Skip to content

November 2, 2006

627 artis bersaing dalam ABPBH 2006



SIAPAKAH penyanyi atau pelakon popular musim 2006? Bolehkah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin merampas semula gelaran Bintang Paling Popular yang dimenangi Mawi tahun lalu (2005)?.

Semua itu masih awal untuk dijangkakan kerana dua penyanyi itu harus berdepan persaingan peringkat pertama.

Dalam soal ini, tidak mustahil kalau ada muka baru yang akan memecahkan dominasi mereka, apatah lagi kehadiran bintang berkenaan dilihat lebih berdaya saing dan menjadikan saingan tahun ini lebih menarik.

Justeru, misi mencari barisan bintang popular kini bermula. Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH 2006) memulakan kempennya menerusi pencalonan awal untuk diundi orang ramai. Pembaca dan peminat dunia hiburan boleh mengundi lima artis pilihan masing-masing menerusi setiap kategori dicalonkan.

Sehubungan itu, ABPBH 2006 menyenaraikan 627 pencalonan pada peringkat saingan awal membabitkan pelakon, penyanyi solo, artis berkumpulan, pelakon komedi, personaliti televisyen dan juruhebah radio. Ada artis dicalonkan satu kategori dan ada juga yang layak dicalonkan dalam dua kategori.

Borang pencalonan awal ABPBH 2006 mula disiarkan dalam Berita Harian dan Berita Minggu selama sebulan bermula hari ini.

Semua nama calon diterima penganjur menerusi cadangan syarikat rakaman dan produksi, selain stesen radio dan televisyen. Namun, urusetia ABPBH 2006 turut memantau dan menyaring semua nama diperoleh untuk diiktiraf layak bertanding musim ini.

Menerusi pencalonan awal kali ini, pembaca dikehendaki memilih lima calon bagi setiap kategori mengikut pilihan dan cita rasa anda sendiri berdasarkan artis kesayangan yang sentiasa difikirkan popular.

Anugerah ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila sudah memasuki tahun ke-20 penganjurannya. Bagaimanapun, ABPBH 2006 masih tidak mengalami sebarang perubahan apabila menyediakan 16 kategori iaitu Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Kategori lain Artis Berkumpulan/Duo Popular, Penyanyi Nasyid Popular, Artis Baru Wanita Popular, Artis Baru Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular, Artis Komedi Wanita Popular, Penyanyi Radio Wanita Popular, Penyampai Radio Lelaki Popular, Pengacara TV Wanita Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular.

Calon bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular dikuasai bakat baru daripada program realiti Akademi Fantasia seperti Felix, Faizal, Bob, Burn, Mawi dan Vince. Calon lain M Nasir, Amy Search, Bandi Amuk, Ibnor Riza, Saleem, Mael XPDC dan Ahmadi Hassan.

Namun calon kategori Penyanyi Wanita Popular paling menarik kerana membabitkan ramai penyanyi ternama. Selain Siti Nurhaliza, Aishah, Amy Mastura, Camelia, Dayang Nurfaizah, Ella, Erra Fazira, Fauziah Latiff, Shiela Majid dan Noraniza Idris turut disenaraikan.

Calon Pelakon Filem Lelaki Popular pula menggabungkan muka lama dan baru seperti Afdlin Shauki, Azan (Ruffedge), Que Haidar, Jehan Miskin, AC Mizal, Hans Isaac, Zizan Nin, Zul Huzaimy, Farid Kamil dan Saiful Apek.

Begitu juga Pelakon Filem Wanita Popular menyenaraikan Eja, Erra Fazira, Fasha Sandha, Julia Hana, Rita Rudaini, Nasha Aziz, Ezlynn, Safura Yaacob, Kartina Aziz dan Vanida Imran.

Kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular menyenaraikan paling ramai calon, sekali gus membuktikan kita mempunyai ramai pelakon drama, telefilem, sitkom atau drama bersiri.

Antaranya Abu Bakar Omar, Adlin Aman Ramlie, Arash Mohamad, Bob Azrai, Ijoy Azhari, Nasir Bilal Khan, Faizal Hussien, Esma Daniel, Norman Hakim, Zack Taipan, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su, Aida Aris, Abby Abadi, Azean Irdawaty, Dynaz, Fauziah Nawi, Maria Farida, Norkhiriah, Raja Azura dan Sharifah Shahora. Yasmin Haron, Lisdawati, Zizie Ezzete dan Wan Rozita.

Tidak kurang menariknya pencalonan Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyanyi Radio Wanita Popular. Mereka yang disenaraikan Azlan Omar (KLFM), Faizal Ismail (HotFM), Fly Guy (FlyFM), Khairil Rashid (EraFM), Sazali Said (SuriaFM), Najman Mohamad (SinarFM), Zed The Jet (Best 104), Tuah Zukarnain (MuzikFM) dan Mohd Erwan Johari (IkimFM).

Bagi Penyampai Radio Wanita Popular dibarisi Abby Fana dari SinarFM, Azura Lisa Aziz (MuzikFM), Farah Fauzana (HotFM), Nik Aida (KLFM), Lynn Zainol (MuzikFM), Mona Jasman (IkimFM), Nila Kurnia (EraFM), Zharyn (Best 104), Linda Onn (EraFM), DJ Lyn (SuriaFM) dan Linda (XFresh).

Read more from Metro

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments