Lapan anugerah milik Malaysia



Oleh Farihad Shalla Mahmud

Siti Nurhaliza, M Nasir, Mawi, terus cipta kejayaan pada Anugerah Planet Muzik

BUKAN lagi milik karyawan Indonesia. Sebaliknya Anugerah Planet Muzik 2007 (APM 2007) yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, Jumaat lalu menyaksikan Malaysia mendominasi lapan daripada 12 anugerah dipertandingkan.

Jika sebelum ini Malaysia hanya mampu berbangga dengan anugerah Paling Popular, kali ini situasi amat berbeza. Malam itu, karyawan tanah air meraih empat kategori terbaik dan membolot semua kategori popular. Datuk Siti Nurhaliza yang sebelum ini cukup sinonim dengan gelaran Paling Popular selama enam tahun berturut-turut, tahun ini terus mengekalkan gelaran sama. Paling manis, Siti turut dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik, merampas takhta yang pernah disandang Jaclyn Victor tahun lalu.

Isteri kepada Datuk Khalid Mohd Jiwa itu turut melakar sejarah peribadi apabila lagu nyanyiannya, Biarlah Rahsia memenangi kategori Lagu Terbaik.

Komposer, penyanyi, pelakon dan pengarah tersohor, M Nasir meneruskan kecemerlangan Siti apabila diumumkan sebagai Artis Lelaki Terbaik manakala Noryn Aziz pula mengungguli kategori Artis Baru Wanita Terbaik. Tahun ini rezeki terus berpihak kepada Mawi apabila lagu nyanyiannya, Kian ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik oleh Lukhman S, Kian memenangi kategori Lagu Paling Popular, mengulangi kejayaan sama musim lalu. Mawi juga muncul sebagai Artis Lelaki Paling Popular, sekali gus menewaskan Irwansyah, Taufik Batisah termasuk sifu M.Nasir dalam kategori itu.

Paling mengejutkan, kumpulan yang semakin meningkat naik di Malaysia, Sofaz mengungguli kategori Kumpulan Paling Popular. Satu keputusan di luar jangkaan kerana nama lain bertanding dalam kategori ini bukan calang-calang.

Artis berkumpulan nyata menjadi penyelamat maruah Indonesia apabila mereka mengungguli gelaran Terbaik iaitu Letto yang memenangi kategori Duo/Kumpulan Baru Terbaik, Dewa 19 (Duo/Kumpulan Terbaik) dan Samsons yang memenangi anugerah Album Terbaik.

Acara hasil kerjasama MediaCorp Radio Warna 94.2fm, Ria 89.7fm dan Beyond DBB Malaysia/Beyond Event turut memberi pengiktirafan kepada Krisdayanti apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Planet Muzik, manakala penyanyi lagi Hijau, Zainal Abidin menjadi penerima pertama Anugerah Cinta Planet Muzik atau sumbangan beliau menerusi lagu nyanyiannya.

Bagi kategori yang dikhaskan untuk penggiat seni Singapura, bekas juara Singapore Idol, Taufik Batisah mendominasi tiga daripada lima anugerah yang dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik (Usah Lepaskan), Artis Paling Popular, Lagu Paling Popular (tempat kedua). Satu-satunya calon tunggal Singapura yang memenangi anugerah Terbaik ialah Imran Ajmain menerusi kategori Artis Lelaki Baru Terbaik.

Barangkali, inilah keputusan yang amat ditunggu-tunggu selepas beberapa tahun terpaksa tunduk dengan penguasaan artis dari Indonesia dalam anugerah yang menghimpunkan penggiat seni dari tiga negara ini.

Sewajarnya karyawan muzik Malaysia patut berbangga dengan pencapaian ini kerana ketika di awal pencalonan di buka, Malaysia hanya menghantar 66 penyertaan berbanding Indonesia sebanyak 247 penyertaan dan 120 pencalonan dari Singapura.

INFO
Senarai Pemenang APM 2007

Artis Lelaki Baru Terbaik: Imran Ajmain
Artis Wanita Baru Terbaik: Noryn Aziz
Duo/Kumpulan Baru Terbaik: Letto
Artis Lelaki Terbaik: M. Nasir
Artis Wanita Terbaik: Datuk Siti Nurhaliza
Duo/Kumpulan Terbaik: Dewa 19
Lagu Terbaik: Biarlah Rahsia
Album Terbaik: Naluri Lelaki (Samsons)
Artis Lelaki Paling Popular: Mawi
Artis Wanita Paling Popular: Datuk Siti Nurhaliza
Kumpulan Paling Popular: Sofaz
Lagu Paling Popular: Kian

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply