Archive for June, 2007

Mengapa Ning bukan Siti

Saturday, June 30th, 2007


Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my

BUKAN mudah bagi sesebuah filem dari Malaysia memasuki pasaran Indonesia. Namun filem Diva arahan Sharad Shankar yang diterbitkan Nusantara Films Sdn Bhd bersama Tarantella Pictures dan Astro Shaw Sdn Bhd ternyata berjaya memecahkan tradisi itu.

Hal ini dapat dilihat dengan begitu jelas sewaktu majlis pelancaran serta tayangan malam gala filem berunsur muzikal ala Bollywood ini yang diadakan di pawagam DJakarta XXII, Jakarta, baru-baru ini.

Majlis pelancaran serta tayangan malam gala ini dilangsungkan secara gah dan besar-besaran dengan kehadiran lebih 100 wartawan serta jurukamera di sana yang merangkumi media cetak, elektronik dan online.

Bukan setakat itu saja, pawagam DJakarta XXII yang mempunyai ruang lounge serta panggung besar untuk memuatkan ratusan penonton juga dihadiri ramai tetamu jemputan termasuk dari kalangan artis ternama Indonesia.

Antaranya Ayu Azhari, Alex Komang, Kris Dayanti dan Christine Wilson. Bintang sinetron serta model yang sedang mencari ruang mencipta nama di Malaysia juga turut kelihatan.

Sungguhpun begitu, bukanlah tugas mudah bagi pelakon kita menawan hati atau memenangi jiwa wartawan di sana. Inilah yang dialami Ning Baizura selaku teraju utama filem itu bersama barisan pelakon dari Malaysia, Awal Ashaari, Adam AF2 dan Balkish.

Walaupun tumpuan terhadap mereka diberikan, hakikatnya mereka tidaklah begitu menghiraukan sangat kehadiran pelakon Malaysia ini sebaliknya tumpuan utama pelakon mereka sendiri, Jeremy Thomas dan Jessisca Iskandar yang turut membintangi Diva.

Malah, wartawan senior di sana dengan nada yang cukup jengkil cuba memperlekehkan filem ini serta barisan pelakon kita.

Pembabitan Ning sebagai watak utama turut dipertikaikan. Mengapa Ning yang jadi pilihan dan bukannya Siti Nurhaliza?

Sebenarnya, soalan itu membuatkan delegasi wartawan dari Malaysia tergelak. Cetek sungguh pemikiran wartawan ini kerana mahukan Siti dalam Diva.

Sedangkan dalam filem Tiga Dara yang bakal diterbitkan Christine Hakim, Siti masih belum memberikan apa-apa persetujuan, apalah sangat dengan Diva.

Lagipun, mampukah Siti menjiwai watak sebagai Kartika yang banyak bermain emosi dalaman seperti dilakukan Ning dalam Diva?

Keberkesanan lakonan Ning memang sudah lama diperakui terutama sekali dalam filem Malaikat Maut.

Namun selaku pengarah, Sharad agak bijak menjawab. Katanya: “Jika anda tonton filem ini, anda akan tahu mengapa saya memilih Ning.”

Mengenai pertikaian terhadap konsep Diva yang disifatkan agak longgar dengan perisa Bollywood yang terlalu ringan serta tidak menjadi, Sharad berkata, ia hanyalah sekadar satu tarikan atau hiburan bagi masyarakat untuk menonton filem.

“Apa yang penting, jalan ceritanya berjaya menyentuh hati penonton. Apa yang kita jual dalam filem ini ialah skrip, emosi serta muziknya.

“Saya percaya semua elemen yang digarap dalam filem ini akan diterima dan ketika ini pun kita sudah berjaya mengedarkan filem ini di lima negara, Malaysia, Indonesia, India, Dubai dan Singapura,” katanya.

Namun, jawapan yang diberikan Jeremy dalam majlis pelancaran ini sebenarnya lebih meyakinkan.

“Saya yang dilahirkan sebagai bintang sinetron, apabila diberi peluang membintangi filem ini, saya dapat melihat adanya satu pertentangan luar biasa dalam filem ini iaitu pertembungan budaya di antara ketiga-tiga negara, Malaysia, Indonesia dan India.

“Malah, apabila ia diedarkan di lima negara, ia adalah peluang yang besar untuk saya mencipta nama lebih jauh lagi dalam bidang ini. Namun saya berbangga berlakon dalam filem ini kerana ia mempunyai pesanan moral yang sangat tinggi.

“Sebagai salah seorang pelakonnya, saya sendiri amat menghargai pesanan moral ini di mana seorang ibu adalah nadi dalam rumah tangganya. Bagaimana seorang anak cuba merahsiakan penyakitnya.

