Skip to content

Archive for August 2007

7
Aug

Eight To Compete In RTM’s “Idola Patriotik” Contest



KUALA LUMPUR, Aug 7 (Bernama) — Eight young Malaysians will take part in the final of RTM’s patriotic singing contest, “Idola Patriotik 2007″, to be telecast live from Angkasapuri at 8.30pm on Friday.

Broadcasting deputy director-general (Programmes) Datuk Adilah Shek Omar said the contest was organised to provide a platform for young people to foster love for the country by singing patriotic songs.

“It is also to add joy and merriment to the country’s 50th independence celebration as well as instil patriotism among the young generation,” she told reporters here today.

“The patriotic spirit can be nurtured through songs where understanding of the songs can instil love for the country,” she added.

The eight finalists are Zalina Kassim, 25, Emil Hamlyn ak Paul Diring, 28, Muhaimin Azzahan, 20, Rosmawati Mat Dali, 28, Syaifana Muhamed Subri, 21, Ahmad Falah Ahmad Bassim, 22, Fadzirul Nidzam Ishak, 27, and Farah Nabilla Noor Anuar, 27.

The “Idola Patriotik 2007″ singing contest received encouraging response with more than 1,000 participants nationwide with 26 selected for the semi-final.

Besides a trophy and certificate each for the winners, the first prize winner will receive RM10,000, the runner-up RM5,000 and the third placed RM3,000. There will also be consolation prizes of RM500 each.

Deputy Information Minister Datuk Ahmad Zahid Hamidi will give away the prizes.

The audience will also be entertained by artistes like Izwan Pilus, Azharina Azhar, Victor Lee, Banumitha, Siti Sarah, Nora and a special appearance by Datuk Siti Nurhaliza.

– BERNAMA

7
Aug

Jaga hati Siti

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

DITEMUI: Tiara (tengah) bersama barisan pelakon utama
dan tenaga produksi muzikal Remy… Kisah P Ramlee.

Produksi Remy… Kisah P Ramlee terpaksa akur permintaan penyanyi popular itu

BEBERAPA kali cuba berteka-teki, malah pernah menafikan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza akan terbabit dalam pementasan teater muzikal, Remy… Kisah P Ramlee, semua keraguan itu berakhir malam Rabu lalu.

Penerbit Eksekutif Enfiniti Productions Sdn Bhd, Datin Seri Tiara Jacquelina mengesahkan penyanyi wanita terkenal itu bakal memainkan peranan wanita pujaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Azizah, satu daripada lima watak utama yang bakal menunjangi pementasan itu.

Menurut Tiara, kata persetujuan diberikan isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa itu beberapa jam sebelum pengumuman senarai pelakon utama dibuat. Malah, rakaman penghargaan Siti yang tidak dapat hadir pada sidang media itu kerana terikat dengan persembahan lain di sebuah hotel turut dilakukan pada saat akhir.

“Pilihan untuk menentukan senarai barisan utama pementasan ini cukup sukar kerana kami terpaksa memilih yang terbaik antara yang terbaik. Semua ada di depan mata, namun kami mengutamakan bakat.

“Siti tidak pernah berlakon dan pementasan ini adalah titik permulaan untuk dia melangkah lebih maju sebagai anak seni. Kami yakin dia mampu melakukannya dengan bimbingan semua pihak,” kata Tiara pada sidang media yang diadakan di Borneo Rainforest Cafe, Petaling Jaya.

Seperti barisan pelakon lain, pemilihan Siti dalam senarai utama juga dibuat berdasarkan sesi uji bakat yang dihadirinya. Justeru, kata Tiara, pemilihan Siti tidak harus dilihat daripada sudut komersial semata-mata kerana dia memenuhi kriteria yang diinginkan untuk menzahirkan watak Azizah.

Tiara juga tidak menafikan membawa Siti ke dunia lakonan bermakna mereka harus mematuhi beberapa prinsip yang pernah digariskan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Bagaimanapun, Adlin Aman Ramlie yang bertindak sebagai pengarah pementasan itu cuba mencapai kesepakatan supaya tidak menimbulkan perasaan kurang selesa di hati Siti, keluarga mahupun peminatnya.

“Kami menghormati permintaannya dan pada masa sama, ada juga perkara tertentu yang perlu Siti penuhi. Tetapi, watak Azizah memang bersesuaian dengan karakternya malah ia selari penampilan Siti.

“Kami menjadikan watak Azizah lebih organik dan membentuknya supaya bersesuaian dengan penampilan Siti. Syarat Siti sendiri tidak terlalu tegas. Cuma katanya, dia tidak pernah berlakon dan kalau berlakon, dia ada syarat tertentu. Alhamdulillah, kami mampu mengatasi semua halangan itu.

