Siti Nurhaliza temui pakar sakit puan



KUALA LUMPUR 14 Nov. – Penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 27, hari ini mengakui menemui pakar sakit puan sebagai persediaan untuk menjadi ibu.

Malah Siti juga tidak menafikan, sering ke pusat-pusat kesihatan untuk mendapatkan nasihat berkaitan kehamilan dan langkah-langkah untuk menjadi ibu.

“Ahad lepas Siti berjumpa pakar sakit puan di Subang Jaya Medical Centre bagi mendapatkan khidmat nasihat tentang kesuburan Siti.

“Semua wanita yang sudah berkahwin rasanya tak salah berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran peraduan Olay, di sini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga hari ini belum ada tanda-tanda dirinya bakal menjadi ibu.

Sementara itu, pada majlis yang sama Siti turut memberitahu akan menyertai forum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan diadakan Khamis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Forum tersebut diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO dan Siti bakal berkongsi pengalamannya dalam bidang seni kepada umum.

“Siti akan berkongsi pengalaman suka duka sebagai anak seni selama 45 minit kepada khalayak.

“Berdebar-debar menantikan saat tersebut kerana Siti belum pernah memberi ceramah seperti itu. Malah pada forum tersebut Siti turut memberi peluang kepada khalayak bersoal jawab bersama Siti,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Siti, pembabitannya dalam forum tersebut bukan satu tanda dirinya bakal terlibat dalam dunia politik.

Jelasnya, ia sekadar satu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memberitahu tentang RMK-9.

On 15th November2006

  Comments: 0 Read more


Leave a Reply