“Selebihnya cuma sekadar elemen hiburan. Namun, semua ini diadunkan dengan begitu baik sekali dan apa yang jelas kombinasinya sangat menjadi,” katanya.

Apapun, persoalan yang lebih besar, bagaimana penerimaan sebenar penonton di sana selepas menyaksikan malam tayangan gala Diva?

Optimisnya, maklum balas mereka terhadap filem ini barangkali memang sangat negatif. Namun, percaya atau tidak apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Rata-rata yang sudah menonton memberitahu mereka sangat tersentuh menyaksikan filem itu. Malah, ada juga yang mengalir air mata. Justeru, pelakon kita kembali dikerumuni wartawan di sana sambil memuji lakonan mereka sangat bagus. Hal ini mengundang kejutan dan ini diakui sendiri Ning.

Katanya, dia tidak sangka ramai yang memberikan kata pujian terhadapnya sambil mahu bersalaman serta mengambil gambar.

“Saya bersyukur kerana mereka nampaknya boleh menerima filem ini. Ini mungkin satu kejayaan buat Diva serta barisan pelakon dan krew produksi filem ini,” katanya.

Beberapa wartawan ditemui di sana sendiri turut memberikan maklum balas positif terhadap Diva.

“Cerita dan lakonannya bagus. Menggunakan bahasa Malaysia dan Indonesia tidak memberikan sebarang masalah.

“Bagaimanapun kelemahan ketara pada solekan, busana dan sudut teknikal. Kalau ia digarap dengan baik, mungkin filem ini akan jadi lebih bagus,” katanya.

Apapun, kesimpulannya, Diva yang turut dibintangi Fauziah Nawi, AC Mizal, Pushpa Narayanan dan Seni Andrea disambut baik di sana dan promosi filemnya juga dapat dilihat di beberapa tempat di sekitar bandar raya Jakarta termasuk di pusat beli-belah Blok M.

Malah, sebaik saja tayangan malam gala Diva berakhir, keesokannya cerita mengenai Diva dan pelakonnya muncul dalam program biacara bual Kiss menerusi saluran Indosiar. Kelas!

Tetamu VIP yang hadir pada tayangan malam gala itu, Pengarah Eksekutif Astro Shaw Sdn Bhd, Tengku Datuk Anuar Mussaddad, Duta Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mahamad Zain dan Duta India di Indonesia, Navrekha Sharma.

CORAT-CORET
- Ketibaan Ning Baizura pada majlis pelancaran filem Diva ternyata mendapat tumpuan ramai. Apakan tidak, dengan gaun putih yang menampakkan susuk tubuh badannya yang cantik dan menggiurkan, Ning kelihatan seperti diva.

- Pengalaman mengendalikan program Sensasi amat mematangkan Awal Ashaari. Pada pelancaran Diva, Awal menyatakan jika sebelum ini ramai penyanyi atau pelakon dari Indonesia diterima di Malaysia, apa salahnya jika artis Malaysia pula membina nama di negara seberang itu.

- Adam AF2 menjadi tumpuan kerana dia adalah salah seorang peserta dan pemenang kedua, program realiti Akademi Fantasia 2. Malah, kebolehannya melakukan rapping serta menari gaya hip hop, turut dikagumi.

- Kecantikan Balkish pula amat dikagumi kebanyakan jurukamera di sana. Malah, mereka turut menganggap kecantikan Balkish setanding dengan seorang pelakon remaja wanita di Indonesia yang sedang mencipta nama di sana. Tidak hairanlah mengapa dia sering menjadi tumpuan lensa kamera.

- Mungkin sukar untuk anda percaya namun lakonan AC Mizal dalam filem itu berjaya mencuit hati penonton di sana. Melihat saja wajah AC Mizal, mereka sudah tertawa dan apabila AC melontarkan dialog lawaknya, berderai tawa mereka.

- Beberapa wartawan di sana masih mengenali Que Haidar menerusi menerusi filem Badai Pasti Berlalu. Namun, salah seorang daripada mereka nampaknya tidak berpuas hati apabila Que masih diberikan peranan kecil dalam filem Diva. Alasan diberikan Que pelakon berbakat besar dan perlu diberikan watak lebih mencabar.

- Masih ada beberapa wartawan yang mengingati barisan pelakon lama kita. Antaranya, Raja Ema, Sabree Fadzil, Aznah Hamid dan Yusni Jaafar. Malah, ada yang memuji Raja Ema kerana keberanian dan keberkesanan lakonannya dalam produksi filem Indonesia dulu.

