Siti tak lupa pengalaman jaja kuih



Oleh Farihad Shalla Mahmud

Nostalgia jaja kuih sewaktu kecil dorong jadi usahawan wanita berjaya

TIADA siapa dapat menafikan zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling banyak menyimpan memori indah. Suka dan duka bersilih ganti dan kenangan itulah yang terus terpahat dalam ingatan sehingga usia meningkat dewasa.

Begitu juga dengan penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, ingatan manis sewaktu melewati zaman itu masih tersimpan kemas di kotak fikirannya. Paling diingati adalah saat manis sewaktu dia menjaja kuih di kampung.

Biarpun hampir dua dekad peristiwa itu berlaku, namun sehingga kini ingatan Siti terhadap ‘pekerjaannya’ sewaktu kecil dulu masih basah dalam ingatan.

Bertemu penyanyi jelita ini sewaktu sesi rakaman promosi program realiti Mentor 2 terbitan TV3, baru-baru ini, Siti sempat mengimbas kembali zaman sewaktu dia membantu ibunya dengan menjual kuih di kampung.

Untuk rakaman itu, Siti menyuruh protegenya, Siti Khatijah Hassan atau Kat menjual pelbagai kuih muih dan kerepek di persekitaran Jalan Masjid India sebagai salah satu cara untuk mempertingkatkan lagi daya keyakinan anak didiknya itu.

Menurut penyanyi berdagu lekuk ini, dia memahami keadaan Kat ketika itu yang barangkali malu kerana terpaksa menjaja kuih di kawasan yang sesak apatah lagi ada di antara pengunjung lokasi itu mengenali Kat sebagai peserta Mentor.

Ditanya kenapa dia tidak mengikut Kat menjual kerepek bersama, Siti berkata dia memang sengaja berbuat demikian atas alasan untuk mempertingkatkan keyakinan diri Kat.

“Siti memang nak Kat jual seorang diri. Biar Kat dapat mempertingkatkan keyakinan dirinya. Biar dia tahu, bukan mudah untuk mencapai sebuah kejayaan.

“Situasi itu sama seperti masa emak Siti minta Siti jual kuih dulu. Memang Siti tak mahu pada mulanya kerana malu. Tapi apabila tengok emak Siti menangis, Siti pun ikutlah.

“Tapi itu pada permulaan saja. Bila dah lama-lama tu seronok pula terutama apabila melihat semua jualan Siti habis dijual,” kata Siti yang mula menjual kuih sejak umur sembilan tahun (darjah tiga) hinggalah umur 15 tahun.

Tambahnya, pengalaman bangun jam 4 pagi untuk membantu emak sampai tertidur di dapur juga adalah antara kenangan manis yang takkan mungkin dilupakan hingga ke hari ini.

“Bagi Siti, menjual kuih satu pekerjaan yang memberikan satu pengalaman yang cukup berharga dan Siti juga akui itulah permulaan segala-galanya untuk kejayaan Siti hari ini,” katanya sambil mengukir senyuman manis.

Katanya, pengalaman lampau itu turut membantunya supaya mahir untuk berkomunikasi dan itulah yang dipraktikkan sejak bergelar artis.

Sementara itu, Kat ketika ditemui selepas berjaya menjalani ‘ujian’ yang diatur mentornya mengaku pengalaman itu cukup berharga buatnya.

“Memang seronok kerana dapat berjumpa orang ramai. Macam-macam gelagat, ada yang kelakar dan ada yang serius. Satu pengalaman yang luar biasa dan menarik buat Kat,” ujar Kat yang mengaku malu apabila ada yang perasan dia peserta Mentor.

Bagaimanapun, adat orang berniaga, ada yang ingin membeli dan ada yang tidak. Berhadapan dengan situasi sedemikian tidak pernah menghalang Kat untuk meneruskan misinya hingga berjaya.

“Tak mengapa, saya anggap itu sebahagian daripada cabaran dan saya perlu menghadapinya dengan cekal. Saya yakin boleh menghabiskan jualan saya,” tegas Kat yang berjaya menjual keseluruhan kerepek dan kuih muih dalam masa tak sampai 15 minit.

Sebaik saja rakaman promo itu selesai, dua selebriti itu turut diserbu puluhan peminat yang sejak awal lagi mula membanjiri kawasan beli belah popular itu.

Promo menyaksikan Kat menjual kuih-muih dan kerepek juga adalah hasil ilham Siti. Rakaman itu sudah pun ditayangkan menerusi siaran langsung Separuh Akhir Mentor, Ahad lalu di saluran TV3.

On 18th November2006

  Comment: 1 Read more


One Response to “Siti tak lupa pengalaman jaja kuih”

  1. mas Says:

    saya tahu tapi siti dah banyak berubah. amat kecewa

Leave a Reply