RSS Feed
Featuring the latest scandals, gossip, and entertainment news.


Datuk K, Siti belum ada rezeki timang cahaya mata



Oleh Zubir Mohd Yunus

SEJAK kebelakangan ini, media sering melaporkan Datuk Siti Nurhaliza mengandung, gara-gara badannya yang kelihatan agak berisi selepas berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, 21 Ogos lalu. Namun, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan daripada mulut Siti mahupun Khalid.

Justeru, ketika Zubir berpeluang menemui Siti dan Khalid pada majlis Aidilfitri di kediaman Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Cik Puan Muda Pahang, Datuk Seri Julita Aishah Abdul Latif, 27 Oktober lalu di Kuantan, Pahang, Zubir terus bertanyakan perkara berkenaan.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail sekeluarga.

Siti menafikan dia mengandung dan mengakui badannya mungkin kelihatan agak berisi kerana sudut penggambaran ada kala membuatkan dirinya tampak berisi seperti mana yang dipaparkan oleh sebuah akhbar tabloid, baru-baru ini.

Terdahulu, ketika menemui Datuk Khalid di hotel penginapan mereka pagi itu, dia turut mengesahkan isterinya belum berbadan dua lagi.

“Tak ada rezeki lagi Zubir,” pendek saja jawapan Khalid apabila Zubir bertanyakan perkara berkenaan.

Pada kesempatan ini juga Zubir ingin mengucapkan tahniah kepada Cik Puan Muda Pahang, Julita Aishah kerana dianugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena ulang tahun keputeraan ke-76 baginda, baru-baru ini.

Tahniah juga buat Siti yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Leave a Reply