Oleh Farihad Shalla Mahmud
Siti Nurhaliza nafi berubah, belum berbadan dua
SEJAK zaman anak dara hinggalah bergelar isteri, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin tetap menjadi tumpuan ramai. Apa yang dipakai, bagaimana penampilannya ketika menghadiri sesuatu majlis tetap menjadi tanda tanya dan perhatian.
Terkini, penampilan penyanyi berdagu lekuk ini menjadi buah mulut orang. Bukan saja semakin cantik dan pandai bergaya, malah Siti dikatakan semakin seksi dan berani.
Benarkah Siti sudah berubah? Atau sekadar cakap-cakap di belakang saja.
Bertemu Siti pada majlis pelancaran Peraduan Swap Jom Olay dan juga sambutan Deeparaya di Hotel Prince & Residence, Jalan Conlay baru-baru berjaya merungkai tanda tanya itu.
Siti yang tergelak saat diajukan pertanyaan itu berkata dia sendiri tidak pasti seksi bagaimana yang dimaksudkan peminat kerana apa yang dia perasan, penampilannya tetap sama seperti sebelum berumah tangga.
“Terkejut juga bila ada yang mengatakan saya sekarang semakin seksi. Tertanya juga sudut mana yang dikatakan seksi tu kerana cara saya berpakaian masih sama seperti dulu, tiada langsung yang berubah.
“Ada ketika saya pakai baju biasa saja yang menutup bentuk tubuh seperti baju kurung namun anehnya tetap dikatakan seksi. Mungkin badan saya agak berisi sekarang menyebabkan penampilan saya berubah.
“Barangkali juga pembawaan diri yang semakin matang. Iyalah, dulu saya di bawah jagaan keluarga tapi sekarang saya sudah ada kehidupan sendiri,” katanya tenang sambil dipersetujui kakak iparnya yang juga merangkap pengurus, Rozi Abdul Razak.
Akui berjumpa pakar sakit puan
APABILA Siti mengunjungi pakar sakit puan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) baru-baru ini, niatnya hanyalah untuk mendapatkan khidmat nasihat penjagaan kesihatan. Bagaimanapun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Heboh dikatakan Siti ke sana adalah untuk mendapatkan rawatan ibu mengandung.
“Belum, saya belum mengandung lagi. Bagi saya, adalah sesuatu yang normal bagi wanita yang sudah berkahwin mendapatkan khidmat nasihat pakar dalam penjagaan kesihatan. saya tak nampak apa yang peliknya.
“Malah, ada banyak pusat perubatan lain yang pernah saya kunjungi untuk mendapatkan rawatan yang sama. Jadi tak timbul isu saya sedang berbadan dua. Kalau betul saya mengandung, saya akan maklumkan, janji penyanyi Cahaya Cinta ini.
Ditanya mengenai kerjaya seninya, Siti sekali lagi menegaskan kerjaya seninya jatuh nombor dua agar tanggungjawabnya sebagai isteri tidak diabaikan.
“Memang itu kehendak Siti. Mana-mana program yang sudah pun dipersetujui awal iaitu sebelum Siti berkahwin dulu akan tetap diteruskan seperti Pencarian Gadis Pantene, Mentor dan Olay.
“Jika dulu pada hujung minggu pun saya sempat memenuhi undangan fotografi sekarang ini memanglah saya terpaksa tolak. Begitu juga sekiranya ada undangan untuk membuat persembahan di luar negara, memang saya hadkan,†tegas siti.
Menyentuh pembabitannya menerusi Peraduan Swap Jom Olay, Siti berkata, P&G Malaysia Sdn Bhd (pengeluar produk) menawarkan hadiah bernilai RM10,000 untuk dimenangi pengguna setia produk itu.
“Peluang sebegini hanya datang sekali seumur hidup. Justeru saya menyeru pada semua wanita 25 tahun ke atas menyertai peraduan ini. Kalau lelaki boleh terbabit sama lagi bagus.
“Caranya mudah, jika anda pengguna setia Olay Total Effect anda perlu membawa rakan-rakan anda seramai yang mungkin ke gerai Olay sempena Karnival Jom Heboh pada 9 Disember ini.
“Dengan syarat anda perlulah membawa bukti bahawa anda pengguna setia Olay Total Effect. Sementara rakan-rakan anda pula dimestikan membawa produk pelembap pemutihan wajah jenama lain untuk ditukar kepada Olay Total Effect.
“Siapa yang membawa paling ramai rakan, merekalah yang akan memenangi hadiah bernilai RM10,000,” kempen Siti yang juga jurucakap kepada produk Olay Total Effect.
Posted in 


