RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Apa pula kejutan Siti rai Hari Ibu tahun ini



Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

SIAPA kata popularitinya menurun selepas berkahwin ? Telahan itu ternyata meleset sama sekali. Buktinya, selepas persembahan Konsert Suara Hati Sudirman di Stadium Melawati, Shah Alam, Minggu Setiausaha (Palace Of Golden Horses) dan Konsert Istana Cinta (Istana Budaya) baru-baru ini, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin (Siti), 28, terbabit pula menjayakan persembahan Hari Ibu.

Bertemakan Ibu Ratu Hati Ku, acara gilang-gemilang ini akan diadakan di Dewan Perdana Felda pada 20 Mei akan datang.

Memandangkan jarak semua persembahan dijayakannya berdekatan, Siti mengakui menghadapi sedikit kesulitan bagi memastikan persembahannya kali ini tidak ‘streotaip’

“Tidak dinafikan agak sukar untuk saya memastikan setiap persembahan yang ditampilkan punyai kelainan.

“Pun begitu, mujurlah persembahan sempena Minggu Setiausaha tempoh hari saya membawakan lagu popular Indonesia termasuk dari album saya sendiri yang semua lagu dipilih berdasarkan permintaan peminat.

“Persembahan di Istana Budaya pula, saya menyanyikan semula lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma.

“Justeru, untuk persembahan sempena Hari Ibu ini, tentu saja saya perlu memilih lagu yang ada kaitan dengan majlis, sekali gus menyampaikan lagu popular sama ada dari album atau pernah dipopularkan penyanyi Indonesia.

“Berlaku adil pada semua, saya tidak boleh menyanyikan lagu yang asing dari peminat. Apatah lagi, tujuan utama acara ini diadakan untuk memberi hiburan kepada penonton selain beramal,” katanya.

Meskipun belum membincangkan senarai lagu yang akan dibawanya, lagu yang pasti disampaikan Siti malam itu adalah Air Mata Ibu.

Siti juga mengakui kelainan persembahan kali ini kerana buat julung kalinya dia mewakili Yayasan Nurjiwa selain bekerjasama dengan penyanyi, komposer, pelakon dan pengarah berpengalaman, M Nasir.

“Kalau ikutkan sebelum ini, sudah banyak persembahan program TV saya jayakan bersama M Nasir. Cuma untuk hari ibu ini yang pertama. Insya-Allah kami akan menyampaikan lagu duet jika abang M Nasir tidak keberatan.

“Mengenai Yayasan Nurjiwa pula, aktiviti kami sebelum ini lebih tertumpu pada kerja amal di luar seperti melawat dan memberi bantuan kepada ibu tunggal, mangsa banjir di Johor dan Pahang selain menjayakan kempen Aids.

“Tetapi kali ini ada sedikit kelainan kerana kami berganding bahu dalam sebuah persembahan hiburan. Malah, pada majlis itu nanti akan dihadiri seramai 20 ibu tunggal,” katanya yang juga bertindak selaku Pengarah Urusan sejak penghujung tahun lalu.

Jika tahun lalu, Siti membuat kejutan dengan mengundang ibunya sebagai teman duet, barangkali dia melakukan perkara sama untuk persembahan kali ini.

Sementara itu, M Nasir tidak dapat memastikan lagu apa harus dibawakannya kerana masih belum berkesempatan membincangkan hal ini dengan penganjur khususnya jenis lagu yang khalayak inginkan.

Bagaimanapun, komposer terkenal ini mengakui persembahan Hari Ibu agak berbeza dengan persembahan yang pernah dijayakan sebelum ini kerana pengertian ibu itu amat besar dalam hidupnya.

“Walaupun berjauhan dengan ibu yang berada di Singapura dan kadang-kadang saja dapat bersua, namun saya merinduinya selalu. Ibu adalah satu anugerah dan amat penting dalam pembentukan masyarakat serta tamadun.

“Sememangnya ibu amat dekat di hati saya. Meskipun ciptaan lagu tidak banyak mengucapkan sayang pada ibu, namun dalam apa jua yang saya lakukan, semangat itu datang daripada ibu,” katanya.

Pada Sidang media yang diadakan di Dewan Perdana Felda Jumaat lalu, Pengarah Urusan Mahir Entertainment & Production (MEP), Nor Mahiran Yusoff, berkata pihaknya menjanjikan kepuasan maksima kepada peminat.

5 Responses to “Apa pula kejutan Siti rai Hari Ibu tahun ini”

  1. toyol says:

    jika benar ibu amat dekat di hati cgiglamour ni, masa nak kahwin dulu mesti dgr cakap mereka. sekrg amacam…… ikut nafsu…… ingatlah wahai cgiglamour… jika anda meruntuhkan masjid yg sepatutnya boleh di bina semula walaupun hampir runtuh maka sedarlah belum tahu masjid yg anda bina kukuh selamanya….

  2. toyol says:

    tggu aku balik makkkk…… tak sabar nak makan asam pedas ikan/daging dan kuih karipap…

  3. kuntau says:

    alamak!! toyol dah tak sabar nak balik pulak…untungnya kau yol balik tak lama lagi

  4. toyol says:

    itulah bro….rindu kat mak/bapak gua… >:d< lu bila nak balik bro.... sabar jelah ya.. nanti tiba gak masa balik lu. :) >-

  5. kuntau says:

    aku tak sure lagi yol…mungkin lama lagi kot…dah tak sabar rasanya bila dengar orang balik.

Leave a Reply