KUALA LUMPUR: Kunjungan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Ahad lalu untuk bertemu pakar sakit puan bagai mengiyakan desas-desus dia kini sudah berbadan dua.
Bagaimanapun, Siti yang mengesahkan kehadirannya di SMJC memberitahu, ia bukan bertujuan mendapatkan rawatan ibu mengandung sebaliknya khidmat nasihat penjagaan kesihatan.
“Saya mengaku memang ada ke sana tapi bukan untuk mendapatkan rawatan ibu mengandung sebaliknya khidmat nasihat penjagaan kesihatan. Ia sebagai satu langkah persediaan sebelum bergelar ibu.
“Saya rasa itu tidak pelik kerana sebagai wanita penjagaan kesihatan amat penting. Saya kira semua wanita sangat menitikberatkan hal itu. Banyak tempat lain juga pernah saya kunjungi sebelum ini.
“Terus terang saya katakan buat masa ini belum lagi mengandung dan sekiranya ada (hamil), jangan bimbang saya akan beritahu,†katanya pada majlis pelancaran Peraduan Swap Jom Olay di Hotel Prince & Residence, Jalan Conlay, petang semalam.
Pada 21 Ogos lalu, Siti, 27, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, 47.
Sementara itu, Siti kelihatan manis mengenakan kurung moden warna hitam rekaan Rizalman, menjadi artis pertama yang bercakap mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sempena memenuhi program Aspirasi RMK-9.
Forum bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2006 itu diadakan esok di Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Siti berkata, dia akan berkongsi pengalaman dari sudut pandangan sebagai penyanyi dan kejayaan yang ditempa dalam bidang seni.
“Saya antara personaliti diundang menjayakan forum pameran itu. Ia dijangka berlangsung selama 45 minit dan saya hanya akan bercakap berdasarkan pengalaman sebagai penyanyi dan kejayaan bidang seni.
“Hendak bercakap soal politik saya bukanlah orangnya. Justeru perkara yang dibangkitkan lebih kepada bagaimana seorang artis ingin berjaya dan apakah sasaran mereka dalam bidang ini sama ada untuk jangka panjang atau sebaliknya.
“Saya sendiri pernah menyanyi di kampung di Kuala Lipis, Pahang sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur sebagai artis rakaman sehinggalah ke tahap global,†katanya menerima tawaran menjadi panel daripada Umno awal bulan lalu.