TV3 tidak ada favourite



SIAPAKAH di antara empat nama yang bakal ke peringkat akhir Mentor musim kedua? Kita menanti jawapannya.

Hari ini dua daripada empat bintang iaitu Kat, Fiq, Nieyl dan Ayu akan diumumkan untuk dipilih ke peringkat final. Siapakah di antara mereka yang bakal ke pusingan yang paling dinanti-nantikan itu akan dapat kita saksikan di TV3, pukul 9 malam ini.

Saya rasa di luar sana, banyak yang sama berfikir macam saya. Banyak yang meletakkan sasaran kepada Kat dan Fiq untuk ke final sebab kedua-duanya dilihat lebih menyerlah. Di samping dua mentor yang lebih popular, Siti Nurhaliza dan Amy Search, peluang Kat dan Fiq lebih cerah.

Khabarnya TV3 juga menjadikan mereka peserta `favourite’. Maklum sajalah, dua mentor mereka sudah cukup popular di Malaysia dan Indonesia juga. Jadi senanglah untuk TV3 tarik undian penonton dan meningkatkan rating mereka kalau kedua-duanya membawa cabaran ke peringkat akhir.

Tetapi itu kata-kata orang saja, Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan menafikannya dengan sekeras-kerasnya.

Kata Azhar, itu hanyalah persepsi orang luar. Hakikat sebenarnya TV3 tidak memilih dan tiada hak untuk melakukannya pun.

“Kami beri hak kepada juri profesional dan orang ramai untuk memilih. Tugas kami cuma pengendali acara sahaja, lainnya ditentukan oleh orang ramai sendiri,’’ kata Azhar menafikan desas-desus itu. Kita lihat sajalah nanti bagaimana dan sejauh mana kebenaran apa yang dibicarakan ramai itu.

Bagaimana persiapan setakat ini?

Persiapan Alhamdulillah. Kita beri lebih tumpuan kepada persembahan hujung minggu ini. Kita sendiri pun berdebar juga hendak tunggu siapa jadi finalis Mentor musim kedua ini. Kita gunakan peluang ini untuk buat yang terbaik. Setakat ini kita masih on track lagi.

Benarkah dalam menentukan pemenang, TV3 ada peserta favourite

Favourite? Macam mana pula macam tu. Secara individu tu mungkin adalah, saya tidak nafikan. Orang itu minat si A, orang ini minat si B. Tetapi sebagai penganjur, pendapat peribadi kami tak benarkan mempengaruhi tugas-tugas kami. Kalau kata ada `favourite’ kepada mana-mana protege, itu adalah soal personal, bukan pilihan secara profesional.

Benarkah TV3 sudah setkan siapa yang layak ke final?

Saya pun dengar ada orang cakap macam tu. Apa yang kami nampak ialah bakat sesetengah protege lebih menyerlah dari yang lain. Kami tak boleh tentukan siapa ke final. Tetapi prestasi semasa dari undian orang ramai, markah juri memang kami nampak ada yang secara konsisten setiap minggu dapat markah tinggi. Kalau konsisten, tak hairan jika mereka inilah yang dianggap layak ke final. Tapi persaingan minggu lepas sengit juga. Ada pihak yang kami anggap ramai akan pilih, prestasinya tak seberapa tak dapat juga. Kami tidak ada apa-apa perancangan untuk menentukan siapa ke final sebab pilihan di tangan orang ramai.

Kat dan Fiq protege kesayangan TV3, benarkah?

Tak betullah. Itu bukan pilihan TV3, tetapi memang mereka banyak peminat. Itu saya akui. Macam ini, kami hanya adakan pertandingan supaya benarkan mereka bersaing. Kalau ada `favourite’ dan `upset’, upsetlah jadinya. Kita tak adalah hendak pilih orang ini orang itu ke, tak adalah. Kami profesional dalam bab itu.

Kat dan Fiq popular sebab bakat atau sebab mentor mereka artis yang lebih popular?

(Ketawa). Saya tak tahu hendak cakap macam mana. Saling membantu sebenarnya. Kalau kita letak mentor mereka, Siti Nurhaliza dan Amy, protege ini ada gaya tersendiri. Kat misalnya ada pakej menarik sebagai artis. Mungkin dari segi bakat nyanyian belum sampai ke tahap penyanyi yang cemerlang, Kat pun faham kekurangan dia apa. Sama macam Fiq, bakat dia memang luar biasa sangat. Itu yang membawa dia ke satu tahap semua orang boleh tertarik dengan dia. Dengan bimbingan Amy dia lebih kepada rock dan pengikut rock ramai. Mereka ini undi dia. Bila mentor mereka dua artis terkenal, saya tak boleh kata dia tak mempengaruhi langsung. Ada juga. Mungkin sebab mentor mereka Amy dan Siti, takkan mereka hendak pilih calang-calang protege. Itulah yang pengaruhi pandangan peminat untuk undi kedua-duanya. Tetapi kita kena tengok bakat mereka yang utama, kalau mentor hebat protegenya ala kadar, tak ke mana juga, tak boleh juga. Contohnya tahun lepas, protege Siti Nurhaliza, Fahmi tak sampai ke pusingan kedua pun. Tak betullah kalau kita kata orang pilih kerana mentor.

Apakah usaha TV3 dalam membantu – pemenang untuk terus cipta kegemilangan dalam dunia seni?

