RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Siti Nurhaliza temui pakar, nafi mengandung



KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin menafikan beliau mengandung walaupun mengaku bertemu pakar sakit puan Pusat Rawatan Subang Jaya (SJMC), Ahad lalu.

Siti berkata, kunjungannya ke pusat rawatan itu hanyalah untuk mendapatkan khidmat nasihat penjagaan kesihatan dan bukannya kerana pemeriksaan ibu mengandung seperti didakwa.

“Belum, Siti belum mengandung lagi. Siti akui ada mengunjungi pusat perubatan berkenaan. Namun bukan saja di SJMC malah Siti banyak mengunjungi pusat perubatan yang lain untuk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.

“Ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana bagi Siti adalah satu perkara yang normal bagi seorang wanita yang sudah berkahwin mendapatkan nasihat daripada pakar sakit puan,” kata Siti pada majlis pelancaran Peraduan Jom Olay Swap dan sambutan Deeparaya di Hotel Prince & Residence, Jalan Conlay di sini, semalam.

Katanya, sebagai wanita yang baru berkahwin beliau perlu mendapatkan nasihat daripada mereka yang bertauliah sebagai persediaan sebelum bergelar ibu.

“Siti memang sudah bersedia untuk menjadi ibu cuma belum ada rezeki lagi. Kalau dapat cepat (anak), Alhamdulillah. Bab jantina, Siti tak kisah asalkan sihat,” kata penyanyi berusia 27 tahun itu.

Sementara itu, penyanyi Cahaya Cinta itu juga dijangka hadir ke pameran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) esok bagi memenuhi program Aspirasi RMK-9.

“Dalam forum itu, Siti akan menceritakan pengalaman pahit dan manis yang pernah Siti lalui sepanjang sebelas tahun bergelar artis.

“Mungkin ramai yang menyangkakan bidang hiburan ini hanya tertumpu kepada berhibur dan glamor saja. Jadi kesempatan yang diberikan ini akan Siti gunakan sebaiknya untuk merubah pandangan masyarakat terhadap industri seni itu sendiri,” katanya.

Siti akan muncul selama 45 minit dalam forum yang akan berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak 4, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Leave a Reply