Zon Muzik…

Thursday, June 28th, 2007

Oleh zul Husni Abdul Hamid

ALBUM: Klasik

ARTIS: Datuk Siti Nurhaliza
GENRE: Pop Tradisional

SUDAH lima tahun penyanyi bersuara lunak ini tidak merakamkan album pop tradisional. Selepas penghasilan album pop terbarunya, Transkripsi, terdengar perancangan Siti untuk kembali merakamkan album pop tradisional.

Namun, Klasik bukan album yang dimaksudkan. Sebaliknya, ia adalah kompilasi lagu irama klasik yang pernah dirakamkan penyanyi ini sedikit masa lalu. Meneliti pengisian album ini, daripada trek pertama hingga terakhir dapat disimpulkan betapa penyanyi ini berusaha keras dalam memartabatkan lagu asli.

Biarpun ia bukan penghasilan terbaru, namun judul terbaik yang disenaraikan bakal menjanjikan kepuasan maksimum kepada pencinta irama Melayu. Khazanah yang tidak wajar dilupakan meskipun tidak banyak penghasilan album tradisional dilakukan ketika ini.

Bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia, kompilasi ini barangkali menjadi buah tangan berharga kepada pencinta seni untuk menghayati keindahan muzik Melayu. Barangkali kempen yang agresif akan membantu merealisasikan impian ini.

Klasik memuatkan 14 lagu, 12 daripadanya dipetik daripada empat album pop yang pernah dilahirkannya iaitu Cindai, Seri Balas, Sahmura dan Sanggar Mustika. Manakala dua lagu baru, Jangan Ditanya dan Sirih Pinang dimuatkan sebagai kenangan untuk mereka yang merindui suara lunak Siti menyanyikan lagu irama tradisional.

Antara lagu lain yang dimuatkan adalah Seri Sarawak, Damak, Syair Kamelia, Seri Mersing, Bunga Melur, Lela Manja dan Es Lilin.

Kata Hip:

USAHA murni Siti dan syarikat rakamannya terdahulu, SRC untuk menjunjung irama Melayu tradisional ini wajar diberi pujian. Lunak suara Siti mengalunkan lagu irama tradisi membuatkan pendengar tidak jemu dengan keasyikan nyanyiannya.

ALBUM: Love Is Cinta
ARTIS: Acha Septriasa dan Irwansyah
GENRE: Pop

PERTANYAAN pertama mampukah Love Is Cinta mengatasi penjualan album My Heart yang berjaya mencetuskan fenomena tahun lalu? Di negara ini saja, penjualan My Heart melebihi 100,000 unit dan pasangan duo ini turut menerima anugerah platinum berkembar lima atas kejayaan mereka itu.

Tidak seperti My Heart yang menyaksikan pasangan kekasih ini berkolaborasi dengan suami isteri, Anto Hoed dan Melly Goeslaw yang memberikan sentuhan magis mereka, Love Is Cinta ditangani Dian HP.

Menerusi album ini, pengarah muzik terkenal itu cuba mencipta suasana muzik teaterikal, justeru memberi efek yang cukup mengasyikkan untuk filem cinta arahan Hanny R Saputra. Hanny juga adalah sutradara My Heart.

Barangkali pasangan itu sedikit terbeban apatah lagi jika diukur dengan kejayaan besar My Heart. Namun, Love Is Cinta berjaya diterjemahkan oleh duo ini dengan baik. Dari segi vokal dan penghayatan, mereka berdua mampu memberi yang lebih baik berbanding album pertama.

Lagu yang dihasilkan juga lebih dewasa, sekali gus menyaksikan peralihan dua pasangan remaja ini. Bagaimanapun, berbanding Acha yang ternyata berjaya memperbaiki kelemahan vokalnya, nyanyian Irwansyah masih pada tahap mengecewakan.

Irwansyah tidak banyak berubah, malah pada sesetengah lagu meskipun berjaya diberi penghayatan yang baik namun ia tidak mampu dinikmati sepenuhnya lantaran kelemahan penyampaian vokal penyanyi lelaki itu.

Harus diakui Ada Cinta mampu mengulangi kejayaan yang dicipta My Heart kerana lagu ini lebih matang dan mereka berjaya mengimbangi kelemahan masing-masing. Namun, sukar untuk meramalkan nasib lagu lain.

Kata Hip:

SENTUHAN magis Melly dan Anto yang hilang menyebabkan runut bunyi ini agak tawar. Bagaimanapun, percubaan Dian HP sebenarnya tidak mengecewakan jika tidak diganggu dengan kelemahan penyampaian vokal Irwansyah.