“Interpretasi kami mengenai watak Azizah ada dalam diri Siti dan percayalah, Siti tidak akan menghampakan semua,” kata Adlin yakin.

PERANAN BERAT: Sean Ghazi dan Liza Hanim bakal
memainkan peranan utama sebagai P Ramlee dan Saloma.

Katanya, dalam pementasan besar seperti Remy… Kisah P Ramlee mereka sebolehnya cuba mengelak daripada terlalu bergantung kepada populariti artis kerana enggan terjerat masalah dibayangi individu tertentu.

Remy… Kisah P Ramlee diadaptasikan daripada perjalanan hidup Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee mengupas persoalan mengenai kehidupan, cinta dan inspirasi ikon hiburan negara itu akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 19 Oktober hingga 3 November depan.

Pementasan 17 persembahan itu menampilkan Sean Ghazi memegang watak utama sebagai P Ramlee, manakala watak Saloma pula dijayakan penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim.

Turut terbabit dalam pementasan yang menelan belanja hampir RM2 juta itu ialah Melissa Saila sebagai Junaidah, dibantu Chedd Yusuf (sebagai teman P Ramlee, Sukardi), Alam serta Andy, Alvin dan Rafik dari Infinatez (paparazzi).

Pemilihan pelakon yang akan memegang watak Norizan belum ditentukan.

“Kami mempunyai beberapa nama yang bersesuaian untuk membawa peranan itu. Kesemuanya mempunyai nama besar dalam industri dan ada kekuatan yang tersendiri. Apa yang penting ketika ini ialah komitmen dan kami masih berbincang mengenainya,” kata Tiara.

Akui Tiara, pencarian pelakon bersesuaian untuk memegang watak P Ramlee turut membawa mereka mengembara hingga luar negara. Mendambakan seseorang yang mempunyai tarikan serta pesona selain biasa dengan pementasan pentas, kriteria itu ada dalam diri Sean Ghazi.

“Dia mempunyai kelebihan kerana pengalamannya menjayakan pementasan West End akan membantu sepanjang proses latihan muzikal ini nanti. Tanggung jawab yang digalasnya juga besar kerana P Ramlee ialah ikon hiburan negara,” katanya.

Bakal menggunakan khidmat pasukan yang menaikkan nama pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang seperti Dick Lee (komposer), Pat Ibrahim (koroegrafer), Raja Malek (pereka produksi) dan Boudeng Edruce (penerbit), Remy… Kisah P Ramlee akan membawa penonton menelusuri sisi yang tidak pernah dipaparkan mengenai perjalanan hidup insan seni bernama P Ramlee.

Segala kesedihan, kepayahan serta insan yang pernah menjadi inspirasi sepanjang hayat P Ramlee akan dikupas dalam teater istimewa yang dihasilkan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50.

“Apa yang akan dilihat dalam pementasan ini bukan rekaan semata-mata. Sebaliknya kami cuba mengungkap segala fakta, desas-desus dan kisah di sebalik hidup P Ramlee untuk diluahkan serta diperjelaskan dalam usaha mencari kebenaran,” kata Adlin.

2
Aug

Pelakon kena cuci hotel

Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my

Rap
PELBAGAI kesukaran dilalui pengarah Shuhaimi Baba dalam merealisasikan filem patriotik arahan terbarunya, 1957- Hati Malaya yang bakal ditayangkan pada hari raya nanti.

Selain berdepan masalah bajet serta kekurangan sokongan pihak tertentu, Shuhaimi dan team produksinya di Pesona Pictures Sdn Bhd turut mengalami kesulitan mencari bangunan bersejarah untuk props serta latar belakang filem ini.

Dalam sidang media khusus diadakan untuk memperkenalkan barisan pelakon 1957- Hati Malaya serta pelancaran laman web filem itu baru-baru ini, Shuhaimi berkata, kesukaran dialami itu menyebabkan filem terbarunya ini paling sukar dihasilkan.

“Kami terpaksa menyediakan beberapa pelan bagi memastikan pembikinan filem ini dapat dijayakan hingga ke saat akhir. Pada awalnya, kami merancang membuat filem ini seperti Ghandi dengan peruntukan bajet RM14 juta hingga RM16 juta.

“Namun apabila semua itu tidak dapat dilaksanakan, kami terpaksa memilih pelan terakhir iaitu plan E yang menggunakan bajet RM3.6 juta untuk menghasilkan filem ini,” katanya.

Katanya, cabaran paling besar yang mereka hadapi apabila terpaksa membersihkan bangunan Hotel Majestic dan Hotel Station untuk digunakan dalam filem ini.

“Memandangkan keadaan di kedua-dua bangunan itu berada dalam kondisi yang tidak begitu terurus, penerbit eksekutif filem ini, Aida Fitri Buyong bersama-sama krunya terpaksa membawa lori dipenuhi cecair peluntur untuk membersihkan tempat itu.

“Kita terpaksa berbuat demikian bagi memastikan barisan pelakon kita dapat duduk dan menginap di hotel itu dengan selesa.

“Apa pun saya bersyukur filem ini akhirnya dapat diselesaikan. Malah, komitmen diberikan barisan pelakon juga tidak berbelah bagi.

“Saya juga terpaksa berterima kasih dengan bahagian penerbitan filem ini kerana berjaya menangani setiap masalah yang timbul. Begitu juga keluarga Tunku Abdul Rahman yang sudi datang membantu apabila kami yang kekurangan rujukan mengenai beliau,“ katanya.

Namun, Shuhaimi mengakui, ada kalanya dia dan team produksinya terpaksa menggunakan lesen kreatif sebagai jalan penyelesaian menyiapkan filem ini misalnya penggunaan rumah Tunku Abdul Rahman sewaktu pilihan raya pertama diadakan.

“Memandangkan tiada sebarang rujukan mengenai rumah pemimpin negara itu direkodkan dalam bahan sejarah, kami terpaksa menggunakan imaginasi sendiri untuk mewujudkan rumah itu.

“Kami sedar mungkin akan ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan kami lakukan ini. Namun, pada masa sama, kami sudah bersedia menerima segala kemungkinan,” katanya.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata, sewaktu penyelidikan dilakukan sepanjang tahun lalu, mereka sendiri tidak begitu jelas serta memahami sejarah kemerdekaan negara yang dicapai pada 1957.

“Kekurangan bahan untuk rujukan menyukarkan lagi kami memahami apa sepatutnya kami tahu mengenai sejarah kemerdekaan negara.

“Namun, kami tidak punya pilihan selain membaca berpuluh buku, dokumen, akhbar termasuk meneroka pelbagai tempat hingga ke London untuk mencari fakta daripada mereka yang berdepan sendiri dengan peristiwa bersejarah itu.

“Adakalanya salah seorang daripada kami terpaksa menjadi guru sejarah bagi memastikan setiap yang berada dalam produksi ini faham dengan fakta sejarah yang kami gunakan.

“Apa pun, saya sangat berharap dengan adanya filem ini nanti, ia dapat dijadikan rujukan penuntut di sekolah atau pusat pengajian tinggi,” katanya.

“Banyak sebenarnya perkara tidak dinyatakan dalam buku teks sekolah terdapat dalam filem ini. Sebab itu, saya berharap sangat filem ini akan dapat jadi rujukan bagi golongan penuntut,” katanya.

Menghasilkan 1957- Hati Malaya ini turut menyedarkan Shuhaimi negara ini kekurangan bahan dari segi sosial sejarah.

“Dalam proses menuntut kemerdekaan negara dan juga beberapa mesyuarat dihadiri pemimpin negara kita, memang ada ditulis tetapi dokumen itu tidak secara mendalam dan emosi mereka yang berjuang menuntut kemerdekaan negara ketika itu juga tidak digambarkan sama,” katanya.

“Misalnya apa yang berlaku dengan Datuk Onn Jaafar yang menjadi pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

“Apabila beliau mengambil keputusan mengundurkan diri daripada Umno, tiada catatan yang dibuat mengenai perasaan dan emosinya ketika itu,” katanya.

1957- Hati Malaya dijayakan Zaefrul Nordin sebagai Datuk Onn Jaafar, Kamarulzaman Taib (Tunku Abdul Rahman, Maya Karin sebagai Salmi/Normala, Rusdi Ramli (Hali/Zahari), Sharifah Amani (Ani/Aishah), Adlin Aman Ramli (Rafik/Razhan), Kavitha Sidhu (Khalilah), Ida Nerina (Halimah) dan Nanu Baharuddin (Sharifah Rodziah).

Turut menjayakan filem ini, Liza Othman (Ibu Zain), Ngasrizal Ngasri (Sardon Jubir), Rozie Rashid (Puteh Maria), Kee Thuan (Tan Cheng Lock), Azhar Sulaiman (Anuar Malek), Na’a Murad (Abdul Razak) Dosulas Lim (Ang Lee/Lau Man Tak), Chacko Vadaketh (EEC Thuraisingam).

Filem mendapat tajaan Digi Communication ini menggunakan teknologi HD bersama kesan khas CGI untuk menghasilkan gambaran era masa lampau. Lokasi penggambaran dilakukan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

Album runut bunyi filem ini mengetengahkan dua lagu tema iaitu Perlu Kamu ciptaan Ajai dan dinyanyikan sendiri Ajai bersama Krisdayanti serta Hati Malaya gubahan Sharon Paul nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. pula akan berada di pasaran pada September ini.

