak yatim di Gombak bersama krew Singgah Sahur

BAYANGKAN penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza masuk ke bilik dan mengejutkan anda untuk bersahur. Pasti rasa macam tidak percaya tetapi itulah perasaan yang dialami kanak-kanak di Rumah Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah, Gombak, Sabtu lalu apabila sebaik mengesat mata, wajah Siti berada di depan mata.

Rumah yang menempatkan kanak-kanak berusia antara 2 hingga 15 tahun itu masih gelap ketika krew Singgah Sahur tiba di kediaman mereka kira-kira jam 4 pagi. Ramai yang sukar membuka mata ketika dikejutkan, apa lagi sebaik bangun tidur tiba-tiba terlihat Siti Nurhaliza duduk di birai katil bagaikan mimpi.

Sebaik melihat kelibat penyanyi jelita itu, mereka bingkas bangun. Namun, seorang penghuni kecil berusia 3 tahun bernama Eton pula begitu sukar membuka mata hingga terpaksa didukung oleh Siti Nurhaliza untuk menikmati juadah sahur yang disediakan oleh pihak TV3.

Riuh rendah seketika rumah yang dihuni 31 orang anak malang itu apabila krew Singgah Sahur membuat kunjungan mengejut ke rumah mereka. Siti yang hanya ditemani abangnya Ayie dan kakak iparnya Rozie turut meluangkan masa menikmati sahur bersama anak-anak yang kurang bernasib baik itu.

Suaminya Datuk Khalid Mohamad Jiwa pula tidak dapat turut serta kerana ada urusan lain namun, Khalid tidak lupa menyampaikan salam kepada mereka. Siti pula meskipun baru saja selesai dengan majlis di Dataran Mereka terus saja bergegas ke Gombak menunjukkan sikap prihatinnya.

Selesai bersahur bersama, Siti Nurhaliza mengambil kesempatan menyampaikan duit raya kepada penghuni Baitu Saidati dan memberikan sumbangan peribadi serta hamper kepada rumah berkenaan. Sementara itu, pihak TV3 yang diwakili Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Mutalib Datuk Seri Mohammed Razak dan isteri Datin Radziah Mohd Daud turut menyampaikan duit raya dan hamper.

Bagaimanapun sebelum ke Gombak, penjelajahan yang bermula kira-kira jam 10.30 malam itu memulakan destinasi pertamanya di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang meninjau mereka yang terpaksa bekerja syif malam menguruskan kontena yang tiba dari seluruh dunia. Suasana di situ meskipun jam sudah menunjukkan 12 tengah malam masih lagi aktif dan riuh rendah.

Pada waktu itulah kapal dari seluruh pelusuk dunia tiba. Kehadiran krew Singgah Sahur walaupun seketika membawakan sedikit keceriaan kepada pekerja di Pelabuhan Barat apa lagi dengan kehadiran dua personaliti TV3, Zakiah Anas dan Hairuddin Mohd Noh, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI).

Hampir setengah jam meluangkan masa di Pelabuhan Barat, Singgah Sahur menuju ke lokasi kedua iaitu Sekolah Menengah Seri Puteri yang terletak di Cyberjaya. Pihak TV3 menyumbangkan duit raya dan hamper kepada 121 orang pelajar projek dari golongan miskin tetapi cemerlang dalam pelajaran.

Apabila diberitahu Siti Nurhaliza menunggu krew Singgah Sahur di Gombak dan tidak dapat melawat mereka, terdengar keluhan hampa daripada pelajar cemerlang itu.

Penerbit Eksekutif Singgah Sahur, Noraini Tahir berkata, tidak banyak perbezaan di antara Singgah Sahur tahun ini berbanding dua musim yang lalu. Bezanya tahun ini program Singgah Sahur mengundang sama selebriti.

Selain itu tahun ini sedikit berbeza apabila Singgah Sahur berada di perantauan iaitu di Stockholm dan London. Program sebanyak lapan episod itu dijangka berakhir pada 6 Oktober nanti.

“Singgah Sahur kini sudah pun memasuki tahun ketiga. Tidak banyak perbezaannya kerana konsepnya masih lagi sama seperti dulu cuma bezanya tahun ini ia ada membabitkan artis.

“Selain itu, Singgah Sahur kali ini juga membawakan satu episod dari luar negara di mana Ally Iskandar dan Datuk Farid Ridzuan ke sana untuk bersahur dengan masyarakat kita di sana,” katanya.

Singgah Sahur menemui penonton pada Jumaat malam Sabtu jam 12.30 tengah malam dan Sabtu malam Ahad pada waktu yang sama di TV3.

Read more from Berita Harian
4 Comments Post a comment
  1. Oct 4 2007

    bagussss……… tapi kenapa bila memberi sumbangan peribadi nak masuk paper? hmmm…. kan ke bagus sumbangan wang tu di beri secara rahsia. nak buek cam no, lain org lain caranya. ada org suka sumbangannya di ketahui org ramai utk mendapat nama, ada org suka berahsia sbb niat ikhlas menderma kerana tuhan. apa2 pun gua tak berani lah nak komen bab derma ni… harap apa yg di berikan tu biarlah ikhas bkn kerana nama

  2. cykepo
    Oct 8 2007

    mcm mana nak cakap eh. kalau hidup tu asik diikuti media, susahlah nak berahsia. kalau dulu waktu dating boleh orang buat rahsia sebab benda tu salah, jadi benda yang betul ni tak payahlah berahsia. sure heboh kan bagussss

  3. Oct 8 2007

    ibarat pepatah melayu bilang qada dan qadar tuhan. cuma qadar tu harus di fahamkan betul2. tuhan suruh kita guna akal fikiran. jadi mcm kes derma ni kan blh guna akal. buat le secara berahsia tanpa menunjuk pd live…hanya sekadar menyerah hamper dari sponsor je. sumbangan peribadi biar le mcm tajuk lagu dia ‘biarlah rahsia’. itu yg gua pelik tentang perkara baik mcm ni tak nak plak berahsia…. hmmmm…kenapa???

  4. cykepo
    Oct 9 2007

    mmm kenapa?? aku rasa kau ngan aku dng orang2 yang sepemikiran ngan kita dah tau kenapa dah.

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments