RSS Feed

Archive: June, 2007

APM 2007 didominasi artis Malaysia



Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MESKIPUN pada tahun ini Malaysia hanya menghantar 66 pencalonan untuk Anugerah Planet Muzik 2007 (APM 2007) berbanding 274 penyertaan daripada Indonesia, namun angka yang sedikit itu tidak mengecewakan.

Sebaliknya, negara yang sebelum ini sering “kemarau” trofi kerana dibolot oleh artis dari Indonesia, pada APM 2007 yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, Jumaat lalu membuktikan bahawa artis Malaysia masih berkualiti.

Sebelum ini artis tempatan yang sering digelar jaguh kampung kerap kali tewas kepada artis dari negara seberang terutamanya dalam kategori yang menyentuh soal kualiti berbanding populariti.

Bagaimanapun APM 2007, negara memperoleh lapan anugerah termasuk empat kategori terbaik dan empat lagi bagi kategori popular daripada 12 kategori yang dicalonkan.

Sementara artis Indonesia hanya memperolehi tiga anugerah daripada kategori terbaik iaitu menerusi Letto untuk Duo/Kumpulan Baru Terbaik), Dewa 19 (Duo/Kumpulan Terbaik) dan Samsons (Album Terbaik) daripada album Naluri Lelaki.

Kejayaan

Manakala pihak tuan rumah pula memperoleh satu anugerah menerusi kejayaan tunggal Imran Ajmain bagi kategori Artis Lelaki Baru Terbaik.

Boleh dikatakan APM 2007 adalah milik Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 28, kerana dia berjaya memperoleh tiga anugerah berbanding rakan artis lain.

Siti yang ditemani suami, Datuk Khalid Muhd. Jiwa pada majlis APM berjaya meraih kemenangan menerusi kategori Artis Wanita Terbaik, Lagu Terbaik (Biarlah Rahsia) dan Artis Wanita Paling Popular yang dipegangnya sejak tujuh tahun berturut-turut.

Kemenangan Siti untuk Artis Wanita Paling Popular yang dipilih berdasarkan pilihan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia itu membuktikan bahawa status isteri bukan penghalang untuknya terus diminati.

Untuk kategori ini, Siti berjaya mengatasi Ella, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Rossa, Kris Dayanti dan Acha Septriasa.

“Kejayaan ini (Artis Wanita Paling Popular) kerana peminat-peminat tidak pernah berhenti menyokong Siti. Begitu juga dengan kejayaan lagu Biarlah Rahsia yang dicipta oleh Melly Goeslaw.

“Kejayaan ini terus memberi semangat pada Siti untuk menghasilkan produk yang lebih baik di bawah produksi Siti Nurhaliza Production (SNP). Semoga kita akan terus bekerjasama dengan negara luar untuk memperkayakan seni tanah air,” katanya yang turut mengadakan persembahan bersama Gita Gunawan dan Taufik Batisah.

Sementara Mawi yang baru kali kedua menyertai APM turut membawa pulang trofi untuk kategori Artis Lelaki Paling Popular dan Lagu Paling Popular (Kian).

Mawi yang menganggap kemenangannya itu ibarat mimpi akan terus berusaha memberikan yang terbaik kepada peminat-peminat yang banyak menyokongnya selama ini.

“Lagu Kian amat bermakna kepada saya dan kerana pilihan peminat maka lagu itu berjaya. Demi peminat-peminat yang tidak jemu-jemu menyokong saya akan berusaha menjadi lebih baik lagi,” katanya terus terang.

Bagi komposer dan penyanyi M.Nasir yang meraih kejayaan menerusi kategori Artis Lelaki Terbaik berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik. Lagipun pembabitannya dalam bidang seni adalah untuk berkarya.

Begitu juga dengan Noryn Aziz yang memenangi kategori Artis Wanita Baru Terbaik menerusi album Alam Maya.

Noryn yang turut mengadakan persembahan menerusi lagu Lara menganggap kemenangannya itu sebagai pendorong untuknya terus berkarya dalam bidang seni suara.

Sementara kumpulan Sofaz yang tidak hadir pada acara yang bertujuan memberi penghargaan kepada penggiat seni Malaysia, Indonesia dan Singapura itu turut dipilih memenangi anugerah kategori Duo/Kumpulan Paling Popular.

Pada majlis itu juga buat julung kalinya, APM memperkenalkan Anugerah Cinta Planet Muzik yang diberikan kepada Zainal Abidin kerana sumbangannya kepada masyarakat menerusi seni dan Anugerah Khas Planet Muzik untuk Kris Dayanti.

Bagaimanapun, APM yang dikendalikan oleh Aznil Nawawi (Malaysia), Fiqa (Indonesia), Suhaimi dan Fiza O (Singapura) ternyata belum mampu membuat penonton terpaku di kaca TV untuk menonton acara yang disiarkan secara langsung itu hingga tamat.

Meskipun kali ini pengacara kurang berceloteh berbanding tahun-tahun sebelum ini namun gabungan artis yang mengadakan persembahan kurang menarik.

Memang bagus penganjur menyatukan penyanyi ternama dengan baru tapi biarlah kena dengan konsepnya.

Pemenang-pemenang Anugerah Planet Muzik 2007

- Album Terbaik – Naluri Lelaki (Samsons)

- Lagu Terbaik – Biarlah Rahsia (Siti Nurhaliza)

- Artis Lelaki Terbaik – M.Nasir

- Artis Wanita Terbaik – Siti Nurhaliza

- Duo/Kumpulan Terbaik – Dewa 19

- Duo/Kumpulan Baru Terbaik – Letto

- Artis Baru Lelaki Terbaik – Imran Ajmain

- Artis Baru Wanita Terbaik – Noryn Aziz

- Artis Lelaki Paling Popular – Mawi

- Artis Wanita Paling Popular – Siti Nurhaliza

- Duo/Kumpulan Paling Popular – Sofaz

- Lagu Paling Popular – Kian (Mawi)

- Anugerah Cinta Planet Muzik – Zainal Abidin

- Anugerah Khas Planet Muzik – Kris Dayanti

Kategori Artis Singapura

- Lagu Singapura Paling Popular – Dambaan (Didicazli), Usah Lepaskan (Taufik Batisah) dan Merpati – (Hady Mirza)

- Artis Singapura Paling Popular – Taufik Batisah, Hady Mirza dan Kumpulan

Sleeq

- Lagu Terbaik Singapura – Usah Lepaskan (Taufik Batisah)

- Artis Terbaik Singapura – Imran Ajmain

- Album Terbaik Singapura – Konspirasi Dunia (Bhumiband)

Siti Nurhaliza ke Venice sambut ulang tahun perkahwinan

Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Siti Nurhaliza ke Venice sambut ulang tahun perkahwinan
Siti bersama suami pada majlis ulang tahun ke-33 Lord’s Tailor, di Ritz Carlton, baru-baru ini.

Ogos ini genap setahun penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza melayari bahtera kehidupan sebagai isteri kepada Datuk Khalid Mohamed Jiwa.

Mengakui semakin matang dalam menjalani kehidupannya, kata Siti, dia sentiasa memanjatkan doa agar hubungan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Syukur dah hampir setahun pelayaran saya sebagai isteri. Masih banyak cabaran dan dugaan yang akan saya tempuhi. Tambahan pula bergelar isteri kepada seorang usahawan bukannya mudah. Selalunya suami saya pun sentiasa sibuk. Jadi bagi saya masa yang ada digunakan sebaiknya bersama-sama,” kata Siti yang ditemui selepas majlis ulang tahun ke-33 Lord’s Tailor dan sambutan hari bapa yang diadakan di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung perbualan, kata penyanyi jelita ini, kehidupannya sekarang semakin terisi dan dirinya masih lagi cuba untuk memahami antara satu sama lain demi mendapatkan keserasian dalam rumah tangganya.

“Saya masih lagi belajar untuk menjadi isteri yang baik. Saya masih lagi cuba untuk lebih memahami diri suami saya dan banyak lagi yang perlu saya pelajari,” ujarnya.

Sama seperti pasangan lain, pastinya Siti dan suami tidak terlepas merancang untuk menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya di sebuah lokasi yang mampu meninggalkan sebuah kenangan terindah buat kedua-duanya.

Biarpun pada mulanya Siti seakan berahsia, tetapi akhirnya Khalid telus memberitahu, Venice merupakan kota pilihan mereka.

“Kami akan ke Venice selama dua minggu. Dah lama kami merancang untuk ke sana. Cuma tarikhnya kami belum tentukan lagi,” kata Khalid sambil tersenyum.

Pada majlis tersebut Siti telah menghiburkan khalayak menerusi tujuh lagu antaranya Aku Cinta Padamu, medley lagu Pupus, Teman Tapi Mesra dan Pudar, I Will Always Love You dan Biarlah Rahsia.

Lebih istimewa apabila Ziana Zain muncul selaku penyanyi undangan, berduet dengan Siti menerusi lagu Hanya Memuji.

Siti juga diberi penghormatan memakai sut pertama untuk golongan wanita keluaran Lord’s Tailor iaitu Power Suit For Powerful Women.

Majlis tersebut turut menampilkan 16 selebriti lelaki memperagakan pakaian Lord’s Tailor antaranya Farid Kamil, Arash, Awal, Ebi dan Vince.

Kebahagiaan rumah tangga

Tidak lokek untuk berkongsi kebahagiaan dirinya setelah bergelar isteri, kata Siti: “Rasanya petua kebahagiaan Siti tentunya kerana kami saling memahami antara satu sama lain. Paling penting perlu ada rasa hormat antara satu sama lain. Selain kita perlu taat kepada suami.”

Kebahagiaan itu jelas tergambar apabila Siti masih juga tersenyum apabila ditanya, bila akan menjadi ibu – satu soalan yang acap kali ditanyakan padanya.

“Saya tak merancang dan jika dapat anak dalam masa terdekat, satu rezeki buat saya. Ada juga yang kahwin enam atau tujuh tahun baru dapat anak kan? Saya harap rezeki saya tidaklah selambat itu.

Saya macam isteri-isteri lain yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat sendiri. Dengan cara berjumpa pakar kesihatan selain bertanya kepada orang-orang tua,” katanya yang turut mengakui doa untuk mendapatkan zuriat antara doa yang dimintanya ketika mengerjakan umrah baru-baru ini.

Tak sabar jadi ibu

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

SELEPAS hampir setahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 28, berasa lebih tenang dan tidak tertekan lagi apabila sering kali diajukan pertanyaan bila akan menimang cahaya mata.

Jika sewaktu mula mendirikan rumah tangga dulu Siti mengakui berasa sedikit terganggu apabila selalu sangat orang bertanya adakah dia berbadan dua, tetapi dengan peredaran masa dia semakin lali dan tidak terlalu memikirkannya lagi.

Bahkan, kata Siti, ada juga pasangan yang sudah berkahwin bertahun-tahun tetapi masih belum dikurniakan zuriat buat penyeri rumah tangga.

“Tetapi saya berharap tidaklah terlalu lama menunggu untuk menjadi seorang ibu kerana saya sudah bersedia menerima kehadiran orang baru dalam hidup saya dan suami pada bila-bila masa saja.

“Mudah-mudahan Allah makbulkan doa kami berdua pada masa terdekat ini. Namun begitu, terpulang kepada rezeki yang Allah akan bagi pada kami berdua nanti.

“Saya juga tidak mengambil sebarang pil kesuburan dan seumpamanya, hanya bertemu pakar untuk mendapatkan khidmat nasihat. Sekarang saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana tekanan juga boleh memberi kesan kepada diri saya untuk hamil,” katanya yang ditemui pada majlis ulang tahun Lord’s Tailor ke-33 di Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Menyentuh kehidupan berumah tangga, menurut Siti, banyak cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi, namun berkat kesabaran dan bertolak ansur antara kedua-dua pihak segalanya dapat diatasi dengan baik.

“Biasalah, bumi mana tidak ditimpa hujan, tetapi kita perlulah banyak bersabar. Kekuatan iman juga penting dalam mencari kebahagiaan hidup dan setiap kali selepas solat saya pasti menadahkan tangan berdoa kepada Yang Maha Esa semoga rumah tangga yang dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Saya dan suami semakin serasi serta perlahan-lahan berusaha memahami diri masing-masing. Sehingga hari ini segalanya berjalan dengan baik. Pun begitu, apabila sudah bergelar isteri saya perlu melalui kehidupan baru yang pastinya tidak sama lagi ketika masih bujang dulu.

“Dalam apa jua keadaan saya harus taat pada suami dan memahami kerjayanya sebagai ahli perniagaan. Insya-Allah, rumah tangga akan selamat jikalau suami isteri saling mempercayai dan menghormati perasaan masing-masing,” katanya.

Pun begitu, Siti yang akan menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya pada Ogos ini, belum tahu lagi untuk meraikannya di mana. Katanya, biarlah perkara itu menjadi ‘kejutan’.

Menenai Hari Bapa yang akan disambut pada 17 Jun ini, dia berharap tidak ke mana-mana dan berada di Kuala Lumpur agar dapat meraikannya dengan bapa tersayang, Tarudin Ismail.

“Bagi saya, untuk memberi penghargaan buat sesiapa jua terutama ahli keluarga sendiri tidak perlu menunggu hari tertentu termasuklah Hari Bapa. Penghargaan itu boleh dibuat bila-bila masa kerana kasih sayang anak terhadap ibu bapa tiada penghujung,” katanya.

Pada hari ulang tahun Lord’s Taylor itu Siti tampil menarik menggayakan rekaan sut khusus untuk wanita. Meskipun nama Lord’s Taylor tidak sepopular pembuat sut jenama terkenal lain namun ia sudah bertapak kukuh selama 33 tahun. Antara pelanggan setianya mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah Datuk K sendiri hampir 10 tahun menjadi pelanggan Lord’s Taylor.

Siti yang hadir bersama suaminya ke majlis itu turut membuat persembahan menghiburkan tetamu. Antara lagu pilihannya, Aku Cinta Padamu, Can’t Takes My Eyes Of You dan lagu medley – Teman Tapi Mesra (Ratu), Pupus (Dewa) dan Pudar (Rossa) di mana Siti menjemput wartawan, Farihad Shalla (Berita Harian) dan Huzzaini (Hai) menyanyi bersamanya.

Diikuti lagu, I’ll Always Love You (Whitney Houston). Siti juga kemudiannya menyanyikan lagu Mandarin berjudul Yue Itung Dai Wo De Xin bersama Juara International Chinese New Talent Singing 2006, Andrew Tan.

Undangan istimewa hari itu Ziana Zain dan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, yang juga menggayakan sut Lord’s Taylor. Siti berduet dengan Ziana menyanyikan lagu Hanya Memuji (Shanty dan Marcel).

Penyanyi tersohor itu menutup persembahannya pada petang itu dengan lagu Biarlah Rahsia dan sebaik saja majlis selesai, dia terpaksa bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Singapura menghadiri majlis Anugerah Planet Muzik yang berlangsung di negara itu, Jumaat lalu.

Memeriahkan suasana majlis ulang tahun itu, Lord’s Taylor mengundang 16 selebriti dan artis terkenal tanah air memperagakan sut rekaan terkini butik itu. Mereka yang bertuah ialah Farid Kamil, Fahrin Ahmad, Arash Mohamad, Ashraf Sinclair, Awaludin Ashari, Vince Chong, Rashidi Ishak, Mohd Aman Zakaria, Gadaffi Ismail Sabri (Dafi AF5 ), Ebi Kornelis @ Firdaus Yaimal (Ebi AF5), Mohd Shawal Ruslan (Shawal AF5), Steve Yap, Alan Yun, John Wong, Dylan Liong dan Andrew Tan.

Menyedari imej dan penampilan amat penting kepada mereka yang bergelar insan seni, Fahrin berpendapat artis perlu ada sekurang-kurangnya sepasang sut dalam simpanan sebagai persediaan ke pelbagai majlis anugerah yang kini menjadi acara tahunan dalam kalendar industri seni negara.

“Harga sut agak mahal dan bukan dipakai selalu, tetapi perlu ada sepasang dua dalam simpanan untuk ke acara berprestij. Saya memuji usaha penganjur anugerah seperti Anugerah Bintang Popular-Berita Harian (ABP-BH), yang mewajibkan artis, selebriti dan jemputan melaram dengan sut atau tuksedo.

“Si pemakai bukan saja kelihatan kacak dan bergaya, malah menyerlahkan karisma diri. Kita juga menjadi lebih yakin apabila berada dalam majlis besar seperti ABP-BH,” katanya.

Shawal AF5 yang baru bergelar artis selepas keluar dari Akademi Fantasia (AF) berasa cukup bertuah kerana Lord’s Taylor sudi menjemputnya menggayakan rekaan terbaru mereka.

“Rasa lain betul bila pakai sut ini. Sebelum masuk akademi saya tidak pernah pakai sut. AF benar-benar membuka lembaran baru dalam hidup saya kerana berpeluang mengenakan pelbagai fesyen pakaian termasuk sut.

“Lord’s Taylor juga berbesar hati memberi terus sut ini kepada saya dan juga artis serta selebriti yang hadir hari ini. Menyertai AF membuka banyak peluang dan pengalaman baru dalam hidup saya. Kalau tidak kerana AF, mustahil saya dapat berdiri sebaris pelakon popular seperti Fahrin Ahmad dan Farid Kamil,” katanya yang segak menggayakan sut rona hijau dipadan dengan celana hitam.

Dafi, antara peserta kegemaran ramai AF5 juga teruja kerana terpilih bersama artis lain memperagakan sut Lord’s Taylor.

“Sebelum ini saya memang utamakan penampilan tetapi sut bukanlah pilihan utama. Dengan perkembangan terbaru ini saya perlu menempah sut untuk ke majlis yang memerlukan saya berpakaian formal,” katanya.