Usaha kami ialah dengan menonjolkan protege itu dengan seboleh mungkin. Bagaimanapun masa musim pertama kami masih dalam percubaan. Masa itu kami akui belum pasti sejauh mana kami boleh bantu mereka. Apa yang kami harapkan ialah konsep ini akan membuatkan mentor terus membimbing anak didik mereka sampai bila-bila. Dan kami nampak keunikan itu. Banyak mentor musim pertama dulu tolong protege mereka. Ada sesetengah kes berlaku sehingga ke sesi rakaman. Contoh Yannie dan Ning, dia menyediakan satu landasan. Nikki pun sama, Ning buat juga. Itu usaha Ning. Zainal (Abidin) pun bantu Pija tetapi saya tak pasti setakat mana dia boleh bantu.

Bagaimanapun khabarnya Pija berhadapan dengan masalah,kenapa?

Pertolongan kita pun terhad juga. Kami faham Pija ada masalah sedikit dengan syarikat rakaman… apa, kami tak pasti. Jadi untuk elak perkara sama berlaku, tahun ini untuk musim kedua kami undang EMI jadi syarikat rasmi. Pemenang akan diberi peluang rakamkan album dengan EMI sahaja. Ini perubahan besar. Maknanya kami bagi jaminan yang pemenang-pemenang ada peluang majukan kerjaya mereka. Dulu musim pertama kita buat eksperimen saja, tak nampak lagi apa kekurangan. Mungkin Pija bernasib malang dengan apa yang berlaku kepada dia. Tetapi kami akan tetap sokong, tampilkan mereka dalam banyak rancangan TV3, Jomheboh dan sebagainya. Sampai sekarang kami masih bantu.

Bagaimana TV3 mengukur nilai kejayaan untuk seseorang protege itu selepas dia keluar dari Mentor?

Kejayaan susah hendak diukur. Kalau setakat dapat kontrak rakaman tak cukup lagi. Kena dipasarkan dan berjaya di pasaran, barulah boleh dianggap berjaya. Dan kita belajar dari kekurangan yang lepas. Kami memberi ruang untuk mentor didik anak didik sampai ke tahap di mana anak didiknya berpeluang jadi artis rakaman, Tapi kami tak berurusan dengan syarikat rakaman, itu terletak kepada mentor lah. Bila ada masalah kita baiki bersama.

Idea bersaing dengan rancangan Bintang Cari Bintang dari seberang, bagaimana bermula?

Ia datangnya dari TV3, bila kami fikirkan dah masuk musim kedua elok juga bawa ke negara jiran. Jadikan ia satu pertandingan serantau. Kami berpakat dengan stesen televisyen Indonesia dan mereka tertarik. Mereka ambil konsep Mentor tetapi diberi sentuhan lain dari segi konsepnya. Namanya Bintang Cari Bintang.

Apa rasionalnya mempertemukan juara Mentor dan juara Bintang Cari Bintang?

Ini bukan isu siapa menang siapa kalah, ini peluang untuk mendedahkan mereka. Kita dengar artis Malaysia hendak tembusi Indonesia susah sangat. Tambah lagi kalau artis baru. Inilah landasan untuk popularkan mereka di sana. Alhamdulillah, selepas dua tiga kali ke sana, penonton di sana sudah kenal protege kita melalui Trans TV. Pertandingan khas nanti kita harap akan lebih menyerlahkan kebolehan artis kita dalam persaingan. Kalau syarikat rakaman lepas itu pasarkan album, nama mereka tak asing lagi di sana. Ini langkah awal kami saja.

Tetapi ada pihak yang melihat ia lebih kepada maruah kita, maruah negara. Mampu ke calon kita menang?

Memang saya akui ada pihak yang melihat ini semua lebih kepada maruah negara, maruah kita. Kita hendak calon kita menang. Pada saya siapa menang, siapa kalah itu sampingan sahaja. Yang pentingnya bila adakan musim kedua, kami banyak belajar. Dari segi siapa yang bakal menang bergantung kepada bakat masing-masing. Kita tahu bila buat rancangan penonton berpeluang memberi markah, walaupun kadang-kadang suara tidak baik sangat boleh menang juga.

Jadi kenapa terus bagi peluang penonton memilih? Bukankah banyak keburukannya?

Kalau kami tak bagi penonton buat pilihan melalui SMS dan guna pengadil profesional saja dari segi kualitinya mesti terbaik. Cuma kadang-kadang dari zaman dulu pun kita sudah tengok kualiti baik tetapi penerimaan di kalangan orang ramai tak seberapa juga. Setakat artis bagus, tetapi tidak berjaya kitapun risau. Melalui Mentor ini kira percaya dan kita mahu peminat yang sokong melalui undian akan terus sokong `protege’ ini sampai bila-bila bila mereka muncul dengan album sendiri nanti.

Tapi Pija tak ke mana juga?

Masalahnya dia tak ada lagu langsung. Dia tak dapat peluang langsung. Saya tak pasti masalahnya apa, kena tanya dia sendiri. Dia memang tak boleh ke mana sebab walaupun pakej dan ada bakat, tetapi dia tak dapat peluang. Itu yang kita risau. Setakat ini TV3 sudah jalankan tugas kami dengan baik, pihak lain pun kena buat macam itu juga demi untuk industri kita.

On 26th November2006

  Comments: 0 Read more


Leave a Reply