Siti mahu wanita mengambil risiko



16-11-2006 04:39:32 PM
Radin Sri Ghazali

siti2.jpg
Datuk Siti Nurhaliza diserbu para pengunjung ekspo RMK9 di PWTC
(Foto The Star Oleh Azlina Abdullah)

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor wanita Datuk Siti Nurahaliza Taruddin hari ini menguar-uarkan kaum wanita agar berani untuk menceburi bidang perniagaan.

“Sepanjang 11 tahun bergelar sebagai artis, macam-macam orang yang saya jumpa dalam industri ini. Sebagai seorang artis, Siti harus berfikir jauh. Semasa kita berduit, kita haruslah merancang serta memikirkan cara-cara untuk memperkembangkan keupayaan diri sendiri,” ujar ketika sesi wawancara yang berlangsung kira-kira 45 minit sempena Measyuarat Agung UMNO betempat di Dewan Tun Razak, PWTC .

Diva yang berumur 27 tahun ini sudahpun memiliki beberapa jenis perniagaan termasuk Siti Production, Siti Collections dan yang terbaru Siti Sound.

“Sebagai contoh, Transkripsi diterbitkan oleh Siti sendiri. Siti merasakan sudah tiba masanya Siti menentukan arah destinasi kerjaya Siti,” tambah Siti lagi yang turut mencipta nama sebagai penulis serta komposer lagu-lagu seperti Percayalah dan Cahaya Cinta.

“Ramai yang berfikiran bahawa ianya sukar untuk artis Malaysia menembusi pasaran antarabangsa seperti Indonesia mahupun Eropah tetapi kita memberanikan diri untuk mencuba. Bagi Siti, Siti memilih untuk menyanyi lagu tradisional serta mempromosikan budaya Malaysia daripada menyanyi lagu yang mereka lebih hebat daripada Siti,” ujar Siti mengenai kejayaannya menembusi pasaran Indonesia serta mengelolakan konsert di Royal Albert Hall, London.

“Sesungguhnya dalam apa jua yang kita lakukan, sudah semestinya ada prinsip untung dan rugi. Sebagai kaum wanita, kita haruslah berani mengambil risiko yang ada,” tegas Siti lagi yang turut berharap agar kaum hawa mengambil kesempatan bantuan serta kemudahan pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Ketika sesi wawancara yang dikendalikan oleh pembaca berita rangkaian televisyen TV3, Ally Iskandar dan Azizah Ariffin, para pengunjung Expo RMK9 turut diberi kesempatan untuk mengemukakan soalan kepada anak jati negeri Pahang itu.

Mohd Fadzly dari Universiti Institut Teknologi MARA bertanya bagaimana Siti menangani kritikan serta pujian.

siti1.jpg
Bagi Siti, dirinya mahu menjadi seorang wanita berkerjaya yang mampu membahagikan masa di antara kerja dan keluarga
(Foto The Star)

“Tidak semestinya setiap kritikan yangdiberi adalah buruk. Kita harus pandai membezakan yang membina serta yang dapat membinasakan diri. Bagi Siti, jika kritikan itu membina, Siti akan menerimanya serta mengatasi kelemahan yang ada,” jawabnya.

Manakala Siti turut mengambil kata-kata pujian sebagai penyuntik semangat untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.

Siti pentingkan keluarga

Namun bagi Siti, kerjaya serta keluarga haruslah diimbangi dengan sebijak-bijaknya.

“Siti baru sahaja menjadi isteri dan kini Siti mempunyai keluarga sendiri. Jadi, Siti harus pandai membahagi masa dan ada kalanya Siti rasakan tak cukup ‘tanah’ untuk Siti. Tetapi Siti tetap berusaha,” katanya ketika ditanya salah seorang pengunjung mengenai kehidupan barunya sebagai seorang isteri.

“Jika dahulu Siti dapat meluangkan masa untuk shopping semasa membuat persembahan di luar negara, kini Siti ‘budgetkan’ masa agar setiap kali persembahan berakhir, Siti akan terus pulang ke rumah,” ujarnya lagi mengenai perubahan jadualnya dari waktu bergelar dara ke saat bergelar isteri.

“Siti memang hormat kepada wanita-wanita yang berkerjaya dan pada masa yang sama berkeluarga. Mereka pandai mengagih-agihkan masa mereka dengan adil,” ujar Siti.

“Sudah semestinya Siti mahu menjadi seorang isteri yang baik serta ibu mithali kepada anak-anak Siti,” katanya lagi.

Ketika ditanya bilakah masa sesuai untuk menimang cahaya mata oleh Puan Zabedah dari Pahang, Siti menjawab,” Ini semua ketentuan Allah SWT. Jika ada rezeki, Siti akan menerima dengan hati terbuka, tidak kiralah sekarang atau bila-bila sahaja. Siti tidak boleh menolak rezeki Allah SWT.”

On 16th November2006

  Comments: 0 Read more


Leave a Reply