Oleh Zubir Mohd Yunus
MAJLIS Rumah Terbuka Deeparaya anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) baru-baru ini menjadi medan pertemuan artis popular dua negara. Malah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang amat meminati lagu Dealova dendangan Once (Dewa 19) ceria apabila dapat bertemu bintang remaja dari Jakarta, Jessisca Iskandar yang juga bintang utama filem Dealova.
Jessisca yang berada di Malaysia bagi rangka promosi filem Dealova yang mula menemui peminatnya sejak 23 November lalu, nyata begitu teruja apabila menerima undangan, sekali gus diberitahu dia bakal bertemu Siti.
“Saya bukan saja menerima undangan, malah diberi peluang berjumpa Siti. Saya senang sekali kerana Siti begitu dikagumi di Indonesia. Jadi apabila bergambar dengannya ia satu penghormatan.
“Sekurang-kurangnya apabila saya pulang ke Jakarta nanti, saya boleh sampaikan kepada teman-teman, saya sudah ketemu dengan pencinta lagu Dealova ini,” kata Jessisca.
Sebelum fotografi, dilihat Siti bersama Jessisca sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit berbual mesra dan bertukar-tukar pandangan mengenai kerjaya seni masing-masing.
Siti yang hadir bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, menjadi perhatian kira-kira 800 tetamu yang terdiri daripada pelanggan korporat, pengiklan dan rakan artis lain di majlis tahunan anjuran NSTP itu.
Rumah Terbuka Deeparaya NSTP dihadiri Pengerusi NSTP, Datuk Seri Jawhar Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan Pengarang Eksekutif Harian Metro/ Metro Ahad, Mustapa Omar.
Antara artis paling awal hadir ialah superstar terkenal, Anita Sarawak bersama suami, Mahathir Abdullah yang duduk semeja dengan Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Fatimah Ismail.
Tidak ketinggalan memeriahkan majlis ialah pasangan kembar popular menerusi drama bersiri Kawan, Nora’sikin Rahmat atau Ikin dan Nora’ain Rahmat (Ain). Nama Ikin meledak secara tiba-tiba apabila digosip bercinta dengan Mawi Akademi Fantasia 3 (AF3). Lebih menarik, Mawi turut hadir pada majlis yang sama!
Pengarah Urusan KRU Berhad, Norman Abdul Halim datang bersama adiknya, Yusry. Sememangnya majlis rumah terbuka seumpama ini menjadi platform merapatkan lagi silaturahim pada Syawal yang mulia apabila Erra Fazira begitu mesra dengan bekas suaminya, Yusry.
Pengasas Aura Seri, Prof Dr Ibrahim Ahmad bersama isteri, Ira yang membawa filem Dealova ke Malaysia dengan kerjasama AirAsia Sdn Bhd dan Hotel Palace of the Golden Horses, meluangkan masa hampir tiga jam beramah mesra dengan kesemua artis.
Sementara itu, artis lain yang turut hadir ialah Fasha Sandha, Farah AF2, Hans Isaac, Amy Mastura, Nurul Syuhada TV3, Fara Fauzana Hot FM, Camelia, Hattan, Farahdhiya, Yasmin Harun, David Teo, Betty Benafe dan Umie Aida.

Posted in 