1
Aug

Siti Nurhaliza tak minat jadi Saloma

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Tiara akui ramai penyanyi popular tawar diri terbabit dalam My Name Is Remy

PENERBIT Eksekutif Enfiniti Production Sdn Bhd (EPSB), Datin Seri Tiara Jacquelina pening kepala memilih barisan calon watak utama dalam teater muzikal terbarunya, My Name Is Remy yang mengupas perjalanan hidup, kecintaan serta inspirasi Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sepanjang hayatnya berkarya.

Ini berikutan terlalu ramai penyanyi popular tanah air yang menawarkan diri untuk menyertai teater yang bakal dipentaskan

di Istana Budaya dari 19 Oktober hingga 3 November depan.

Namun Tiara menafikan khabar angin mengatakan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza turut berminat untuk terbabit teater arahan dan skripnya ditulis oleh Adlin Aman Ramli itu.

Bagaimanapun Tiara mengakui Siti hadir di hari terakhir sewaktu mereka mengadakan bengkel pementasan teater muzikal berkenaan, bagaimanapun bukanlah tujuan untuk uji bakat, sebaliknya hanya singgah untuk menemuinya.

“Saya dan Siti memang rapat. Beliau ada datang menemui saya tapi tujuannya bukanlah untuk uji bakat seperti yang diuar-uarkan. Sebenarnya saya masih mempertimbangkan beberapa nama artis terkenal untuk watak utama dan saya masih belum membuat sebarang keputusan.

“Seperti yang diketahui, pementasan teater muzikal bukanlah sesuatu yang mudah seperti berlakon drama atau filem. Ia mengambil masa berbulan-bulan untuk sesi latihan yang diadakan setiap hari. Ia bukannya mudah menuntut komitmen penyanyi popular seperti Siti memandangkan beliau juga terikat dengan undangan nyanyian dan promosi sebagai duta beberapa produk antarabangsa.

“Saya akui ramai penyanyi popular tanah air menemui saya untuk menyertai pementasan karya agung ini. Saya sendiri pening kepala untuk memilih watak utamanya. Insya-Allah saya akan umumkan dalam sidang akhbar yang akan diadakan pada Rabu depan (hari ini),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian restorannya, Borneo Rainforest Cafe di Sunway, baru-baru ini.

Kata Tiara, selain Adlin, beliau masih mengekalkan tenaga kerja yang pernah menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang seperti Pat Ibrahim (pereka tari), Dick Lee (komposer) dan Raja Malik (pereka set).

Menjanjikan sesuatu menarik, Tiara berkata My Name Is Remy tidak lagi memperkatakan hasil karya yang terlalu kerap dipaparkan, sebaliknya ia cuba membawa penonton mengetahui perjalanan hidup, kecintaan serta siapakah wanita bernama Azizah yang sering dipuja P Ramlee sehingga dijadikan lagu.

100 hidangan di Borneo Rainforest Cafe

MENYENTUH restoran barunya itu, Tiara berkata lapan gerai menyediakan lebih 100 resipi kegemarannya termasuklah mi rebus, nasi dagang, laksa Sarawak, nasi kerabu, laksam, nasi lemak dan macam-macam lagi.

Katanya, paling penting, restorannya itu menyediakan kesemua makanan tempatan termasuklah kuih tradisional seperti akok dan cek mek molek yang hanya boleh ditemui di gerai pada bulan Ramadan saja.

“Borneo Rainforest Cafe yang terletak berhadapan dengan Hotel Sunway & Spa mula operasi Sabtu lalu. Sejak dulu lagi saya menyimpan impian untuk memiliki sebuah restoran yang berkonsep santai. Bagaimanapun kesibukan dan sukar mencari lokasi yang strategik membuatkannya sering tertangguh.

“Ibu dan suami adalah orang yang menjadi pendorong untuk saya membuka perniagaan makanan. Selepas kakitangan saya menjumpai lokasi sesuai dan santai untuk dijadikan restoran, saya semakin tidak sabar, akhirnya impian saya tercapai.

“Saya memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk membina sebuah restoran berkonsep dalam hutan. Saya mahukan sebuah restoran yang menjadi tempat santai dan rehat, selain boleh diadakan pelbagai aktiviti atau majlis ringkas,” katanya.

Kata Tiara, restorannya itu boleh menampung kira-kira 400 pelanggan dan kemungkinan beliau mempertimbangkan untuk menyediakan band untuk menghiburkan pelanggannya pada setiap hujung minggu.

“Apa yang menarik, walaupun restoran saya berkonsep gerai tetapi pelanggan tidak perlu mengambil makanan sendiri seperti kebanyakan restoran. Ia akan dibuka jam 6 petang dan ditutup pada jam 1 pagi setiap hari,” katanya. Turut hadir, Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Mohd Khalid Jiwa, Juliza Adlizan, Sofea Jane, Diana Daniel dan Radhi Khalid.