Oleh
Freda Hassan
BUAT pertama kalinya di Singapura, jurusolek profesional kesayangan artis-artis ternama Malaysia dan Indonesia, Nurul Shukor, akan berkongsi teknik menyolek menerusi bengkel ‘Teknik make-up Siti Nurhaliza bersama Nurul Syukor’.
Nurul yang kaya dengan pengalaman selama 20 tahun selaku jurusolek profesional, cukup sinonim dengan sentuhan emasnya untuk mencantikkan wajah-wajah artis seperti Erra Fazira, Ziana Zain, Siti Nurhaliza, Camelia dan ramai lagi artis jelita dan ternama Malaysia dan Indonesia.
‘Saya ingin mendekati rakan-rakan di Singapura yang bergiat dalam bidang ini sambil menjadikan kenyataan impian mereka yang teringin menjadi jurumekap profesional menerusi bengkel ini,’ kata Nurul.
Menurutnya, bengkel dua hari itu sudah semestinya mengajar peserta teknik yang betul dari segi solekan pengantin dan untuk komersial televisyen.
Bengkel pada 7 dan 8 Oktober nanti akan diadakan di Restoran Tepak Sireh, Sultan Gate.
Pada hari kedua bengkel tersebut, para peserta akan turut dihiburkan oleh artis-artis Singapura seperti Andreasha Andin, Nur Khariya Yusoff dan Lady E.
Untuk pertanyaan, hubungi penganjur, Lynn di talian 8123-2903 atau Anni 9188-5376.
Freda: Freda tahu setiap kali artis-artis top KL ada show, Nurul menjadi rebutan mereka.
Menyamar jadi adik Afdlin
AKTOR dan pengarah terkenal Afdlin Shauki sama sekali tidak menyangka namanya agak power sehingga ada pihak yang sanggup menyamar menjadi adik lelakinya baru-baru ini untuk tujuan menculik seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun pada 23 Ogos lalu.
Jejaka yang dikenali sebagai Is itu mengakui beliau peguam yang baru sahaja tamat pengajian di Britain.
Menurut Afdlin: ‘Adik-beradik lelaki saya menghubungi saya dan bertanyakan sama ada saya ada adik lelaki lain yang mereka tidak tahu.’
Afdlin sebaliknya meminta mereka bertanyakan ibu mereka sendiri untuk mendapatkan kepastian.
Yang pasti, Afdlin menegaskan bahawa ‘lelaki tersebut bukanlah adik lelaki saya’.
Sempat juga Afdlin berpesan kepada semua agar lebih berhati-hati dan risik-risiklah dahulu latar belakangnya.
Freda: Nantikan filem terbaru Afdlin Shauki Sumolah. Dengar-dengar, aktor Gurmit Singh turut membintangi filem itu.
Pelakon dengan dunia fantasi
PELAKON wanita yang cantik ini seolah-olah perasan atau berada dalam dunia fantasinya sendiri.
Itulah tanggapan yang sering bermain dalam fikiran rakan-rakan media lain apabila topik perbualan kami berkisar tentang pelakon wanita ini.
Kerap beliau menggambarkan kepada pihak media kononnya beliau telah dilamar penerbit filem untuk memegang watak utama sebuah filem seram serta tawaran-tawaran daripada pihak produksi lain.
Itu satu hal. Beliau juga pernah memberitahu dilamar menjadi model iklan di Malaysia.
Apabila ditanya kepada pihak penerbit di Kuala Lumpur mengenai filem seram yang dimaksudkan pelakon wanita tadi, penerbit agak terkejut kerana kesemuanya tidak benar.
Malahan, sehingga ke hari ini pun, tiada khabar atau iklan di kaca TV yang menampilkan pelakon itu untuk mana-mana produk pun.
Ketika ditanya kepada teman media Kuala Lumpur, ada yang hanya ketawa.
Sah saya sudah ‘digoreng’ dengan cerita khayalan pelakon wanita tadi yang dikatakan selalunya berada dalam dunia khayalannya sendiri dengan pengambilan ‘benda terlarang’.
Freda: Mulanya seronok juga dengarkan cerita pelakon wanita tadi.
On 12th September2006