Oleh: SAHARUDIN MUSTAFA
KUALA LUMPUR 23 Okt. – Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin (kiri) menyifatkan penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk kepadanya sebagai satu penghormatan besar.
Menurut penghibur berusia 27 tahun itu, apa yang membuatkan beliau berbesar hati ialah ia dianugerahkan oleh Sultan yang memerintah negeri kelahirannya.
‘‘Sukar untuk Siti gambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya Siti dengan anugerah tertinggi ini.
“Anugerah ini bakal menjadi perangsang kepada Siti untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam bidang seni,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Siti ialah salah seorang daripada 915 orang yang menerima darjah dan pingat kebesaran negeri Pahang sempena ulang tahun keputeraan ke-76 Sultan Pahang hari ini.
Penyanyi itu yang baru sahaja menamatkan zaman bujangnya dengan usahawan terkenal, Datuk Khalid Mohamad Jiwa pada bulan Ogos lalu ketika ini berada di kampung halaman suaminya di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga mentuanya.
Siti yang berkongsi kegembiraan itu dengan suaminya memberitahu, secara peribadi beliau sangat menghormati Sultan Pahang.
Katanya, baginda merupakan antara individu yang banyak memberi sokongan padu terhadap perkembangan kerjaya seninya sejak lebih sedekad lalu.
‘‘Keberangkatan baginda menonton konsert Siti di Royal Albert Hall, London tahun lalu merupakan bukti baginda sangat prihatin dengan perkembangan Siti,’’ ujarnya.
Siti sebelum ini dianugerahi Darjah Kebesaran Keempat Negeri Pahang – Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), Paduka Mahkota Perak (PMP) dan Johan Setia Mahkota (JSM).
Turut menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk ialah dua pereka fesyen terkenal tanah air iaitu Bernard Jayachandran dan Dayang Fatimah Tom Abang Saufi.