Oleh Rozdan Mazalan
BAGI wanita yang berusia antara 18 hingga 25 tahun mereka berpeluang mengukir nama sebagai bintang sebaris artis popular tanah air menerusi sebuah program realiti terbaru yang akan disiarkan melalui stesen televisyen TV3 dalam Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene tidak lama lagi.
Rancangan realiti ini akan bermula dengan sesi uji bakat yang bakal diadakan di seluruh negara seperti Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang dan berakhir di Kuala Lumpur di mana peserta yang bakal ditabalkan sebagai Bintang Pantene dan berpeluang menyertai bintang Pantene lain sebelum ini seperti Waheeda, Maya Karin dan Camelia.
Sesi uji bakat pertama akan diadakan hari ini di Melaka disusuli di Johor Bahru pada 18 November, Pulau Pinang 25 November dan berakhir di Kuala Lumpur pada 1 Disember.
Penolong Pengurus Pemasaran Negara bagi P&G, Tan Hui Woon berkata, pencapaian sebagai bintang Pantene adalah satu pengalaman yang cukup menyerlah dan diidam-idamkan ramai wanita Malaysia.
“Pantene ingin memberi perangsang kepada wanita untuk menjadi apa saja yang mereka impikan dan rancangan realiti ini adalah pentas terbaik untuk mereka menyerlah.
“Untuk menyertai sesi uji bakat rancangan realiti ini, peserta hendaklah terdiri daripada wanita Malaysia berumur antara 18 hingga 25 tahun. Peserta sesi uji bakat ini perlu menunjukkan bukti pembelian syampu Pantene Pro-V 400ml semasa pendaftaran penyertaan.
“Sejumlah 14 peserta akan dipilih menerusi sesi uji bakat yang diadakan di seluruh negara. Kesemua 14 peserta ini akan bertanding di sesi pemilihan akhir pada 2 Disember di Pusat Beli Belah One Utama (Old Wing). Seramai 10 peserta terakhir akan melayakkan diri dari pemilihan akhir ini ke House of Pantene.
“Di House of Pantene, 10 peserta terakhir ini akan belajar untuk menghargai keunikan dan kelebihan masing-masing melalui pelbagai cabaran dan ujian. Cabaran rancangan realiti ini direka untuk merangsang mereka supaya berkeyakinan diri untuk merealisasikan potensi sebenar dan melakukan yang terbaik dalam hidup mereka. Mereka akan menjadi contoh kepada wanita Malaysia sebagai calon yang menyerlah dalam hidup,†katanya.
Menurut Tan, selain 10 peserta rancangan realiti ini, pihaknya juga mengharapkan agar penonton di rumah juga dapat merasai saat-saat manis ini. Rancangan realiti ini boleh menjadi inspirasi kepada mereka untuk mencontohi 10 peserta ini.
Seperti mana falsafah Shine Pantene yang dilancarkan baru-baru ini, rancangan realiti ini adalah peluang untuk wanita melakukan yang terbaik dalam hidup.
Rancangan realiti ini akan dihoskan duta Shine Pantene iaitu Datuk Siti Nurhaliza, di mana kesemua 10 peserta peringkat akhir akan menghadapi cabaran setiap minggu di House of Pantene. Penonton akan dapat menyaksikan mereka melalui semua tugasan mingguan yang telah direka untuk menyerlahkan kecantikan dalaman dan potensi sebenar mereka.
Bagi mengetahui dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh melayari laman web www.tv3.com.my/pantene.