ALBUM: Natasha Bedingfield
ARTIS: Natasha Bedingfield
GENRE: Pop

BERBARIS kejayaan yang dilakar sejak album sulungnya mencipta sejarah tahun lalu. Daripada gadis biasa, populariti penyanyi Inggeris ini melonjak hingga dilihat menyamai populariti yang diraih artis hebat seperti Pink dan Christina Aguilera.

Seperti katanya jujur, dia mahu menghasilkan album yang mencerminkan personaliti dirinya. Justeru jika dalam album pertama dia melaungkan isu kebebasan dan sikap sesetengah pihak yang mengambil kesempatan, tetapi album keduanya ini lebih terbuka.

Masih melaungkan kebebasan yang diimpikannya, namun kini dia mula berbicara mengenai kebahagiaan yang semakin mendekatinya. Setiap trek akan membawa peminat tenggelam dalam kembara emosinya.

Pengalaman yang dilaluinya dalam meniti kedewasaan, kesepian serta proses mendekati kebahagiaan semuanya dirangkumkan penyanyi itu menerusi lagu seperti Soulmate, How Do You Do dan Say It Again.

Dirakamkan di Los Angeles, komposisi keduanya ini ditangani nama besar dan hebat seperti Mike Elizondo, Adam Levine serta Greg Kurstin.

Kata Hip:

MENDENGAR muziknya saja peminat akan dapat mengesan identiti yang dicipta penyanyi ini. Mungkin susunan muziknya kedengaran janggal namun tidak dinafikan, ia berhasil. Album ini memberi kepuasan kepada mereka yang mendambakan sentuhan berkualiti.

Perasaan Siti Untuk APM…

Wednesday, June 27th, 2007

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Hai… semua dah rindu ya, Siti lagilah rindu pada semua yang datang ke laman ini.

Memang aktiviti agak padat, termasuk urusan kerja dan peribadi tetapi Alhamdulillah dapat juga Siti menulis sesuatu di sini. Ramai yang mahu bertanyakan mengenai perasaan Siti sewaktu APM di Singapura tempohari. Alhamdulillah, kepada peminat yang menngundi bagi kategori popular, Siti ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Sokongan anda yang tidak pernah berhenti membuatkan Siti rasa lebih bersemangat. Begitu juga dengan kategori terbaik, tentunya material yang dinilai itu menambat hati golongan yang membuat penilaian.

Tidak mudah bersaing di pentas APM, walaupun ada lagi pihak yang mungkin memperkecilkan anugerah ini tetapi bagi Siti, melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi, apa salahnya kita menilai bakat sendiri dengan negara-negara jiran. Pengalaman berkarier di Indonesia dan Singapura selama 12 tahun juga banyak mematangkan Siti. Tidak mudah menawan dan menembusi hati peminat negara jiran, ia perlu kerja keras dan bagaimana mahu memasarkan diri dan produk kita. Justeru Siti berterima kasih kepada APM kerana medan ini telah membawa satu lagi tahap kepada peningkatan industri muzik serantau.

Kepada peminat-peminat yang datang dari jauh, ada yang dengarnya datang ke Singapura dari Malaysia dan Indonesia, juga yang asal Singapura, Siti sekali lagi mengucapkan terima kasih kerana hadir memberi sokongan kepada Siti di APM. InsyaAllah, pengiktirafan yang diterima tidak pernah mematahkan semangat Siti. Banyak lagi usaha yang harus dibuat untuk memajukan diri dan doakanlah agar Siti berjaya menghadapinya.

Sekarang ini jadual Siti kembali sibuk. Memang Siti akui bercuti seketika baru-baru ini tetapi kerja sudah menanti. Selain menjalani penggambaran beberapa iklan, Siti juga akan ke Indonesia untuk penggambaran video klip bagi lagu Runut Bunyi filem Kayangan. Selepas itu Siti sibuk sebagai salah seorang juri untuk rancangan terbitan TV3 terbaru, Mystarz. Kemudian baru tumpuan diberikan kepada album tradisional terbaru. Jika album konsert Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma di Istana BUdaya tidak dapat diterbitkan atas sebab-sebab tertentu, Siti mohon maaf. Sebagaimana yang Siti pernah katakan, tidak mudah melahirkan album yang bukan hakcipta sendiri. Jangan risau, Siti akan beritahu nanti bagaimana statusnya tetapi jangan bimbang kerana ada album lain yang akan menyusul.

Sekian sahaja catatan Siti kali ini. Semoga semuanya gembira selalu.

Salam manis…
Siti Nurhaliza