Oleh Norhayati Nordin
DIAM tak diam, Aidilfitri tahun ini bakal melabuhkan tirai beberapa hari lagi. Dalam tempoh singkat ini, rupanya masih banyak pihak menganjurkan rumah terbuka untuk meraikannya. Tidak ketinggalan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).
Kira-kira 800 tetamu terdiri daripada pelanggan korporat, pengiklan dan artis popular tanah air hadir meraikan majlis Rumah Terbuka Deeparaya NSTP yang diadakan di Hotel Renaissance, kelmarin. Rata-rata, artis yang hadir sangat berpuas hati.
Pelakon dan penyanyi, Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe atau Betty Banafe, 29, berkata dia sangat gembira dan berbangga dapat meluangkan masa menghadiri majlis rumah terbuka NSTP itu. Katanya, ia antara majlis besar dan meriah pernah dihadirinya.
“Terus-terang, saya amat berpuas hati dengan majlis anjuran NSTP ini. Bukan apa, dari semua segi dapat dilihat cukup teratur dan lancar. Sejak tiba di ballroom hingga ke tempat duduk, semuanya diurus dengan baik tanpa menyusahkan tetamu.
“Selain itu, layanan daripada pengurusan kanan NSTP hingga kakitangan biasa sangat mantap. Jadi, suasana majlis menjadi meriah apabila semua tetamu mendapat layanan yang baik. Oleh itu, apabila semua pihak bekerjasama maka majlis berjalan lancar,†katanya.
Wanita berdarah kacukan Melayu, Arab, Jawa dan Belanda itu berkata walaupun majlis rumah terbuka itu berjaya tetapi dia terfikir untuk mencadangkan sesuatu. Katanya, alangkah lebih bagus sekiranya artis dijemput menyanyi menghiburkan tetamu.
“Ini kerana saya sangat tertarik dengan konsep `live band’ yang diketengahkan. Cuma, tiada artis yang diminta menyanyikan satu atau dua lagu. Kalau ada mungkin lebih seronok terutama apabila bergandingan dengan kumpulan gamelan yang diundang,†katanya.
Rumah Terbuka Deeparaya NSTP itu dihadiri Pengerusi NSTP, Datuk Seri Jawhar Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar.
Bagi penyanyi, Faradhiya Mohd Amin atau Faradhiya pula, walaupun dia hadir ke majlis itu agak lewat tetapi suasana kemeriahannya amat dirasakan. Begitu ramai tetamu dan rakan artis menghadirinya membuatkan ia sungguh hebat.
“Secara tidak langsung, ia membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara tetamu walaupun kami datang daripada bidang berbeza. Bukan itu saja, kami rakan artis juga dapat meluangkan masa bersama dan bertanya khabar kerana lama tidak berjumpa.
“Maklumlah, masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri. Oleh itu, menghadiri majlis rumah terbuka seperti dianjurkan NSTP ini sekurang-kurangnya menyediakan kami peluang untuk bermesra. Ia peluang yang tidak wajar dilepaskan,†katanya.
Bakat baru berusia 22 tahun yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati ini berkata usaha dilakukan NSTP meraikan pelanggan korporat , pengiklan dan artis tempatan itu wajar dipuji kerana ia dapat mengeratkan lagi kerjasama sedia ada.
Pelakon baru, Nora’sikin Rahmat atau Ikin berkata di hadir ke majlis itu tidak berseorangan sebaliknya bersama saudara kembarnya, Nora’Ain atau Aien. Katanya, ia pengalaman baru bagi mereka sebagai artis baru yang mula bergelar insan seni.
“Selain bertemu ramai artis, saya dan Aien berpeluang bertemu wakil syarikat korporat dan pengiklan NSTP yang hadir ke majlis itu. Secara tidak langsung, perkenalan itu membantu menyerlahkan bakat kami berdua sebagai artis baru.
“Mana tahu mereka (wakil syarikat korporat dan pengiklan) berminat bekerjasama dengan kami. Ia mungkin membantu kami meluaskan kerjaya dalam pengiklanan pula,†kata gadis berusia 27 tahun dan pernah dikaitkan rapat dengan Mawi ini.
Sementara itu antara artis yang hadir ialah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa, Anita Sarawak, Mahathir Abdullah, Farah Fauzana, Fasha Sandha, Erra Fazira dan Umie Aida.
Sebagai acara tahunan syarikat, rumah terbuka itu dianjurkan untuk mengucapkan tanda terima kasih NSTP terhadap sokongan diberikan syarikat korporat dan pengiklan selama ini selain memeriahkan sambutan Aidilfitri dan Deepavali.
On 14th November2006