Keluarga Datuk K buat majlis sambut menantu
19-10-2006 02:04:11 PM
oleh ZIEMAN
Pertama kali beraya sebagai isteri tentu saja Datin Siti Nurhaliza rasa teruja. Kemeriahan yang dirasa menyambut hari lebaran bersama suami tercinta tentu tidak sama semasa Siti beraya dengan ayah dan ibu.
Walaupun pada tahun ini, Siti akan berada di kampung halaman mertuanya di Kg Permatang Pasir, Kota Kuala Muda namun kedua ayah bonda Siti akan menyambut Aidilfitri bersama anak kesayangannya.
Rumah terbuka dan majlis sambut menantu
Menurut kakak iparnya Zaiton Mohd Jiwa, mereka sekeluarga termasuk Siti dan suaminya baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur pagi tadi untuk membayar zakat.

Syawal ini Siti buat pertama kalinya beraya sebagai seorang isteri (Foto: Utusan)
“Siti dengan Datuk K pun bayar zakat sama. Kita tengah bincang nak buat persiapan untuk rumah terbuka pada hari raya pertama nanti.
“Siti tengah sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Lagipun ini kali pertama dia balik rumah kami,” jelas Zaiton yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ton.
“Rumah terbuka tahun ini lebih meriah kerana kita akan membuat majlis menyambut menantu sekali,” kata Kak Ton yang sibuk menguruskan katering bagi tetamu yang akan hadir nanti.
Difahamkan setiap tahun pada hari raya, lebih 500 orang akan berduyun-duyun ke rumah keluarga Kak Ton kerana itu sudah menjadi tradisi keluarganya.
“Mungkin tahun ni lebih sikit kut sebab Siti ada sama. Peminat dia tentu nak datang tengok Siti. Kami sekeluarga dah biasa jamu orang kampung bila Raya,” jelas Kak Ton.
Kak Ton juga memberitahu yang Siti akan berada di rumah mertuanya selama dua hari sebelum pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lipis.
“Siti nampak gembira tambahan pula kali ini mak dan ayahnya akan beraya sekali,” jelas Kak Ton mengenai adik ipar barunya yang baru balik dari berbulan madu dan menunaikan umrah.
Siti tetap seperti dulu
Siti tetap seperti dulu, merendah diri dan tidak mahu dipanggil dengan gelaran ‘Datin.’
“Cukuplah di majlis rasmi saja…,” katanya lembut.
Siti baru pulang ke tanah air daripada mengerjakan umrah pada 10 Oktober lalu. Beliau mengakui begitu teruja untuk menyambut hari lebaran sebagai seorang isteri.
Sempena sambutan Syawal, pihak keluarga mertuanya akan mengadakan jamuan Hari Raya.
“Jamuan itu juga untuk meraikan perkahwinan kami,”‘ jelas Siti yang bernikah dengan Datuk K pada 21 Ogos lalu.
Mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis itu memberitahu, beliau hanya menyediakan persiapan secara sederhana.
Malah beliau juga mengakui tidak sempat membuat sendiri biskut raya kegemarannya kerana terpaksa memenuhi banyak undangan.
“Persiapan Hari Raya Siti sama macam sebelum kahwin. Pakaian juga ada beberapa helai daripada koleksi pereka kegemaran Siti yang masih belum dipakai. Datuk juga begitu.
“Siti dan Datuk akan memilih pakaian sedondon untuk digayakan pada pagi Syawal,” katanya yang berbulan madu selama seminggu di Honolulu, Hawaii sebelum berlepas ke Mekah untuk mengerjakan umrah.
Menurut penyanyi terkenal ini, tiada banyak perbezaan dalam kehidupannya sekarang.
“Cuma rutin saya saja sedikit berubah. Sekarang tumpuan lebih kepada suami. Saya masih seperti dulu sibuk dengan aktiviti seni dan suami saya pula sibuk dengan perniagaannya,” jelasnya.
Jelas Siti lagi, Datuk K lebih senang bersikap low profile sekarang.
“Biarlah Datuk dengan dunia perniagaannya. Dia lebih senang begitu. Kalau ada majlis yang mengundang kami berdua, barulah dia bersedia untuk tampil bersama kalau tidak, dia lebih senang Siti seorang saja,” kata Siti yang membuat persedian Raya secara sederhana seperti tahun-tahun sebelumnya.
Khabar angin tidak betul
Banyak perkhabaran angin diterima sejak akhir-akhir ini kononnya Siti sudah berbadan dua.
“Buat masa ini Siti belum ada apa-apa tanda lagi. Agaknya sebab badan Siti nampak berisi tetapi Allah belum bagi rezeki lagi,” katanya.
Walaupun begitu, Siti menjelaskan, dia dan suaminya tidak merancang.
“Kami tidak pernah merancang. Kami terima apa saja yang Allah nak bagi, baik lelaki atau perempuan. Doakanlah kami,” jelas Siti lagi.
Berduet dengan Mawi
Terdapat ura-ura untuk rakaman duet antara Siti dan Mawi bagi album terbaru Mawi.
Menurut Siti, perbincangan sedang berjalan sekarang dan tidak ada masalah untuk berduet dengan Mawi, Juara Akademi Fantasia 3, Mawi.
“Insya Allah, kalau semua berjalan lancar projek itu akan diusahakan. Masalahnya kerana kami datang dari dua syarikat rakaman yang berbeza,” jelas Siti yang pernah berduet dengan artis lelaki seperti Tan Sri SM Salim, M Nasir dan Too Phat sebelum ini.